Cerita Nek Yah
BAB 2
nor
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novelet
Paparan sejak 02 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
384

Bacaan






Malam sudah menjelma. Nasi goreng yang dipesan tadi masih panas dihidang diatas meja. Asap rokok daun berkepul-kepul di udara apabila lelaki yang dikenali sebagai Pak Kodin menghembuskannya ke udara. Fikirannya ligat memikirkan tentang Nek Yah. Terasa sudah lama tidak mendengar nama itu.

“Nek Yah….hati-hati bila kamu berdua apabila menyebut namanya” Pak Kodin mengukir senyuman sinis. Seperti ada rahsia yang disembunyikan.Farid dan Aniq berpandangan.

“Kenapa Pak Kodin?” Aniq berhenti menyuap nasi gorengnya ke mulut.

“Takut dia akan kembali semula ke sini..” Pak Kodin memerlahankan suaranya, tetapi jelas didengar ke telinga Farid yang sedang menelan makanan namun tersekat di kerongkong yang membuatkan dia batuk. Pak Kodin hanya ketawa lucu dengan telatah mereka berdua. Rasanya sudah lama dia tidak ketawa seperti itu.

Pak Kodin mula membuka cerita. Katanya , Dulu Nek Yah seorang wanita yang disegani oleh penduduk kampung. Dia menolong orang dengan ikhlas, tiada bayaran. Namun, semua itu tidak lama. Apabila orang kampung mendapat tahu Nek Yah mengamalkan ilmu salah. Dia pernah hilang seketika daripada kampung Semerak Api ini beberapa bulan. Kata orang dia sudah mati didalam rumahnya sendiri. Tetapi kampung itu menjadi gempar apabila ada orang nampak Nek Yah tiba-tiba balik ke rumahnya semula.

Setiap malam terdengar suaranya menyanyi merdu memuja bulan ditengah malam. Beberapa anak muda di kampung itu termasuk Pak kodin juga terpikat dengan kelunakan suaranya. Mereka akan menunggu dibalik pokok besar berhampiran rumah Nek yah semata-mata mahu mendengar suaranya sahaja. Pak Kodin hanya tersenyum sendiri apabila mengenangkan saat itu. Dia seolah-olah terpukau dengan suaranya.

“Jadi pak Kodin pernah melihat Nek Yah?” Farid yang mahu tahu lebih lanjut terus mendengar tanpa lelah. Jarinya terus mencatat apa yang diceritakan oleh Pak Kodin didalam buku catatannya tanpa henti. Aniq pula sebagai jurugambar juga mengambil sekeping gambar Pak Kodin untuk diletakkan didalam majalahnya nanti.

Pak Kodin hanya termenung jauh. Seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Apa dia Pak Kodin?” Farid dan Aniq menunggu dengan penuh sabar.

“Harimau!… bunyi harimau!” Pak Kodin tiba-tiba kalut. Aniq dan Farid mula merasa gementar. Apa yang berlaku sebenarnya?

“Harimau?” Aniq melihat sekeliling. Farid menyiku sisinya menyebabkan Aniq berasa senak.

“Ya! Ada bunyi harimau disekitar rumahnya ketika kami sedang asyik mendengar nyanyian Nek Yah, membuatkan kami terkejut dan cabut lari” Pak Kodin membesarkan matanya. Senyuman terukir dibibir apabila berjaya menakutkan mereka berdua. Aniq dan Farid hanya mengurut dada. Farid tidak lupa mencatatkan setiap baris kata Pak Kodin untuk dijadikan bahan tulisannya nanti.

Malam yang semakin gelap menyebabkan kampung itu bagai tidak wujud. Tiada lampu jalan yang menerangi jalan kecil itu. Orang kampung juga tidak kelihatan. Mungkin mereka tidak keluar malam. Fikir mereka.

Farid dan Aniq yang kekenyangan menyandar dikerusi. Terasa letih dan mengantuk.Gerai yang mereka duduki juga sudah mahu tutup. Mereka berdua perlu fikirkan dimana mereka mahu tidur malam ini. Aniq dan Farid yang keletihan tiada pilihan lain. Nampaknya kereta mereka adalah tempat yang paling sesuai semetara menunggu hari esok.

“Kamu tidur dimana malam ini?” Tanya Pak Kodin tiba-tiba, dia juga mahu pulang ke rumahnya.

“Tak tahu lagi Pak Kodin. Mungkin di surau agaknya.Farid mengukir senyuman tawar. Hari semakin gelap. Pak Kodin yang kasihan melihat mereka berdua telah menawarkan tempat tinggal kepada mereka berdua.

“Terima kasih Pak Kodin” Aniq tersenyum lebar. Farid dapat merasakan Pak Kodin dapat membantu mereka dalam menjejak Nek Yah. Banyak lagi cerita tentang Nek Yah yang masih belum diketahui oleh mereka. Farid hanya tersenyum sumbing.

Kereta mereka terus sampai ke perkarangan rumah yang diarahkan oleh Pak Kodin. Aniq dan Farid hanya menjengah didalam kereta, tidak mahu turun.

“Betul ke ni rumahnya?” Aniq yang berada di tempat duduk pemandu merasa seram sejuk. Farid hanya menggeleng tidak tahu. Keadaan rumah yang gelap seperti tiada berpenghuni membuatkan mereka seram!

“Mana Pak Kodin ni?” Aniq seperti mengeluh. Dia mahu menumpangkan Pak Kodin tadi, namun Pak Kodin berkeras mahu balik sendiri. Pak kodin hanya menunjukkan jalan sahaja ke rumahnya. Katanya dia akan menyusul kemudian. Mungkin ada hal yang perlu diuruskan.

Buk!!

Tiba-tiba sahaja tingkap cermin di ketuk oleh seseorang daripada luar. Aniq yang leka terperanjat. Begitu juga dengan Farid.

“Pak Kodin!” Aniq terus membuka pintu dan keluar dari perut kereta. Farid hanya mengikut langkah Aniq.

“Cepatnya Pak Kodin sampai” Aniq melihat sekeliling. Tiada satu kenderaan pun yang berada disitu.

“Mari kita naik” Pak Kodin menepuk bahu Aniq. Farid hanya mengikut daripada belakang. Langkah Pak Kodin dihayun laju menaiki tangga kayu itu. Walaupun rumahnya nampak agak lama, tetapi kelihatan agak kemas dan teratur.

“Ini rumah peninggalan ibu aku dulu. Aku menjaganya dengan baik. Kamu berdua boleh tinggal disini buat sementara waktu” Pak Kodin menyerahkan kunci rumah kepada Aniq dan mahu beredar setelah menunjukkan setiap ruangan rumah itu. Aniq dan Farid hanya terpinga-pinga.

“Pak Kodin duduk dimana?” Farid yang daripada tadi menyepi mula bersuara.

“Tidak jauh, dibelakang rumah ini sahaja. Jika ada apa-apa kamu berdua boleh pergi ke rumah aku” Pak Kodin terus berlalu meninggalkan mereka berdua berehat.

Aniq dan Farid berasa lega. Mujur ada Pak Kodin yang baik hati membantu. Mereka berdua yang sudahpun membersihkan diri terus mengambil tempat tidur masing-masing. Terasa selesa dan nyaman. Cuaca sejuk pada malam hari membuatkan mereka tidak berfikir apa-apa. Hanya menanti siang untuk menjalankan tugas mereka menjejaki Nek Yah. Tanpa sedar mereka berdua terus lena dibuai mimpi.

Aniq tiba-tiba terjaga daripada tidurnya. Bunyi bising diluar mengganggu lenanya.

“Bunyi apa ni?” Aniq terpisat-pisat bangun. Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Dia mendengar lagi bunyi itu tapi kali ini lebih jelas. Matanya juga terbuka luas apabila mengenali bunyi itu.

“Harimau!” Aniq yang tiba-tiba ketakutan terus menerpa kearah Farid yang lena menyebabkan lelaki itu naik darah.

“Kau dah gila ke?” Farid menjerit. Aniq cuba mententeramkannya semula.

“Kau dengar tak bunyi tu?” Aniq cuba menerangkan. Farid yang juga mendengarnya cuba menjengah perlahan ke tingkap. Namun, tiada pula kelihatan kelibatnya. Bunyi itu cukup membuatkan mereka tidak tidur sepanjang malam dan sentiasa berjaga-jaga sehinggalah ke pagi.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab BAB 1 | BAB 2 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku