Keranamu, Hidayah
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
“Hadirmu... merubah dunia dan hatiku.”
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
315

Bacaan






AIR mata jantan milik Fikri mengalir sebaik sahaja dia mendengar apa yang diceritakan oleh Mukhriz di hadapannya ketika ini. Tidak menyangka itu rupanya yang berlaku selepas dia menceraikan bekas isterinya; Nur Medina Hidayah binti Abdullah.

Ternyata, dia dan bekas isterinya itu saling merindui antara satu sama lain selepas mereka berpisah.

Argh! Dia menyesal! Menyesal kerana membiarkan semua itu berlaku. Dia menyesal kerana melarikan diri ke Australia selepas beberapa bulan bercerai dengan Hidayah. Menyesal! Sangat menyesal! Sekiranya dia tidak pergi, pasti... pasti dia dan Hidayah boleh bahagia sama seperti pasangan suami isteri yang lain.

Kini sudah la terjawab segala persoalan yang muncul dibenaknya. Termasuklah mengapa Masyitah memanggil Hafiz, ‘walid’.

Rupanya selain Mukhriz, Masyitah turut rapat dengan Hafiz. Dengan ayah susuannya yang lain iaitu Ustaz Syed Saiful dan Syed Amirul, Masyitah kurang rapat dengan mereka berdua. Ini kerana mereka ada keluarga sendiri dan tinggal sedikit jauh darinya. Berjumpa pun apabila ada majlis keluarga.

Mukhriz membelai lembut kepala Masyitah yang sedang erat memeluknya di atas ribaannya. “Sayang...” panggil Mukhriz dengan lembut. Penuh kasih sayang.

“Hm,” respon Masyitah. Tangannya makin kuat memeluk tubuh Mukhriz. Dia takut sekiranya lelaki yang duduk di hadapan Mukhriz yang Mukhriz kenalkan sebagai papanya itu, akan memisahkannya dengan Mukhriz sekiranya dia tidak kuat memeluk tubuh abinya.

“Tak nak salam papa sayang ke?” soal Mukhriz. Air matanya mengalir perlahan.

Masyitah mengangkat wajahnya. Kedua bebola matanya yang persis milik mata Fikri memandang wajah Mukhriz. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku ketika ini. Tapi kedua matanya menangkap wajah semua di ruang tamu itu, menangis. Lebih-lebih lagi Puan Sarah dan Fikri.

Mukhriz tersenyum pahit. Dia tidak mahu kehilangan Masyitah. Tapi dia sedar, dia tiada hak untuk merampas Masyitah dari Fikri. Ini amanah dan janjinya sendiri dengan Hidayah.

Masyitah mengangkat ibu jari tangan kanannya ke wajah Mukhriz. Diletak ibu jarinya itu betul-betul di bawah kelopak mata abinya. Air mata si abi dilap perlahan. “Kenapa abi nangis?”

Mukhriz pantas mencium ubun-ubun Masyitah. Lama sekali ciumannya mendarat di situ. Kemudian dia memandang wajah anak yang dia jaga selama ini. “Abi terlalu sayangkan anak abi ni. Sebab tu... abi menangis, sayang.”

“Tite pun sayang abi. Abi janganlah nangis.”

Mukhriz mengangguk perlahan. Andai takdir menetapkannya untuk berpisah dengan Masyitah, dia redha. Cuma dia berharap... Fikri mampu menjaga Masyitah jauh lebih baik dari dia menjaga amanah itu.

Air mata Aisyah, Ustaz Syed Saiful, Syed Amirul, Nabila, Hafiz, Fikri dan Puan Sarah makin menjadi-jadi mengalirnya. Tadi mereka sedih mendengar kisah Hidayah selepas diceraikan oleh Fikri enam tahun lepas. Kini, mereka menangis pula kerana melihat kasih sayang antara Mukhriz dan Masyitah.

Masyitah memandang wajah-wajah ahli keluarga yang lain. “Mama, papa, Walid Hafiz, Walid Epul, Umi Sya dengan granny pun... janganlah menangis. Tite tak suka tengok orang nangis. Nanti tite nangis jugak.”

Kata-kata Masyitah, makin membuat air mata mereka yang ada di ruang tamu itu, mahu mengalir dengan lebat lagi dan lagi.

“Sayang jangan risau ye? Umi menangis sebab mata umi masuk habuk,” ujar Aisyah.

Masyitah tersenyum kecil mendengar kata yang keluar dari mulut Aisyah. Kemudian dia memandang wajah Mukhriz semula. “Jangan nangis abi...” Dipeluk lama abinya.

Mukhriz mengangguk. Dia membalas pelukan anaknya itu. Sayang? Sudah semestinya dia sayang Masyitah. Sejak Masyitah lahir sehingga sekarang, kasih sayangnya untuk anak itu sentiasa ada.

Fikri mendekati Masyitah yang sedang berpelukkan dengan Mukhriz. Disentuh tangan kecil anaknya itu. Matanya sudah merah kerana menangis.

Masyitah menoleh ke sisi, memandang wajah Fikri.

Fikri membelai rambut milik Masyitah. “Maafkan papa sayang.” Fikri merendahkan dirinya di depan sofa yang diduduki Mukhriz.

Masyitah hanya diam. Dia kembali memandang wajah Mukhriz.

Hati Fikri bagai disiat melihat cara anaknya memberi kasih sayang seorang anak kepada Mukhriz. Tapi dia tidak boleh marah hanya kerana itu. Mukhriz sudah mengambil alih tempatnya sebagai ayah kepada Masyitah selama ini. Dia patut berterima kasih dengan abangnya yang sudah berkorban untuknya.

“Kenapa sayang? Marah papa ke?” soal Mukhriz.

Masyitah menggeleng. “Tak. Cuma...”

“Cuma apa?”

Masyitah kembali memandang wajah Fikri. “Rayyan?”

“Rayyan?” ulang Fikri.

Masyitah mengangguk. “Dia... anak pak su.” Masyitah terus menunduk.

“Papa sayang. Papa. Bukan pak su.” Fikri membetulkan kata ganti untuknya yang keluar dari bibir Masyitah.

Masyitah diam.

“Sayang... Rayyan anak angkat papa. Papa ambil dia... papa jaga dia, sebab setiap kali papa pandang dia, papa akan teringat dengan anak papa,” cerita Fikri.

Mukhriz memandang sayu wajah adik bongsunya.

“Masyitah tak nak sayang papa ke sebab papa ada Rayyan?” soal Fikri.

Masyitah mengangguk perlahan.

“Tapi papa sayang dengan Masyitah. Masyitah tak sayang papa?”

“Kalau sayang, papa pergi mana selama ni? Kenapa tinggalkan tite dengan abi?” Air mata Masyitah sudah bergenang di tubir matanya.

Makin lebat air mata Fikri mengalir. “Maafkan papa. Maafkan papa. Maafkan papa, sayang.” Dipeluk tubuh anaknya itu. “Papa tahu, papa salah. Maafkan papa.”

“Kalau... tite maafkan, boleh tak janji dengan tite?” soal Masyitah. Dia merenggangkan pelukannya dengan ayah kandungnya itu. Matanya memandang wajah Fikri.

“Apa sayang?”

“Jangan pisahkan tite dengan abi.”

Fikri terkaku mendengar permintaan Masyitah. Kepalanya didongak ke atas, memandang wajah Mukhriz yang basah dengan air mata. Sayu hatinya melihat abangnya sebegitu. Selama hidupnya ini, inilah abang dan pada masa yang sama menjadi ayahnya. Berkorban banyak untuknya sehingga kini. Satu keluhan berat dan panjang dilepaskan.

Perhatian Fikri kini kembali ke arah Masyitah semula. “Dengan syarat.”

“Syarat? Kenapa bagi syarat?”

“Sebab papa nak kenal dengan anak papa.”

Masyitah memandang Fikri dan Mukhriz silih berganti.

“Sayang...” Tangan Fikri membelai kepala Masyitah. “Suruh abi dengan umi tinggal sini. Tinggal dengan papa dan granny. Boleh?”

Masyitah memandang Mukhriz.

*****

ARFA mengerutkan dahinya. Hampir bercantum keningnya ketika ini. Langkah kakinya terhenti di depan muka pintu dapur. Matanya dibiarkan sahaja untuk terus memerhati tingkah laku Medina di ruang tamu. Tangannya yang memegang hujung pinggan, dikemaskan. Bimbang terjatuh pula pinggan berisi ikan goreng yang baru digorengnya sebentar tadi.

Tingkah laku Medina dilihatnya ketika ini, tidak seperti selalu. Medina ketika ini seakan sedang marahkan seseorang. Hatinya mulai dapat menganggak gerangan manusia yang berjaya membuat Medina; teman serumahnya itu berubah sebegitu.

“Lelaki tak guna. Penipu! Curang! Pisau cukur!” Medina mengambil bantal kecil di sofa dan diletakkan di atas ribaannya. Digigit hujung bibirnya dengan kuat. Tanda geram.

Arfa mengeluh panjang. ‘Mesti abang buat hal lagi la ni,’ duga Arfa dalam hati. Langkah yang terhenti sebentar tadi, diteruskan. Pinggan yang berisi ikan goreng, diletak elok di tengah-tengah meja makan. Setelah selesai, langkah kaki diatur mendekati Medina yang duduk di sofa.

Medina memeluk bantal kecil. Apabila dia sedang marah, dia suka memeluk bantal.

“Kak, jom makan.”

Medina menoleh ke arah Arfa. “Makan?”

Arfa mengangguk.

Dahi Medina berkerut. “Arfa masak ke? Bukan ke... tak ada apa dekat dapur?” Posisi duduknya dibetulkan. Kini dia duduk betul-betul menghadap Arfa yang sedang berdiri di sisi sofa tempatnya duduk.

Arfa tersenyum mendengarnya. “Arfa keluar sekejap tadi beli ikan untuk goreng makan tengah hari kita. Kak Aulia telefon, beritahu tak dapat nak balik tengah hari ni sebab banyak kerja dekat office.”

Medina mengangguk perlahan. Barulah dia faham.

“Jom la kak, kita makan sama-sama. Arfa ada goreng ikan. Harap akak tak kisah la.”

“Tak apa, Arfa. Ikan pun boleh. Makanan jugak tu kan? Akak ni makan je semua Arfa. Selagi boleh dimakan, kita makan. Jom,” ujar Medina sambil melangkah mendekati meja makan.

Arfa membontoti langkah Medina ke meja makan. Kerusi di tarik di hadapan tempat duduk yang Medina sudah ambil di meja makan. Saat tangannya menyenduk nasi ke pinggan miliknya, hujung matanya menangkap wajah mendung Medina.

“Kenapa pandang akak macam tu?” soal Medina. Pelik rasanya melihat Arfa tidak lepas memandang wajahnya dari tadi. Kedua pipinya dipegang, bimbang ada apa-apa kotoran di wajah yang membuatkan dirinya menjadi perhatian Arfa dari tadi.

Arfa pantas menggelengkan kepalanya.

“Cakap je la, Arfa. Bukan akak makan orang pun.” Medina mulai mengambil botol kicap jenama Kipas Udang. Makan nasi tanpa kicap, Medina merasakan bahawa makanannya itu serba tidak lengkap. Ada yang kurang. Seperti ada yang tidak kena.

“Tapi... akak jangan marah ye bila Arfa tanya?” Arfa menghulurkan gelas berisi air masak kepada Medina.

Medina ketawa kecil. “Tak la. Cakap la.”

“Akak dengan abang...” Nafas ditarik dalam-dalam. “Okey?”

“Tak,” jawab Medina dengan jujur.

“Abang buat hal lagi ke kak?”

You should know your brother very well.” Medina mengukir senyuman sambil mengangkat kening kanannya ke atas.

Terhenti laku Arfa untuk menyuapkan makanan ke dalam mulut.

“Makan la. Kenapa berhenti pulak?”

Arfa mengambil gelas berisi air masak. Diteguk beberapa kali.

“Maaf la. Kata-kata akak tadi, bukan perli. Tapi akak rasa... Arfa dan Aulia jauh lebih kenal siapa abang korang dari akak, kan?”

“Hm...” Arfa mengangguk.

“Hujung minggu ni... kita balik rumah mak nak?”

Arfa memandang lama wajah Medina. Matanya sudah berkelip beberapa kali. ‘Balik? Rumah mak? Untuk apa?’ bisik hati kecilnya.

“Akak nak putuskan pertunangan ni. Nak buat apa bertunang dengan dia, kan? Dia tak sudi nak serius dengan kita. Main-main je. Akak ni perempuan Arfa. Bukan makin muda.” Satu suapan nasi masuk ke dalam mulutnya.

Arfa mengangguk. “Akak nak ajak Arfa teman akak balik kampong la ni?” Akhirnya satu suapan nasi, kini sudah berjaya berada di dalam mulut Arfa.

“Kalau Arfa free. Akak tak nak paksa. Ye la, mesti Arfa ada discussion ke, apa ke nanti.”

“Boleh je. Lagipun, dah lama tak jumpa mak. Sambil kita menyelam... boleh minum air, kan?” Kedua kening Arfa dijongketkan ke atas.

Medina tersenyum. “Maaf ye Arfa, akak dah banyak susahkan keluarga Arfa. Tapi... betul, akak dah tak tahan nak teruskan hubungan ni. Akak dah tak boleh. Fed-up rasanya. Akak rasa macam tak akan bertahan je kalau diteruskan ke peringkat seterusnya kalau kami macam ni.”

“Tak apa kak. Perkahwinan tu, mana boleh paksa, kan? Kita ni kalau boleh mesti nak kahwin sekali seumur hidup. Dan... mestilah nak happy ending forever. Lagipun, ni hidup akak. Arfa tak marah akak pun kalau akak break-off dengan abang.”

“Agak-agak... mak boleh terima tak?”

“Insya-Allah. Arfa yakin mak dengan ayah boleh terima keputusan akak dengan rela hati.”

*****

HUMAIRAH mendekati Hafiz yang masih dengan ahli keluarganya yang lain di ruang tamu. Bersembang mengenai Masyitah. Dia tahu hal itu, memandangkan ada sebutir dua bicara mereka yang dia dengar, tapi dia malas mahu ambil peduli. Terdengar sebegitu, sudah cukup! Jangan nak sibuk mahu ambil tahu hal orang dewasa lebih-lebih. Itu pantang bagi mamanya; Nabila. Kalau kena tangkap... bernanah la telinganya nanti.

Bahu si bapa saudara disentuh saat dia sudah berdiri di sisi Hafiz yang duduk di sofa. Fail ditangan dibetulkan. Beg dibahu, dibetulkan juga kedudukannya agar tidak mudah untuk terjatuh.

“Ada apa, Maira?” soal Hafiz. Tanggannya cepat-cepat mengelap air matanya yang mengalir. Malu sekiranya Humairah melihatnya begitu.

Macam mana dia tidak menangis bila telingganya menangkap Masyitah memanggil Fikri, ‘papa’. Terharu dia mendengarnya dan melihat situasi itu.

“Kelas la. Lupa ke?” Kening Humairah terangkat sebelah. “Tengok jam. Lambat nanti, lect kunci pintu pulak.” Dia dan Hafiz, kini belajar di kolej yang sama, dalam bidang serta kelas yang sama.

Tamat sahaja Hafiz belajar kitab di Madrasah Mutiara; madrasah yang diasaskan oleh Mukhriz, jejaka itu mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan pula di kolej memandangkan keputusan SPM yang diperolehinya sangat cemerlang.

Kalau mahu diikut perancangan awal Hafiz, sebaik sahaja tamat belajar kitab dia mahu menjadi ustaz sahaja di Madrasah Mutiara. Tapi bila dia mengenangkan perniagaan keluarga yang akan diwarisinya nanti, niatnya dibatalkan. Dia mahu gunakan peluang yang ada ini untuk terus menimba ilmu lagi.

Di samping masih belajar, setiap hujung minggu bila dia kelapangan dia akan mengajar di Madrasah Mutiara. Sama ada untuk kelas hafaz Al-Quran, mahupun kelas kitab. Penat? Penat, tapi hatinya puas. Jiwanya sentiasa terisi bila dia mengajar agama.

Hafiz mengeluh. “Sekejap. Pak su ambil beg kat atas. Maira tunggu kat kereta, ye?”

Humairah mengangguk.

Satu... dua... tiga... empat...

“Hm.... pak su.”

Baru sahaja Hafiz separuh naik ke tingkat atas, dia menoleh ke arah anak saudara yang memanggilnya. “Kenapa?”

“Kita singgah rumah Arfa. Hari macam nak hujan je. Kesian dia. Tak kan nak suruh Arfa redah dengan motor, kan?” Kening Humairah terangkat. Dia sebenarnya mempunyai niat lain. Dia tahu Arfa, teman baiknya sejak sekolah rendah itu sukakan bapa saudaranya ini. Dia mahu merapatkan hubungan diantara mereka berdua.

Difikir selama ini, Hafiz dan Arfa sudah melangkah setapak ke depan, tapi rupanya tidak. Status mereka masih kekal kawan. Dia mahu mengubah status itu ke arah lebih serius. Dia suka melihat temannya dengan Hafiz. Dan dia yakin, temannya sukakan Hafiz bukan kerana harta warisan Hafiz atau rupa paras pak sunya itu. Tapi kerana diri Hafiz sendiri.

Hafiz mengangguk tanpa berfikir panjang.

Dia kenal dengan Arfa, teman baik anak saudaranya ini memandangkan ibu dan ayah Arfa bekerja di Madrasah Mutiara. Dia sendiri kenal dan berkawan dengan Arfa sejak dia melangkah masuk ke dalam Madrasah Mutiara lagi. Ketika itu, usianya baru sahaja 10 tahun.

Bila teringat kali pertama bagaimana cara dia mengenal Arfa, Hafiz mulai mengukir senyuman tanpa sedar. Hatinya sentiasa ceria dan gembira dengan kehadiran Arfa selepas dia kesedihan kehilanggan mama dan papanya secara serentak kerana kemalangan jalan raya. Sebab itu, dia suka Humairah berkawan rapat dengan Arfa. Sebab dia tahu Arfa baik orangnya.

‘Eh... kenapa aku ni tetiba teringat senyuman Arfa masa umur 10 tahun ni?’ Hafiz ketawa kecil. Kepala di geleng perlahan. Lucu dengan diri sendiri.

*****

BERDEBAR kuat dada Medina apabila dia melihat wajah Hafiz yang keluar dari kereta BMW i8, bewarna putih yang diparking elok di depan rumah sewanya. Dia terus memerhati di sebalik langsir. ‘Bapak la... orang kaya tersesat mana pulak yang parking kereta depan rumah aku ni? Pergh... kereta tu... cantik gila!’

Humairah mengikut jejak langkah Hafiz, keluar dari kereta yang dipandu sendiri oleh Hafiz. Payung dilalukan di atas kepalanya dengan Hafiz sebaik sahaja mereka berdua berdiri terpacak di depan pagar rumah sewa milik Arfa. Hujan sudah mulai merintik.

“Betul ke, ni rumah Arfa?” soal Hafiz.

Humairah mengangguk. “Betul la. Semalam Maira mintak alamat dia,” jawab Humairah. Tangannya menekan loceng.

Ting... tong...

Berkawan sudah lama, tapi baru kini dia berpeluang ke rumah sewa Arfa. Sebenarnya sudah acap kali dia mahu ke sini, tetapi Arfa tidak benarkan. Kata Arfa, segan sekiranya Humairah datang ke rumah buruknya. Maklumlah Humairah berasal dari kalangan orang berada.

Medina melepaskan satu keluhan berat. Tangannya pantas mengambil selendang yang ada di ruang tamu dan dililit di atas kepalanya mengikut ilmu yang dipelajarinya dari kakak kepada Aulia. Kakak Aulia mempunyai butik muslimah sendiri, dan dia pula berkerja sebagai model sambilan di situ.

“Maaf. Saya kawan Arfa. Arfa ada tak, kak?” soal Humairah sebaik sahaja pintu kayu rumah itu dibuka oleh Medina.

Medina mengangguk. “Sekejap ye?”

Humairah mengangguk.

“Arfa!” Medina mengetuk pintu bilik Arfa. “Kawan datang.”

“Ye, ye. Sekejap!” Bilik Arfa yang sememangnya di tingkat bawah, dibuka dari dalam. Arfa pantas keluar dari bilik dengan tergesa-gesa. Dia sudah terlambat untuk ke kelas!

“Kawan dah datang,” ujar Medina lagi.

Arfa mengangguk. Kakinya diatur ke muka pintu. “Arfa pergi dulu.” Dia mencium tangan Medina sebelum kakinya menyarung kasut yang diletak awal-awal di atas almari kecil di depan pintu rumah.

“Bilik dah kunci?” soal Medina.

Arfa mengangguk.

“Cepat! Lambat nanti. Payung jangan lupa!”

“Okey! Bye!” Arfa melambai Medina yang berdiri di depan muka pintu. Langkah kaki mendekati kereta yang dipandu Hafiz.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku