Keranamu, Hidayah
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
“Hadirmu... merubah dunia dan hatiku.”
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
194

Bacaan






“WAA’LAIKUMUSSALAM.” Aulia berlari anak ke muka pintu. Tangan kanannya, mengapai kunci rumah yang disangkut di tepi pintu. Manakala tangan kirinya, mulai memulas tombol pintu kayu rumah sewanya.

“Mak!” Aulia sudah menjerit kecil saat kedua bebola matanya menangkap kehadiran ahli keluarganya yang sudah tiba di depan pagar. Tangannya mulai laju membuka grill di pintu. “Medina! Mak dah sampai!” Kaki Aulia mulai melangkah keluar dari rumah dan menuju ke pagar.

Medina menarik nafas dalam-dalam. Cuba membetulkan saluran pernafasannya. Tarik nafas... lepas. Tarik lagi, lepas. Kakinya mulai turun ke ruang tamu, perlahan-lahan tatkala dia berasa sudah bersedia untuk berhadapan dengan keluarga Aulia.

“Masuk la mak. Mak... mak tak tidur sini ke?” soal Aulia sambil melentokkan kepalanya dengan manja pada lengan maknya.

Bebola mata Medina menangkap kelibat Puan Irma masuk ke dalam rumah bersama Aulia di sisi. Langkah kakinya terhenti di tangga. Matanya memandang ke pintu kayu. Mukanya yang ada secalit senyuman sebentar tadi, terus berubah menjadi masam tatkala melihat kelibat tunangnya.

Azfar memandang sekilas ke arah tunangnya yang masih berdiri kaku di atas tangga. Kemudian dia pantas mengambil tempat duduk di sofa yang ada di ruang tamu. Tiada niat mahu menegur si tunang pun.

“Medina.”

Perhatian Medina mulai beralih ke arah pintu semula. Dia membalas senyuman lelaki yang sudah menjadi ayah angkatnya itu. “Ayah.”

“Apa khabar?”

“Sihat, alhamdulillah.” Langkah yang terhenti, diteruskan. “Ayah? Mak?”

Encik Rasdan menutup pintu kayu setelah memastikan grill juga sudah dikunci. “Ayah sihat juga.”

“Mak pun,” jawab Puan Irma sambil mengukir senyuman buat Medina.

“Mak dengan ayah je ke?”

Medina menarik muka menyampahnya tatkala mendengar suara itu. “Sihat ke?” soal Medina acuh tidak acuh.

“Sihat. Awak?” soal Azfar.

“Tadi sihat wala’fiat, tapi bila jumpa satu ‘benda’ ni... terus terkena penyakit berbahaya. Jadi sakit pulak tetiba,” jawab Medina sambil mengambil tempat duduk di sofa yang bertentangan dengan Azfar. “Sakit hati,” sambungnya dengan nada perlahan.

Azfar hanya diam mendengar kata sinis itu. Dia tahu maksud tunangnya itu. ‘Benda’ yang disebut itu, merujuk kepada dirinya sendiri.

Puan Irma memanjangkan lehernya, memandang segenap penjuru. “Adik mana? Motor ada dekat luar mak tengok.”

“Adik tak balik lagi mak,” jawab Aulia.

“Adik selalu balik lambat ke?” soal si ayah pula.

“Eh, tak la. Adik mana jenis suka lepak dekat luar lama-lama. Tadi dia ada mesej Alang, bagitahu yang dia pergi kelas tadi dengan Maira dan Hafiz. Lepas tu Maira bawak dia makan malam dekat rumah Maira sebab hari ni kan hari jadi Ustaz Mukhriz.”

Puan Irma dan Encik Rasdan mengangguk. Baru mereka teringat, hari ini merupakan ulang tahun kelahiran majikan mereka; Mukhriz.

“Ustaz Mukhriz?” soal Azfar.

“Ye. Ustaz Mukhriz.” Aulia menjawab persoalan abangnya.

“Dia... CEO A&H Holding, kan? Pengasas Madrasah Mutiara, anak tiri kepada CEO Sulaiman Holdings; Puan Sarah tu, kan?”

Aulia mengangguk. “Ye.”

Mulutnya sudah tergangga, tidak menyangka adik bongsunya mempunyai kawan dari kalangan orang berada. “Adik... kawan dengan anak orang kaya?” soal Azfar lagi.

Siapa tidak kenal Puan Sarah? Anak kepada Tan Sri Sulaiman tu? Beliau merupakan antara tokoh wanita yang berjaya dan kaya di Malaysia. Anak-anaknya; Mukhriz, Nabila dan Fikri... masing-masing berharta. Pendek kata, semua ahli keluarga Puan Sarah... kaya-raya.

Aulia menjongketkan kening kirinya. “So, what kalau adik kawan dengan anak orang kaya? Alang tak rasa yang adik perlu buat laporan pada abang pasal tu. Lagipun, mereka dah kawan sejak kecik lagi. Mak dengan ayah pun tahu dan kenal la siapa Maira dan Hafiz tu.”

Azfar tersengih. “Tanya je. Tak sangka adik kawan dengan orang kaya.”

“Rezeki dia, biarlah. Lagipun, Maira dengan Hafiz tu... baik perangainya. Kan, mak?”

Puan Irma mengangguk setuju. Dia dan suami, kenal baik dengan Hafiz sejak Hafiz berusia 10 tahun lagi. Ini kerana mereka bekerja di Madrasah Mutiara, tempat Hafiz menuntut ilmu agama di situ. Humairah pula, merupakan anak saudara Mukhriz yang sering berkunjung ke madrasah jika berkelapangan dan kebetulan bersekolah di sekolah yang sama dengan Arfa sejak Sekolah Rendah. Sebab itu, anak bongsunya rapat dengan Hafiz dan Humairah.

“Tak apa ke bagi adik keluar dengan mereka? Selamat ke?”

“Tak perlu risau apa-apa la, bang. Adik kita akan selamat kalau keluar dengan Maira,” sambung Aulia sambil berdiri dan menuju ke dapur. Ingin mengambil air yang sudah dia siapkan awal-awal tadi.

“Kita tak boleh la percaya dengan orang bulat-bulat.” Azfar melepas satu keluhan berat. “Mana tahu, mereka ada niat tak baik.”

“Far, kami ni... dah kenal lama dengan keluarga Ustaz Mukhriz tu. Humairah dan Hafiz bila dengan Arfa... dah macam kembar dah. Hafiz tu, baik budaknya, Far. Ayah dengan mak dah masak sangat dengan perangai Hafiz tu. Lagipun, adik kamu ni,” Mulut Encik Rasdan dijuih ke arah Aulia yang sedang menghidang air teh di atas meja. “Kerja dengan Puan Sarah. Tak akan jadi apa-apa adik bongsu kamu tu. Jangan risau. Ayah berani jamin.”

Azfar membetulkan posisi duduknya. “Ikut la. Jangan sampai mereka gunakan kita untuk benda lain, sudah.”

“Far, tak baik tau cakap macam tu. Keluarga Ustaz Mukhriz tu, dari isteri dia sampailah ke anak saudara dia, semuanya baik je perangai. Kalau kamu nak tahu, duit kami hantar kamu belajar dulu tu, Ustaz Muhriz yang hulur tau. Nak harapkan gaji kami, tak merasa la kamu nak belajar sampai ada ijazah ni nak oi,” sampuk Puan Irma.

“Ayah bersyukur sangat kerja dekat Madrasah Mutiara tu. Kenal dengan Ustaz Mukhriz. Walau gaji kecik, tapi rezeki... melimpah. Tak pernah rasa tak cukup.” Encik Rasdan mengambil cawan di depannya. Dihurup air yang dibuat oleh Aulia.

“Kita sekeluarga ni patutnya bersyukur sebab kenal dengan keluarga Ustaz Mukhriz tu. Apa susah kita atau orang lain, mereka sedia hulurkan tangan untuk membantu. Sebab tu hidup mereka senang. Banyak tolong orang. Kan, mak?” Aulia melabuhkan punggung di sisi maknya.

“Betul,” sokong Puan Irma.

Medina hanya mendengar sahaja perbualan mereka. Tidak tahu mahu menyampuk di celah kata yang mana satu. Lagipula dia belum pernah berkesempatan untuk jumpa mana-mana nama yang disebut oleh keluarga di depannya ini. Kecuali, Hafiz dan Humairah. Ini kerana mereka yang menjemput Arfa ke kelas petang tadi. Dia boleh agak itulah Hafiz dan Humairah melalui apa yang dia dengar tadi dari mulut Aulia.

“Hafiz tu... kaya jugak ke?” soal Azfar. Ingin tahu. Entah mengapa, hari ini dia rasa ingin ambil tahu akan seluruh ahli keluarga kawan adik bongsunya. Selalunya, dia tidak suka ambil tahu.

Aulia mengangkat kedua bahunya. “Tak tahu. Sebab Alang cuma tahu dia tu ayah saudara Maira, adik angkat Ustaz Mukhriz. Dan dia... anak yatim piatu. Tu je la, bang.”

Azfar mengangguk.

“Ayah saudara?” sampuk Medina.

Aulia menoleh ke arah Medina. “Ye, kenapa? Tak percaya?”

“Nampak macam... kembar je Hafiz dan Maira tu,” ujar Medina.

“Memang susah nak percaya yang mereka tu, anak saudara dengan ayah saudara sebab mereka ni sebaya. Ini sebab mak Maira tu kahwin muda. Kahwin sejak sekolah.”

Medina mengangguk, faham. “Patut la.”

*****

HAFIZ memberhentikan kereta yang dipandunya betul-betul di hadapan rumah sewa Arfa. Dia menoleh ke arah Arfa yang duduk di belakang. Dia mengukir senyuman melihat anak saudaranya sedang mencium pipi Arfa kiri dan kanan. ‘Perempuan...’

“Esok, jangan lupa tau,” pesan Humairah tiba-tiba di saat Arfa baru sahaja sentuh tempat ingin membuka pintu.

Arfa mengerutkan dahinya. “Jangan lupa apa?” Tangannya membetulkan beg kertas yang dipegangnya.

Isi dalam beg kertas itu ialah lauk makan malam di rumah Puan Sarah tadi. Puan Sarah menyuruhnya membungkus makanan agar dia dapat beri kepada teman serumahnya sekepulangannya nanti.

Humairah tersengih. Dia mendekatkan mulutnya di telingga kanan Arfa. “Esok, naik dengan kami pergi kolej, okey?”

Arfa pantas menggeleng. “Tak nak la.”

“Apa yang anak dara berdua ni berbisik, ye? Mengumpat ke?” sampuk Hafiz.

“Tak baik tuduh. Maira ajak Arfa pergi kolej esok dengan kita la,” ujar Humairah.

Arfa menggeleng laju. “Tak nak la. Ada motor. Nanti mak, ayah, abang dan kakak aku marah la. Lagipun, tak suka la naik tumpang orang ni. Takut menyusahkan. Sorry ye?”

“Ala...”

“Maira, jangan la paksa Arfa,” ujar Hafiz.

Humairah mengecilkan matanya. Tajam dia memandang wajah Hafiz yang duduk di tempat duduk pemandu dan Arfa, silih berganti.

“Dah, jangan fikir lain.” Arfa menyentuh bahu Humairah. Tahu sangat apa yang difikirkan temannya itu. “Aku masuk dulu. Thanks untuk hari ni.”

Humairah tersenyum. “Thanks... sebab aku berjaya buat kau dengan pak su aku, jadi partner untuk assignment, kan?”

Arfa menampar lembut lengan kanan Humairah. “Tak ada benda lain ke nak fikir? Benda tu je la yang ada dalam kepala kau.”

“He’eleh, kalau suka tu... cakap je la.”

Arfa pantas mencubit pinggang Humairah.

Hafiz menahan ketawa. Kepalanya digeleng perlahan melihat telatah mereka berdua yang duduk di belakang, bahagian tempat duduk penumpang itu. Macam budak-budak.

“Sakit la.” Humairah menggosok bahagian tubuh badannya yang dicubit oleh Arfa sebentar tadi. Kemudian dia membulatkan matanya tatkala dia memandang halaman rumah Arfa.

“Dah kenapa mata tu?” soal Arfa. “Bulat tetiba.”

“Kau kata... kau tinggal dengan kakak kau, kan?”

Arfa mengangguk.

“Tu.” Arfa memuncungkan bibirnya ke arah lelaki yang sedang duduk di depan muka pintu rumah sewa Arfa. “Habis, siapa lelaki tu?”

Arfa menoleh, memandang ke tempat yang ditunjuk oleh Humairah. “Ooo... abang aku.”

Hafiz menekan hon sekali. Tangannya menekan punat untuk menurunkan cermin di bahagian tempat duduk penumpang di sebelah pemandu. Dia mengukir senyuman buat lelaki yang duduk di depan muka pintu rumah.

*****

BUNYI deruman enjin kereta dan hon, mengamit perhatian insan-insan yang ada di dalam rumah.

“Siapa tu?”

Aulia memanjangkan lehernya ke tingkap yang ada di ruang tamu. Tangannya menyelak langsir. Matanya melihat Arfa yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kawasan halaman rumah. Ditoleh ke belakang. Senyuman terukir buat insan yang sedang bertanya sebentar tadi. “Arfa, mak.”

Puan Irma mengangguk perlahan. Tangannya mengambil cawan yang berisi air teh panas di atas meja. Dihirup perlahan.

Aulia masih memerhati di balik langsir. Dia dapat melihat dengan jelas Azfar sedang bercakap sesuatu dengan Arfa. Argh! Dia sudah rasa tidak sedap hati. Macamlah dia tidak kenal dengan sikap mata duitan abangnya ini. Kesian Arfa, tak pasal-pasal jadi mangsa keadaan pula.

*****

“SEJAK bila pandai kawan dengan orang berada?”

Arfa hanya membisu. Malas mahu layan abangnya. Kasut yang baru dibuka olehnya, diletak elok ke rak.

“Lupa. Kau memang dari kecik kawan dengan anak jutawan. Hm... Hafiz tu... anak jutawan jugak ke? Nampak pakai kereta mewah. Mahal kereta tu.”

“Tak tahu dan tak nak ambik tahu.” Arfa membetulkan beg sandang di bahu.

“Macam mana kau tak tahu pulak?” Azfar sudah mengerutkan dahinya. Pelik rasanya. Seingatnya, Aulia ada memberitahu bahawa Arfa dari kecil lagi sudah berkawan dengan Hafiz. Jadi, mustahil Arfa tidak tahu sama ada Hafiz dalam kalangan orang berada atau tidak.

Arfa menjeling Azfar. “Bang, yang adik tahu, Hafiz ialah bapa saudara Maira. Dia kaya ke tak ke... adik tak tahu. Tak penting la.”

Azfar mengangguk perlahan. “Okey. Abang tanya je.”

“Abang datang sorang je ke?”

“Mak dengan ayah dekat dalam. Masuk la. Tiga puluh minit lagi... kami nak balik. Uusan abang pun dah selesai dah kat sini.”

“Okey. Adik masuk dulu.”

Azfar memandang adik bongsunya yang baru masuk ke dalam rumah dengan hujung matanya. 'Bodohnya adik aku ni. Kenapa la dia tak suka ambik tahu? Hm... aku siasat sendiri la. Untung-untung, dapat adik ipar jutawan. Senang hidup aku.' Satu senyuman nipis terukir di bibirnya.

*****

HUMAIRAH tersenyum-senyum melihat gelagat Hafiz yang sedang memandu di sebelah. Bapa saudaranya itu, dari tadi dia lihat senyum tak berhenti. Senyuman Hafiz dilihatnya semakin lebar saat bapa saudaranya itu melihat Arfa melayan karenah Masyitah tadi di rumah Puan Sarah. “Angau ke pak su?”

“Mana ada.”

“Ye... ke ni...”

Hafiz ketawa kecil.

“Jaga-jaga. Pak su kan... ustaz. Nanti kena debik dengan mama dan abi... baru tahu.”

“Maira... stop it.”

Humairah mencebik. “Kalau suka, cakap je la. Ni tak... nak simpan je. Nak simpan sampai bila Pak su? Sampai berjangut putih ke? Sampai jadi pekasam?”

Hafiz memberi isyarat ke kanan. Pertanyaan yang keluar dari mulut Humairah, dibiar tanpa ada rasa ingin menjawab. Entah la, dia sendiri rasa tidak pasti dengan perasaannya ketika ini.

“Pak su... orang tanya la.”

“Soalan Maira tu... tak ada jawapan dalam otak pak su,” jawab Hafiz. Matanya masih fokus dengan pemanduan.

“He’eleh. Tak ada konon. Padahal, dah ada lama dah. Kan?”

Hafiz hanya buat endah tak endah.

“Kalau suka... kahwin la dengan Arfa tu. Lagipun, pak su... kan mampu.”

Hafiz menjeling anak saudaranya dengan hujung matanya.

“Hm... Pak su tahukan Arfa suka pak su?”

“Ye ye je Maira ni. Entah-entah tak betul.”

“Ye, betul,” ujar Humairah dengan yakin dan pasti.

Hafiz hanya tersenyum.

Humairah mendengus. Bosan sudah rasanya berdua dengan bapa saudaranya ini. Ye la, tanya sikit... jawabnya pun sedikit. Bosan la. Dia sudah tiada topik untuk dibualkan.

“Maira, mama... tak suka pak su kahwin muda tau. Lagipun, soal kahwin ni... isu yang besar la. Pak su ada tanggungjawab tak selesai lagi,” Hafiz mula berkongsi cerita dengan Humairah. Dia yakin, Humairah tidak tahu akan hal itu.

Hal dimana Nabila melarangnya bercita-cita ingin berkahwin dalam usia muda. Jangan harap dan berangan. Sekali kakaknya itu kata ‘tidak’, maka tidaklah. Jangan cuba-cuba nak tukar. Bimbang keluar asap dari kepala Nabila pula nanti.

Humairah pantas menoleh ke arah Hafiz.

“Jadi, pak su harap sangat, Maira janganlah usik Arfa macam tu lagi. Kesian dia.”

Humairah sudah menunduk. Jari dari tangan kanan dan kiri, mulai bermain dengan beg berbulunya. Dipintal-pintal bulu-bulu yang ada.

“Maira kawan baik Arfa, kan? Jadi fikir... baik ke seorang kawan usik kawan dia macam tu depan family macam yang Maira buat pada Arfa tadi? Cuba Maira letakkan diri Maira dalam diri Arfa. Suka tak orang buat macam tu?”

Humairah hanya diam. Muncung sudah ke depan.

Hafiz memandang sekilas ke arah anak saudaranya. “Jangan marah, pak su tegur dengan niat baik.”

Humairah mengangguk lemah. “Tapi... Maira buat sebab sayangkan Arfa.”

“Sayang ada cara yang lain kalau nak tunjuk, Maira.”

“Tapi... Arfa sukakan pak su.”

Hafiz diam.

“Pak su, dah lama dia kawan dengan kita. Pak su dah boleh nilai Arfa tu macam mana orangnya. Dia kawan dengan kita bukan sebab harta. Jadi, Maira yakin dia suka pak su, sebab who you are. Pak su... tak suka Arfa ke?”

Hafiz mengeluh. Kereta diberhenti di bahu jalan. Gear ditolak ke atas, pada P. Dia memusingkan sedikit badannya ke arah Humairah. “Pak su mengaku... pak su sukakan dia. Tapi... pak su dah janji dengan mama yang pak su tak akan kahwin atau bercinta semasa tengah belajar ni.”

Humairah berbalas pandang dengan bapa saudaranya. Matanya sudah dikerlipkan beberapa kali. ‘Serius ke ni? Pak su sukakan Arfa? Yahooo! Misi berjaya! Kali ni... aku kena pastikan pak su dan Arfa tak berubah hati je.’

“Jadi... Maira tolong la pak su. Jangan usik pak su macam apa yang Maira dah buat hari ni. Jangan usik Arfa dengan pak su lagi, lebih-lebih lagi depan mama. Mama tak suka. Maira suka ke tengok pak su kena marah dengan mama?”

Humairah menggeleng.

“Jadi... please behave yourself. Boleh?”

“Oookey.”

“Janji?”

Humairah mengangguk.

“Ni... rahsia kita berdua. Jangan beritahu Arfa.” Hafiz sudah membuat muka serius. Bimbang dia sekiranya Humairah membocorkan rahsia ini. Malu dia setahun! Setahun tu boleh lagi. Macam mana kalau untuk sepuluh tahun? Atau selama-lamanya. Tak sanggup dia membayangkannya.

“Satu soalan.”

Hafiz memandang lama wajah Humairah.

“Bila nak beritahu?”

Hafiz tersenyum. “Insya-Allah, soon.” Selamba sahaja dia membalas. Entah la. Dia sendiri tidak dapat tafsirkan itu semua dalam bentuk apa-apa. Rasa hatinya kuat mengatakan tidak lama lagi isi hatinya itu akan diketahui oleh Arfa tidak lama lagi.

Humairah sudah mengerutkan dahinya. ”Soon?”

Hafiz tersenyum lebar. Tangannya mula menarik gear untuk menggerakkan kereta. “Doakanlah yang terbaik untuk pak su dan Arfa ye?”

Humairah sudah terpingga-pingga. “Kata... mama tak suka. Ini... kata soon pulak. Eee, tak faham la.” Humairah sudah menggaru kepalanya yang berbalut tudung itu.

“Tak payah faham.”

Humairah membulatkan matanya. “Pak su! Jahat.”

“Macam budak-budak.”

Tangan Humairah sudah ke tempat duduk belakang. Ingin mengambil bantal kecil untuk menutup mukanya. “Memandulah sorang-sorang!”

“Mana ada sorang. Kan ada orang sebelah ni.”

“Nak tidur.”

“Tidur la wahai anak saudaraku.”

Humairah menjulur lidah di balik bantal kecil.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku