Keranamu, Hidayah
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
“Hadirmu... merubah dunia dan hatiku.”
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
310

Bacaan






AULIA mengerutkan dahinya. ‘Macam ada yang tak kena je ni,’ degus hati kecil Aulia. Langkah kaki yang terhenti di anak tangga sebentar tadi, diteruskan untuk turun ke bawah. Ke ruang tamu. Kini, dia berdiri betul-betul di sisi Medina yang dilihatnya sedang termenung jauh. Ditenung dalam-dalam wajah itu.

Medina hanya merenung kosong ke arah skreen televisyen yang terpasang. Air matanya mengalir tatkala telingganya menangkap bunyi tangisan bayi di dalam drama tersebut, meskipun dia tidak menghayati drama yang dipapar. Kedua tangannya, menggeletar tanpa dia sedari.

Bertambah pelik Aulia melihat perubahan sikap temannya itu. Lantas dia membuat keputusan untuk duduk di sisi Medina. Tangannya kirinya menyentuh tangan kanan Medina.

Medina menoleh.

Senyuman terukir di bibir. “Kau kenapa ni? Kau ada masalah?”

Medina mendiamkan diri. Selang berapa saat kemudian, dia memandang skreen televisyen.

Aulia mengukir senyuman. “Pengaruh drama ke? Sebab tu kau termenung? Kau fikir apa nak jadi selepas itu, kan?” duga Aulia.

Medina menggeleng.

Then?”

“Aku... mimpi.”

“Mimpi? Mimpi apa?”

Medina melepaskan satu nafas berat. “Dalam mimpi... aku dengar suara aku sampaikan pesanan untuk seseorang. ‘Jadi walid yang baik.’ Lepas tu...” Medina memandang kedua tangannya lalu diangkat sedikit ke atas. Seolah-olah sedang mengendong sesuatu. “Aku pegang bayi. Aku cium dia. Masa aku cium dia... aku dapat rasa yang aku sayang bayi tu. Aku menangis. Bangun dari tidur... aku perasan aku dah mengalirkan air mata.”

Aulia hanya mendengar. Dia mengukir senyuman mendengar cerita itu. “Ingatan kau makin nak pulih ke ni?”

“Entah, tak tahu. Aku tak tahu ini ingatan aku yang dah hilang atau... khayalan yang aku bina sendiri.”

Aulia menggosok perlahan pergelangan tangan kanan Medina. “Aku rasa... ini ialah ingatan kau yang dah hilang. Aku yakin.”

“Kau yakin sangat la, Aulia.”

“Memang la, sebab kau pernah kahwin.” Tanpa sedar Aulia sudah terlepas kata.

“Aku pernah kahwin?”

Aulia mengangguk laju. “Ye, pernah. Kau.... janda.”

“Mana kau tahu?”

“Aku tahu la sebab...” Belum habis Aulia mahu berkata, Medina melontarkan pertanyaan lagi.

“Persoalannya sekarang ni... anak siapa yang aku pegang dalam mimpi tu? Anak aku ke?” Medina merenung wajah Aulia.

“Mungkin.”

“Masa kau jumpa aku dulu, ada tak apa-apa pasal diri aku yang kau jumpa?”

Aulia menggeleng.

“Cincin ke?”

Aulia meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Berfikir sesuatu. “Aku rasa... dah tiba masa untuk aku beritahu sesuatu yang mungkin kau nak tahu.”

“Apa?” Medina sudah tersenyum. “Cincin?”

Aulia menggeleng. “Bukan cincin.”

“Habis... a...apa?”

“Kau agak apa?”

“Jangan main-main.” Medina berkata dengan nada serius.

“Aku serius la. Nak main apa? Batu Seremban?”

Medina mencebik. “So... funny.”

Aulia mengeluh. “Pasal kau janda la. Mesti kau nak tahu, kan?” Dia meletakkan kedua tangannya di bahu Medina.

Medina mengangguk.

Mata Aulia tajam merenung teman serumahnya. Kedua bahunya diangkat sedikit ke atas. “Aku tak tahu la apa yang kau...”

“Jangan la main-main! Tadi kata ada sesuatu!” Suara Medina mulai memetir.

“Aku tak habis cakap lagi kau dah menyampuk.”

“Okey... apa?” Medina mulai mengendurkan nada suaranya.

“Kereta yang kau naik masa tu, kereta milik tempat kerja kau. Polis...”

“Itu aku tahu la. Berapa banyak kali kau nak cerita pasal kereta yang dah meletup tu? Eee, sakit hati je dengar pasal isu kereta tu la. Dah meletup dah pun. Tinggal rangka je.” Medina memotong kata Aulia.

“Boleh tak dengar dulu!” Suara Aulia mulai naik seoktaf. Tertekan rasanya kalau rasa mahu berkata sesuatu tapi kata-katanya disampuk.

“Ooookey... sorry.”

Aulia mengeluh berat. “Pihak polis dapat maklumat peribadi kau dari tempat kerja kau dan rumah sewa kau dulu. Rupanya... kau ni janda. Pernah kahwin tapi bercerai. Dari situlah aku tahu... yang kau sebenarnya dah pernah kahwin. Ada faham?”

“Janda?”

Aulia mengangguk.

“Aku janda siapa?”

“Mana aku tahu kau ni janda siapa. Aku tak kenal kau kan sebelum kau kemalangan, plus aku tak pernah tengok pun isi surat cerai kau tu. Kalau kau nak tahu sangat, kena tengok la isi surat tu. Baru tahu siapa duda kau. Kami tahu semua ni pun, sebab polis dapat maklumat status kau melalui borang kau bagi masa nak mohon kerja dan selepas geledah rumah sewa kau dulu.”

“Ooo... jap. Ada ye tercatat pada borang nak mohon kerja yang aku ni janda?”

Aulia mengecilkan matanya memandang wajah Medina. “Ada la, nenek. Kau ni... buat resume nak cari kerja, tak kan tak tahu yang kau kena letak marital status? Eee, minah ni tanya soalan apa la.”

Medina tersengih.

“Kecik besar, kecik besar je aku tengok kau ni la.”

Medina mengambil alat kawalan jauh televisyen dan dihala ke skreen. “Kau ada cakap pasal surat cerai tadi. Polis jumpa masa geledah rumah sewa lama aku, kan?”

Aulia mengangguk. “Yup. Masa tu la polis jumpa dokumen...”

“Dokumen? Kalau dokumen kematian...”

“Jangan menyampuk!” Bulat mata Aulia saat dia berbicara.

“Maaf.”

“Buat apa kita nak sembang pasal dokumen yang kau dah ada. Ini sekarang ceritanya... yang kau tak ada tapi ada. Aku rasa, tu dokumen yang berkait dengan isu kau janda ke tak. Sebab aku pernah nampak ada perkataan ‘Mahkamah Syariah’ kat situ. Jangan-jangan tu surat cerai kau tak.”

Berseri-seri wajah Medina mendengarnya.

“Tak ada dekat aku. Dekat mak.” Aulia pantas berkata. Melihat gaya Medina sahaja dia sudah tahu apa yang Medina mahu minta darinya.

“La... baru nak mintak.”

“Kau tanya mak la. Sebab polis banyak berhubung dengan mak pasal kau.”

Hujung mata Medina memandang Aulia. “Kenapa tak pernah cakap pasal ni sebelum ni?”

Aulia tersengih. “Maaf... aku ter...lupa.”

Bulat mata Medina mendengarnya.

“Lagipun, lepas kau keluar hospital... kan kau beria nak sambung belajar. Kau sibuk belajar... sibuk modelling la... sampai kita susah nak jumpa. Jadi macam mana nak cerita? Mak pun tak galakkan aku cerita melainkan kau tanya dulu. Sebab takut kau tertekan dan kesihatan kau terus down.”

Medina mengangguk perlahan. Satu keluhan berat dilepaskan. “Kau kena faham situasi aku. Aku sedar dari koma, sebahagian memori aku hilang. Masa kita kenal, kau tengah belajar... aku tengah kerja walaupun kita sebaya. Jadi jalan yang aku nampak nak ingat balik ialah sambung belajar. Mana tahu, aku ingat. Tapi... haram.”

Aulia menggosok bahu Medina. “Sabar la. Nanti-nanti... kau ingat la balik. Ingat pesan doktor, jangan push diri kau sangat untuk ingat balik. Slow-slow. Take it easy.”

Medina mengambil bantal kecil. Dipeluk. “Kemungkinan budak yang aku nampak dalam mimpi tu... anak aku, kan?”

“Hm... kau tanya mak la ye? Aku tak berani nak cakap la. Sebab... aku tak kenal hidup kau macam mana sebelum ni.”

“Kena tunggu hujung minggu la ni.” Medina mengembungkan kedua pipinya dengan angin.

“Nak tunggu sampai hujung minggu kenapa?”

“Nak cakap pasal ni la dekat mak selain dari hal permutusan pertunangan aku dengan abang kau yang terchinta tu.”

“Tak payah. Cerita kat mak malam ni je. Sebab malam ni mak nak datang.”

“Mak nak datang?”

Aulia mengangguk. “Sebab tu aku banyak beli makanan malam ni. Mak, ayah dengan abang on the way nak ke sini.”

Tergangga Medina mendengarnya.

“Kau kata tadi... hal permutusan pertunangan dengan abang aku? Kenapa wei. Kau tak cerita pun dekat aku.”

Well... abang kau si mata duitan tu.” Medina menjulingkan matanya saat teringat akan Azfar. “Tertekan hidup aku dibuatnya. Lagipun dia bukan betul sukakan aku. Kalau dia tahu aku janda... nak ke dia?”

“Hm... abang aku tahu pasal kau ni... janda.”

Medina terpanar seketika. “Jap. Aku terfikir sesuatu.”

“Apa?”

“Pihak polis ada cari duda aku tak? Ye la, aku kan hilang ingatan, mana tahu polis cuba cari duda aku ke, nak tahu pasal family aku?”

Aulia mengangguk. “Ada. Tapi masa polis cari, duda kau tak ada kat Malaysia.”

Ex-mertua aku?”

“Itu... aku tak tahu. Kata polis, mereka dah cuba cari siapa kau sebenarnya melalui perkahwinan kau, tapi tak dapat apa-apa. Kalau dapat pun, pasal ayah kau dan nenek kau dah meninggal, mak saudara angkat kau dah berhijrah. Pendek kata... kau sebatang kara. Sebab itu laporan kau hilang ke, polis tak terima dan tak ada orang datang melawat kau masa kau koma.”

“Okey.”

Aulia mengukir senyuman. “Jangan sedih, aku yakin tak lama lagi... kau akan ingat balik semua yang kau tak ingat.”

Medina membalas senyuman Aulia.

*****

FIKRI menarik satu kertas berwarna putih dari sampul coklat yang baru sahaja Mukhriz berikan kepadanya sebentar tadi. Kata Mukhriz, ini surat perceraiannya. Di renung lama nama milik wanita yang bertakhta di hatinya yang ada tertulis di situ.

Nur Medina Hidayah Binti Abdullah.

‘Bodohnya kau Fik. Bodoh, tahu bodoh! Kau senang je kahwin lepas tu cerai, tapi segala dokumen ke apa... abang kau yang tolong uruskan. Kau memang tak guna la,’ marah Fikri kepada dirinya sendiri.

Dia masih teringat pada hari Mukhriz memintanya untuk menguruskan hal perceraian antaranya dengan Hidayah. Kata Mukhriz, dia perlu ikut prosedur Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia. Bukan ikut suka nak lepas tangan meskipun dah bercerai.

Tiba-tiba dia teringat saat terakhirnya melihat wajah bekas isterinya di Mahkamah Syariah.

Ketika itu, dia masih lagi dengan ego tinggi melangitnya. Tidak mahu menyerah kalah meskipun Hidayah sudah memohon maaf berjurai air mata kepadanya. Dan kerana ego, dia tidak tahu langsung yang Hidayah dalam jagaan Mukhriz selama ini.

Satu keluhan berat dilepaskan.

‘Kalaulah aku tak ego sangat... kalaulah aku ambik tahu hal dia lepas cerai... ada harapan kami nak bersama balik. Hm...’

Fikri mengangkat kepalanya dari terus merenung kertas yang dipegangnya. Memandang imbasan dirinya yang duduk di kerusi pada cermin yang ada di dalam biliknya. ‘Mana dia ye? Aku rindu dengan dia.’ Fikri mengeluh.

Pintu bilik Fikri ditutup perlahan oleh Syafinaz. Dia merenung cincin yang ada dalam genggamannya. Cincin yang diberikan oleh Fikri saat jejaka itu melamarnya beberapa tahun yang lalu.

“Kita... kahwin?” Fikri menghulur sebentuk cincin kepada Syafinaz.

Bulat mata Syafinaz melihat cincin tersebut.

“Abang akan jaga Finaz elok-elok. I’m promise.”

Syafinaz terkebil-kebil. “Kita baru kenal, abang. Look, abang dengan kakak Finaz... baru meninggal. Abang jangan gila la nak ajak kahwin masa ni.”

“Abang dah janji dengan arwah berdua nak jaga Finaz dan Rayyan kalau mereka dah tak ada. Lagipun abang dengan kakak Finaz dah banyak tolong abang kat sini. Jadi abang nak tunaikan permintaan mereka.”

“Kalau macam tu, jaga je la. Tak perlu kahwin.”

“Finaz, kan lebih elok kalau kita kahwin.”

Syafinaz menggeleng laju. “No. I’m sorry, abang. Finaz... tak boleh terima.”

Jujurnya, dia takut mahu mempunyai suami seperti Fikri. Lebih-lebih lagi bila dia tahu sejarah Fikri. Dia takut, dia akan jadi seperti Hidayah. Sebab itu, lamaran Fikri ditolak tanpa dia berfikir panjang.

“Okey, abang faham. Tapi... Finaz simpan cincin ni. Kalau satu hari nanti, Finaz dah setuju... beritahu abang.”

Syafinaz mengangguk.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Semakin lama Syafinaz mulai semakin jatuh cinta dalam diam dengan Fikri. Layanan Fikri... membuatnya angau sendiri. Di saat dia mahu beritahu Fikri yang jawapannya sudah berubah, lain pula yang jadi.

“Finaz, abang mintak maaf sebab melamar Finaz dulu tanpa fikir panjang. Abang dah sedar, abang ni... tak layak jadi suami. Maaf,” ujar Fikri satu hari ketika mereka sedang bersiar-siar di taman.

Syafinaz hanya tersenyum kelat mendengarnya. Tidak sempat dia mahu beritahu yang dia setuju menjadi isteri Fikri.

“Kalau abang nak kahwin satu hari nanti... pasangan abang ketika itu hanya Hidayah. Bukan orang lain. Hidayah sahaja,” tegas Fikri.

‘Dia masih cintakan bekas isteri dia. Jangan jadi bodoh la Finaz. Kau tahu kan dia masih cintakan Hidayah? Jadi jangan cari masalah la. Kau nak sakitkan hati kau tu, kenapa? Banyak lagi jejaka teruna kat luar sana untuk kau. Ini tak... duda pulak yang kau nak.’ Langkah kaki diatur ke bilik setelah dia memasukkan semula cincin ke dalam poket seluar.

Tanpa dia sedar... cincin tersebut terjatuh.

Dari jauh Mukhriz tergamam sendiri. ‘Finaz buat apa dekat depan bilik Fik?’ Langkah kaki diatur mendekati pintu bilik si adik. Dia menunduk mengambil cincin saat kakinya berasa ada sesuatu di situ.

Dahi Mukhriz berkerut. ‘Cincin?’

*****

SYAFINAZ mengalihkan bantal yang ada di kepala katil. Diangkat dan dialihkan satu-satu bantal, cadar, gebar yang ada di atas katil. Matanya memerhati setiap inci di penjuru katil. “Mana ni?” Syafinaz sudah gelisah sendiri. “Tak ada. Mana? Aku letak mana?”

Mukhriz berdiri betul-betul di depan pintu bilik Syafinaz yang sememangnya sudah terbuka. Dia memandang cincin yang ada dalam genggamannya. ‘Dia... cari ni ke?’ soal Mukhriz sendiri.

Syafinaz mengeluh. Bantal di tangan di campak ke atas katil sehingga terjatuh bantal tersebut. Wajahnya sudah muram. “Mana? Aku letak mana? Come on, Finaz, ingat balik mana kau letak.”

Mukhriz mulai mengetuk pintu bilik tersebut.

Syafinaz mengangkat wajahnya. “Ustaz.”

“Cari ni?” Mukhriz menunjuk sebentuk cincin.

Syafinaz pantas berdiri.

“Ambil la.”

Syafinaz mengatur langkah mendekati Mukhriz yang kekal berdiri di depan pintu biliknya. Mujurlah dia belum membuka tudung lagi. Dia sememangnya sudah terbiasa bertudung meski dalam rumah. Kecuali malam di saat dia mahu tidur, ketika itu baru dia akan membuka tudung. Semua ini ekoran Fikri sering berkunjung ke rumahnya di Australia. Terkadang sampai malam Fikri di rumahnya.

But I need some explanation first.”

Berkerut dahi Syafinaz mendengarnya. Dadanya mulai berdegup kencang.

“Boleh kita bincang sekejap, sebelum kita makan malam ni?”

Syafinaz mengangguk.

*****

“FINAZ kenal Abang Fik sebab arwah abang Finaz tolong Abang Fik semasa dia di Australia. Dia jiran kami. Sebab tu... kami rapat. Lebih-lebih lagi bila abang dah meninggal,” Syafinaz bercerita.

Tadi Mukhriz bertanya kepadanya, bagaimana dia mengenali Fikri di Australia dan mengapa mereka dilihat agak rapat.

Mukhriz mengangguk, faham. “Cincin tu... makna apa? Kamu ni... tunang orang? Atau isteri orang?” Hujung matanya menjeling Sumayyah yang duduk di sisinya.

Syafinaz meneguk air liurnya. “Bukan dua-dua. Finaz masih single,” jawab Syafinaz.

“Takut betul hilang cincin tadi. Kenapa?” soal Mukhriz lagi. Masih dia teringat bagaimana kelam kabutnya Syafinaz tadi mencari cincin.

Syafinaz tersenyum kelat. “Orang bagi, kena la simpan, kan?”

“Betul.”

Syafinaz mengigit hujung bibirnya. ‘Ustaz ni... menakutkan.’

Akhi tanya untuk kenal siapa adik angkat akhini. Well, dah jadi anak angkat mummy, jadi mestilah automatik jadi adik angkat akhi, kan?”

Syafinaz melepas satu nafas lega. Lega rasanya. Rupanya Mukhriz bertanya untuk kenal dengannya. Dia fikir Mukhriz mahu marah tadi. Maklumlah, soal siasat mengalahkan polis pula. Mana dia tidak takut.

“Bukan apa, kalau... Finaz ni isteri orang, kan jadi masalah sebab Fik bawak datang sini. Itu sebab akhi tanya.”

“Tak apa... Finaz faham.”

“Jadi, selepas abang Finaz meninggal... Fik jadi tempat Finaz dan Rayyan bergantung hidup la ye?” soal Sumayyah.

“Lebih kurang la. Lagipun Rayyan masih kecil saat abang Finaz meninggal. Baru setahun rasanya. Finaz pulak, tengah belajar lagi masa tu.”

“Sekarang dah kerja ke?”

Syafinaz mengangguk. Menginyakan pertanyaan Sumayyah sebentar tadi.

“Baru datang Malaysia dah dapat kerja. Ke... nak pergi Australia balik?” soal Mukhriz.

“Eh, tak. Duduk sini. Finaz ikut abang. Abang suruh duduk sini, sini la Finaz. Lagipun Finaz kerja dengan abang sebenarnya. Jadi kena la ikut dia, kan?”

Sumayyah tersenyum. “Finaz kerja apa sampai kena ikut Fik?”

“Kerja... hm... Finaz kena urus abang.”

“Urus Fik?” Bulat mata Mukhriz mendengarnya. Kerja apakah ini?

“Eh, jangan salah faham. Maksud Finaz, makan dia... pakai dia dan dengar masalah dia. Kira macam Finaz tempat abang luahkan rasa hati dia la.”

“PA Fik la ni?” teka Sumayyah.

Syafinaz menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Lebih kurang la.”

“Jom, makan. Sakan betul borak,” sampuk Fikri. Entah dari mana dia muncul, tiada siapa perasan.

Mukhriz, Sumayyah dan Syafinaz hanya tersenyum.

“Rayyan mana, bang?” soal Syafinaz.

“Tu.” Fikri memuncungkan bibirnya ke arah Rayyan dan Masyitah.

Syafinaz ketawa kecil melihat Rayyan sebegitu. Muka Rayyan bagai dipaksa untuk ikut sahaja jejak langkah Masyitah yang menarik tangannya.

“Jalan cepat sikit boleh tak? Lelaki ke perempuan ni?” Masyitah bercekak pinggang. Marah dan geram dengan Rayyan.

Rayyan mendengus kasar. ‘Monster ke manusia ni? Garang! Bebel je tak berhenti. Rimas!’

“Tu mesti tengah kutuk tite dalam hati la tu,” tuduh Masyitah.

Rayyan hanya diam.

Fikri menyentuh bahu Masyitah. “Jangan garang sangat. Kalau Masyitah garang, Rayyan lagi tak nak bercakap tau.” Tangan kanan Fikri mencuit pipi Rayyan. Menyuruh Rayyan untuk senyum.

Masyitah mencebik. “Papa ni, suka lebihkan dia la. Menci (Benci) la tite.”

“Alolo... anak papa ni. Comelnya dia bila marah. Macam mama dia.” Fikri mula memujuk.

“Mama?”

Fikri mengangguk.

“Mama... mama betul tite ke? Ke... mama...”

“Mama betul Masyitah la. Takkan Mama Bella pulak. Mama macam ni la, bila merajuk comel je tau. Macam anak papa ni.” Fikri mencubit pipi kanan Masyitah. Dia masih teringat pada hari ketiga mereka suami isteri.

Ketika itu Hidayah teringin mahu makan steambout, tapi dia tidak mahu. Dia letih, baru balik dari kelas ketika itu. Disebabkan hajat tidak dipenuhi, Hidayah merajuk dan marah dengannya. Tarik muka. Merajuk dan marah Hidayah mulai hilang apabila dia menempah steambout khas dan hantar ke rumah.

Masyitah tersenyum lebar. Dia suka bila Fikri memberitahu walau sedikit perihal mama kandungnya. Selama ini, Mukhriz dan Sumayyah ada bercerita tentang mama kandungnya, siap gambar lagi. Cuma entah kenapa bila dia dengar Fikri yang bercerita sendiri, dia rasa lebih seronok.

“Orang tu... merajuk dah tak comel dah. Rayyan lagi comel.” Hafiz menggosok-gosok rambut Rayyan.

Rayyan tersenyum.

“Tengok Rayyan senyum. Comelnya Rayyan. Lebih comel dari Masyitah kita,” puji Hafiz. “Sayang Rayyan.”

Masyitah mula menarik muka. “Walid! Walid kan walid tite, kenapa sayang dia pulak!” Masyitah membulatkan matanya ke arah Rayyan. Geram.

“Sebab Rayyan cute. Walid suka dia.”

Masyitah mengembungkan kedua pipinya dengan angin.

Fikri ketawa. “Anak papa cemburu ye?”

Masyitah mengangguk.

Fikri mula mengangkat Masyitah. “Dah, jangan merajuk. Tak cute.” Satu ciuman hinggap di pipi Masyitah.

Masyitah menepuk tangan, suka. Kemudian dia menjelir lidah kepada Rayyan.

Hafiz menggeleng-ngelengkan kepalanya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku