Keranamu, Hidayah
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
“Hadirmu... merubah dunia dan hatiku.”
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
201

Bacaan






KEDUA bebola mata Masyitah memandang wajah satu-satu ahli keluarga besarnya yang sudah duduk di meja makan, bersiap sedia untuk makan. Pandangannya terhenti ke arah budak lelaki kecil yang duduk di tengah-tengah antara Fikri dan Syafinaz. Matanya tajam memandang ke arah Rayyan yang duduk di hadapannya. Dijulur lidah buat sepupunya itu sebelum memandang ke arah lain.

Rayyan mengerutkan dahinya. Matanya memandang sahaja perilaku Masyitah yang memandang ke arah lain.

“Masyitah.” Sumayyah membetulkan tudung di kepala si anak saat Masyitah memandang ke arahnya. “Dekat meja makan pun... nak julur lidah ke? Nak kena potong ke lidah comel tu?”

Masyitah menggeleng laju. “Tak nak.”

“Tak nak... jaga perangai.”

Masyitah mengangguk. Dia mengembungkan kedua pipinya dengan angin.

“Jangan buat lagi. Umi dah tegur banyak kali dah kan. Jangan julur lidah dekat Rayyan,” ujar Sumayyah dengan lembut.

“Ye.”

“Ye je?”

Masyitah mengeluh. Dia mengerti maksud uminya. Pasti menyuruhnya meminta maaf kepada Rayyan atas perbuatannya yang menjulur lidah sebentar tadi. Dipandang wajah Rayyan semula. “Sorry.”

Rayyan hanya diam.

Masyitah menoleh ke kiri. Memandang semula wajah si umi. “Umi tengok dia. Dah kata sorry, dia diam je. Cakaplah sesuatu,” rungut Masyitah. Geram dia dengan Rayyan. Sudah berejam Rayyan ada di rumah Puan Sarah, tapi telingganya tidak menangkap apa-apa kata pun yang keluar dari mulut budak lelaki itu. Bisu ke? Bila tanya, diam sahaja.

Mukhriz yang duduk di sebelah kanan Masyitah tersenyum. “Anak abi ni... sejak bila dah pandai jauh hati ni?”

“Maksud abi?” Masyitah menyoal.

“Sebelum ni... Masyitah tak macam ni. Tak buat hal... tak nakal macam hari ni,” sampuk Hafiz yang duduk di hujung meja makan.

Semua yang ada di meja makan, mempunyai kaitan keluarga dengan Puan Sarah. Mukhriz dan Nabila merupakan anak tiri kepada Puan Sarah. Fikri pula anak kandung. Aisyah pula anak saudara. Berbeza dengan Hafiz. Hafiz langsung tiada kaitan keluarga dengan pemilik rumah.

Dia sebenarnya adik kepada Nabila. Berkongsi ibu yang sama dengan wanita itu. Memandangkan dia anak yatim piatu dan sebaya dengan Humairah, Puan Sarah sudah menganggapnya sebahagian dari keluarga.

“Abi... tite nakal ke?” Lengan Mukhriz digoyangkan.

Mukhriz mengangguk sambil tersenyum. “Nakal sangat.” Tangannya mencubit manja hidung Masyitah. “Kak Maira bagi tahu abi, Masyitah tak dengar cakap dia hari ni. Kenapa?”

Masyitah memandang wajah Humairah dengan pandangan tidak puas hati. “Kakak ni... ngadu je dengan abi. Tak nak kawan la macam ni.” Kedua tangannya sudah naik, menyilang di dada.

“Tak nak kawan sudah. Kakak pun tak nak kawan dengan budak kecil la,” ujar Humairah sambil membetulkan posisi duduknya di meja makan.

Rayyan turun dari kerusi secara tiba-tiba.

“Rayyan... nak pergi mana?” soal Fikri. Terkejut dia melihat Rayyan yang tetiba sahaja turun dari kerusi. Matanya tidak lepas memandang Rayyan. Ingin melihat kemanakah arah tuju anak angkatnya itu.

Rayyan menghulurkan sekuntum bunga bewarna merah kepada Masyitah di celah kerusi, di antara kerusi yang diduduki Mukhriz dan Masyitah.

Masyitah memandang sahaja bunga itu, tidak mahu mengambil dari tangan Rayyan. “Tak nak!”

Melihat perilaku Masyitah begitu, Rayyan meletakkan sahaja bunga tersebut di atas kerusi yang diduduki Masyitah sebelum berlalu ke tempat duduknya semula.

Fikri tersenyum. Dia mengerti akan perilaku Rayyan sebentar tadi. Sebab dan maksud kata yang tersirat di balik perbuatan anaknya itu. “Bunga tu... tanda Rayyan mintak maaf tau, Masyitah.” Fikri memberi tahu.

Masyitah mencebik mendengarnya.

“Ada love scene la kat meja makan,” usik Humairah. “Kecik-kecik dah pandai ye?” Jari Humairah digoyangkan ke arah Masyitah. Suka mengusik adik susuannya itu.

“Abi...” Masyitah menarik tangan Mukhriz ke arahnya. Jari telunjuknya dihala ke arah Humairah. “Tengok kakak tu abi. Suka usik tite,” adu Masyitah.

Mukhriz dan yang lain hanya ketawa.

Perlahan-lahan Rayyan menarik senyuman tatkala dia melihat semua di meja makan ketawa. Kelihatan lesung pipit di belah kanan dan kiri wajahnya. Ini membuatkan Rayyan bertambah comel sekiranya dipandang saat dia sedang tersenyum.

Mummy tak sangka... Rayyan ada lesung pipit,” ujar Puan Sarah sambil memandang Rayyan. “Dekat dua-dua belah pulak tu. Comel betul la anak betuah kamu ni, Fik,” puji tuan rumah besar itu dengan senyuman.

Rayyan terus menunduk mendengar kata Puan Sarah. Malu!

Fikri dan Syafinaz ketawa. Tahu bahawa Rayyan sedang malu.

“Arwah kakak ipar saya ada lesung pipit, aunty,” ujar Syafinaz sambil menggosok perlahan kepala Rayyan.

“Apa pulak aunty. Kan abang dah cakap... panggil mummy. Finaz dah jadi sebahagian dari keluarga abang,” sampuk Fikri.

Syafinaz tersenyum. “Maaf aunt... eh, salah. Mummy. Maaf ye?”

Puan Sarah mengangguk. “Tak apa. Jadi Rayyan ni sebenarnya anak buah Finaz la ye?”

Syafinaz mengangguk.

“Okey, kalau nak sembang pasal Finaz ke... pasal Fik ke... nanti kita sembang ye? Tengok Masyitah... kesian dia. Nampak dah lapar sangat dah tu,” ujar Fikri sambil memandang wajah Masyitah.

“Betul tu. Tite lapar dah.” Masyitah menggosok perutnya, tanda lapar.

“Amboi... budak kecik ni. Makan tu... laju je,” ujar Aisyah sambil menggelengkan kepalanya.

“Biarlah umi ni. Tite dah lama tau tak makan masakan Umi Sya dengan Walid Epul. Jadi... tite rasa teruja nak makan. Mesti sedap macam dulu.” Wajah Mukhriz di pandang. “Kan abi?”

Mukhriz mengangguk. Tangannya memegang tudung Masyitah yang semakin ke depan. “Nak bukak tudung tak?”

Masyitah dipakaikan tudung ketika mereka mahu ke rumah Puan Sarah tadi. Sengaja dia mengajar anaknya sebegitu meskipun masih belum wajib bagi Masyitah untuk menutup aurat. Biarkan Masyitah terbiasa.

Sampai sahaja mereka di rumah mummynya, dia dan isterinya terlupa untuk membuka tudung Masyitah memandangkan anaknya itu asyik keluar masuk dari rumah sahaja. Sehinggalah kini saat mereka di meja makan, baru dia teringat akan tudung di kepala Masyitah.

Masyitah mengangguk. “Panas la abi pakai tudung.”

“Neraka lagi panas sayang,” ujar Ustaz Syed Saiful sambil tersenyum.

Muhriz menarik tudung yang membalut kepala Masyitah dan disangkut di kerusi tempat Masyitah duduk. “Dengar cakap walid tu. Panas dunia ni, sekejap je sayang.” Rambut Masyitah yang panjang dikemaskan ikatannya.

Dada Fikri berdebar saat melihat rambut Masyitah yang panjang itu. Otaknya kembali teringat akan rambut milik Hidayah. ‘Ya Allah... adakah dia anak aku? Rambutnya... macam rambut... macam rambut... hm... lupakan.’

“Abang okey?”

Fikri menoleh ke arah Syafinaz yang bertanya sebentar tadi. Senyuman diukir buat adik angkatnya itu. Kepala dianggukkan. “Okey. Finaz jangan risau.”

Syafinaz mengangguk. Dia membetulkan kedudukan Rayyan di kerusi.

“Okey... jom kita makan.” Ustaz Syed Saiful mula mengetuai bacaan doa makan di meja makan. Selesai sahaja berdoa, dia mendoakan kesejahteraan Mukhriz sempena ulang tahun kelahirannya hari ini.

Fikri mencubit isi ayam di pinggannya setelah selesai bacaan doa dibaca. Diletakkan isi ayam tersebut di atas nasi dan dibawa ke mulut Rayyan.

Rayyan membuka mulutnya, menerima suapan dari Fikri.

Masyitah yang melihat adegan itu memuncungkan bibirnya.

“Dah kenapa dengan bibir tu?” soal Hafiz dimeja makan. Matanya memandang wajah Masyitah.

Masyitah mendengus kasar. “Kenapa makan pun sampai nak suap? Dah besar, makan sendiri la! Tite pun makan sendiri tau.”

Mukhriz menoleh ke arah si anak. Senyuman terukir di bibir. “La... anak abi nak makan suap jugak ke?” soal Mukhriz.

Masyitah diam. Matanya tajam memandang Rayyan.

Fikri memandang wajah tidak puas hati Masyitah. Terbit rasa sedih di hatinya tatkala melihat wajah tidak puas hati budak perempuan itu. Terus dia turun dari kerusi. Dihampiri kerusi Masyitah. Ditarik sedikit kerusi itu ke belakang bagi memudahkannya untuk bercakap dengan Masyitah.

Masyitah memandang lama wajah Fikri yang sudah duduk mencangkung di hadapannya. Tangannya mulai menyentuh pipi lelaki itu.

Mukhriz memerhati sahaja perilaku Fikri dan Masyitah. ‘Naluri dia... sangat kuat. Mesti Masyitah cemburu tadi bila dia lihat papa dia suap orang lain makan dan bukan suap dia. Meskipun dia tak tahu pun yang Fik ni ayah dia yang sebenarnya.’

“Masyitah nak pak su suap?”

Mata Masyitah terkebil-kebil. Tidak tahu mahu memberi jawapan apa kepada soalan yang dilontarkan oleh Fikri.

Fikri tersenyum manis. Tangannya mengambil pinggan nasi milik Masyitah di atas meja. “Masyitah makan ikan je? Tak makan ayam?”

“Tite elergik,” jawab Masyitah.

Fikri menahan air matanya yang sudah bergenang. “Pak su pun alergik makan ayam. Pak su suap makan ye? Bukak mulut.” Ikan di pinggan Masyitah dicubit.

Masyitah membuka mulutnya seluasnya.

Rayyan terus berdiri di atas kerusi yang didudukinya. Tangannya cuba mengambil gelas yang ada di depannya. Namun tidak sampai. Dipandang wajah Syafinaz yang duduk di sebelahnya. “Ma...”

Pang!

Tanpa sedar Rayyan sudah tertolak pinggan nasi milik Fikri jatuh ke lantai.

Semua mata memandang ke arah Rayyan.

Rayyan sudah mengigil ketakutan. Air matanya sudah bergenang. Takut kena marah.

“Rayyan.” Syafinaz menolak kerusinya kebelakang.

Fikri cepat-cepat menghampiri Rayyan. Pinggan nasi milik Masyitah di tangan diletak di atas meja semula. “Kenapa sayang?” soal Fikri dengan lembut kepada anak angkatnya itu.

Masyitah mengembungkan kedua pipinya dengan angin. Tidak suka melihat Rayyan dengan Fikri. Terus dia turun dari kerusi.

“Eh,” Sumayyah memandang kelibat anaknya yang sudah naik tangga untuk ke atas. Matanya beralih, memandang Mukhriz. “Bang.”

Fikri memandang ke wajah Mukhriz dan Sumayyah, silih berganti. “Kenapa dengan Masyitah tu?”

“Cemburu kut,” jawab Mukhriz.

“Kenapa?”

“Perasaan seorang anak,” jawab Mukhriz. Hujung matanya mencuri pandang reaksi Fikri saat dia berkata sedemikian.

Dahi Fikri sudah berkerut-kerut. Pada masa yang sama, dadanya sudah berdebar kencang.

“Dah, dah... makan. Masyitah tu biarkan je dulu. Nanti mummy suruh orang gaji tengokkan dia dekat atas,” ujar Puan Sarah. “Nak sembang ke, nak tanya... lepas ni.”

Semua di meja makan mengangguk.

*****

“SU...”

Sumayyah menoleh ke arah suaminya yang berdiri di sisinya. Tangannya yang bergerak menyusun pinggan kotor di meja makan, terhenti. “Ye, bang.” Badannya dihadap ke arah Mukhriz yang turut membantunya dan orang gaji mengemas meja makan.

“Panggil Masyitah turun.”

“Masyitah?”

Mukhriz mengangguk.

Sumayyah memanjangkan lehernya ke ruang tamu. Kedua bebola matanya memandang wajah Fikri, Nabila, Syed Amirul, Ustaz Syed Saiful, Aisyah dan Puan Sarah, silih berganti. Wajahnya ditoleh ke depan semula. Memandang wajah si suami. “Abang... nak bincang pasal tu?” duga Sumayyah.

Mukhriz mengangguk. “Mereka... ada hak nak tahu siapa sebenarnya Masyitah.”

Sumayyah memandang lama wajah si suami. “Tapi... tak awal sangat ke? Fik, baru balik. Abang tak nak bagi Fik kenal Masyitah dulu? Bagi mereka rapat dulu?” Hati Sumayyah sudah berdegup kencang.

Mukhriz terus memeluk tubuh isterinya. Erat sekali. Setelah lima saat berlalu, baru Mukhriz bersuara namun pelukan tidak dilepaskan. “Abang tahu, hati isteri abang ni sedih, kan?”

Sumayyah mengangguk.

Bercerita atau berbincang soal Masyitah sekarang, berkemungkinan dia dan suaminya akan terpisah dengan anak yang mereka jaga selama lima tahun ini. Anak yang dijaga penuh kasih sayang. Boleh jadi, Masyitah bencikan mereka pula kerana hal itu. Hati ibu mana yang tidak sedih bila terfikirkan hal itu?

“Sayang... abang takut apa-apa jadi pada kita, kita tak sempat nak beritahu hal sebenar. Lagipun, benda ni lebih baik cakap awal-awal, kan?”

“Tapi Su tak nak hilang Masyitah.”

“Abang pun.” Pelukkan direngangkan oleh Mukhriz. Mukhriz mencari anak mata wanita kesayangannya itu. “Kita... tak akan hilang Masyitah. Dia tetap anak kita.” Kedua tangannya mengengam erat kedua tangan si isteri.

Sumayyah menunduk, memandang lantai. Hatinya dipagut rasa sedih. Rasa mahu meraung! Da takut Fikri akan pisahkannya dengan Masyitah. Dia dan Masyitah, tidak pernah berjauhan.

“Su.”

Sumayyah mengangkat wajahnya. Senyuman pahit terukir buat si suami.

“Jangan menangis.” Jari Mukhriz mulai bergerak, mengelap air mata si isteri. “Fik tak akan kejam sampai macam tu sekali.”

Air mata Sumayyah mengalir laju.

“Kenapa umi nangis?”

Mukriz dan Sumayyah memandang ke bawah. Senyuman pahit terukir di bibir mereka buat Masyitah yang sedang mendongakkan kepala memandang mereka.

“Tak ada apa.” Sumayyah merendahkan dirinya. “Habuk masuk dalam mata umi. Umi mintak abi tolong tiupkan,” ujar Sumayyah dengan senyuman plastiknya. Tangannya mengusap kepala Masyitah dengan penuh kasih sayang.

Masyitah mengangguk.

“Sayang abi... ikut abi sekejap, boleh?” Mukhriz menarik tangan kecil Masyitah ke arahnya.

“Pergi mana?” soal Masyitah. Kepala didongak ke atas, memandang wajah abinya.

Mukhriz tersenyum. “Kita sembang dekat depan dengan Umi Sya, Walid Epul, Walid Hafiz, papa, mama, abi, pak su dengan granny.”

“Umi Su?” Sumayyah yang masih duduk seakan duduk antara dua sujud di depannya, dipandang.

Mukhriz memandang wajah isterinya.

Sumayyah menggelengkan kepalanya. “Umi sakit kepala sayang. Umi nak rehat dekat bilik.”

“Kalau macam tu, biar tite urut umi.” Masyitah melepaskan pegangan tangan Mukhriz dari tangannya. Dia kembali mendekati Sumayyah.

Sumayyah menggeleng perlahan. “Tak apa. Umi makan ubat, nanti hilang la sakitnya. Sayang ikut abi ye?”

“Umi betul tak nak tite urut?”

Sumayyah mengangguk.

Masyitah pantas memeluk tubuh Sumayyah. “Umi jangan la sakit. Tite sayang umi. Umi kena sihat... selalu.”

Air mata Sumayyah makin lebat mengalir mendengar kata yang keluar dari mulut Masyitah.

“Sayang umi.” Masyitah mencium kedua pipi Sumayyah.

“Sayang dia jugak,” balas Sumayyah.

Muhriz menahan rasa sedihnya. Dipalingkan wajahnya ke arah lain. Air matanya mengalir perlahan.

Sejujurnya, dia juga tidak mahu kehilangan Masyitah. Kalau boleh, dia mahu rahsiakan hal itu sampai bila-bila. Namun, dia teringat akan persoalan yang sering keluar dari mulut Puan Sarah tentang Masyitah. Persamaan diantara Masyitah dan Hidayah, membuatnya serba salah.

Sampai bila dia harus sembunyikan hal itu? Dia perlu bercerita kepada semua, siapa Masyitah sebenarnya dan bagaimana caranya dia mendapat Masyitah dari Hidayah.

Hafiz yang baru memunculkan dirinya di meja makan, terkaku melihat adegan keluarga kecil itu. Matanya jelas melihat wajah Muhriz dan Sumayyah basah dengan air mata. Masyitah pula masih memeluk erat tubuh Sumayyah.

‘Kesian mereka Ya Allah. Mereka cuma ada Masyitah.’ Perlahan-lahan air matanya turut mengalir. Sedih dan sayu rasa hatinya melihat adegan itu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku