USAHAWAN TAK KETAHUAN
Bab 1 (1) PE'AH
Genre: Alternatif
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 Februari 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
180

Bacaan






“Dua kupang.”

Duit syiling dua puluh sen beralih tangan. Dia memasukkannya ke dalam saku baju kurungnya. Digoncang-goncangnya saku baju putih yang agak kusam itu. Bunyi syiling berlaga kedengaran berat. Leganya hati gadis kecil itu.

“Lagi lagi! Jualan penghabisan stok. Semua setengah harga!” dia mengumumkan. Kad raya di atas mejanya tidah banyak lagi bersisa. Murid-murid perempuan tahun empat kuning sudah mula beredar seorang demi seorang. Masing-masing mungkin berpuas hati dengan kad raya yang dibeli dari gadis kecil itu.

“Pe’ah... Bagilah free sekeping pada abang. Abang nak hantar kad raya pada Pe’ah,” satu suara menegur.

Gadis itu serta merta mengangkat mukanya. Sekonyong-konyongnya dia nampak wajah itu. Wajah yang tidak diundang!

“Hang boleh dak jangan kacau aku!” marah gadis itu, nyaring. Kad raya yang berselerak di atas meja dikutipnya lekas. Cepat dimasukkan dalam beg plastik dan disorokkan di dalam beg sekolahnya.

“Ala... Pe’ah. Dengan abang pun Pe’ah nak berkira,” ujar budak lelaki itu sambil cuba rapat dengan gadis kecil itu.

Gadis kecil itu serta-merta mengeluarkan buku teks Bahasa Inggeris tahun empat, lalu buku yang tebal itu dilibasnya ke lengan budak lelaki itu.

“Aduh!” teriak budak lelaki berbadan tinggi dan lebih besar dari rakan sebayanya.

Serta-merta dia diketawakan kawan-kawan yang datang bersama-sama dengannya. Dia menarik muka masam sambil menggosok-gosok lengannya yang mula kebas.

“Garangnya!” dengusnya.

“Aku dah kata tadi, jangan ganggu harimau kecil tu,” kata rakannya sambil ketawa.

“Harimau, kau kata? Aku nampak macam kucing yang comel. Mana ada nampak macam garang,” balasnya, tidak mahu kalah.

Kelas yang hingar bingar, tiba-tiba bertukar senyap. Cikgu Hashim sudah berada di luar kelas, namun dia belum sempat menapak masuk kerana ada seorang lagi guru menahannya di luar. Mereka berbual-bual seketika.

Semua murid segera duduk di kerusi masing-masing. Gadis kecil itu juga sudah siap sedia di tempat duduknya. Buku teks Bahasa Inggeris tadi diletakkan di atas meja. Cikgu Hashim adalah guru kelas itu, juga guru Bahasa Inggeris mereka.

Si gadis yang dipanggil Pe’ah itu, atau nama sebenarnya Sufiah, adalah antara pelajar paling cerdik dalam kelas. Dia cemerlang dalam semua mata pelajaran, namun subjek ya g paling disukainya adalah Matematik. Dia sangat suka mengira. Entah mengapa, dia sangat suka topik mencampur dan menolak. Sebab itulah, dia suka berniaga. Bila dia menjual, dia nampak bagaimana duit yang mulanya sedikit, kemudian menjadi banyak.

Matanya mencerlang setiap kali mengira duit syiling. Bunyi duit siling berdenting-denting tatkala dimasukkan ke dalam tabung kedengaran bagaikan irama yang sangat merdu.

Tengahari Sufiah mengayuh basikal pulang ke rumah. Rakan baiknya, Amira pulang dijemput dengan kereta. Jadi, Sufiah tiada siapa-siapa yang menemaninya pulang mengikut jalan kampung itu.

Itulah yang paling tidak digemari gadis kecil itu. Bila dia bersendirian, si budak lelaki tadi suka benar mengganggunya. Paling dia benci, bila namanya dipanggil lanjut.

“Pe’ah... jomla kita saing,” tegur budak lelaki berbadan tegap itu. Ish.. bencinya dia.

Entah mengapalah Si Don itu gemar sangat mengganggunya. Seperti tidak jemu-jemu. Sudahlah kulit hitam macam kicap! Itulah ayat geram yang selalu bersuara dalam hati si kecil.

“Pe’ah, besar nanti kita kahwin. Pe’ah tak perlu kerja teruk-teruk. Abang jual kicap... Pe’ah jadi tauke, kira duit sahaja. Nak tak?” tanya Don, berlemah lembut.

Entah mengapa, Don gemar sangat dengan Sufiah, si gadis kecil berkulit putih itu. Kakinya yang mengayuh basikal laju-laju itu, nampak sangat comel di matanya. Gigi arnab Sufiah, sangat manis, apa lagi pipinya berlekuk dengan lesung pipit yang dalam. Semakin dia marah, semakin comel mukanya yang kemerahan.

Sufiah melajukan kayuhannya. Kata-kata budak lelaki nakal itu tidak dipedulikannya. Mulutnya muncung seperti ikan emas.

“Kahwin dengan abang ye,” usik Don lagi, semakin menjadi.

“Tak mahu lah. Orang tak mahu kahwin lah!” marahnya.

Don tersengih-sengih, membiarkan si manis itu mengayuh laju meninggalkannya. Dia tidak pula berhasrat untuk mengejar. Sebenarnya, dia sudah cukup berpuas hati dapat melihat muka muncung si kecil itu. Setiap hari, dia sengaja menyakat, dengan tujuan melihat Sufiah marah dan menarik muka empat belas.
                                   .............................................................

“NEK, BOLEH TAK NEK BUAT NASI lemak lepas bulan puasa ni. Orang nak jual di sekolah,” ujar Sufiah, tersengih di hadapan meja sambil melihat neneknya yang sekejap ke sinki, sekejap ke tungku dapur kerana sibuk menyiapkan gulai ikan untuk berbuka.

“Tak cukupkah duit belanja yang tok wan beri, Sufiah?” tanya neneknya kembali, dengan nada suara setenang air di kolam.

“Duit yang tok wan beri, cukup nek,” balas gadis kecil itu. Dia tersengih lagi. Matanya bersinar-sinar tatkala mahu menyampaikan ideanya. “Orang hendak jual, kemudian kumpul duit banyak-banyak,” ucapnya lagi.

“Nak buat apa dengan duit banyak-banyak tu, Sufiah?” tanya orang tua berwajah lembut itu. Wajah cucunya ditatap penuh kasih. Anak itu telah kehilangan dua orang tuanya sejak kecil. Ibu dan ayahnya meninggal dalam kemalangan. Lalu, orang tua itulah yang menjaganya sejak kejadian itu.

Aruah ayahnya dahulu, seorang peniaga yang berjaya. Namun, perniagaan itu dijual sejak kematiannya. Asalnya, peguam yang diamanahkan telah memberitahu bahawa perniagaan itu diwariskan pada tok wan. Namun, tok wan memang tidak mahu menguruskannya, lalu menjual perniagaan itu. Sebagai gantinya, tok wan telah membeli tanah seluas tiga ekar. 

Pada tok wan, tidak rugi membeli tanah, kerana harganya tentu akan naik. Sewaktu tok wan membelinya, harganya hanya kira-kira enam puluh ribu. Maksudnya, harganya hanya dua puluh ribu seekar. Tok wan yakin, tanah di Seberang Perai tidak pernah turun... malah akan naik berganda-ganda. Lebih untung membeli tanah, daripada tok wan gagahkan diri menyambung perniagaan perniagaan percetakan yang sangat asing bagi tok wan.

Jadi, akal cerdik merancang... dan kebolehan berniaga yang ada pada Sufiah, datang dari orang-orang tuanya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

“Mak cik kantin tak marahkah, kalau Sufiah berniaga? Nanti mereka anggap Sufiah yang buat kantin tak laku,” wanita berumur enam puluhan itu cuba menjentik persoalan di fikiran gadis kecil itu.

“Ya tak ya juga!” akui gadis kecil itu. Serta merta wajah garang tuan punya kantin itu timbul di hadapan matanya. Jari telunjuk kecilnya diketuk-ketuk di atas meja. Fikirannya ligat mencari ilham baru untuk berniaga.

“Kalau begitu, nenek buatlah donat. Boleh orang jual dalam kelas,” cadangnya lagi, semakin bersinar mata bulatnya.

Nenek tua itu tersengih mendengar kata-kata cucunya. “Donat pun makanan juga. Samalah... nanti mak cik kantin tentu marah juga,” ujarnya sambil mengenyit mata.

“A ah la... betul juga. Pandai nenek ni,” kata gadis kecil itu, sambil memuncungkan mulutnya. Wajahnya kelihatan kelakar bila dimuncungkan sebegitu.

Fikirannya ligat lagi. Jualan kad raya itu memang menguntungkan. Tapi, tidak lama lagi, raya akan menjelang. Tiada siapa yang akan membeli kad raya selepas bulan puasa.

“Jualan makanan memang tak boleh... sebab mak cik kantin marah...,” ujar si gadis, lanjut, sambil mengira-ngira di dalam kepalanya. “Kalau bukan makanan, bukan kad raya... apa lagi yang boleh dijual?” dia bercakap seorang diri.

“Jual kicaplah!” cepat sahaja neneknya menyampuk sambil tersenyum nakal, menampakkan tunggul giginya.

“Eeeee... tak mau...,” balas Sufiah, geli-geleman. Perkataan kicap itu sungguh menakutkannya!




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 (1) PE'AH | Bab 1 (2) |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku