Keranamu, Hidayah
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
“Hadirmu... merubah dunia dan hatiku.”
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
271

Bacaan






GRANNY!”

Puan Sarah yang masih berada di atas anak tangga mengerutkan dahinya. Pelik dia melihat cucunya, Humairah tercungap-cungap nafasnya di muka pintu. Siap ditutup rapat lagi pintu rumahnya.

Granny! Where are you?” terjerit-jerit Humairah di muka pintu. Mencari kelibat pemilik rumah besar tersebut.

“Maira.”

Humairah mendongakkan kepalanya ke atas. “Ha... granny... mama, papa dan yang lain mana?” soal Humairah dengan nada suaranya yang tidak sabar.

Puan Sarah turun dari anak tangga yang terakhir. “Mana granny tahu. Granny baru je turun ni. Ada dekat dapur kut, memasak,” duga Puan Sarah.

Humairah pantas menghampiri grannynya di depan anak tangga. Saluran pernafasan cuba dibetulkan. Tarik nafas, lepas. Penat betul dia berlari dari depan pagar rumah Puan Sarah sehingga ke dalam ni. Sudah rasa seperti memasuki pertandingan larian pula.

Granny, mesti granny tak sangka dengar berita yang Maira nak beritahu ni.” Humairah sudah tersenyum-senyum.

Sengaja Humairah menyuruh Fikri, Syafinaz dan Rayyan tunggu di depan muka pintu tadi. Sebab itu ditutup pintu rumah, tidak mahu ada yang tahu lebih awal. Biar dia memanggil semua ahli keluarga mereka, barulah diberi isyarat untuk Fikri masuk. Dia ingin memberi kejutan.

“Apa dia, Maira?”

“Mama... papa... yang lain mana?” soal Humairah lagi. Humairah memanjangkan lehernya ke sekeliling. Mencari kelibat ahli keluarganya yang lain. “Mama! Papa! Abi! Umi! Walid!”

Puan Sarah mengeluh panjang. “Masyitah...” Puan Sarah memandang budak kecil yang masih berdiri di depan muka pintu rumah. “Kakak kamu ni dah kenapa? Kena sampuk ke? Terjerit-jerit.”

Masyitah menggelengkan kepala. Tanda tidak tahu. Namun senyuman manis terukir di bibirnya. Dia sudah sepakat dengan Humairah untuk mendiamkan diri dahulu tentang berita kepulangan Fikri.

“Maira, kenapa terjerit ni?” soal Nabila yang sedang turun dari tingkat atas. Dia baru sahaja selesai mengemas pakaian miliknya dan suami di biliknya di rumah Puan Sarah.

“Mama...” Dihampiri mamanya yang sudah berdiri di sisi Puan Sarah. “Papa dan yang lain mana, ma?”

“Papa keluar. Ambik Fathul dan Adara dari asrama,” jawab Nabila. Pelik dia, anaknya ketika ini. Dah kenapa? Hilang ingatan ke? Baru sahaja suaminya; Syed Amirul keluar sebentar tadi untuk mengambil anak ketiga dan bongsunya yang belajar di asrama penuh.

“Umi? Walid? Abi?” soal Humairah lagi.

Puan Sarah pula memberi isyarat kepada Masyitah agar mendekatinya.

“Kenapa ni Maira?” soal Mukhriz yang baru sahaja keluar dari dapur. Apron di tangan diletak di atas kerusi yang berdekatan dengannya.

Sumayyah berdiri di sisi suaminya.

“Abi...” Humairah sudah tersenyum lebar.

“Maira. Kenapa ni? Terjerit-jerit panggil semua orang. Pening kepala umi la,” marah Aisyah yang juga keluar dari dapur. Kepalanya digeleng berkali-kali. Anak susuannya ini sudah berusia 21 tahun, tapi perangai... seperti budak-budak!

Ustaz Syed Saiful turut menghadirkan diri. Tadi dia berada di belakang rumah, menjawab panggilan dari pelajarnya mengenai tugasan yang diberikan olehnya dikolej. Pelajar tersebut kurang faham konsep jawapan yang dimahukan olehnya.

Humairah melepaskan satu keluhan panjang. Dipandang semua wajah ahli keluarganya. Senyumannya kian lebar. “Okey... semua kena tarik nafas dalam-dalam,” arah Humairah.

Nabila memandang tajam wajah anak sulungnya. “Lebih baik bagi tahu je kenapa. Tak payah nak tarik nafas, lepas semua tu. Maira suka buat kecoh la.”

Humairah mencebik. “Tak best la mama ni. Orang nak kasi surprise pun tak boleh.”

“Maira, abi sokong kata-kata mama. Cakap je la apa dia yang Maira nak cakapkan tadi sampai terjerit-jerit panggil kami. Semua dah ada kat sini,” ujar Mukhriz.

Humairah mendekati pintu rumah. “Tengok siapa datang!” Pintu rumah dibuka seluas-luasnya.

“Assalamualaikum.”

Terganga semua ahli keluarga Puan Sarah melihat kedatangan tetamu itu. Tetamu yang sudah hampir lima tahun hilang tanpa khabar berita.

“Fi...Fik?” Air mata Puan Sarah sudah bergenang.

Fikri mengangguk laju. Air mata jantannya sudah terjatuh dari tadi. Pantas dipeluk tubuh Puan Sarah yang berdiri di depan tangga. “Mummy...”

“Fik.” Puan Sarah membalas pelukan si anak. Erat. “Mana Fik pergi? Fik tahu tak mummy risaukan Fik?” soal Puan Sarah bertalu-talu. “Fik tahukan, mummy kalau marah tak lama. Tak perlu sampai nak lari dari rumah. Fik tak kesian ke dekat mummy? Mummy susah hati tahu? Tambah-tambah bila dapat tahu Fik sakit masa tu.”

Pelukan direngangkan. Fikri mencari tangan insan yang sudah susah payah melahirkannya ke dunia ini. “Mummy... maafkan Fik. Fik mintak ampun dengan mummy.” Jari jemari milik si mummy dicium satu-satu. Wajahnya sudah basah dengan air mata.

Puan Sarah mengangguk. “Mummy dah lama maafkan Fik.”

Fikri mengangkat wajahnya. Pandangannya kini jatuh ke arah Nabila. “Ukhti.”

Nabila mengukir senyuman pahit buat adik seayahnya itu.

Wajah ahli keluarga lain turut dipandang Fikri. Mukhriz, Sumayyah, Aisyah dan Ustaz Syed Saiful. Air matanya menitis. Langkah kaki laju menghampiri Mukhriz. Dipeluk tubuh abang sulungnya.

“Fik, apa khabar?” soal Mukhriz dengan senyuman. Pelukan direngangkan olehnya.

“Sihat.”

“Habis kenapa kurus sangat ni?”

Fikri hanya ketawa kecil. Tangan si abang digengam erat. “Selamat hari jadi.”

Mukhriz gagal menahan air matanya. “Fik masih ingat?”

“Fik tak akan lupa hari jadi orang yang Fik sayang,” jawab Fikri.

“Abang.”

Fikri menoleh ke belakang. Satu senyuman diberikan buat Syafinaz. Tangannya memberi isyarat agar gadis itu menghampirinya.

Syafinaz melangkah masuk sambil memegang erat tangan Rayyan di sisinya. Langkah terhenti betul-betul di sisi Fikri. Kedua bebola matanya memandang setiap wajah yang ada di situ.

“Siapa ni Fik?” Hampir bercantum kening Puan Sarah saat dia melihat gadis di sisi Fikri. Cantik. Lembut dan ayu wajahnya.

Fikri mengukir senyuman. Melihat reaksi yang diberikan oleh Puan Sarah tatkala berjumpa dengan Syafinaz, dia sudah tahu bahawa mummynya sudah jatuh suka. Mudah la kerjanya nanti.

“Assalamualaikum aunty.” Gadis di sisi Fikri menghulur tangan.

Puan Sarah menyambut huluran tersebut.

“Pa...”

Fikri memandang Rayyan di sisi kiri Syafinaz. “Meh sayang.” Fikri memberi isyarat agar anak angkatnya mendekatinya.

Rayyan menghampiri Fikri.

“Rayyan... ini keluarga papa, sayang.” Fikri mengenalkan ahli keluarganya kepada si anak yang sudah dijaga seperti anak sendiri hampir empat tahun itu.

Rayyan memandang satu-satu wajah yang ada di depan matanya. Terkebil-kebil matanya memandang semua. Pandangannya jatuh ke arah Masyitah yang berdiri di sisi Puan Sarah.

Masyitah menjulur lidah kepada Rayyan.

“Masyitah,” Sumayyah menegur perbuatan si anak. “Tak baik macam tu.”

Masyitah mencebik. “Dia pun tak baik. Dari tadi tite tanya, diam je. Bisu!”

Fikri ketawa kecil mendengarnya. Tangannya mengusap kepala Rayyan. “Masyitah, maafkan anak pak su ye? Rayyan ni... memang susah nak bercakap. Lagipun anak pak su ni, pemalu orangnya. Segan kut dengan Masyitah. Sebab tu bila Masyitah tanya, Rayyan diam je.”

“Ye la tu,” Masyitah mencebik.

“Ye. Umur Masyitah berapa?” soal Fikri dengan lembut.

“Lima.” Dipandang wajah Mukhriz. “Abi... umur tite lima kan?”

Mukhriz mengangguk.

“Sama dengan Rayyan. Nanti Masyitah boleh jadi kawan Rayyan, kan?” Tangan Fikri membelai kepala kecil Masyitah.

“Tite tak suka kawan dengan orang bisu.” Masyitah menyilangkan kedua tangannya ke dada.

“Masyitah, mana boleh cakap macam tu,” tegur Puan Sarah.

Masyitah mengeluh perlahan. Tangannya diturunkan lalu dihulur tangan kanannya ke arah Rayyan. Ingin bersalam. “Sorry.”

Rayyan hanya memandang sahaja huluran tersebut. Tiada tanda-tanda mahu menyambut huluran budak kecil di depan matanya.

“Sombong la! Tak nak kawan!” Masyitah menolak sedikit tubuh Rayyan ke tepi. Langkah kaki diatur keluar dari rumah.

“Nak pergi mana tu?” soal Ustaz Syed Saiful.

“Tengok bunga,” jawab Masyitah sebelum kelibatnya hilang dari situ. Sempat lagi dia menjulur lidah ke arah Rayyan.

“Rayyan.” Syafinaz menghampiri Rayyan. Bahu anak kesayangannya dipegang. “Rayyan, kenapa ni? Tak baik buat macam tu. Mama dengan papa tak ajar tau.”

Rayyan memandang lama wajah Syafinaz.

“Kenapa sayang?” soal Syafinaz dengan lembut.

“Nak...” Dipegang seluarnya. Diangkat sedikit.

Melihat gaya pergerakkan Rayyan, Syafinaz sudah tecengang. “Allah! Sayang nak kencing ke?” soal Syafinaz.

Rayyan mengangguk. “Tak... tahan...”

Fikri memandang wajah Syafinaz.

“Allahu Akhbar. Kenapa tak cakap dengan mama awal-awal, sayang?” Dipandang wajah Fikri. “Abang, Rayyan nak pergi tandas.”

Fikri mengangguk laju. “Ikut abang.” Digendong Fikri dan masuk ke dalam bilik di tingkat bawah.

Syafinaz hanya membontoti langkah Fikri.

*****

“CANTIK. Calon menantu mummy ke tu?” Puan Sarah menjuihkan bibirnya ke arah gadis yang sedang bermain dengan budak lelaki kecil di dalam bilik tetamu sebaik sahaja Fikri sudah selesai menguruskan Rayyan. “Siapa namanya?”

“Syafinaz. Tapi panggil Finaz je,” jawab Fikri. Matanya memandang ke arah Syafinaz melayan karenah Rayyan. Dia pula bersandar di dinding.

Puan Sarah tersenyum-senyum.

Fikri memandang lama wajah mummynya. “Mummy suka?”

Puan Sarah mengangguk. “Nampak lemah-lembut, penyayang, pandai ambil hati mummy walau baru sangat jumpa. Fik, siapa sebenarnya Syafinaz pada Fik? Mummy dengar dia panggil Fik 'abang'. Isteri Fik ke? Fik kahwin dengan dia di Luar Negara ke?” duga Puan Sarah.

Tadi Fikri ada memberitahu bahawa selama lima tahun dia tiada di rumah, dia sebenarnya ke Australia. Menyambung pengajian di sana. Lima tahun. Macam-macam boleh terjadi pada masa itu.

Fikri sudah ketawa mendengar telahan Puan Sarah mengenai Syafinaz. “Mummy.” Tangan Puan Sarah diambil. “Fik tahu Fik pernah buat salah dulu. Tapi Fik tak akan sanggup nak kahwin tanpa beritahu mummy tau.”

“Dia... bukan isteri kamu la ni?”

Fikri menggeleng.

“Habis yang dia panggil Fik...”

“Dia sebaya dengan arwah Hidayah mummy.”

Tersentak Puan Sarah mendengar apa yang Fikri katakan. “Arwah?”

Fikri terdiam seketika. Dia bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu. Walhal, dia sendiri tidak tahu dimana Hidayah sekarang. Masih hidup... atau sudah tiada. “Fik... hm... lupakan. Fik tersalah cakap.”

Puan Sarah mengangguk.

“Pasal Finaz, Fik anggap adik je. Dia hidup sebatang kara di Australia, sebab tu Fik bawa dia ke sini. Mana tahu, tempat kosong untuk jadi anak angkat mummy masih avaible lagi ke...” Fikri mengukir senyuman. Dia sangat berharap agar Puan Sarah sudi menerima kehadiran Syafinaz dalam keluarga mereka.

Puan Sarah memukul lembut lengan anak lelakinya. “Jangan kata tempat kosong untuk jadi anak angkat, jadi menantu pun boleh.”

Green light ke... red light ni?” Fikri menyoal, menginginkan kepastian.

Puan Sarah mengangguk laju. “Mummy pun suka. Tapi... kan bagus kalau dia jadi...”

Mummy, kita jangan cakap pasal benda tu, please. Fik tak sedia nak dengar dan laluinya buat masa sekarang.”

Puan Sarah tersenyum. Tangannya mengusap pipi kanan Fikri. Melihat layanan Fikri terhadap Rayyan, dia yakin anaknya sudah berubah menjadi lebih baik.

“Fik.”

Fikri menoleh ke arah suara.

We need to talk,” ujar Mukhriz.

Fikri mengangguk.

“Bila Fik free?” soal Mukhriz. Dia ada hal penting yang perlu dibincangkan dengan Fikri bersama ahli keluarga yang lain dengan kadar segera. Namun, pada masa yang sama dia tidak mahu memaksa. Lagipula Fikri baru sahaja pulang setelah jauh merantau. Pasti keletihan.

Fikri merenung wajah Puan Sarah. Berfikir. Satu keluhan berat dilepaskan. “Lepas makan nanti, boleh tak akhi?” Dia dapat rasakan bahawa abang sulungnya ada hal penting yang perlu dibincangkan segera. Kalau tidak, sikap Mukhriz tidak begini.

Mukhriz mengangguk, setuju. “Okey. Kalau macam tu, akhi nak pergi dapur. Nak selesaikan kerja yang tergendala disebabkan anak buah kesayangan Fik menjerit tadi.”

Fikri ketawa kecil mendengarnya. Dia dengar suara jeritan Humairah tadi meskipun ketika itu dia di luar rumah. “Maira, Maira.... dah 21 pun, tak berubah lagi perangainya. Macam manalah dia nak jadi isteri orang kalau macam ni?”

Puan Sarah tersenyum mendengar bebelan anaknya.

*****

MEDINA termenung lama di meja. Tangannya mengetuk-ngetuk meja belajarnya. Bosan sungguh rasanya. Tidak berbuat apa-apa setelah hampir tiga minggu dia keletihan mencari rezeki. Tangannya membuka lipatan komputer riba.

E-mel miliknya, dibuka. Satu keluhan berat dilepaskan. “Tak ada e-mel. Hm... macam mana ni? Aku nak kerja. Sampai bila nak jadi model je ni?” rungut Medina.

Tetiba telefon bimbit miliknya, menjerit minta diangkat.

Kepala ditegakkan. Tangannya mengambil telefon bimbit yang masih bernyanyi itu. Terpampar nama tunangnya di skreen telefon bimbit. “Malasnya nak jawab.” Diletak kembali telefon bimbit di atas meja.

Telefon bimbit berhenti menjerit buat seketika. Kemudian, menjerit lagi.

“Eee,” rungut Medina. Disentuh bahagian hijau pada telefon bimbit, untuk menjawab panggilan. Ditekap telefon di telingga kanannya. “Hello. Nak apa?” Sebaik sahaja panggilan disambungkan, terus Medina menyoal dengan nada suara marah.

“Amboi, garangnya dia.”

Medina membuat muka bosan. “Nak apa call? Cakap la cepat. Tutup karang.”

“Okey... Jom keluar nak?”

“Tak nak.”

“La... kenapa?”

“Malas nak keluar sekarang!”

“Takut peminat kacau erk?” usik si tunang melalui corong telefon bimbit.

“Boleh dikatakan macam tu la. Tapi sebenarnya aku bosan keluar dengan kau,” sengaja Medina berkata jujur dengan tunangnya. Lagipula sampai bila dia harus memandam rasa tidak sukanya? Sampai bila dia harus terus menipu tunangnya?

“Kenapa?”

“Kenapa, kenapa, kenapa. Sebab aku rimas, tak suka. Nanti mak marah aku sebab kita asyik keluar je. Rimas tahu!”

“Dah nama pun tunang. Tak salah, kan kita keluar?”

“Tunang, belum jadi suami lagi!” Medina mengingatkan.

“Okey. Maaf.”

“Dah lama tak call tetiba je call dah kenapa? Girlfriend kau dah lari ke? Lepas tu baru kau teringat yang kau ada tunang tanpa kerelaan kau di sini?” perli Medina. Geram rasanya dengan tunangnya yang seorang ini.

Otaknya teringat akan kejadian beberapa minggu yang lepas. Ketika itu dia baru sahaja selesai melakukan pengambaran. Dia terserempak tunangnya sedang bermesra dengan perempuan lain. Bila didekati pasangan itu, boleh pula tunangnya buat-buat tidak mengenali dirinya. Sejak itu, terus dia mendiamkan diri dari si tunang.

Tiada membuat panggilan atau bermesej. Kalau berjumpa pun, buat-buat seperti mereka tiada ikatan. Dia tahu, tunangnya itu terpaksa menerimanya sebagai tunang kerana paksaan dari mak ayah tunangnya.

“Apa awak cakap ni?”

“Kenapa? Aku salah tanya soalan ke? Atau kau nak aku tanya... hari tu kenapa pura-pura tak kenal saya?”

“Erk.”

“Terdiam terkaku ke encik tunang?” Medina menekan perkataan ‘tunang’.

“Awak... dah lepas, kan? Lupakan je la ye. Kita bukak buku baru.”

“Nak bukak buku baru?”

“Ye. Kita mula balik.”

“Masalahnya kan... aku rasa malas sangat nak tutup buku lama ni sebab muka surat dia banyak lagi nak tulis. Membazir buang la encik tunang.”

“Awak...”

“Eh Azfar. Kau dengar sini ye. Kalau kau tak nak aku lagi, cakap dengan mak ayah kau. Kita putus! Senang, kan? Jangan buat aku macam ni la. Aku ada maruah tahu! Jangan kau ingat aku ni terhutang budi dan nyawa dengan keluarga kau, kau boleh nak gunakan aku sesuka hati kau.”

“Medina...”

Listen! Hujung minggu ni aku kan jumpa mak. Aku nak kita putus! Aku tak tahan dengan kau la penipu!” Dada Medina sudah berombak.

Terdiam tunang Medina mendengarnya.

“Hm. Dah tak nak cakap apa-apa, kan?”

“Ha?”

Bye!” Terus Medina mematikan panggilan. Telefon bimbit diletak secara kasar di atas meja belajar. Dia mencebik memandang telefon bimbitnya. Benci! Sakit hati! Menyampah! Semua ada untuk tunangnya itu!

“Kalau tak suka aku, kenapa kau setuju nak tunang dengan aku, ha? Kau tahukan aku terima kau sebab keluarga kau dah banyak tolong aku. Kau tak suka, buat cara tak suka la. Ingat aku apa? Robot! Tak ada perasan! Benci betul aku dengan lelaki penipu ni!” Medina bangun dari kerusi dan melangkah keluar dari bilik.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku