Keranamu, Hidayah
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
“Hadirmu... merubah dunia dan hatiku.”
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
312

Bacaan






Enam tahun yang lalu...

PANG!

Berdegup kencang dada Puan Sarah ketika ini. Sungguh, dia geram dengan sikap anaknya ketika ini. Sudah gila agaknya Fikri ini! Buat sesuatu tidak fikir padahnya!

Adakah patut Fikri memaksa Hidayah untuk melakukan hubungan suami isteri, sedangkan kandungan Hidayah masih dalam keadaan lemah? Sangat lemah. Adakah patut lelaki itu mendera isterinya secara mental dan fizikal sehingga si isteri ditahan di wad untuk beberapa hari? Tak patut itu semua terjadi!

Gila! Ini gila! Fikri benar-benar sudah hilang akal! Lupakah dia bahawa di Malaysia ini ada undang-undang. Apa yang Fikri lakukan terhadap Hidayah, boleh membuatkan anaknya itu dikenakan tindakan undang-undang.

Fikri merenung tajam wajah Puan Sarah. Kemudian dia pantas menoleh ke kiri, merenung tajam wajah Hidayah. “Mummy tampar Fik, sebab perempuan ni!”

“Kalau bukan sebab Medina pun, mummy memang nak tampar muka kamu tu! Kamu dah gila ke? Kamu dera dia, sampai masuk wad! Hey, otak tu kamu letak dekat mana, Fik! Kat mana!” Bulat mata Puan Sarah merenung wajah Fikri.

Medina adalah nama yang sering Puan Sarah gunakan untuk memanggil Hidayah. Dia suka nama itu. Dan dialah satu-satunya orang dalam hidup Hidayah yang memanggil gadis itu ‘Medina’ bukan ‘Hidayah’. Lagipun nama penuh Hidayah ialah Nur Medina Hidayah. Jadi tidak salah rasanya Puan Sarah memanggil gadis itu dengan nama ‘Medina’.

Mummy... kalau mummy di tempat Fik pun, mummy akan buat benda yang sama la. Mummy tak tahu apa-apa. Fik dah cuba nak jadi suami yang terbaik untuk dia. Tapi apa dia buat? Tak bagi Fik peluang langsung nak betulkan keadaan.” Fikri cuba menjelaskan hal yang sebenar.

“Awak nak betulkan keadaan macam mana, Fik?” Hidayah menyoal. “Dengan apa yang awak dah buat pada saya, ingat boleh betulkan balik ke? Awak rogol saya. Buat nenek dan mak saudara saya buang saya, pisahkan saya dengan ayah saya dan sebab awak lah ayah saya mati!”

“Kau jadi macam ni, sebab kau cintakan budak mentah tu kan!” sergah Fikri. Wajah Fikri juga sudah menyinga seperti Puan Sarah.

Hidayah mengangguk laju. “Ye, aku mengaku aku cintakan dia. So, what?”

Fikri menunding jari ke arah Hidayah. “Kau jangan nak cabar kesabaran aku, Hidayah.”

“Ye, memang saya tengah cabar awak. Saya cintakan dia! Dia! Bukan awak!”

Pang!

Hidayah meraba pipi kirinya yang baru ditampar oleh Fikri. Direnung tajam wajah lelaki itu. Lelaki yang sangat dibencinya! Benci!

Nabila dan Mukhriz pantas berdiri melihat adegan itu. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain.

“Kau ingat kita dekat rumah mummy, aku tak berani nak tampar kau, ha!” tengking Fikri. Kesabarannya sudah hilang. Sudah habis.

Hidayah mengigit hujung bibirnya. Geram! Marah! Benci!

Fikri tersenyum senget. “Aku nak tanya la, anak dalam perut kau tu... betul-betul anak aku ke?” Keningnya terangkat sebelah.

“Apa maksud kau ha, setan!” marah Hidayah. ‘Saya-awak’ sudah hilang dalam katanya untuk Fikri.

“Manalah tahu... tu anak kau dengan Hafiz ke? Ye la, kau kan cintakan dia.”

Bulat mata Nabila mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Fikri. Dipandang wajah Hidayah “Hidayah, betul ke apa yang Fik cakap ni? Betul ke Hidayah cintakan Hafiz? Hafiz... adik ukhti?”

Terkedu Hidayah mendengar soalan yang keluar dari mulut Nabila. Ye, dia tak boleh nak nafikan perasaannya yang dia mencintai Hafiz. Hafiz, bukan Fikri! Kepalanya kian tunduk ke bawah.

You’re married with Fikri, but you are in love with Hafiz!” soal Nabila lagi.

Air mata Hidayah sudah mengalir.

“Hidayah. Hidayah tahukan, mereka berdua my little brothers?”

Hidayah mengangguk lemah.

“Habis kenapa buat macam ni? Patutlah sekarang Fik benci dengan Hafiz. Rupanya... rupanya sebab ni.” Nabila menggelengkan kepalanya. Sungguh dia tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku sekarang.

“Semua nak tahu sangat hal sebenar, kan!” soal Fikri. Matanya memandang wajah Puan Sarah, Nabila dan Mukhriz, silih berganti. “Perempuan ni... bukan baik mana pun. Dah jadi isteri orang pun, boleh dia simpan perasaan untuk lelaki lain. Mana Fik boleh sabar. Makin Fik sabar, dia selalu naikkan kemarahan Fik. Sikit-sikit... Hafiz. Hafiz, Hafiz, Hafiz je!” tengking Fikri.

“Kau tengok lah diri kau dengan Hafiz. Kau tu setan! Binatang!” Hidayah sudah meninggikan suaranya. Tidak dipedulikan mata-mata dan telinga yang ada di ruang tamu itu.

Akhi.” Nabila memegang tangan Mukhriz. “Do something. Jangan diam je macam ni.”

Mukhriz mengeluh. Jujur, dia tidak tahu mahu berbuat apa. Pening kepalanya. Otaknya serabut sekarang. Tidak dapat berfikir dengan baik untuk menyelesaikan masalah yang melanda di hadapannya ketika ini.

Air mata Nabila mengalir. “Akhi... Bella merayu dengan akhi. Jangan biarkan Fik ulang sejarah arwah mama dan walid. Tolong, akhi,” rayu Nabila.

Mukhriz memandang lama wajah satu-satunya adik perempuannya.

“Kau kata aku apa tadi!” soal Fikri dengan lantang.

“Setan!” balas Hidayah. Lupa agaknya dia bahawa Fikri ialah suaminya.

“Hey perempuan! Dengar sini baik-baik. Aku, Ahmad Fikri Taufiq bin Abdullah... dengan ini menceraikan kau dengan talak satu!” jerit Fikri sebelum berlalu naik ke tingkat atas.

“Fik!” Air mata jatuh dari tubir mata Puan Sarah. Bukan ini yang diharapkannya untuk berlaku untuk berlaku dalam rumah tangga anaknya. Bukan ini.

Bergegar lutut Hidayah saat dia mendengar lafaz cerai yang Fikri luahkan sebentar tadi. Air matanya mengalir lebat. Terjelupuk dia di ruang tamu, dihadapan Mukhriz, Nabila dan Puan Sarah. Sedikit sebanyak timbullah rasa kesal dalam hatinya kerana mencabar kesabaran Fikri sebentar tadi. Sungguh, dia lakukan semua itu kerana hatinya sudah terlalu banyak terluka dan menderita kerana Fikri! Hanya itu. Bukan perceraian yang dia mahukan meskipun dia tidak mencintai Fikri.

“Medina...” Puan Sarah menghampiri Hidayah. Dipeluk tubuh Hidayah. “Maafkan anak mummy, sayang.”

Hidayah hanya merelakan dirinya dipeluk oleh Puan Sarah, namun pelukan wanita itu tidak dibalas olehnya. Tergamak Fikri melakukan semua ini!

Salahkah dia kerana mencintai Hafiz? Ye, dia tahu itu salah. Tapi dia tak mampu nak halang rasa kecewanya yang dia rasa bila Fikri tergamak merogolnya kerana dia menolak cinta lelaki tersebut. Bila dia didapati hamil, boleh pula Fikri memaksanya mengugurkan kandungan.

Mujurlah dia berjumpa dengan Puan Sarah saat dia sudah tiada tempat bergantung lagi. Ketika itu dia tidak mengetahui bahawa Puan Sarah ialah ibu kandung Fikri, tapi apa yang dia tahu ialah Puan Sarah adalah kenalan rapat arwah ayahnya. Wanita itu membawanya ke rumah ini, sebagai anak angkat. Dan takdir menemukan dia dengan Fikri semula.

Pada satu malam, Fikri memecah masuk biliknya dengan niat untuk memaksanya mengugurkan kandungan. Tapi mujurlah Puan Sarah masuk ke biliknya pada malam itu dan mereka segera dinikahkan setelah dia bercerita tentang apa yang berlaku antaranya dengan Fikri.

Hari ini.... genap dua minggu usia perkahwinannya dengan Fikri. Tergamaknya Fikri menceraikannya dalam keadaan seperti ini! Walhal, dia baru sahaja keluar dari hospital beberapa jam yang lalu dek perbuatan kasar Fikri terhadapnya.

Ye, dia mengaku dia salah. Dia tidak mahu melayan kehendak dan keinginan Fikri. Dia sengaja menyiksa batin lelaki itu. Tapi apa yang dia lakukan adalah kerana kandungannya masih lemah, dan rasa sakit di hatinya kerana Fikri. Tidak bolehkah Fikri bersabar dan berikannya sedikit ruang dan waktu untuk menyesuaikan diri dalam keadaan ini? Dalam hubungan mereka ketika ini?

“Ni beg kau!” Fikri mencampakkan beg baju Hidayah keluar ke muka pintu. Habis terkeluar semua baju milik Hidayah dari beg itu. Dipandang wajah Hidayah yang masih dalam pelukan Puan Sarah. “Berambus kau dari sini!” halau Fikri.

Nabila pantas mengambil beg tangannya dan keluar dari rumah. Air matanya mengalir. Hati perempuannya tidak sanggup lagi untuk melihat adegan itu. Adegan itu benar-benar membuatkannya kembali teringat akan detik sejarah silam yang pernah dilalui oleh arwah mama dan walidnya.

Arwah walidnya telah menceraikan mamanya dengan talak satu, di saat mamanya itu mengandungkan dirinya. Pada saat itu, arwah walidnya tidak tahu kewujudannya di dalam rahim mamanya. Bila arwah walidnya tahu, semuanya sudah terlambat. Mamanya memisahkan dirinya dengan arwah walidnya sehinggalah arwah walidnya meninggal dunia. Macam-macam peristiwa duka yang dia dah lalui semasa dia membesar. Semuanya bermula dari perceraian itu. Sakit sekali bila dikenang kembali.

“Fik, janganlah macam ni. Kesian Medina, dia tak ada sesiapa. Paling tak, kesiankanlah anak Fik,” pujuk Puan Sarah.

Never!”

“Fik, tolong fikirkan apa yang mummy cakap. Akhitak nak Fik menyesal.” Mukhriz mula bersuara.

Fikri hanya buat tidak dengar akan pujukan dari abang dan mummynya. Dihampiri Hidayah dalam pelukan Puan Sarah. Ditarik tangan Hidayah agar mengekorinya untuk keluar dari rumah. “Keluar! Berambus!” Ditolak tubuh Hidayah keluar dari rumahnya.

Hidayah menahan dirinya dari jatuh ke lantai. Tangannya memegang kuat pada pintu rumah, tidak mahu kandungannya terkena apa-apa sekiranya dia terjatuh ke lantai. “Fik...” Hidayah menangis. “Kesiankanlah saya, Fik...” Hidayah mulai merayu.

“Kau patut kesiankan aku! Kau isteri aku, tapi kau masih cintakan budak mentah tu!”

“Fik... saya mintak maaf. Saya...”

“Saya apa! Kau nak sangat, kan? Sekarang kau cari dia lepas tu kahwin la dengan dia!”

Hidayah cuba memegang lengan Fikri. “Saya merayu... tolong la Fik.”

Fikri menarik tangannya dari dipegang Hidayah. “Lepaskan aku la!”

“Fik... mana saya nak pergi, Fik. Saya tak ada sesiapa dah. Tolonglah maafkan saya. Beri saya peluang, saya janji saya akan cuba beri apa je yang awak nak. Maafkan saya, Fik. Please.”

Fikri memalingkan wajahnya ke arah lain. Hatinya sudah keras! Terlalu banyak peluang dia berikan kepada Hidayah agar memaafkan dan menerima dirinya dengan baik, tapi Hidayah sering gunakan kesempatan itu untuk terus melukakan hatinya. Dia juga ada perasan! “Kau lupa ke, hari kedua kau jadi isteri aku... kau dah tanya pasal cerai? Ni... aku tunaikan lah permintaan kau!”

“Fik, maafkanlah Hidayah. Terimalah dia balik. Dia tak sengaja tadi tu. Mungkin sebab emosi dia bercelaru tu yang dia cakap bukan-bukan,” ujar Mukhriz. Dia cuba untuk melembutkan hati adik bongsunya.

Fikri memandang wajah abang dan mummynya. “Nak tolong dia ye? Dipersilakan! Tapi... lepas tolong betina ni... berambus dari rumah ni!”

“Fik!” Bulat mata Mukhriz mendengarnya.

“Aku tak kira. Kau abang aku ke... mummy ke... sesiapa yang tolong dia, silakan berambus!” sambung Fikri.

Puan Sarah menggeleng kepala. Tidak percaya dengan kata si anak.

Melihat reaksi Mukhriz dan Puan Sarah, Fikri kembali bersuara. “Kenapa? Kau lupa ke siapa aku dalam rumah ni? Aku cucu kandung Tan Sri Sulaiman la! Rumah ni... aki dah wasiatkan atas nama aku! Kalau sesiapa antara korang termasuklah orang gaji sekali pun, cuba nak tolong dia ni, berambus dari sini dan jangan datang balik!” ujar Fikri sebelum masuk ke dalam rumah dan melangkah naik ke biliknya.

“Hidayah...” Mukhriz memandang Hidayah yang sudah menangis teresak-esak di muka pintu.

Hidayah hanya diam tatkala Mukhriz memanggil namanya. Tangannya terus mengutip bajunya yang bersepah di muka pintu.

“Riz.” Puan Sarah memegang lengan Mukhriz.

Melihat pandangan mata Puan Sarah, Mukhriz mengangguk. Pandangannya kembali ke arah Hidayah yang sudah mula mengangkat begnya. Mukhriz memegang beg tersebut.

Akhi.”

“Ikut akhi.”

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi. Ikut akhi,” ujar Mukhriz sambil mengambil beg tersebut dari tangan Hidayah.

“Tapi Fik... akan halau...”

Akhi tak tinggal kat sini pun, untuk apa dia halau akhi? Tak ada guna. Akhi ada rumah sendiri,” jawab Mukhriz dengan tenang. “Dah, ikut akhi.” Mukhriz mengatur langkah setelah bersalam dengan Puan Sarah yang menangis di muka pintu.

Hidayah menitiskan air matanya. Kakinya diatur membontoti langkah Mukhriz ke keretanya. Langkahnya terhenti seketika. Dipusingkan badannya ke belakang, memandang rumah besar yang berada di hadapannya. Air matanya mengalir.

‘Fik... maafkan saya.’

*****

Beberapa bulan kemudian...

SUMAYYAH meletakkan dulang berisi makanan di atas meja. Langkah kaki diatur mendekati Hidayah yang sedang duduk termenung di depan tingkap kecil yang ada di bilik. Bahu Hidayah disentuh lembut. “Jom makan.”

Sejak Hidayah diceraikan dan dihalau keluar dari rumah, dia dan Mukhriz menjaga Hidayah. Pada awalnya, Hidayah tinggal di madrasah yang diuruskan oleh Mukhriz sendiri namun sejak kandungan Hidayah semakin sarat, Mukhriz membawa Hidayah untuk tinggal bersama sehinggalah Hidayah habis berpantang nanti.

Kini kandungan Hidayah sudah pun berusia lapan bulan. Tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk tiba detik kelahiran bayi dalam kandungan Hidayah. Pemeriksaan kandungan juga sudah dilakukan dari masa ke semasa. Semuanya ditanggung oleh Mukhriz.

Munurut doktor, janin dalam kandungan Hidayah ialah perempuan. Mukhriz dan Sumayyah sangat teruja dengan berita tersebut. Barangan bayi telah pun dibeli oleh mereka untuk anak dalam kandungan Hidayah. Nama bayi juga sudah dipilih awal-awal.

Allah! Hidayah berasa malu dengan layanan Mukhriz dan Sumayyah terhadapnya. Dia malu! Dia rasa dia tidak patut menerima semua kebaikkan mereka ini. Layanan mereka sangat baik. Terlalu baik terhadapnya.

Hidayah menggelengkan kepalanya sebagai tanda jawapan kepada soalan Sumayyah sebentar tadi.

“Sikit je,” pujuk Sumayyah.

“Tak nak.”

Sumayayh mengeluh. Dia merendahkan dirinya di sisi Hidayah yang duduk di atas kerusi. Tangannya mula mengusap perut Hidayah yang sudah sarat itu. Air matanya mengalir tatkala dia berasa pergerakan pada kandungan Hidayah. Sayu hatinya. Entah kenapa, dia tiba-tiba teringat akan kedua arwah anaknya yang sudah pergi beberapa tahun yang lalu.

Ukhti...” panggil Hidayah.

“Ye,” Sumayyah mengangkat wajahnya.

“Apa maksud akhi semalam? Maafkan Fik? Kenapa akhi suruh saya maafkan dia?” soal Hidayah. Dia mushkil dengan permintaan Mukhriz semalam. Bahkan bukan semalam, tapi sejak akhir-akhir ini.

Maafkan Fikri? Ye, perlahan-lahan dia sudah pun memaafkan Fikri. Meskipun belum sepenuh hati, namun sebahagian besar hatinya sudah pun memaafkan bekas suaminya itu. Ini kerana baginya, dia yang salah. Dia yang perlu memohon maaf dan ampun dari Fikri. Bukan Fikri yang meminta maaf daripadanya.

Ukhti tak faham.”

Hidayah memandang wajah Sumayyah. “Kenapa tetiba semalam, akhi bagi telefon akhi pada saya untuk dengar suara Fik? Bukan ke Fik... sangat bencikan saya?” soal Hidayah.

Entah kenapa, ketika ini, dia benar-benar merindui Fikri. Dia rindu dengan layanan Fikri. Meskipun mereka hanya menjadi suami isteri selama dua minggu, tapi ada banyak kenangan yang membuatkan dia rindu dengan lelaki itu. Layanan Fikri kepadanya pada awal seminggu perkahwinan mereka, sangat baik.

Dalam waktu dia tidur, Fikri akan sentiasa pastikan lenanya selesa. Fikri kata sahaja dia perlu tidur di lantai, tapi sebaik sahaja dia lena... Fikri sendiri yang mengendongnya naik ke atas katil. Pernah ketika dia demam pada malam kedua dia menjadi isteri Fikri, Fikri yang merawatnya. Memeluknya sepanjang malam agar demamnya kebah pada keesokkan hari. Dia juga pernah lihat Fikri melayari internet tentang bagaimana untuk menjaga wanita mengandung.

Tapi kerana ego, dia ketepikan segala kebaikkan Fikri yang dia nampak. Dia sering melukakan hati Fikri. Melayan Fikri dengan dingin dan sering membuat Fikri hilang sabar dengannya. Sebaik sahaja mereka duduk jauh dari Puan Sarah, semakin teruk dia melayan Fikri. Makanan dan pakaian Fikri langsung dia tidak pedulikan.

Pada usia perkahwinan mereka lapan hari, Fikri benar-benar hilang sabar dengannya. Setiap hari mereka bertengkar. Pada awalnya pertengkaran mereka, Fikri tidak pernah naik tangan, tapi sejak dia menggelar Fikri ‘binatang’ dan ‘setan’ secara terang-terangan... Fikri mula menampar, memukulnya dan menyiksa batinnya.

Kalau difikirkan kembali, dia juga ada menyumbang kepada keretakkan rumah tangga mereka. Bukan Fikri sahaja yang salah. Dia juga yang salah. Dia sepatutnya terima dan cuba memaafkan Fikri.

“Fik terlalu sayangkan kamu, Hidayah. Dia rindukan kamu. Dia tak pernah benci kamu.”

Hidayah tersenyum. Air matanya menitis. “Saya tak layak untuk dia sayang ukhti. Lagipun... kami bukan suami isteri lagi.”

Ukhti tahu. Tapi... berilah peluang pada diri kamu dan anak ni untuk bahagia.”

Hidayah merenung ke arah perutnya. Tangannya mengusap perutnya dengan penuh kasih sayang. “Ukhti... hati saya meronta sangat nak jumpa Fik.”

“Nak jumpa dia? Nanti ukhti beritahu pada akhi, ye.”

Hidayah menggeleng. “Tak nak. Kalau saya jumpa dia... nanti hati saya sakit bila dengar yang dia tak nak maafkan saya.”

“Jangan cakap macam tu. Fik dah lama maafkan kamu.”

Hidayah diam.

Nafas panjang ditarik oleh Sumayyah. “Hidayah... Fik sakit.”

Hidayah pantas menoleh ke wajah lembut Sumayyah.

“Kanser otak.”

“Dia... akan sembuh, kan?” Hati Hidayah mulai dilanda kerisauan yang menggila. Adakah dia sebenarnya sudah jatuh cinta dengan Fikri?

“Tak tahu. Tapi akhi kata... dia tak nak jalani rawatan langsung, Hidayah.”

Hidayah mengeluh panjang.

“Jumpa la dia.”

Hidayah pantas bangun dari kerusi dan keluar dari bilik. Tidak mahu terus menerus dengar kisah mengenai Fikri dari mulut Sumayyah. Hatinya rapuh mendengar semua itu. Sejujurnya dia mahu kembali kepada Fikri, tapi adakah Fikri akan menerimanya semula setelah apa yang dia lakukan terhadap lelaki itu?

*****

Beberapa minggu kemudian...

HIDAYAH menitiskan air matanya saat dia menyambut huluran bayi dari Sumayyah. Tangannya mengusap wajah anaknya itu. Entah kenapa tetiba dia teringat kepada Fikri. Apalah khabar Fikri sekarang? Apa yang dia tahu, Fikri sudah melarikan diri dari rumah. Hilang entah kemana. Tiada siapa yang tahu.

“Comel, macam awak,” ujar Hafiz yang berdiri di sisi Mukhriz. Meskipun usia Hidayah tua lima tahun darinya tapi sejak mereka berkawan, Hidayah melarangnya memanggil ‘kakak’. Kata Hidayah panggilan itu membuatkan dia rasa sangat tua.

Hidayah tersenyum. “Macam saya je ke? Tak akan tak ada iras papa dia?” soal Hidayah.

Mukhriz tersenyum mendengarnya. Isterinya ada memberitahu kepadanya bahawa Hidayah rindu dengan Fikri. Dia boleh lihat dan rasa semua itu sejak Hidayah tinggal dengannya semasa kandungan Hidayah lapan bulan. Dia yakin pasti Hidayah sudah memaafkan kesalahan Fikri. Kalaulah dia tahu dimana Fikri sekarang, pasti dia akan menemukan mereka berdua. Ini kerana kali terakhir dia berjumpa Fikri, dia lihat Fikri teramat rindukan Hidayah.

“Awak tak kisah ke, dia ada iras Abang Fik?” soal Hafiz.

Hidayah memandang wajah Hafiz. Senyuman terukir di bibirnya. “Kan anak dia. Sikit pun saya tak kisah.”

Hafiz mengangguk, faham.

“Hafiz, saya nak tanya, boleh?”

“Apa?”

Mukhriz dan Sumayyah hanya mendengar sahaja perbualan mereka berdua. Tidak menyampuk.

“Awak nak tak jadi ayah Masyitah?” soal Hidayah.

Hafiz mengerutkan dahinya. “Tapi saya baru 16 tahun.”

Hidayah ketawa kecil. “Jadikan Masyitah anak angkat awak la. Berlatih jaga anak, mana tahu rezeki awak dapat kahwin awal ke nanti.”

Hafiz tersenyum. “Boleh ke?”

“Mestilah boleh.”

Mukhriz berdehem. “Kalau macam tu... kenalah mintak Ukhti Bella susukan Masyitah. Biar Masyitah mahram dengan Hafiz.”

Hafiz mengangguk. Setuju dengan cadangan tersebut.

Hidayah memandang wajah Mukhriz. “Hm... akhi.”

“Ye.”

“Jangan... jangan biarkan mereka tahu pasal saya. Saya tak sanggup nak jumpa Ukhti Bella dengan mummy. Malu.”

Sumayyah melabuhkan punggungnya di sisi Hidayah. Tangannya menggosok belakang tubuh Hidayah. Dia tahu, Hidayah belum bersedia dengan semua itu.

“Dan... saya dah buat keputusan, nak pergi Terengganu lepas ni,” sambung Hidayah.

“Untuk apa?” soal Mukhriz.

“Hidayah, kamu kan masih pantang lagi,” sampuk Sumayyah.

Hidayah mengukir senyuman pahit. “Saya nak mula hidup baru di sana. Saya ada mohon kerja dekat sana. Ingat nak pergi awal, senang nak biasakan diri kat sana nanti.”

“Masyitah macam mana? Ikut?” soal Sumayyah.

Hidayah menggelengkan kepalanya. “Saya amanahkan Masyitah pada ukhti...” Wajah Sumayyah dipandang. “Akhi...” Wajah Mukhriz pula dipandang dan pandangannya kembali ke arah Hafiz. “Hafiz. Untuk jaga dan beri kasih sayang kepada Masyitah dengan baik.”

Sumayyah menitiskan air matanya.

“Tolong jaga Masyitah untuk saya,” rayu Hidayah. Air matanya lebat mengalir. Dicium wajah Masyitah. “Bila Fik balik nanti... beritahu Fik siapa Masyitah. Saya harap, dia akan terima anak ni.” Wajah si anak dipandang.

“Awak nak tinggalkan Masyitah?” soal Hafiz.

Hidayah mengangguk. “Kalau ada rezeki, kita akan jumpa lagi.”

“Tapi Hidayah... anak ni...” kata-kata Mukhriz ditepis oleh Hidayah.

“Ye, tahu. Sampai mati dia anak saya. Anak sulung saya dan kakak kepada bakal anak-anak saya yang lain nanti. Akhi jangan risau, saya ingat dan tak lupa hakikat tu. Nanti... bila Allah izinkan, kita akan berjumpa lagi.”

Ukhti janji, ukhti tak akan biarkan Masyitah lupa siapa mak kandung dia,” ujar Sumayyah.

“Terima kasih.” Hidayah mengukir senyuman. Tangannya mengusap wajah Masyitah yang sedang lena. “Masyitah... mama sayang Masyitah tau. Jangan marah mama ye?” Dicium lama pipi bayi yang baru dilahirkan sebentar tadi.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku