Keranamu, Hidayah
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
“Hadirmu... merubah dunia dan hatiku.”
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
790

Bacaan






SYAFINAZ membelai rambut Rayyan dengan penuh kasih sayang. Tangannya perlahan-lahan menyisir rambut anak buahnya itu dengan cermat. “Rayyan.” Syafinaz memanggil Rayyan yang duduk membelakanginya di atas katil.

Rayyan hanya diam.

“Keluarga papa... baik, kan dengan kita?”

Rayyan mengangguk.

“Rayyan suka tak?”

“Maksud mama... apa?”

Tangan Syafinaz berhenti bergerak. “Rayyan suka tak... kita... tinggal sini?”

“Suka,” jawab Rayyan dengan senyuman. Dia suka dengan layanan baik keluarga Fikri kepadanya.

Syafinaz sudah tersenyum lega mendengarnya. Bimbang hatinya tadi sekiranya Rayyan tidak suka atau tidak selesa untuk tinggal di sini. Almaklumlah anak buahnya ini diam sahaja seharian.

Tubuh anak buahnya dipeluk. Dagunya diletak di atas bahu kiri Rayyan. “Mama nak Rayyan janji dengan mama sesuatu, boleh?”

“Boleh.”

Syafinaz menghulurkan jari kelingking kanannya di depan wajah Rayyan. “Janji dengan mama, satu hari nanti... Rayyan kena balas jasa papa.”

“Nak balas macam mana?” soal Rayyan dengan polos. Jari Syafinaz dibiar tidak bersambut.

Syafinaz mengoyangkan tubuhnya ke kiri dan kanan sedikit sehingga menyebabkan tubuh kecil Rayyan turut bergoyang sama. “Jadi anak yang baik untuk papa, dengar kata papa. Bila dah besar nanti... mama nak Rayyan berbakti pada papa. Buat perkara yang baik untuk Rayyan dan papa.”

Rayyan hanya mendiamkan diri.

“Masyitah tu... anak papa. Jadi Rayyan tak boleh nak buat jahat pada dia. Tak boleh cemburu, kalau papa dengan Masyitah. Tau?” Sempat lagi Syafinaz mengingatkan hal itu.

Selama Fikri menjaga Rayyan... Fikri sangat memanjakan Rayyan. Sebab itu, dia diulit rasa takut dan bimbang sekiranya Rayyan tidak boleh terima kenyataan mengenai hubungan antara Masyitah dan Fikri.

Rayyan mengangguk lemah.

“Janji?” Sekali lagi Syafinaz menghulurkan jari kelingkingnya di hadapan Rayyan.

Rayyan mengangguk lagi. Perlahan-lahan dia memaut jari Syafinaz dengan jari kelingkingnya.

Good boy.” Syafinaz mencium kepala Rayyan.

“Ma...”

“Ye.”

“Papa... sayang Rayyan lagi, kan?”

Terhenti goyangan tubuh badannya tatkala dia mendengar soalan yang tidak disangka-sangka akan ditanya oleh Rayyan. Dia dapat rasa yang Rayyan mungkin terasa hati akan situasi yang berlaku tadi. Di mana, Rayyan ada mengajak Fikri untuk tidur bersama, namun Fikri menolak dengan lembut kerana Fikri mahu tidur dengan Masyitah malam ini.

Rayyan memusingkan badannya ke belakang, memandang wajah Syafinaz. Posisi duduknya di atas katil, dikemaskan agar lebih selesa. “Rayyan nampak, papa... macam dah tak sayang Rayyan je, ma,” adu Rayyan.

Tersentak Syafinaz mendengar apa yang Rayyan katakan. Tangan kanannya mengusap pipi anak kecil yang duduk di hadapannya. Senyuman terukir di bibir. “Jangan cakap macam tu. Papa sayang Rayyan.”

“Rayyan tahu, Rayyan bukan anak papa macam Syitah tu.”

“Masyitah, sayang. Bukan Syitah.” Syafinaz membetulkan nama yang disebut oleh Rayyan. “Ma... syi... tah.”

“Tak kisah la, ma. Lebih kurang dah tu apa yang Rayyan sebut.”

Syafinaz ketawa kecil sambil kepalanya diangkat ke atas sedikit, memandang ke arah pintu bilik yang memang sengaja dibiarkan terbuka dari tadi. Mudah untuk Fikri masuk nanti untuk berjumpa Rayyan.

Terkejut dia melihat susuk tubuh Fikri yang bersandar di dinding, tidak jauh darinya.

Fikri pantas meletakkan jari telunjuk kanannya di bibir. Kepalanya turut digeleng perlahan. Memberi isyarat agar Syafinaz terus mendiamkan diri. Jangan sampai Rayyan tahu dia sedang berdiri betul-betul di belakang Rayyan.

Syafinaz tersenyum.

“Papa dah jumpa anak papa. Mama rasa, papa sayang Rayyan lagi ke?” soal Rayyan lagi. Dia takut sekali sekiranya Fikri sudah tidak sayang pada dirinya lagi.

Syafinaz hanya diam. Tidak tahu mahu berkata apa.

“Papa...” Fikri melabuhkan punggungnya di belakang Rayyan sambil memeluk tubuh kecil itu dari belakang. “Sayang gila dengan dia.” Satu ciuman mesra hinggap di pipi kiri Rayyan.

“Anak papa?” soal Rayyan.

Fikri mengangkat tubuh Rayyan ke belakang sedikit agar kedudukan mereka lebih rapat. “Rayyan anak papa. Masyitah pun anak papa. Dua-dua papa sayang.”

Rayyan hanya diam.

“Finaz, turun bawah dulu la bang.” Syafinaz meletakkan sikat di atas meja kecil di sisi katil sebelum melangkah keluar dari bilik. Memberi ruang untuk Fikri berdua dengan Rayyan. Lagipun, tidak manis untuknya berada sekali di situ.

“Rayyan sayang papa. Rayyan tak nak hilang papa macam Rayyan hilang papa betul Rayyan,” terluah juga isi hati Rayyan. Air matanya mengalir perlahan. “Kalau papa dah tak sayang Rayyan, Rayyan dah tak ada papa lagi dah.”

Fikri membelai rambut anak angkatnya. “Kalau papa tak sayang, papa tinggalkan je Rayyan dengan mama kat Australia. Tapi papa tak buat macam tu kan?”

Rayyan mengangguk.

“Jadi... itu tandanya papa sayang la kat Rayyan.”

“Tapikan papa... anak papa tu macam tak suka je kat Rayyan. Asal papa dekat dengan Rayyan, mesti dia buat muka dia yang tak comel langsung tu. Menyampah Rayyan tengok. Macam la kita nak rampas papa dari dia.”

Fikri tersenyum. Alahai budak-budak. “Rayyan kawan la dengan Masyitah. Sembang dengan dia, main dengan dia. Nanti... lama-lama mesti Masyitah suka. Rayyan janganlah diam je.”

Rayyan mencebik. Kepalanya digeleng laju. “Pa, Rayyan tak suka dia. Banyak sangat bercakap, pening kepala Rayyan nak dengar. Lepas tu asyik nak marah-marah je. Tak suka la pa.”

“Janganlah macam ni. Tak suka pulak.” Fikri menggelengkan kepalanya. Hidung kecil Rayyan dicuit. “Masyitah tu... baik. Mungkin dia teruja sebab dapat kawan baru, ke? Tu yang banyak cakap.”

Rayyan mengeluh panjang. Laju tangannya memeluk tubuh Fikri.

“Rayyan sayang papa, kan?” Pelukan Fikri di balas.

“Sayang.”

“Cuba ye, berbaik dengan Masyitah. Demi papa.” Fikri mencium atas kepala Rayyan.

*****

“OOO... ukhti rupanya. Masuk la.” Hafiz meluaskan bukaan pintu biliknya, memberi ruang agar Nabila masuk ke dalam.

Nabila memandang sekilas ke arah Hafiz sebelum melangkah masuk ke dalam bilik. Hafiz sudah berpakaian lengkap, namun rambutnya masih basah. Pasti baru sahaja selesai mandi. “Ukhti... ganggu masa rehat Fiz?” Bimbang sekiranya dia menganggu adiknya yang seorang ini.

Hafiz pantas menggelengkan kepalanya. Dia mengukir buat kakak seibunya yang berdiri di hadapannya. Tuala di tangannya, diletak di atas kepala lalu digosok perlahan. Ingin mengeringkan rambut yang basah.

Nabila mengambil tempat duduk di kerusi yang ada di depan meja belajar. Meja itu dilihat sedikit berselerak, menandakan Hafiz ada menggunakan meja tersebut. Jarinya menekan mana-mana papan kekeunci pada komputer riba milik Hafiz. Terpamparlah gambar Tan Sri Taufiq dan Puan Sri Ayu sebagai background.

Hafiz berlalu ke tempat menyidai tuala yang ada dalam bilik tetamu. Tidak hairan sikitpun dia dengan tingkah laku kakaknya yang mahu menyelidik aktivitinya melalui komputer riba itu. Dia sudah terbiasa dengan sikap Nabila sebegitu. Kalau orang lain, mungkin sudah marah tapi tidak bagi dirinya.

“Apa... pandangan Fiz, tentang Arfa?” Tangan Nabila mengambil telefon bimbit milik Hafiz. Ingin melihat gambar apa yang adiknya gunakan sebagai wallpaper. Satu senyuman terukir di bibir. Gambar yang sama dengan gambar yang digunakan di komputer riba. Dia tahu, inilah cara Hafiz melepaskan rindu pada orang tua mereka yang telah pergi.

Hafiz mengerutkan dahinya. Dia menoleh ke kanan, memandang wajah Nabila di meja.

“Bukan pandangan sebagai kawan... but... more than that relationship.” Nabila memandang tepat anak mata Hafiz.

Ukhti...” Hafiz melabuhkan punggungnya di atas katil. “Soalan ukhti... pelik.” Matanya memandang wajah si kakak yang menjaganya ibarat anak sendiri setelah dia kehilangan orang tua dalam kemalangan jalan raya. Kakak tempatnya bergantung hidup dan merasa sayang seorang ‘mama’ dan pada masa yang sama dia juga dapat rasa kasih seorang kakak.

Nabila tersenyum.

Ukhti ni, senyum pulak.”

Nabila melepas satu keluhan. Diangkat punggung dari kerusi dan dilabuhkan di sisi Hafiz. “Ada niat nak jadikan... Arfa halal untuk Fiz tak?”

Hafiz ketawa kecil. “I’m 21, ukhti. Belajar pun tak habis lagi. Perjalanan hidup Fiz masih jauh dan panjang. Lagipun, masih ada tanggungjawab besar yang Fiz tak selesaikan lagi.”

“Tanggungjawab apa yang tak selesai tu? Ambil alih syarikat papa?”

Hafiz mengangguk.

“Fiz, ada perasaan pada Arfa?”

Hafiz terdiam.

“Tak kan... korang kawan je? Ye la, dah lama Fiz kenal dia, kan?” Nabila cuba mencungkil rahsia hati adiknya yang seorang ini.

Hafiz merenung anak mata Nabila. “Pelik. Tak ada angin, tak ada ribut... ukhti tanya soalan cepu mas ni pada Fiz. Kenapa ni ukhti?”

“Kalau suka... kata suka. Senang, kan?”

“Maira... ada cakap apa-apa pada ukhti ke?” duga Hafiz. Bimbang dia sekiranya Humairah membocorkan rahsia yang dia ada menyimpan perasaan terhadap Arfa kepada Nabila. Malu!

Nabila menggeleng. “Tak ada pulak. Kenapa? Ada apa-apa yang ukhti perlu tahu dari anak saudara kesayangan kamu tu ke?”

Hafiz menelan air liurnya. Terasa kesat pulak.

“Hidayah dan Arfa... mana satu yang bertakhta di hati Fiz?”

“Kenapa sebut nama Hidayah pulak ni? Kami kawan je. Lagipun dah lama tak jumpa dia.”

“Jadi Arfa lebih dari kawan la ye?”

Ukhti.”

“Ye la, sebut nama Hidayah laju je bagi jawapan. Pasal Arfa... diam.”

Hafiz mengeluh. “Dengan Arfa pun kawan la ukhti.”

“Ooo... kawan yang istimewa di hati ke?”

Hafiz mengecilkan kedua kelopak matanya memandang wajah si kakak. Dia dapat rasa kakaknya ini lain macam perangainya pada malam ini. Tidak seperti selalu. ‘Anak dengan mak sama je perangai tau. Lepas tu sama-sama pelik hari ni.’

“Nak ukhti masuk pinang Arfa untuk Fiz?”

Zup!

Merah wajah Hafiz mendengar apa yang kakaknya katakan.

Nabila menggelengkan kepalanya tatkala melihat air muka adiknya. Tahu sudah apa yang tersimpan dan yang tersemat di dalam sudut hati jejaka di depannya ini.

“Bukan... ukhti tak suka ke kalau Fiz kahwin muda? Kenapa sampai nak masuk pinang pulak ni?”

“Sebab, ukhti tengok adik ukhti ni macam dah kena penyakit angau yang serius. Senyum je memanjang bila pandang gelagat Arfa tadi. Muka pulak cepat sangat merah bila Maira mengusik macam tu. Kalau Fiz tak ada apa-apa perasaan... kenapa rasa malu sampai merah muka?”

“A... a... Fiz malu la kena usik depan Aunty Sarah dan semua orang tadi.”

“Macam tak biasa dengan Maira. Fiz membesar dengan dia patutnya dah biasa. Lainlah Arfa. Datang sebagai tetamu, tapi diusik macam tu. Itu... ukhti faham la kalau muka merah semacam.”

Hafiz mengigit hujung bibirnya. Kuat.

“Nak ke tak nak ni ukhti masuk pinang Arfa?”

Hafiz diam seketika. Satu nafas berat dilepaskan. “Perlu ke?”

Ukhti tak suka adik ukhti yang berpangkat ustaz ni... buat hal. Malu keluarga kita nanti, Fiz. Orang ada agama ni setan yang kacau pangkat tinggi. Bahaya. Lagipun Akhi Riz pun ada rasa, ada baik kalau kami bagi Fiz kahwin dari angau macam ni.”

“Ya Allah, ukhti... Fiz masih waras la. Tak kan la Fiz nak malukan keluarga kita.”

“Tahu, tapi kalau dah sampai tahap tersengih sorang-sorang, risau ukhti melihatnya dik oi. Baik bagi je kahwin. Dapat pahala banyak dari dosa.”

Ukhti kan dah bagi amaran dulu?” Hafiz mengingatkan. “No married or couple when study?”

Nabila memandang lama wajah Hafiz. Terasa disindir pula. “Mungkin.... untuk kes Fiz dan Arfa.... ukhti bagi keistimewaan. Tapi hanya untuk Arfa la ye? Kalau perempuan lain... maaf. Tak boleh, faham? Tak-boleh.”

“Kenapa hanya dengan Arfa, ukhti bagi kelongggaran?”

“Sebab ukhti kenal dia dari dia darjah satu. Dah 14 tahun ukhti kenal dia. And I like her. Ukhti tahu dia macam mana, sikap dia dan tabiat dia. 14 tahun bukan satu masa yang singkat, kan untuk kenal seseorang?”

Hafiz sudah tersenyum-senyum. Dia akui tempoh itu sangat lama. Kakaknya lebih lama mengenali Arfa berbanding dirinya yang baru 11 tahun mengenali Arfa.

“Senyum-senyum!”

Hafiz tersengih.

“Nak ke tak? Tawaran dibuka malam ini sahaja. Malam-malam akan datang atau hari yang mendatang, kaunter ditutup!”

Hafiz bangun dari terus duduk di atas katil. Dia melabuhkan kedua kepala lututnya ke lantai. “Ukhti... restu?”

Nabila ketawa mendengar apa yang adiknya katakan. “Dah macam apa je sampai mintak restu bagai.”

“Bagi Fiz, ukhti bukan sahaja kakak Fiz... tapi juga mama bagi Fiz. Restu tu penting kan dalam perkahwinan? Dan Fiz memerlukannya.”

“Amboi!”

Merah wajah Hafiz bila kakaknya berkata sebegitu.

“Fiz ada restu ukhti.”

Really?”

Nabila mengangguk.

*****

AULIA mengerutkan dahinya. “Apa ni?” Dia sudah bercekak pingang di depan pintu.

“Mak kata... ni surat cerai aku. Mak bagi sebelum mak balik tadi.”

Then, kenapa bagi aku? Ni kau punya.” Aulia menolak sampul coklat di tangan Medina ke arah dada temannya. “Simpan la.”

“Tolong simpankan, boleh?”

“Agak la. Ni surat penting untuk kau tahu? Mana tahu kau nak nikah nanti.”

“Bila aku pegang benda ni, dada aku berdebar kuat gila. Aku rasa nak bukak dan baca je surat ni, tapi... aku rasa, aku tak cukup kuat. Aku takut.”

Aulia mengeluh panjang. “Ni la peluang kau nak cari ingatan kau. Mana tahu, kau jumpa balik ex kau ke? Boleh tanya apa yang kau tak ingat.”

Medina terdiam terkaku.

“Apa nak takut? Bukak dan baca je pun. Tak kena bayar dan tak ada siapa nak marah.”

“Kau tak faham apa yang aku rasa. Aku... takut. Mana tahu, memori aku hilang penyebab asalnya sebab ex aku ke? Lagipun dulu kau pernah cakap, ada hikmah ingatan aku hilang. Mana tahu ingatan yang aku tak ingat tu... melukakan aku? Luka yang tersangat. Sebab tu, Allah hilangkan dari memori aku. Sebab Dia sayang pada aku dan nak memudahkan aku untuk move on. Kan?”

Aulia menggeleng-ngelengkan kepalanya. “Atau... kau sebenarnya pengecut. Tak nak tahu realiti yang dah jadi dalam hidup kau?”

Medina terdiam.

“Dah ada peluang, tak salah kau cuba.”

Medina menunduk ke bawah.

Melihat reaksi kecewa Medina, Aulia menghulurkan tangannya. “Bak sini.”

Medina tersenyum. “Tolong simpankan, ye. Bila aku dah kuat nanti, aku mintak balik.”

Aulia mengangguk.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku