LOVE YOU, Miss Hilang Ingatan!
BAB 16
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 19 Februari 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
397

Bacaan






SOPHIEA memerhati setiap bunga yang ditanam oleh Nek Miah di halaman rumah. Sesekali kelihatan dia menyentuh beberapa kuntum bunga yang tumbuh mekar di situ. Dia menghela nafas dengan agak kasar. Hah, dia bosan. Sungguh dia bosan. Adakah menjadi orang hilang ingatan ini sangat membosankan? Tiada memori. Hidup sebagai orang baru. Seperti salin kulit. Segalanya harus dimulakan semula.

Pandangannya dilempar jauh ke jalan besar. Apakah kehidupan masa silam aku? Beginikah aku hidup? Bosannyaa! Takkan dia seperti ini sepanjang dia hidup di muka bumi ini? Sophiea menggeleng laju kepalanya. Tak! Dia harus mencari semula kehidupannya. Dia tidak mahu hidup seperti ini. Tiada makna, kosong dan asing. Sophiea melihat sekeliling. Nampaknya dia harus berusaha sendiri untuk mencari kehidupannya yang sebenar.

Tidak tunggu lama, Sophiea mula melangkah menuju ke arah jalan besar. Dia memandang sekilas rumah papan yang menjadi kediamannya itu. Mujurlah Nek Miah di dalam bilik. Jadi, dia tidak sedar akan kehilangan Sophiea itu. Ah, lagipun Sophiea keluar hanya sebentar. Dia mahu menjelajah setiap sudut di kampung ini. Mana tahu, ingatannya sedikit sebanyak akan pulih. Sophiea terus nekad. Kakinya terus melangkah menuju ke hujung jalan. Dia ingin tahu akan asal-usulnya. Tempat tinggalnya ini. Jiwanya berkobar. Mungkin sebentar lagi ingatannya akan pulih sediakala.


SAIEDON mencekak pinggang sambil memerhati dusun manggisnya itu. Dia berkira-kira untuk memanjat setiap pokok pada hari ini. Jika dia berterusan memetik buah manggis sehingga petang, mungkin dia dapat memanjat sebanyak sepuluh batang pokok. Itu pun kalau kudratnya masih lagi ada.

“Banyak juga manggis kali ni,” ujarnya perlahan. Saiedon tidak tunggu lama. Dia mula memasang langkah dan memanjat pokok manggis yang pertama. Tidak sampai beberapa saat, dia sudah terpacak di atas pokok tersebut. Sudah berbelas tahun Saiedon melakukan kerja ini. Jadi tidak hairanlah dia sangat tangkas dalam memanjat apa jua pokok sekalipun.

Satu demi satu buah manggis yang dipetiknya. Setiap manggis yang dipetiknya dijatuhkan ke bawah. Jika ada Mail, bolehlah Mail mengutipnya. Tapi Mail cuti, jadi terpaksalah dia melakukan dua kerja untuk hari ini.

“Idon, oi! Sorang je ke hari ni? Mail mana?,” tegur Aliff sambil mengambil sebiji manggis yang dijatuhkan Saiedon sebentar tadi.

Bibir Saiedon mengetap apabila melihat sebiji manggisnya ditelan dengan selamba badak oleh rakannya. Dia cuba bersabar. Jika tak sabar, habis disesah budak keding di hadapannya itu.

“Mail cuti hari ni. Kenapa? Kau rindu dia ke?,” tanya Saiedon selamba tanpa memandang si Aliff keding yang sedang lahap memakan manggis yang diambilnya tadi.

“Rindu apanya. Selalu kan aku tengok kau berdua dengan dia. Kemana-mana je pergi mesti berkepit dengan budak tiga suku tu. Hahaha, macam belangkas dah aku tengok,” ejek Aliff sambil tidak henti-henti menyua sebiji demi sebiji isi manggis ke dalam mulutnya.

Saiedon menjeling tajam figura rakannya yang keding itu. Mulutnya mencebik ke tepi. ‘Cakap, cakap juga. Manggis aku selamba badak kau bedal. Nasib baik kawan. Kalau tak, dekat sini juga aku ‘pau’ kau,’ bisiknya.

“Tiga suku-tiga suku dia pun, dia tak mengharapkan duit mak dia. Dia pandai cari duit sendiri. T anggung mak dia. Tak macam orang tu, penghabis duit mak bapak, merempit sana-sini. Makan buah orang selamba badak je muka tu. Harap-harap ALLAH bukalah pintu hati dia yang dah hitam legam tu,” perli Saiedon. Tangannya masih memetik buah-buah manggis yang ranum di hadapannya.

Terhenti mulut Aliff dari mengunyah isi manggis Saiedon. Isi terakhir di dalam mulutnya dipaksa telan. Kulit manggis yang ada ditangannya dilempar jauh-jauh.

“Dahlah, aku nak balik. Bukan jiwa aku dekat sini,”

“Hah, baguslah. Bukan jiwa aku juga tengok orang makan buah aku dengan free. Baliklah, buat kerja berfaedah sikit. Jangan risau, aku halalkan buah yang kau makan tu,” perli Saiedon lagi.

Muka Aliff sudah berubah merah. Malu barangkali. Dia mengangkat tangan lalu melangkah pergi meninggalkan Saiedon yang masih berada di atas pokok. Saiedon hanya mencebik melihat rakannya yang baru pergi itu. ‘ Ceh, makan free nak, bayar tak nak. Bukan sekali, dah beratus kali kau bedal buah aku. Hailah, nasib baik kawan. Dan nasib baik aku tak rapat dengan kau!,’ omel Saiedon di dalam hati.


“EH, ROS!,” panggil Kak Ton Pon Pon teruja. Kakinya terus melangkah laju mendeakti figura Sophiea yang tidak jauh darinya.

“Ros kan?,” tanya Kak Ton Pon Pon dengan senyuman mekar di bibir merahnya.

Langkah Sophiea terhenti. Dahinya berkerut melihat mak cik yang berada di hadapannya itu.

‘Siapa ni? Oh! Nilah mak cik kaki penyibuk tu. Dia nak apa? Sibuk je,’ bisik Sophiea sambil memandang Kak Ton Pon Pon atas bawah.

“Ros, Ros nak pergi mana? Laju je jalan. Tak pandang kiri kanan pun,” tanya Kak Ton Pon Pon tanpa henti.

Muka Sophiea mencebik. Dia menjeling Kak Ton lalu meneruskan langkahnya tanpa menghiraukan kewujudan Kak Ton Pon Pon di situ.

Kak Ton Pon Pon mengerutkan dahinya.

‘Apehal budak ni? Gila dia dah datang balik ke?,’ bisik Kak Ton. Kepalanya digeleng laju. ‘Tak baik kau Ton, fikir bukan-bukan pasal budak tu. Kasihan dia,’ bisiknya lagi. Kak Ton tak berputus-asa. Dia mula mengejar Sophiea dari belakang.

“Ros, tunggulah. Biar Kak Ton teman Ros nak pergi mana. Hari ni Kak Ton free. Kak Ton teman Ros ye,” ujar Kak Ton Pon Pon menawarkan dirinya sendiri. Sophiea hanya mengendahkan sahaja kata-kata Kak Ton itu. Baginya itu tidak penting. Kakinya terus laju melangkah ke depan. Kak Ton tidak duduk diam, dia terus melangkah mengikuti Sophiea walaupun tiada respons diberikan Sophiea untuknya.


SUDAH tiga jam Kak Ton Pon Pon mengikut Sophiea mengelilingi kampung. Lututnya sudah menggigil. Mukanya sudah merah menahan penat dan sakit. Berkerut-kerut mukanya menahan lelah. Dia sudah tidak tahan lagi. Lututnya betul-betul mahu tercabut. Mengapalah mulutnya gatal sangat ingin ikut Sophiea ke mana dia pergi. Jika tak, sudah lama dia terbongkang di rumah. Paling tidak pun dapat korek satu gosip baru lagi. Aduhai, Kak Ton Pon Pon mula menyalahkan dirinya sendiri.

Sophiea yang laju berjalan di hadapan tidak menghiraukan langsung kewujudan Kak Ton Pon Pon. Bukan salah dirinya jika lutut Kak Ton sakit atau terbalik. Dia tidak suruh pun Kak Ton Pon Pon mengikutinya. Itu masalah dia. Dia yang bikin masalah sendiri. Jadi, diri sendirilah tanggung. Sophiea tak ambil ‘port’ langsung.

“Ro… Ros! Udahlah, jom kita balik. Dah masuk tiga jam kita round kampung ni. Nanti kang Idon dengan Nek Miah cari. Mehlah kita balik ye,” pujuk Kak Ton Pon Pon.

Langkah Sophiea terhenti. Dia berpaling memandang Kak Ton Pon Pon yang sudah kehabisan tenaga itu.

“Kalau mak cik nak balik, baliklah. Siapa suruh ikut. Sibuk je!,” balas Sophiea lantas menjeling Kak Ton Pon Pon.

Amboi! Adrenalin Kak Ton Pon Pon mula aktif. Darahnya mula mendidih panas. Laser betul mulut kau Ros! Selama ini, tak ada seorang pun yang berani berkata begitu kepada dirinya. Baru sekarang dia terkena seperti ini. Itupun daripada orang separuh gila. Sabar! Kak Ton Pon Pon cuba untuk bersabar.

Bibir Kak Ton cuba untuk mengukir senyuman. Walaupun nampak terpaksa, dia cuba untuk tersenyum dan sabar berhadapan dengan Sophiea. Kaki Kak Ton cuba mengejar Sophiea. Dia cuba memujuk Sophiea sekali lagi.

“Ros, ni lastkita pusing sini. Lepas kita pusing sini, kita terus balik ye. Kasihan Nek Miah dengan Idon. Mesti diaorang cari Ros. Ye Ros ye?,” pujuk Kak Ton Pon Pon lagi.

Sophiea hanya membisu. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Kakinya terus berjalan dan berjalan tanpa arah tujuan. Kata-kata Kak Ton tadi hanya dibiarkan sahaja. Seperti dedaun yang berterbangan ditiup angin, kewujudan Kak Ton Pon Pon tidak dipedulikan oleh Sophiea. Kak Ton Pon Pon mula naik hantu. Dia menggigit hujung tudungnya tanda geram. ‘Hailah Idon. Kenapalah kau dapat adik angkat macam ni!,’ rungut Kak Ton Pon Pon geram.


SEBAKUL besar yang berisi manggis diangkat masuk ke bahagian belakang lori. Ini merupakan bakul terakhir daripada enam bakul kesemuanya. Saiedon mengelap peluh. Fuhh, boleh terbelit usus besar dibuatnya. Mail, kau tak boleh cuti lama-lama. Mati kejung aku dibuatnya nanti. Bisik Saiedon.

Saiedon melompat naik ke belakang lori. Dia mengambil sehelai kanvas yang besar lalu menutup kesemua buah-buah manggisnya itu. Setelah mengikat kanvas tersebut di setiap penjuru dan sisi lori, Saiedon menutup pula pintu di belakang lori tersebut. Peluhnya yang baru menitik di dahi dilapnya lagi. Dia mengambil semua peralatannya termasuk bekal dan botol air lalu membolos masuk ke dalam lori buruknya. Jam sudah menunjukkan pukul 6:30 petang. Pasti neneknya nanti risau menunggu kepulangannya yang tak kunjung tiba. Saiedon tidak tunggu lama. Enjin mula dihidupkan. Dalam beberapa minit kemudian, lorinya terus dipandu dan keluar dari kebunnya itu.


SUDAH dijangka, kelihatan figura Nek Miah sedang duduk menunggu kepulangan seseorang di atas tangga. Kelihatan wajahnya agak berkerut. Seperti risau menunggu seseorang yang tak muncul tiba. Saiedon yang baru memparkirkan lorinya di hadapan rumah tersenyum tatkala melihat muka neneknya itu. Sudah dia agak, pasti neneknya itu risau menunggu kepulangan dia. Pantang lewat sikit, pasti neneknya akan menunggunya pulang dengan wajah yang risau.

Saiedon mematikan enjin lorinya. Dia mengambil bekal yang terletak di tempat penumpang lalu keluar dari lori buruknya.

“Hai, nek. Tunggu Idon ke? Nenek ni, kan Idon cakap jangan tunggu Idon. Idon takkan balik lewat kecuali kalau Idon ada hal kecemasan. Itupun nanti Idon telefon nenek. Nenek jangan risau sangat pasa Idon. Idon dah besar. Idon cucu lelaki. Idon tahu jaga diri nek,” bebel Saiedon sambil membuka kasut butnya.

“Nenek bukan tunggu kau. Tunggu kau buat apa. Nenek tunggu Ros. Dari tadi dia tak balik ni. Risau nenek. Manalah dia pergi. Dari tadi tak balik-balik,” ujar Nek Miah risau.

Membuntang mata Saiedon melihat Nek Miah. Kasut but yang tertinggal di sebelah tidak jadi dibukanya.

“Ro… Ros? Tak balik lagi? Dia pergi mana nek?,” tanya Saiedon gabra.

“Tulah, nenek tak tahu. Risaunya nenek. Idon, pergilah cari dia. Pukul berapa dah ni. Nenek takut dia sesat. Kena culik ke. Dia mana tahu jalan dekat kampung ni. Pergilah cari Don,” pinta Nek Miah.

Saiedon menelan liur. Kepalanya digaru tidak gatal.

“Aduh, perempuan ni. Mana pula kau pergi? Menyusahkan betullah,” kata Saiedon separuh berbisik.

“Kau tunggu apa lagi tu Don. Lekaslah cari dia,” desak Nek Miah.

“Hah, ye nek. Idon nak pergi cari dialah ni,” kasut but yang dibukanya tadi disarung semula. Adeh, perempuan ni. Tak habis-habis buat hal!. Bisik Saiedon seraya menyarung semula kasut butnya itu.

“Assalammualaikum Nek Miah! Idon! Adeh…,” ucap Kak Ton Pon Pon tiba-tiba. Semerta itu, punggungnya terus duduk di tangga rumah Nek Miah tanpa dipelawa dahulu. Saiedon yang sedang menyarung kasut butnya itu terkejut melihat Kak Ton Pon Pon yang seperti dugong kehausan itu. Matanya terus membulat figura Kak Ton Pon Pon yang tidak serupa orang itu.

“Waalaikummussalam. Eh, Ton. Kenapa dengan kau ni? Kau sakit ke Ton?,” tanya Nek Miah terkejut.

“A’ahlah Kak Ton. Kak Ton kena rompak ke tadi?,” tanya Saiedon pula.

“Aduh… nak mati rasanya saya Mak Miah… Idon…,” ujar Kak Ton Pon Pon tercungap-cungap.

Muka Nek Miah semakin berkerut melihat kesengsaraan Kak Ton Pon Pon itu. Sengsara betul bunyinya.

“Apa ke halnya Ton. Kau dari mana ni? Cuba cerita dekat aku. Apa kena dengan kau ni?,”

“A’ahlah, Kak Ton. Kenapa dengan Kak Ton ni?,”

Kak Ton Pon Pon membetulkan tudungnya yang sudah tersenget. Anak rambutnya yang terkeluar disumbat kasar ke dalam tudung.

“Ros… Ros… dia dekat hujung kampung tu. Saya pujuk balik dia tak nak balik. Lutut saya ni, dah menggigil ikut dia meround satu kampung ni. Saya ingat dia nak terus balik tadi, tapi dia sambung balik round kampung ni. Saya tak tahan dah. Saya rasa macam dah nazak sangat dah ikut dia Mak Miah,” bebel Kak Ton Pon Pon mengah.

“Dia dekat hujung kampung?,” tanya Saiedon terkejut. Kak Ton Pon Pon hanya mengangguk sahaja. Lemah rasanya untuk dia menjawab pertanyaan daripada Saiedon.

“Astaghfirullah… Don, pergi cari dia Don,” suruh Nek Miah panik.

“Hah, yelah. Idon pergi cari dia,” jawab Saiedon lantas melangkah menuju ke lorinya. Dia pergi mencari Sophiea dengan menaiki lorinya sahaja. Tak sanggup rasanya ingin berjalan kaki ke sana. Kampungnya ini sudahlah besar. Mahu tercabut lututnya itu jika dia berjalan kaki ke sana. Tak mahu dia jadi seperti Kak Ton Pon Pon. Sudah nazak lihat keadaannya itu. Tak sangguplah oi!

Kak Ton Pon Pon memandang muka Nek Miah dengan pandangan meminta simpati. Nafasnya masih lagi tercungap-cungap. Tekaknya pula jangan cakaplah. Sudah mahu meletup rasanya. Sudah kering kontang anak tekaknya itu.

“Mak Miah… air Mak Miah. Air… Haus!,” pinta Kak Ton Pon Pon seperti orang sedang nazak.

“Hah, yelah-yelah. Aku pergi ambil air,” jawab Nek Miah lalu bergegas ke dapur.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
SINOPSIS | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku