USAHAWAN TAK KETAHUAN
Bab 1 (2)
Genre: Alternatif
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 Februari 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
406

Bacaan






SUFIAH MEMASUKKAN PISANG YANG MASAK kekuningan itu ke dalam beg plastik. Petang kelmarin, dia telah pergi ke belakang rumah, lalu menebang pokok pisang emas yang sudah kekuningan buahnya. Ada juga beberapa biji pisang yang di sisir paling atas yang sudah dimakan burung.

Tidak sukar menebang pokok pisang. Tok wan selalu mengajarnya. Ambil gergaji kayu, perlahan-lahan, gajikanlah batang pisang separah pinggang kita. Bila batang pisang sudah mula senget, tolak sahaja batangnya yang lembut itu. Bila daun-daun dan buahnya menyembah bumi, tandan itu akan dipotong, dengan parang atau gergaji tadi.

“Buat apa buah pisang banyak-banyak tu, Sufiah?” tanya nenek, hairan.

“Orang nak jual lah,” balasnya, pendek.

“Boleh jualkah pisang di sekolah? Boleh laku kah?” tanya neneknya, sambil menggaru tudung kepalanya.

“Tak tahu, tapi cuba sahajalah!” balas si kecil, positif sahaja.

Nek mah tidak bertanya lagi. Baginya, biarlah cucunya itu mencuba dahulu. Biar dia tahu apa akibat dari setiap keputusannya.

Bagi nenek tua itu, sikap yang ada pada Sufiah sangat istimewa. Gadis itu mahu mencuba segalanya. Bila cubaannya gagal, dia akan merancang sesuatu yang baharu. Tidak ada kata berundur baginya. Sikap positif itu, seperti semulajadi ada dalam diri Sufiah. Jarang-jarang sekali bertemu seseorang dengan sikap begini, menyerlah di umur sepuluh tahun pula!

Cuma satu sahaja kelemahan anak kecil itu. Tubuhnya yang sangat kecil itulah, menyebabkan ada kawan-kawan yang suka mengganggunya. Nek Mah tahu, Saidon anak Haji Ibrahim tuan punya kilang kicap di kampung itu, sangat suka menyakat Sufiah.

Nek Mah sentiasa berdoa, agar cucunya yang kecil itu dapat melalui kepayahan hidupnya dengan sabar. Sufiah bukan ada siapa-siapa lagi selain dari datuk dan neneknya. Hendak diharap bapa saudaranya yang seorang itu... entahlah... .
                    ----------------------------------------------------------------------------------------------

“MANA ADA ORANG JUAL PISANG, Sufiah. Pisang ni orang buat sedekah di masjid sahaja,” tegur Amira, kasihan melihat kawannya yang bercita-cita tinggi itu.

“Kenapa tak boleh jual pisang?” tanya Sufiah sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Sebab pokok pisang banyak di kampung kita. Semua orang tanam pisang,” terang Amira yang lebih rasional. Ya, dia selalu melihat ayahnya, Haji Karim, yang merupakan ketua kampung mereka, menyedekahkan pisang di masjid.

“Hm... ya tak ya juga,” cetus Sufiah, perlahan. Namun kepalanya masih berfikir. Baginya, setiap benda tentu boleh dijual. Jika tidak, tiadalah gerai menjual pisang goreng.

“Aku rasa kan, Mira. Pisang boleh dijual. Tapi bukan di kampung kita. Boleh dijual di tempat yang tiada pokok pisang,” ujar Sufiah setelah berkira-kira di otaknya.

“Ya lah kot,” balas Amira, tiada gagasan lagi untuk dicadangkan. “Habis tu... apa kau nak buat dengan pisang tu?” tanya Amira pula, sambil menjengok ke dalam beg plastik.

“Sekejap!” balas Sufiah, lalu membawa beg plastik itu dari satu meja ke meja lain di dalam kelasnya. Setiap meja diletakkan sebiji pisang.

“Hehe... sedekah itu amalan mulia,” ceramahnya, sambil tersengih pada Amira yang berambut hitam lebat itu. Itulah ilmu yang selalu dia dengar dari datuk dan neneknya.

Amira tersengih sambil menggeleng kepalanya. Aneh betul sikap rakan karibnya itu.


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 (1) PE'AH | Bab 1 (2) |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku