LOVE YOU, Miss Hilang Ingatan!
BAB 4
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
620

Bacaan






LORI kecil Saiedon mula memasuki dusun miliknya yang berkeluasan lima ekar itu. Berkeriut-keriut bunyi lori tersebut akibat usianya yang semakin lanjut. Nek Miah sudah berbuih mulutnya memujuk Saiedon menukar lori buruknya itu. Tetapi pujukan neneknya itu hanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Masuk telinga kanan, keluar dan terbang di telinga kiri. Tidak dimakan saman. Dia hanya menayang muka toyanya sahaja. Apa yang dibebelkan neneknya tidak diambil pusing. Jimat! Hanya itu sahaja alasannya apabila disuruh tukar lori buruk tersebut. Duit beli lori boleh dibuat macam-macam. Boleh dibuat belanja dapur berbulan-bulan. Itu sahajalah jawabnya. Lama-lama Nek Miah sudah naik bosan memujuk cucunya itu. Dia hanya tunggu dan lihat sahaja sampai bila Saiedon bertahan dengan lori buruknya itu. Jangan sampai terbelah dua baru nak tukar lori baru sudah. Nek Miah malas fikirkannya lagi.

Saiedon memparkir lori buruknya di sebelah pondok kecil. Kelihatan basikal tua milik Mail masih tersadai di situ. Nampaknya Mail belum pulang lagi dari pagi tadi. Saiedon mula menarik handbreak. Dia mematikan enjin lorinya lalu keluar dari lori tersebut. Pintu lori itu ditutup dengan agak kuat. Kalau tak kuat, tak lekat pintunya itu. Pasti akan terbuka dan ternganga. Saiedon menepuk-nepuk lembut kepala lorinya itu. Bibirnya tersenyum manis melihat lori buruknya itu. Banyak jasa kau lori! Bisiknya dari hati ke hati. Berharap lori tersebut mendengar isi hatinya itu. Kunci yang berada di tangan disimpan ke dalam poket seluar lusuhnya. Dengan perlahan, dia melangkah masuk ke dalam dusun duriannya demi mendapatkan Mail.

Dari jauh kelihatan Mail sedang melangkah keluar dari dusun durian tersebut. Sesekali kelihatan kepalanya mendongak-dongak memandang ke atas. Mungkin melihat putik-putik durian yang baru tumbuh di pokok tersebut. Saiedon yang tersengih melihat Mail lantas mengatur langkahnya mendekati lelaki lurus itu. Dalam beberapa langkah, dirinya sudah mendekati Mail.

“Mail, kau dah nak balik ke?,” sergah Saiedon. Mail yang sedikit terkejut dengan sergahan tersebut membuntang matanya melihat Saiedon yang sudah berdiri di hadapannya. Saiedon hanya menyembunyikan sengihannya. Bibirnya sedaya-upaya terkemut-kemut menahan gelak apabila melihat wajah suspen milik Mail itu.

“Eh, Abang Idon! Hee… a’ah, Mail nak balik dah ni. Semua pokok-pokok Abang Idon Mail dah tengok. Pokok-pokok durian Abang Idon dah nak berputik dah. Lepas ni keluarlah buah pokok durian Abang Idon ni! Hee…,” ucap Mail sambil tayang sebaris giginya sedikit kekuningan itu.

Saiedon hanya mengangguk. Dia melihat rambang pokok-pokok durian yang berdiri teguh di sekelilingnya.

“Hmm… bagus-bagus! Tak lama lagi keluarlah buah-buah durian ni. Hmm… macam mana dengan Musang King? Berputik tak?,” tanya Saiedon dengan matanya mencerlung ke wajah kuning langsat Mail.

Mail tersengih lantas mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Putik! Musang King abang pun dah berputik!,” jawab Mail teruja.

Saiedon tersengih memandang Mail. Matanya memandang tajam wajah Mail.

“Ye ke? Kau tahu tak Musang King tu apa?,”

Mail tanpa menjawab terus mengangguk-anggukkan kepalanya dengan penuh berkeyakinan tinggi.

“Tahu-tahu! Durian Musang Kinglah! Abang Idon ingat kita ni lembab sangat ke tak tahu Musang King tu apa,”

“Yeke? Bukan raja musang ke?,” sakat Saiedon.

Cepat sahaja jari telunjuk Mail bergoyang ke kiri dan kanan menindakkan kata-kata Saiedon.

“Salah! Itu nama durianlah Abang Idon. Nama durian pun abang tak tahu. Ketinggalan zaman betullah Abang Idon ni. Kasihan,” jawab Mail. Kepalanya turut menggeleng-geleng dengan wajah yang sedih.

Saiedon menelan liur. Helemek! Aku pula yang terkena. Matanya dilarikan lalu melihat setiap pokok yang berdiri gagah di sekelilingnya.

“Mail, baja ada lagi tak? Kalau dah habis, aku nak pergi beli kejap lagi,” tanya Saiedon menukar topik.

“Hmm… baja tinggal seguni je Abang Idon. Tak cukup nak baja semua pokok dekat dusun ni,” jawab Mail dengan bibir yang tersengih.

“Tinggal seguni je ea? Hmm… okey. Aku nak pergi beli baja ni, kau nak ikut tak?,”

Sengihan Mail semakin melebar. Cepat saja dia mengangguk kepalanya.

“Nak! Nak!,”

“Amboi, cepat betul mengangguk. Kau tak penat ke? Tak nak balik?,” tanya Saiedon.

Mail pantas menggeleng.

“Tak! Mail kuat lagi ni. Tak penat pun,” jawab Mail bersungguh-sungguh.

“Betul ni? Nanti kang jangan ngadu penat pula. Cakap aku buli kau ke apa ke. Betul ni nak ikut?,” tanya Saiedon meminta kepastian.

Mail mengangguk yakin.

“Hmm… baguslah macam tu. Ada juga yang nak tolong aku angkat baja-baja tu nanti. Dah jom ikut aku pergi dekat lori,” ujar Saiedon lantas mengatur langkah menuju ke arah lori miliknya yang terparkir tidak jauh dari tempat mereka berada. Mail hanya mengikut sahaja langkah Saiedon. Tanpa banyak bunyi dia hanya menuruti sahaja arahan bosnya itu.

Setibanya mereka berdua di lori buruk Saiedon, Saiedon lantas membuka pintu lori lalu menghidupkan enjin. Sementara menunggu enjin lori buruknya menjadi panas, matanya sempat mengerling ke arah basikal tua milik Mail.

“Mail, kau angkut sekali basikal kau tu naik atas lori. Nanti senang, aku terus hantar kau balik aje. Tak payahlah kau nak ulang-alik datang sini ambil basikal ni,” arah Saiedon.

Mail memandang basikal tuanya yang tersadai di tepi pondok. Kemudian, dia memandang wajah Saiedon lalu mengangguk.

“Baik, Abang Idon!,” jawab Mail lalu mula menyorong basikalnya ke arah lori buruk Saiedon. Saiedon tidak hanya melihat. Dia turut membantu Mail menaikkan basikalnya itu ke atas lori. Setelah basikalnya itu berdiri cantik di atas lori, Saiedon lantas menutup papan di bahagian lorinya supaya basikal Mail nanti tidak akan menggelungsur jatuh apabila menaiki bukit nanti. Papan itu dikunci dengan rapi. Setelah itu, dia mendekati bahagian kepala lorinya lalu memanjat naik.

“Dah, jom Mail! Kita pergi sekarang,” ajak Saiedon.

Mail melompat kegirangan. Dengan perasaan yang teruja, Mail berlari kecil lalu memanjat naik ke dalam lori bewarna putih tersebut.


MATANYA yang bundar memandang tepat ke arah sasaran. Bola bewarna putih sebesar tapak tangan digenggam erat. Dia mula memasang langkah. Kedua kakinya terpisah dengan posisi salah satu kaki ke depan ke arah sasaran. Bola yang berada di dalam tangannya dibawa ke belakang dengan sebelah kakinya diangkat perlahan. Lalu, dengan sekuat tenaga yang terkumpul di lengannya dia mula membaling bola tersebut dengan kelajuan maksimum.

Strike!,”

Sophiea tersenyum. Nampaknya dia berpuas hati dengan prestasinya hari ini.

“Sophiea, kita buat side hand throw pula,” ujar jurulatih Sophiea. Sophiea memandang jurulatihnya lalu mengangguk dengan penuh yakin.

Bola dilempar ke arahnya. Dengan sebelah tangan, Sophiea menyambut bola tersebut dengan selamba.

“Okey, ready!,”

Sophiea mengangguk. Dia sudah bersiap-sedia. Pandangannya seperti tadi. Mengunci tepat ke arah sasaran. Dia mula memasang langkah. Bola yang berada di tangannya digenggam kemas.

Play ball!,”

Sophiea mengetap giginya. Dengan sekuat tenaga, dia melempar bola tersebut ke arah sasaran. Seperti tadi, bola tersebut tidak dapat dipukul oleh batter. Malah terus strike.

Strike!,”

Sophiea tersenyum puas. Mata bundarnya memandang bola yang berada di mitt catcher. Ya, Sophiea merupakan seorang pitcher yang hebat. Kehebatannya mampu menandingi seorang pitcher profesional. Pelbagai pertandingan telah dia sertai dan setiap pertandingan tersebut telah dia menangi. Kehebatannya telah diketahui oleh pihak lawan. Semua tahu tentang kehebatan lontaran bola daripada Sophiea. Sebut sahaja nama Sophiea Adelline, pasti semua mengagumi bakat pitchernya.

Tetapi bakatnya itu tidak diketahui oleh ahli keluarganya. Mana tidaknya, daddy dan mommynya sentiasa sibuk di luar negara. Jika pergi ke luar negara, berbulan-bulan mereka menginap di sana. Mereka langsung tidak kisahkan Sophiea. Asalkan kemahuan anak tunggal mereka telah dipenuhi itu telah mencukupi. Lama-kelamaan Sophiea tidak ambil kisah langsung dengan keberadaan kedua ibu bapanya itu. Mereka balik atau tidak, Sophiea tidak ambil peduli. Dia sudah terbiasa. Hidup kesunyiaan bersama dengan pembantu rumah dan haiwan peliharaannya, Angelo si Iguana kesayangannya itu. Dia sudah tidak kisah dengan kasih sayang daripada kedua ibu bapanya lagi. Dia sudah puas menangis menagih kasih sayang daripada kedua ibu bapa kandungnya sendiri. Dia sudah serik menjadi pengemis pada keluarganya itu. Biarlah dia begini. Dia lebih bahagia dengan cara hidup seperti ini.

“Sophiea, good! Kita break kejap, then sambung latihan lagi,” ujar jurulatihnya yang separuh darah kacukan itu.

“Okey sir!,” jawab Sophiea dengan senyuman yang angkuh.


“HELLO, Mr. Idon. Baja sudah habis ka?,” tegur tauke cina di gudang tersebut. Saiedon tersenyum lalu mengangguk.

“A’ahlah tauke. Baja sudah habis. Pokok baru banyak tanam,” jawab Saiedon sambil matanya melihat-lihat baja yang sudah berbungkus di luar gudang tersebut.

“Wah, banyak maju kamu punya business. Bagus-bagus! Ini berapa mahu angkat. Macam biasa ka?,” tanya tauke tersebut sambil menaikkan sedikit cermin matanya yang sedikit terturun itu.

Saiedon menggaru-garu dagunya sambil tersengih apabila mendengar pujian daripada tauke cina itu. Pantang dipuji, pasti kembang-kempis hidungnya itu.

“Hahaha, terima kasih tauke! Hmm… lebih sikitlah tauke. Buat stock untuk dua bulan punya,”

Tauke cina itu mengangguk sambil tersenyum.

“Okey-okey, saya suruh pekerja saya angkat baja-baja tu naik atas lori kamu,”

Thank you tauke. Ni berapa harga saya angkat untuk stock dua bulan punya?,”

“Harga aa… kita bincang dalam ma. Mari-mari,” ajak tauke itu langsung melangkah menuju pejabat kecilnya yang terletak di dalam gudang tersebut.

Saiedon hanya mengangguk. Sebelum dia melangkah mengikuti tauke cina tersebut, sempat lagi dia berpaling dan berpesan kepada Mail yang berada di hadapan lori.

“Mail, nanti tengok diaorang bawa naik baja dekat atas lori tu. Aku nak kauntim harga dengan tauke kejap,” pesan Saiedon.

“Baik Abang Idon!,” jawab Mail menurut perintah.

Saiedon menunjukkan ibu jarinya lantas tersenyum. Bagus Mail! Lalu, langkahnya diatur menuju ke pejabat tauke baja tersebut.


SOPHIEA melangkah lesu masuk ke dalam banglo tiga tingkatnya. Beg sukannya yang tersandang di bahu hampir terlurut jatuh. Tak sangka latihan petang ini sangat susah. Masakan melempar bola menggunakan batu tiga kilo? Oh, hampir patah lengannya itu. Mujurlah jurulatihnya mengajar teknik-teknik yang betul. Jika tidak, petang ni dia pulang dengan tangan yang berbungkuslah jawabnya.

“Cik Muda, Cik Muda nak minum petang tak? Jika Cik Muda nak, saya akan suruh pembantu rumah siapkan,” tanya butler yang bekerja di situ.

Sophiea menggeleng.

“Tak payah. Saya nak rehat. Beritahu dekat semua jangan kacau saya sampai dinner,” ujar Sophiea lemah.

“Baik Cik Muda,” jawab butler tersebut sambil menundukkan sedikit kepalanya.

“Hah, macam mana dengan katil saya? Mak Jenab dah tukar belum?,” tanya Sophiea sambil matanya menikam tepat ke wajah butler yang sedikit sasa itu.

“Sudah Cik Muda,” jawab butler tersebut dengan wajahnya masih menunduk dari memandang wajah Sophiea.

“Bagus!,” Sophiea menjeling lalu kakinya mula melangkah meninggalkan butlernya yang masih menunduk itu.

Sungguh cekap kerja yang dilakukan oleh Mak Jenab. Takut kena buang kerjalah tu! Hatinya mula berbisik angkuh. Sophiea memulas tombol pintu biliknya lalu menolak daun pintu tersebut. Matanya lantas menangkap katil saiz Queen yang tersergam indah di dalam biliknya itu. Semerta itu, bibirnya langsung tersenyum sinis.

Kakinya mula mengatur perlahan mendekati katil barunya itu. Tangannya yang halus mengusap lembut cadar bewarna maroon. Kemudian, tangannya perlahan-lahan naik ke atas salah satu tiang katil yang berdiri tegak. Cantik! Perfect!

“Tahu pun nak tukar. Haih,” bisik Sophiea lantas tersenyum sinis.

*****

KELIHATAN dari jauh lori buruk Saiedon memasuki perkarangan sebuah rumah papan yang sedikit uzur. Di pintu rumah papan tersebut, kelihatan satu figura wanita yang sedikit tua sedang setia menunggu anaknya pulang di samping bibirnya yang sentiasa mekar dengan senyuman. Inilah Mak Biah, ibu kepada Mail. Mak Biah sentiasa setia menunggu Mail pulang ke rumah tidak kira waktunya. Baginya, hanya Maillah anaknya yang sentiasa berada dekat dengan dirinya. Anaknya yang lain…

Kasihan Mak Biah. Sebenarnya dia mempunyai tiga orang anak termasuk Mail. Dua anaknya itu normal. Seorang lelaki, dan seorang lagi perempuan. Sudah berkahwin. Sejak mereka berkahwin mereka langsung melupakan Mak Biah dan adiknya. Seolah-olah Mak Biah dan Mail tidak wujud di dalam hidup mereka. Mereka tidak mempedulikan Mak Biah dan Mail. Langsung tidak menjenguk orang tua dan adiknya lurus itu. Kasihan mereka.

Saiedon memberhentikan lorinya betul-betul di hadapan rumah Mak Biah. Dia langsung mematikan enjin lalu keluar dari perut lorinya. Ibu tua itu hanya tersenyum. Tersenyum melihat Saiedon dan Mail. Bagi Mak Biah, Saiedon telah dianggapnya sebagai anak sendiri. Ini kerana, selama ini Saiedonlah sentiasa menjaga kebajikan dua beranak tersebut.

“Assalammualaikum Mak Biah. Mak Biah macam mana hari ni? Sihat tak?,” aju Saiedon dengan bibirnya terukir senyuman yang manis.

“Waalaikummussalam. Sihat alhamdulillah. Macam mana Mail dekat kebun. Dia ada susahkan Saiedon tak?,” tanya Mak Biah prihatin. Mail langsung mendekati ibunya. Lalu, dia menyalami tangan ibunya itu.

“Tak delah. Mail baik-baik je dekat kebun. Tak buat masalah langsung. Mak Biah, Idon tak boleh lama ni. Ni, ada sikit makanan untuk Mak Biah dan Mail. Nanti Mak Biah makanlah dengan Mail ea,” ujar Saiedon lalu menghulur dua bungkus nasi serta beberapa lauk yang lain.

“Ya ALLAH, Saiedon! Apa ni? Mak Biah baru masak tadi. Lagipun yang tinggal dekat rumah ni Mak Biah dengan Mail je. Janganlah susah-susah macam ni. Makanan banyak-banyak macam ni siapa jelah nak makan Idon. Buat susah kamu aje,” tolak Mak Biah perlahan.

“Alah, Mak Biah. Mak Biah ambil je ea. Tak pe, anggaplah ni rezeki untuk Mak Biah dan Mail. Ambil je ea,” hulur Saiedon sambil tayang giginya yang rata itu. Mak Biah tiada pilihan. Jika ditolak, itu rezeki. Tak baik jika ditolak rezeki sebegini. Dengan perlahan, Mak Biah mengambil bungkusan di tangan Saiedon.

“Terima kasihlah Saiedon. Mak Biah tak tahu nak balas apa dengan Saiedon. Yang Mak Biah mampu hanya mendoakan semoga Saiedon dengan Nek Miah sentiasa dikurniakan kesihatan yang kuat dan rezeki yang melimpah ruah. Itu jelah Mak Biah mampu buat,”

Saiedon tersenyum. Dia menundukkan sedikit wajahnya itu.

“Mak Biah, doa Mak Biah tu sangat berharga berbanding apa yang Idon buat untuk Mak Biah dan Mail. Idon tak minta apa pun Mak Biah. Lagipun Mak Biah ni Idon dah anggap macam mak sendiri dah,”

Mak Biah hanya tersenyum. Dia menggangguk perlahan.

“Terima kasih banyak-banyak ye Saiedon,” ucap Mak Biah tulus.

“Sama-sama Mak Biah. Mak Biah, Idon balik dulu ye. Kasihan pula nenek dekat rumah sorang-sorang. Nanti kalau ada masa, Idon datang lagi ye,” ucap Saiedon.

“Baiklah, hati-hati tu,”

Saiedon hanya menggangguk dan tersenyum.

“Abang Idon! Nanti!,” laung Mail tiba-tiba. Terhenti langkah Saiedon dari menaiki lorinya itu.

“Hish, Mail. Tak baik jerit-jerit macam tu,” marah Mak Biah.

“Bukan. Tu! Basikal Mail. Abang Idon lupa turunkan,” jawab Mail sambil jarinya menunjuk ke arah basikal tuanya yang tersadai di atas lori Saiedon.

Saiedon menepuk dahi. Dia melihat basikal Mail di atas lorinya.

“Alamak! Maaf, Mail. Lupa pulak nak turunkan,” dengan laju, Saiedon terus menaiki belakang lorinya dan menurunkan basikal Mail. Mail yang menunggu di bawah lori hanya bersedia menyorong basikalnya dari lori Saiedon.

“Terima kasih Abang Idon!,” ucap Mail seraya menyorong basikal tuanya di tepi rumah.

“Sama-sama. Mak Biah, Idon balik dulu ye. Mail, jaga Mak Biah elok-elok. Assalammualaikum!,” ucap Saiedon lalu menaiki lori buruknya.

“Baik Abang Idon! Waalaikummussalam!,” jawab Mail.

“Hati-hati! Waalaikummussalam,” jawab Mak Biah pula.

Saiedon hanya tersenyum. Dia mula menghidupkan enjin lorinya lalu dalam beberapa saat, dia menekan pedal minyak dan memandu keluar lorinya dari perkarangan rumah papan yang sedikit uzur itu. Mak Biah dan Mail hanya melihat sahaja lori Saiedon meluncur laju sehingga hilang dari pandangan. Setelah itu, dua beranak itu mula melangkah masuk memandangkan hari semakin senja.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
SINOPSIS | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku