Janin Dalam Peti Ais
Bab
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 03 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
1319

Bacaan






Mood memasak Shina mencapai tahap kemuncak walaupun sudah sebulan tidak ke dapur. Kekangan masa dan jadual pengajian yang padat menyebabkan dia banyak makan di luar.Empat orang rakan serumahnya sudah dua minggu pulang ke kampung. Yang tinggal hanya dia bertiga dengan Dilla dan Janna..

Sebelum ini apa yang dimasaknya semua tidak menjadi. Speghetti yang dibuatnya dulu digelar “spekgeli” oleh housemate yang lain. Walaupun masa makan tu semua tersenyum dan cakap “not bad". Cuma masa bertengkar dengan Lisa, baru keluar cerita pasal speghettinya yang langsung tak sedap. Hati Shina sejuk sikit bila Dilla beritahu yang Janna masak speghetti lagi teruk. Sampai diaorang cakap makanan tu namanya “spek tak reti2 masak”. Ada ke orang buat speghetti rasa macam moist cake!.

Pagi ni dia nak mengasah semula skill memasaknya. Biar kawan-kawannya terkejut dengan sarapan homemadenyapagi ni!.

Kepalanya masih merangka-rangka apa yang hendak dimasak.Dia Cuma perlu memeriksa apa yang masih berbaki dan boleh digunakan di dalam peti ais. Barang selebihnya boleh dicari di kedai runcit di belakang rumah.Sekejap sahaja kalau dia ke sana menaiki motosikal Janna. Kedai itu pun sudah di buka awal pagi dengan menjual barangan basah.


Checking!

Shina membuka peti ais yang dikongsi bersama penghuni yang lain. Peti itu adalah hak milik tuan rumah yang diletakkan di rumah itu untuk kemudahan penyewa. Dan kerja memenuhkan peti itu terletak di tangan Dilla. Dia adalah bendahari tidak rasmi penghuni rumah itu. Selain mengambil tahu hal-hal kewangan seperti membayar sewa, belanja api air, membeli barang-barang keperluan rumah dan makanan serta mengingatkan semua orang untuk membayar apa yang patut!.

Mentang-mentang la hanya dia yang mengambil kos perakaunan, semua hal berkaitan kewangan diletakkan di bahunya .

Shina tidak memikirkan semua itu. Budak mass comm seperti dia harus kreatif dan berinisiarif sahaja.

Tingkat bawah peti ais terletaknya sayur-sayuran tanpa tarikh luput. Cuma warna dan keadaan fizikal sayur itu yang menentukan sama ada boleh dimasak, atau terus ke tong sampah.

Sayur sawi dan lobak merah sahaja yang nampaknya masih boleh dimakan. Yang lain harus ke tong sampah. Sepaket speghetti diambil dari almari dapur dan diletakkan diatas meja.

Musim peperiksaan sebegini, tak semua rajin untuk ke dapur.Kalau ke dapur pun, mungkin untuk segelas Milo atau kopi.

Tangan Shina tergerak untuk membuka tempat sejuk beku. Jarang sekali bahagian itu digunakan untuk menyimpan barang. Kalau ada yang membeli sausage atau nugget, memang di situ tempat simpanannya. Tapi, makanan sebegitu selalunya cepat dihabiskan mereka.

“Uii.. sejak bila pulak ada simpan daging ni"

Shina menarik keluar bungkusan daging yang mengeras dalam plastik berwarna biru.

“ Daging apa ni?”Dia mulai curiga dengan kandungan di dalam plastik itu. Tangannya gatal membelek-belek ketulan daging yang mengeras itu sambil memikirkan hidangan speghetti yang sesuai dimasak nanti.

“Arghhhh!!!”



Jeritan Shina yang panjang dan nyaring itu menarik Dilla dan Janna untuk keluar dari bilik. Masing-masing turun dari tangga dan berkumpul di dapur. Dilla mengusung sekali kain selimut hingga ke dapur.

“Ape hal ni?” Dilla dengan rambut yang masih mengerbang bertanya. Dia bercakap sambil menutup mulutnya yang menguap beberapa kali.

“Kali ni kau jerit lagi kuat dari hari tu. Pehal Shina" Janna pun mengulangi soalan yang sama.Matanya melia rmelihat sekeliling kalau-kalau ada musuh yang tak dijangka. Kekuda teakwondo dia sudah siap sedia untuk bertindak. Walaupun semenjak belajar ilmu mempertahankan diri tu, dia selalu menangis kalau diajak sparring.

Shina sudah terperosok di ceruk dapur dengan tangan terketar-ketar menunjuk ke arah atas meja.

“Ta..ta..ngan..” Jawab Shina dengan butir-butir kata yang tergagap-gagap. Mata Dilla dan Janna pula yang berkalih ke atas meja.Mereka saling mengangkat kening untuk menyentuh objek yang berada diatas meja.

Kesan darah bercampur ais yang cair, membasahi meja. Daging di dalam plastik biru tadi dikalih oleh Dilla.

Hah!!! Ada tangan kecil dalam plastik tu!

Dia dan Janna pula yang sama-sama menjerit. Janna pulak bersambung dengan meracau-racau. Semua yang terlintas dalam fikirannya disumpah seranah. Kaki kirinya pula sempat menyepak kaki kerusi hingga patah.

Dilla dan Shina yang tadinya ketakutan, saling berpandangan antara satu sama lain.

“Sakit tak!” Tanya keduanya hampir serentak.

Janna mengangguk sambil mengetap bibir!. Matanya berair menahan sakit.



Keadaan kemudiannya tenang seketika. Malaikat lalu kata setengah orang. Mereka bertiga menarik nafas panjang. Masalah di depan mata harus diselesaikan bukannya dijadikan sumber ketakutan.

“Anak siapa ni agaknya?” Ayat pertama yang terpancul dari mulut Dilla.

“ Mana aku tau weiii. Ni hal gila ni. Aku tak nak bersubahat sekali" Janna masih panik.

“Tak ada tempat lain ke nak buang. Peti ais kita ni jugak yang jadi mangsa.Hantar la kat surau ke, rumah anak-anak yatim ker. Baby hatch ke…” Rungut Shina pula “Siapa pulak yang nak uruskan mayat budak ni….Haaaaa?”

“Itu belum jadi baby rasanya. Walaupun dah cukup sifat. Janin lagi ni" Dilla mencucuk-cucuk bungkusan plastik itu dengan jari telunjuk.

“ Wei!!! Lekat cap jari ko kat situ. Nanti orang kata anak ko pulak" Marah Shina.

“Saja aku nak sentuh..sejuk!!!”

“Sejuk la ngok! Benda tu kan dah beku"

“Comei pulak aku tengok" Dilla tiba-tiba menokok.

“ Ya Allah korang berdua..masaalah depan mata ni, korang buat main-main" Marah Shina.

“Eh sori. Aku terbawa-bawa. Mengatok lagi kot. Eh..takkan ko nak tarok budak ni dalam speghetti " Soal Dilla sebaik nampak bungkusan speghetti di tepi singki.

Kuk!

Shina meluku kepala Dilla sebagai jawapan.

“ Janin budak ni bukan benda lucu wei"

Plastik biru yang berisi janin itu dimasukkan semula ke dalam peti ais.



“ Telefon polis wei" Cadang Janna sambil menyuap nasi lemak yang baru dibeli tadi.

“ Jangan buat gila wei, apa kita nak jawab dengan abam-abam polis tu nanti. Kalau kita masuk lokap, kau nak ke?” Bantah Dilla.

“Anak sapa tu sebenarnya wei…? Serius. Aku nak sangat tahu" Janna bertanya lagi.

“ Kalau nak tahu sekarang, kau pergi le bukak peti ais tu. Tanya sendiri kat budak tu. Nama mak kau siapa? Berapa no. I.C dia?” Perli Shina. Dia pun sedang menyuap nasi lemak.

“ Ha..ha..lawak sangat la tu"

“Aku rasa itu anak Awa la" Teka Dilla.

“ Sebab apa kau cakap macam tu?”

“Kau perasan tak, lima enam bulan lepas. Dia selalu muntah-muntah.Lepas tu dia cakap keracunan makanan. Lepas tu korang perasan tak yang badan dia berisi sikit. Masa tu kan dia masih berkawan dengan si Aiman tu.”

“ Tak de bukti, jangan ko tuduh-tuduh. Bukan ke ko pun muntah-muntah masa tu. Badan ko pulak makin naik sampai sekarang. Tak turun-turun pulak tu" Tingkah Janna.

“Oh, ko kata aku gemok ler"

“Eh, taklah. Ko Comei. Aku gurau jer"

“Kau pulak, ada syak sesiapa tak dalam rumah ni?” Tanya Dilla.

Janna memandang keliling sebelum bersuara.

“Aku syak Kak Faezah yang punya” Ujar Janna dengan suara separuh berbisik. Walaupun hanya mereka bertiga di dalam rumah tu.

“Kau biar betul” Shina pun terikut-ikut dengan nada suara berbisik tu.

“Dia kan jarang berborak dengan kita. Kalau jumpa pun, hari sabtu dan ahad. Yang lain tu dia di surau, pejabat NGO atau ke kulian. Mana kita tau apa yang sebenarnya dia buat. Entah-entah dia dah kahwin senyap-senyap”

“Kau ni, kalau dia dah kahwin. Kenapa nak sorok pulak kalau mengandung?”

“Dia kahwin tanpa restu keluarga la tu. Bila dah mengandung, dia takut keluarga dia tahu. So, janin tu la jadi mangsa”

“Kau ni, Kak Faezah tu la satu-satunya housemate kita yang patuh syariah. Berjubah, bertudung labuh. Selalu nasihatkan kita. Aku langsung tak percaya la. Orang lain punya ni. Kalau si Lisa tu aku percaya. Dah la playgirl, selalu sangat aku nampak dia berkepit naik motor ikut jantan. Kalau tak kerana dia sepupu kau, dah lama aku reject dari rumah ni”

“ Hei, Lisa tu ok per. Semua hal dia dia syer dengan aku tau. Walaupun dia ramai kawan lelaki, tapi tak pernah dia buat benda yang bukan-bukan tau” Bela Dilla. “Yang kau dengki sangat dengan dia dari dulu tu kenapa?” Bentak Dia. Shina merasa seperti diapi-apikan. Mau sahaja dia bergomol dengan budak tembam depan mata ni.

“Hey korang…FOKUS..bukan kita nak gaduh hal Lisa. Ni hal budak dalam peti tu. Sampai sekarang belum ada keputusan ni” Janna mengambil jalan tengah. Kalau dibiarkan, panjang halnya nanti.


Dilla dan Shina hanya mencuka. Hal Lisa selalunya menjadi penyebab mereka berdua bercakaran. Kalau tak ada orang tengah, sampai bila-bila mereka tidak boleh tinggal serumah. Cuma masing-masing cepat sejuk dan mudah memaafkan.

Selain Awa,Kak Faezah dan Lisa, mereka masih ada Nurlela. Masing-masing tidak berani mengulas hal Nurlela. Sebabnya, ada yang percaya yang Nurlela tu ada membela saka. Walaupun gadis itu kelihatan seperti tomboy, dia ada kebolehan dalam bidang urutan. Budak-budak perempuan yang main sukan selalu datang jumpa dia minta diurut kalau ada yang terseliuh.

“ Lela pulak, ada kebangkalian tak benda tu dia punya” Janna memberanikan diri bertanya.

“Aku tak fikir ada lelaki yang sukakan dia sekarang ni, Cuma..”

“Cuma apa?”

“Cuma, aku takut dia nak buat benda tu jadi anak kerak.. “ Shina menambah dengan riak muka ketakutan. Matanya meliar memandang sekeliling. Takut ada yang mendengar!

“Apa benda anak kerak tu..?”

“Anak kerak tu, janin yang dipuja hingga datang semangatnya. Sesiapa yang membela anak kerak ini boleh gunakan untuk pelbagai tujuan, pelaris boleh, awet muda boleh, pengasih pun boleh, pendek kata macam-macam la”

Dilla dan Janna membulatkan mata. Kalau Shina sampai ke tahap mengarut ni, ada sumber yang dia baca atau movie yang dia tonton.

“Kau baca benda ni kat mana?” Tanya Dilla. “Jangan buruk sangka sampai macam tu. Kalau benda ni jadi hal, diaorang berempat tu mesti salahkan kita. Kita je yang tak balik kampung kan”

Shina tersengih apabila teringatkan cerita Anak Kerak yang dia pernah tengok dulu.



“ So, Kau rasa apa kita patut buat?”

“Apa yang aku fikir sekarang, kita bertiga buat-buat tak tahu. Sampai semua dah balik nanti, kita tunggu siapa yang bukak peti tu pulak. Biar hal ni terbongkar sekali lagi. Kali ni biar satu rumah yang terlibat” Ujar Dilla.

“Tapi Dilla, Takkan nak biar benda tu dalam peti macam tu je. Tak baik tau” Janna masih ragu-ragu.

“Ok. Kalau kau rasa nak uruskan, silakan. Kami berdua ni dah tak kuasa nak settle benda-benda macam ni” Shina pula menyambut. “Aku terpaksa setuju dengan cadangan Dilla. Lagipun, dua hari lagi semua housemate kita akan balik kan?”

Janna terpaksa bersetuju walaupun hatinya berat. Kes ini akan tergantung sehingga ada yang buka peti ais sekali lagi.

Yang pastinya, dalam dua hari ni, mereka bertiga tidak akan menyentuh peti ais tu!



Kak Faezah meletakkan rendang daging yang dibawanya diatas meja. Dia tahu, semua rakan serumah takkan menolak buah tangan dari ibunya ini. Bekas plastik itu diletakkan bersebelahan gulai nangka yang dibawa Lisa. Bekas gulainya sahaja yang ada sedangkan tuannya sudah naik membungkang di bilik.

Awa membawa pulang buah mempelam dan cermai, macam yang diminta oleh Dilla. Cuma Nurlela sahaja yang pulang dengan tangan kosong. Cuma dia berjanji akan membelikan mereka pizza untuk makan malam nanti.

“ Lambat korang turun, selalunya korang bertiga yang sampai di meja makan ni dulu” Tegur Kak Faezah. Dilla tersipu-sipu malu. Shina dan Janna sudah mengaut nasi ke dalam pinggan.

“Bersih je dapur ni, korang langsung tak masak ke?” tanya Awa.

“Haah..tak sempat” Janna cuba mengelak dari terus menjawab. Mulutnya menjamah rakus rendang yang dibawa Kak Faezah tadi. Cakap dia juga gagap-gagap, macam ada yang tak kena.

Something wrong la dengan korang bertiga ni!!!!” Kak Faezah pun merasa sangsi. Tingkah gugup mereka bertiga memang jelas dimata Awa dan Kak Faezah. Mujur si Lisa dan Nurlela sudah menghilang ke bilik masing-masing. Kalau tidak lagi panjang la cerita di dapur ni.

“Tak de apa-apalah, Cuma haritu Shina terjumpa hantu dalam rumah ni?” Temberang Dilla. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu ada yang syak dengan reaksi mereka di dapur. “ Dia jumpa kat kawasan dapur ni!. Sebab tu kami seriau sikit duduk di dapur”

“Lahanat punya kawan!. Aku pulak yang nak kena bohong” sumpah Shina di dalam hati, walaupun kepalanya menunduk mencari idea.

“Kan siang lagi ni, nak takut apa? Apa yang kau nampak Shina..”

“Errr..hantu….Hantu ikan, bawah meja”

Kali ini Janna dan Dilla pula yang menunduk. Bukan berfikir, tapi menahan tawa.

“Hantu ikan!! Habis la kau Shina” Ujar Shina pulak dalam hati.

Kak Faezah dan Awa masih serius. Hal yang berkaitan keselamatan di rumah sewa mereka ini bukan hal main-main.

“Hantu ikan tu macammana..First time akak dengar ni. Selalunya Ghost Fish tu ada dalam laut jer. Cer cerita sikit..” Kak Faezah cuba mengorek lebih lanjut.

“ Malam tu saya nak masak meggi, dalam pukul sebelas. Masa jerang air tu, ada dengar bunyi orang main air kat longkang luar. Ada ikan kat dalam longkang tu. Logik tak ada ikan kat situ, padahal kita tak pernah pun bela ikan. Hantu la tu!!!” Cerita Shina penuh yakin.

“Bukan ke ko kata tadi bawah meja..” Awa mencelah dengan nada tegas. Dia pantang sangat orang menipu ni.

“Yang bawah meja tu lain. Janna yang nampak budak kecik main-main kat bawah tu malam khamis lepas”

Janna yang menahan ketawa tadi tiba-tiba sahaja terdiam.

“Jahanam sungguh! Kenapa babitkan aku pulak..”

“ Aik..cerita ni dah main sambung-sambung ni. Akak serius ni. Siapa yang nampak apa ni?” Kak Faezah mulai berang.

“Hmmm.. memang ada nampak budak kecik tu. Tapi samar-samar sebab tak pakai spek. Lepas tu Janna terus demam” Jawapan dari Janna untuk melepaskan diri.

“Habis tu apa korang dah buat. Ada baca yasin tak?”

Masing-masing menggeleng. Awa membulatkan mata.

“Takkan benda macam tu nak tunggu kami balik. Buat la dulu” Marah Awa. Kak Faezah menyuruh dia menenagkan diri.

“Kita kan serumah, kena la bertolak ansur sikit. Kalau ada masaalah cepat-cepat selesaikan” Pesan Kak Faezah.



“ Dilla tolong ambil ais kat dalam peti tu?” Awa tiba-tiba membuat permintaan kepada Dilla yang duduk di belakang peti ais.

“Kita ada buat ais ke?”

“Kata korang tak masuk dapur. Ais yang aku beli dulu mesti ada punya”

Dilla cepat-cepat membuka pintu sejuk beku peti ais sebelum menutupnya semula.

“Tak ada, dah habis!” Ucapnya ringkas.

“Habis yang dalam plastik biru tu apa?” Tanya Awa pula. Kali ini Dilla, Shina dan Janna pula yang menggelabah.

“Plastik biru apanya Awa. Akak tak nampak pun Dilla buka pintu peti tu” Celah Kak Faezah.

Kali ini Awa pula yang menelan air liur. Mukanya yang garang tadi bertukar cemas. Mata ketiga-tiga budak di hadapannya membulat kearahnya.

“ Mana kau tahu dalam tu ada plastik biru Awa?” Dilla menjengah Awa. Kali ini dia bangun dari kerusi dengan kedua-dua telapak tangan melekap ke meja. Mukanya betul-betul dihadapkan ke arah Awa.

“Apa yang kau sembunyikan?” Tanya Dilla penuh suspen. Matanya memandang tajam ke arah Awa!

“Sumpah…Janin tu bukan aku punya.” Jerit Awa agak kuat.

“Janin apa pulak ni?. Boleh tak korang jangan main-main” Kak Faezah sudah mulai panas dengan gelagat mereka berempat. Awa makin kecut perut sebab rahsianya pula terbongkar.


Dilla membuka peti dan mengeluarkan plastik biru yang telah membeku. Plastik itu diletakkan di hadapan Kak Faezah.

“Benda ni Kak!”

“Ya Allah, apa yang korang dah buat ni” Hampir sahaja Kak Faezah menjerit terkejut.

“Awa dah tau awal-awal haritu, kenapa tak beritahu kami” Marah Dilla belum luntur.

“Aku terkejut masa jumpa benda ni. Kalau aku cerita nanti pun, banyak hal pulak. Lagipun aku belum habis exam. Takut pulak tak habis paper lagi, kena masuk lokap dulu. Lepas habis exam, aku blah balik kampung. Aku tau korang akan jumpa jugak benda tu. Aku harap-harap korang boleh selesaikan hal ni” Akui Awa.

“ Kami pun takut jugak. Benda ni bukan main-main. Silap-silap mak bapak kita pun terbabit sekali” Janna pula bersuara.

“Lisa dan Nurlela tau tak?” Tanya Kak Faezah. Semua mengangkat bahu.

“Panggil diaorang sekarang. Kita buat mesyuarat tergempar sekarang!!”



Semua yang ada di meja makan hanya berdiam diri. Lisa dan Nurlela yang baru mengetahui hal yang terjadi turut risau dan ketakutan. Manakan tidak, janin seketul tidak bertuan diletakkan di dalam besen di depan mata.

“Apa yang patut kita buat sekarang, Kak?” Soal Janna. Kak Faezah dari tadi mundar-mandir di belakang kerusinya. Sebagai housemateyang paling senior, dia merasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan maaalah itu.

“ Ada cadangan tak?” Soalnya ringkas.

“ Kita buang je ke dalam tong sampah. Esok lori sampah sampai, dia kutip la sekali dengan sampah-sampah yang lain” Cadang Nurlela. Dari tadi dia mengelak untuk memandang janin yang diletakkan di atas meja. Penakut jugak si tomboy ni!

“ Mana boleh macam tu, tu jasad manusia tau. Kalau dah cukup sifat tu, kena sembahyang mayat macam yang lain sebelum ditanam. Walaupun bukan janin siapa-siapa di sini, kita kena uruskan jugak dengan sempurna” Dila mengomel. Dia tahu semua yang ada bimbang sekiranya perkara ini sampai ke pihak berkuasa.

“ Sebelum kita ambil apa-apa tindakan, korang boleh agak tak ni ‘barang’ siapa?. Aku tak kisah sangat kalau nak bercakar dengan orang yang tak ada peri kemanusiaan lagi ni?” Bentak Lisa. Hatinya panas tiba-tiba. Maklumlah, baru nak lelap mata, sudah dipanggil bermesyuarat.

“Pasti ke ‘benda’ ni bukan orang-orang dekat sini punya. Baik punya covering kalau kita masuk campur. Orang tu boleh lepas tangan” Perli Shina pula. Dia memang menunggu masa Lisa membuka mulut. Ada sahaja ayat yang diluahkannya bagi memanaskan keadaan.

“kalau kau maksudkan aku…sumpah aku cakap, bukan aku yang punya. Kalau ambik DNA pun aku sanggup…Biarpun perangai aku macam ni, iman aku masih ada tau!!!!” Balas Lisa pula. Dia faham sangat impaknya kalau musuh serumahnya itu bercakap.

“Dah..Dah cukup. Bukan hal tu kita nak korek. Cuma kalau kita boleh agak, siapa yang letakkan janin ni dalam peti ais tu. Senang nak cerita dengan polis nanti.” Terang Kak Faezah.

“Polis!!!” Semua yang ada mulai kecut perut.

“Kalau kita tak salah buat apa takut. Cuma kita cuai sebab biarkan benda ni lama sangat tersimpan dalam peti”


“ Bila kali terakhir kita pasti yang peti ni tak ada ‘benda’ tu?” Tanya Dilla.

“ Masa parti harijadi Janna la. Masa tu kan kita simpan banyak barang untuk parti tu. Aku tak nampak pun ada plastik biru ni” Jawab Awa. “Tiga hari lepas parti tu baru aku perasan ada plastik ni. Itu pun aku tak sentuh langsung. Ingatkan ada siapa-siapa kat sini yang simpan apa-apa. Bila dah lama sangat kat dalam tu baru aku check, then masa itulah yang aku jumpa”

“Kenapa buat senyap jer?” Janna masih tidak puas hati.

“Aku panik la!. Mana kita pernah ada kes macam ni. Sebab tu aku pun balik kampung macam korang”

“Pasti ke ‘benda’ ni bukan orang kat rumah ni yang punya” Lisa masih lagi mengulangi soalan yang sama. Matanya mengerling pula pada Shina. Dan Shina pula menggetap bibir dan cuba untuk bersuara.

“Dah..dah..Aku setuju sangat kalau kita panggil polis. Cepat kita boleh tahu siapa yang punya angkara” Dilla yang perasan akan reaksi Shina cepat-cepat membuat kenyataan. Shina yang baru mahu membuka mulut terus terdiam.

“ Aku rasa aku tahu janin ni siapa punya!” kenyataan dari Nurlela yang agak pendiam itu membuatkan semua membuka mata.

“Siapa punya!”

Nurlela tersenyum.

“Korang semua kan tahu yang aku ni bukan suka sangat parti-parti ni, so aku lepak dalam bilik je. Masa tu aku perasan ada kawan-kawan korang yang gunakan bilik air yang dekat dapur tu. Bilik air itu je yang ada pun. Masa aku turun untuk minum air, aku terserempak dengan budak perempuan yang pakai tudung bunga-bunga dengan baju warna kuning cair keluar dari tandas tu. Tangan dia ada kesan darah!!!” Cerita Nurlela.

“ Masa tu yang pakai macam tu, Cuma kawan aku tu je. Nama dia Balqis. Tapi aku tak percaya dia yang punya. Sihat semacam je dia tu masa tu. Tapi, Aku pun perasan yang tangan dia ada kesan darah. Cuma tak la sebanyak orang yang bersalin!” Jelas Lisa.

“Ah, bukan semua kawan kau boleh pakai!” Bentak Shina. Dia menunggu sahaja peluang untuk ‘membantai’ Lisa.

“Kau ni kenapa?” Lisa bersuara dengan nada yang keras. Jari jemarinya digenggam kemas.

“ Sudah!!!” Kak Faezah yang tadinya hanya berdiam mulai bersuara.

“ Janin tu kan Balqis tu yang punya. Akak dah dapat agak siapa yang punya angkara” Jelas Kak Faezah. “Kunci masaalah ni ada pada plastik biru tu. Kalau kamu perasan, kita tak pernah guna plastik sampah biru, yang kita guna pun yang hitam. Yang biru agak-agak siapa yang akan guna”

Semua yang ada masih tertanya-tanya. Tidak ada yang berani menjawab.

Cleaner yang Shina upah untuk bersihkan rumah lepas parti tu. Tu pun sebab dia malas nak bebankan kita semua. Lagipun upah dia murah je kan. Akak perasan yang dia gunakan plastik sampah warna tu. Kalau korang perasan, masa dia datang, perut dia buncit sedikit. Masa balik dah nampak slim. Lepas tu badan dia macam tak bermaya sangat..Kan. Ada yang perasan tak?”

“Haah..Aku memang perasan sangat. Sebab dia banyak tanya aku” Akui Janna. “ Tapi, apa motif dia tinggalkan baby dia dalam peti ais kita?”

“Hmmm.. Akak rasa dia terpaksa tinggalkan janin tu dalam peti ais. Sebabnya, dia takut kita tahu. Ikutkan peraturan Cleaner yang datang, dia tak boleh bawa balik apa pun dari rumah pelanggan, kecuali pelanggan yang bagi. Datang tangan kosong, balik pun tangan kosong..Disebabkan tu, dia balik macam tu je” Jelas Kak Faezah. Yang lainnya mengangguk seakan faham.


“Sekarang ni, macammana?” Tanya Dilla.

“ Sekarang, Kita telefon polis dulu!!”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku