LOVE YOU, Miss Hilang Ingatan!
BAB 3
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
528

Bacaan






TERSEMBUR air kopi yang diminum Wak Surijo. Serta-merta matanya memandang ke arah atas, bilik Cik Mudanya. Begitu juga Mak Jenab.

“Waduh, kenapa tu?,” tanya Wak Surijo dengan muka pucatnya. Mak Jenab hanya menggeleng. Mukanya juga sudah berubah pucat. Aduh, ini pasti ada yang tidak kena. Dengar sahaja jeritannya sudah pasti ada sesuatu tak kena telah berlaku.

“Mak Jenabbb!!,” jerit Sophiea dari biliknya.

Mak Jenab terkejut. Dia kaget seketika. Matanya membesar melihat bilik Sophiea. Jantungnya sudah berdebar-debar ingin meletup.

“Waduh, kok non panggil nama kamu? Pergi Jenab. Pasti ada sesuatu tak kena. Pergi, cepat-cepat!,” desak Wak Surijo.

Mak Jenab menelan liur. Dia berkira-kira untuk pergi ke bilik Cik Mudanya. ‘Lah, kenapa dia panggil nama aku? Hish, lain macam pula rasa ni,’ bisik Mak Jenab seram sejuk.

“Mak Jenabb!!!,”

“Hah, ye-ye! Mak Jenab datang ni,” jawab Mak Jenab sambil terkocoh-kocoh mendaki tangga menuju ke bilik Sophiea.

Sophiea mengerut mukanya. Sebelah tangannya sudah menekup hidung. Matanya masih tajam melihat pepejal bewarna keemasan yang terletak elok di atas katilnya itu. Mak Jenab perlahan-lahan muncul di pintu bilik Sophiea. Kepalanya sedikit menunduk. Liurnya sudah beberapa kali ditelan.

Sophiea pantas berpaling melihat Mak Jenab yang baru muncul di pintu biliknya. Mukanya semakin berkerut memandang wajah Mak Jenab. Kembang kuncup kembang kuncup hidungnya menahan marah.

“Mak Jenab! Tengok ni! Kan saya cakap jaga Melah tu elok-elok! Kan dia dah membuang najis dekat atas katil saya. Eii! Geramnya saya! Mana Melah tu? Mana kucing tuu?!,” jerit Sophiea seperti orang hilang akal.

GULP! Mak Jenab meneguk liur. Alamak! Matanya meliar ke kiri kanan.

“Mak Jenab, mana kucing tuu?!,” tanya Sophiea lagi dengan matanya terjegil.

“Err… err…,” mata Mak Jenab bergerak ke kiri.

“Me… Melah… Melah…,” sejujurnya dia tak tahu Melah hilang ke mana. Akibat dia teruja mendengar cerita Cik Mudanya daripada Wak Surijo, dia sudah terlupa akan kewujudan Melah.

Aduh! Mak Jenab menepuk dahi. Matilah dia macam ni.

“Mana kucing tu Mak Jenab?,” tanya Sophiea dengan nada yang agak kasar. Kemarahannya sudah tidak dibendung lagi. Jika dia jumpa dengan kucing itu, pasti akan dikerat 18 badan makhluk comel itu.

“Mak Jenab!,”

Miow! Tiba-tiba kelihatan Melah sedang berjalan di hadapan Sophiea dengan selambanya. Sempat lagi dia meregangkan badannya lalu meneruskan semula langkahnya menuju ke luar bilik Sophiea.

Mata Sophiea lantas membulat memandang makhluk comel itu. Dengan gigi yang diketap-ketap dia lantas berlari dan mengangkat Melah dengan kasar.

‘Jangan!,’ mata Mak Jenab sudah membulat. Alamak! Pasti mati kucing itu dikerjakan oleh Cik Mudanya nanti.

“Oh, kau dah melepaskan hajat dekat atas katil aku, kau boleh tayang muka selamba kau dekat aku. Siap kau kucing. Terimalah pembalasan kau sekarang!,” ugut Sophiea sambil membesar-besarkan matanya menatap wajah comel Melah. Dengan muka yang berkerut, Sophiea mendukung Melah lalu melangkah keluar dari biliknya. Langkahnya langsung laju menuruni sati-persatu anak tangga lalu menuju ke pintu utama. Mak Jenab yang menyaksikan kejadian tersebut lantas berlari mengikuti langkahan Sophiea.

“Cik Muda, Cik Muda nak buat apa dengan kucing Encik Ryan ni? Kalau Encik Ryan tahu, mesti dia marah Cik Muda,” pujuk Mak Jenab.

Sophiea hanya memekakkan telinganya sahaja dari mendengar pujukan daripada Mak Jenab. Langkahnya semakin laju menuju ke kereta.

“Aduh, Cik Muda, jangan buat apa-apa dekat kucing Encik Ryan tu Cik Muda. Kasihan dia Cik Muda,” pujuk Mak Jenab lagi. Sophiea tidak ambil peduli dengan pujukan Mak Jenab. Nanar di hatinya sudah tidak dapat ditahan. Dia membuka pintu kereta lalu membolos masuk ke dalam kereta tersebut. Melah dicampak ke tempat penumpang. Pintu keretanya ditutup kuat. Kunci dipulas lalu dia menekan-nekan pedal minyak. Tidak sampai lima saat, kereta Mercedenz Benz miliknya meluncur laju keluar dari perkarangan banglonya.

Mak Jenab sudah ternganga. Wak Surijo yang perlahan-lahan muncul di sebelah Mak Jenab menggaru-garu kepala melihat tindakan Cik Mudanya itu.

“Ngapain tu?,” tanya Wak Surijo. Mak Jenab sudah mencemik muka. Hujung apron digigitnya. Aduh, matilah aku!


SOPHIEA ADELLINE menekan pedal minyak dan memandu laju keretanya menuju ke satu kawasan yang jarang dilalui orang ramai. Dia memandang sekeliling. Bibirnya tiba-tiba tersenyum senget. Inilah tempatnya! Dengan perlahan, Sophiea menghentikan keretanya di bibir jalan. Dia menarik handbreak lalu memandang kucing parsi di sebelahnya.

“Kita dah sampai!,” ujar Sophiea sambil tayang muka psikopatnya di hadapan kucing tersebut.

Miow! Hanya itu sahaja jawapan yang diberikan oleh Melah. Ah, lantak! Bukan itu yang Sophiea mahukan. Dia mendukung Melah lalu membolos keluar dari keretanya itu. Matanya memandang sekeliling. Perfect! Jarang ada orang lalu di sini. Kawasan terpencil. Ada sungai di bahu jalan tersebut. Bolehlah Melah membasahkan tekaknya apabila haus nanti. Tempat yang sempurna untuk Melah.

Sophiea tersenyum senget. Dia meletakkan Melah di bahu jalan. Dia merendahkan sedikit tubuhnya dan matanya menikam tepat muka Melah.

“Sekarang, nilah rumah kau,” ujar Sophiea dengan senyuman jahat di bibir. Dia berdiri tegak dan ketawa jahat untuk seketika. Kedua-dua tangannya di diusap berulang kali. Matanya menjeling tajam wajah Melah. Bibirnya tersenyum sinis di saat memandang haiwan comel itu. Dia membetul-betulkan sedikit jubah mandinya lalu menjeling Melah dan melangkah masuk ke dalam keretanya.

Sebelum dia meninggalkan Melah, sempat lagi dia menurunkan cermin keretanya lalu memandang sinis muka Melah untuk terakhir kalinya.

“Hidup baik-baik ye dekat sini. Jangan sampai kena langgar,” sinis Sophiea lalu menekan minyak dan memandu laju keretanya meninggalkan Melah sendirian. Melah hanya melihat sahaja kereta Sophiea yang semakin jauh meninggalkannya.

Miow!

*****

SAIEDON sudah bersiap-siap untuk pergi ke dusunnya. Dia duduk di atas tangga rumah papan milik neneknya. But bewarna hitam yang terletak elok ditepi tangga diambil lalu but tersebut disarung ke kakinya.

“Saiedon, kau dah nak pergi ke dusun ke?,” tanya Nek Miah yang baru muncul di muka pintu. Saiedon yang baru menyarung butnya terkejut sedikit tatkala ditegur neneknya sebegitu.

“A’ah nek. Idon nak tengok pokok-pokok dekat dusun tu. Nak check kalau-kalau baja dah habis ke tak. Nak tengok pokok mana yang berbuah musim ni. Dengan… nak check sekali Mail tu hidup ke tak jaga dusun Idon,” seloroh Saiedon.

PAPP! Bahu Saiedon ditepuk kuat Nek Miah.

“Aduh! Kenapa nenek pukul Idon? Apa salah Idon?,” tanya Saiedon dengan muka berkerut seribu. Bahu yang baru ditepuk Nek Miah digosok-gosok dengan laju.

“Kau ni, tak baik cakap budak Mail tu macam tu. Mail tu baik budaknya. Cuma lurus sikit je. Kau jangan main-mainkan dia pula. Gaji dia kau bayar. Kasihan budak tu. Hidup pun dengan Mak Biah dua orang. Ingat pesan nenek tu,” pesan Nek Miah bersungguh-sungguh. Saiedon hanya mencebik. Dia membetulkan topi kebun yang tersangkut di bahunya.

“Yelah nek. Idon ingat pesan nenek tu. Takkanlah Idon nak aniaya si Mail tu. Idon dah anggap dia macam adik Idon sendiri dah. Nenek jangan risaulah. Idon akan jaga si Mail tu baik-baik,”

“Hah, baguslah macam tu. Ingat Idon, kalau kita buat baik dekat orang, akan datangnya rahmat pada kita. Berbuat baik jangan minta balasan. Tak baik! Ingat pesan nenek tu,” pesan Nek Miah lagi.

“Ye nek. Idon ingat semua pesan nenek tu. Dah hari-hari nenek pesan dekat Idon macam tu, takkannya Idon tak ingat. Nenek, Idon pergi dulu ye. Mail dah lama tunggu Idon tu. Kasihan dia. Nenek pun cakap jangan aniaya dia kan. Idon tak nak aniaya dia. Idon pergi dulu ye nek,” tangan Nek Miah diambil lalu diciumnya. Nek Miah hanya mengangguk.

“Yelah. Kau tak nak bawa bekal sekali ke Idon? Banyak nasi tu dekat rumah,”

“Tak pelah nek. Idon makan bila dah balik nanti. Nenek jaga diri elok-elok dekat rumah. Kalau ada orang tak kenal masuk, nenek jerit aje kuat-kuat. Insha ALLAH Idon dengar nanti,” gurau Saiedon sambil tersengih. Saja ingin mengusik nenek kesayangannya itu.

“Ha yelah. Kau tu hati-hati bawa lori tu,”

“Ye, nek. Assalammualaikum!,” laung Idon seraya mula membolos masuk ke dalam perut lori berkepala putih itu.

“Waalaikummussalamwarahmatullah…,” jawab Nek Miah dengan mata berkedutnya memandang Saiedon yang mula memandu lorinya keluar dari perkarangan rumah mereka.


SOPHIEA melangkah masuk ke dalam banglo tiga tingkat itu dengan wajah yang bengis. Kakinya langsung melangkah terus menuju ke biliknya. Dari jauh, kelihatan figura Mak Jenab dan Wak Surijo bersembunyi di sebalik dinding di antara dapur dan ruang tamu rumah tersebut. Jelas kelihatan ketakutan terpancar di wajah mereka berdua. Tanpa sedar, perlahan-lahan bahu Mak Jenab ditepuk Wak Surijo.

“Nab…,”

“Oi, mak tergolek! Eh! Eh! Hish, Surijo! Kau buat apa ni? Buat terkejut orang je,” marah Mak Jenab dengan mukanya berona merah.

Wak Surijo sudah menutup mulutnya. Dirinya sudah berasa bersalah dengan tindakannya tadi. Tidak sangka perbuatannya itu telah membuatkan Mak Jenab terkejut sebegitu rupa.

“Ma… Maap Jenab. Aku nggak tahu boleh bikin kamu terkejut sampe gitu skali. Maap ya,” mohon Wak Surijo bersungguh-sungguh.

Mak Jenab hanya menjeling. Dia mengeluh nipis lalu melihat wajah bersalah Wak Surijo.

“Tak ada apalah. Kenapa kau ada dekat sini? Buatlah kerja sana,” arah Mak Jenab.

“Err… iya-iyalah. Aku pun bingung ngapain aku bisa sampe di sini. Tadi di luar, tiba-tiba aja sudah ada di sini. Mungkin lihatin non muda kayak gitu bikin aku nggak sedar yang aku sudah sampe di sini. Udahlah, aku pergi buat kerja dulu. Takut dimarahi non muda lagi. Aku pamer dulu ya,” ujar Wak Surijo lantas berlalu dari situ. Mak Jenab hanya mencebik. Kepalanya digeleng perlahan.

“Dah nyanyuk agaknya orang tua ni,” bisik Mak Jenab lalu berlalu dari situ dan meneruskan kerja-kerjanya yang tertangguh.

“Mak Jenab!!,” panggil Sophiea dari biliknya. Langkah Mak Jenab langsung termati. Dia berpaling dengan mukanya berkerut.

“Ya ALLAH! Apa lagi aku dah buat?,” bisik Mak Jenab takut.

“Mak Jenab!,” panggil Sophiea lagi setelah tiada respons yang diberikan oleh pembantu rumahnya itu.

“Ye-ye Cik Muda! Saya datang ni!,” jawab Mak Jenab langsung terkocoh-kocoh mendaki anak tangga menuju ke bilik Sophiea.

Kelihatan Sophiea sedang membetul-betulkan kolar bajunya di hadapan cermin. Setelah kolar bajunya dibetulkan, dia mengusap-usap anak rambutnya yang panjang itu. Rambutnya yang ikal mayang hanya diikat kuda sahaja. Dia membelek-belek mukanya di dalam cermin. Perfect! Hanya secalit gincu dan eyeliner, sudah mampu menyerlahkan kecantikkannya itu. ‘Dah memang aku cantik, nak buat macam mana?,’ bisiknya angkuh.

“Ye, Cik Muda,” jawab Mak Jenab termengah-mengah di muka pintu. Sophiea memandang Mak Jenab sekilas lalu dia berpaling semula memandang dirinya di dalam cermin.

“Saya nak Mak Jenab tukar katil ni. Saya tak nak Mak Jenab tukar cadar katil ni je. Bekas najis kucing tu masih lagi terlekat dekat katil ni. Saya tak selesa. Saya tahu, lepas saya balik nanti, saya nak katil ni dah tukar. Kalau tak tukar lagi…,” dengan perlahan langkahnya diatur mendekati Mak Jenab. Jaraknya dengan Mak Jenab kini hanya satu inci. Mata bundarnya merenung wajah takut-takut Mak Jenab. Bibirnya langsung mengukir senyuman jahat di saat melihat wajah Mak Jenab yang tertunduk-tunduk itu. Dengan perlahan, Sophiea merapatkan wajahnya di telinga Mak Jenab.

“Saya pecat Mak Jenab!,” bisik Sophiea tegas. Matanya mengerling Mak Jenab. Bibirnya tersenyum sinis. Lalu, dia menjarakkan tubuhnya dari Mak Jenab.

“Ingat tu,” pesannya lagi dengan wajah yang angkuh. Mak Jenab menelan liur. Dia hanya mengangguk-angguk kepalanya tanda faham. Sophiea hanya memandang Mak Jenab dengan pandangan yang sinis. Lalu, dia mengambil beg sukannya dan keluar dari bilik tersebut.

Mak Jenab menelan liur buat kali kedua. Kelat! Kali ni lebih kelat berbanding tadi. Peluh dingin yang keluar di dahinya dikesat perlahan dengan hujung lengan bajunya. Matanya langsung melihat katil Sophiea yang bersaiz Queen itu.

“Ya ALLAH, berilah aku kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaanMU yang besar ini,” bisik Mak Jenab di dalam hati.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
SINOPSIS | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku