Kaulah Permaisuri
Monolog
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
907

Bacaan






Hujan di luar rumah kayu usang itu sudah semakin menggila. Bunyi angin menderu kuat sesekali membawa tempias melalui tingkap kayu yang sudah berkeriut bunyinya. Semuanya seakan bersatu memberi satu tanda bahawa seluruh alam melaknati majlis akad nikah aku.

Iya.. majlis ringkas perkahwinan aku, Rana Ardini.

Orang kata, kalau masa kita kahwin, hujan akan lebat mencurah kalau kita banyak makan budu. Mengarut, aku orang bandar. Budu, cencaluk segala jenis pencicah kampung aku tak pandai makan sebaliknya aku sebenarnya makan hati. Sakitnya tuhan sahaja yang tahu. Seolah-olah hati ini dicarik-carik setiap isinya dan aku sendiri terpaksa menelan isi tersebut sehingga terlekat di kerongkong.

Anak mata aku larikan pula pada seorang wanita tua yang duduk di sebelahku. Dia tersengih-sengih menampakkan gigi yang hanya tinggal beberapa batang. Sesekali dia meramas jari jemariku yang kosong tak berinai.

Rimas!

Dia siapa nak pegang aku macam tu? Dah la tangan kasar dan kering berkerepot, terasa macam jejariku berlaga dengan kertas pasir. Perlahan-lahan, tangan kularikan dari genggamannya. Bagaimana harus aku terima semua ini sedangkan dalam majlis ini, aku tidak kenal sesiapa walau bakal suamiku sendiri?

Hakikatnya, aku tercampak jauh di pendalaman kampung semata-mata ingin memenuhi syarat perkahwinan cina buta. Siapa cina buta aku? Lantas aku mengangkat kembali wajahku memandang lelaki yang duduk bersila membelakangi aku. Sikitpun wajahnya tak kelihatan tetapi aku tetap jijik.

Baju melayu kusam yang dipakainya menambahkan rasa mual. Kulitnya agak gelap menandakan dia sentiasa bekerja bawah matahari. Kopiah lusuh yang mula kekuningan di kepalanya menambahkan jelek di mataku. Busuk, tentu dia busuk dan kotor! Tiba-tiba dia menoleh menyebabkan aku cepat-cepat menarik selendang menutupi wajahku. Bukan aku tidak mahu dia memandang aku, tetapi aku sendiri tidak sanggup memandangnya.

He is not my taste.

“Uwais Dzikral Bin Zambri, aku nikahkan dikau dengan Rana Ardini Binti Zairul dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah, tunai.”

Terang dan jelas sekali suara jurunikah melafazkan namaku dan bakal suamiku. Kali ini aku mula pasang telinga untuk mendengar suara balas akad tersebut.

“Aku terima nikah Rana Ardini Binti Zairul dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah, tunai.”

Tenang dan langsung tidak tersangkut-sangkut cuma bahunya sedikit terhinggut kerana dia menggoncang tangan jurunikah. Serentak dengan itu bersahutan suara saksi yang melafazkan sah bagi perkahwinan kami. Tangan mula ditadah untuk melafazkan puji-pujian dan kesyukuran.

Perlu ke aku bersyukur? Tak! Aku tercampak di sini tanpa kerelaan. Hatiku hanya pernah dimilik Saif Irfan, lelaki yang menceraikan aku talak tiga. Kenapa aku tidak dibenarkan terus bahagia dengan Saif? Kenapa Allah menduga aku sebegini hebat? Bertalu-talu aku melepaskan marah pada Yang Esa di saat mereka mengaminkan sebuah doa memohon kebahagian untuk aku dan suami baruku.

Perlahan-lahan aku menyeka air mata yang meluncur laju. Air mata yang kutitiskan bukan untuk suami baruku, tetapi untuk Saif Irfan yang kini menjadi bekas suami. Teringat janji Saif bahawa dia sendiri akan menjemputku setelah suamiku yang baru ini menceraikan aku. Dalam tempoh itu, aku hanya perlu bersabar dan hidup di kampung ini untuk beberapa ketika namun mampukah aku bersabar?

“Uwais, cincin isteri kamu ada pada mak ni.”

Aku mengerling wanita tua di sebelahku. Jadi, wanita ini ibu mertua akulah, ya? Mata aku jatuh pula pada sebentuk cincin yang dipegangnya. Alahai, cincin emas nipis macam logam penutup botol kicap ini yang dia nak sarungkan pada aku? Aku genggam jari jemari sendiri kuat-kuat.

Selama ini dari hujung rambut ke hujung kaki, barang kemas yang tersarung di tubuhku semestinya harga beribu-ribu. Saif sanggup hadiahkan untukku dari koleksi emas Tiffany hingga ke Swarovski sehinggalah rumah tangga kami dilanda badai. Namun hari ini semua berubah. Pertama kali dalam hidup, jari aku akan disarungkan cincin murahan.

Aku masih tunduk menyembunyikan wajah di balik selendang ketika Uwais mendekati aku. Kini yang aku dapat lihat adalah lututnya yang hampir berlaga dengan lututku ketika dia cuba duduk bersila di depanku. Perlahan-lahan aku mengensotkan tubuh kebelakang. Jangan nak berangan dia boleh duduk denganku serapat ini!

Aku mula tersentak bila jarinya menyentuh tanganku. Jelas kelihatan kukunya pecah-pecah dan kekuningan tanda dirinya tidak terurus. Ini baru kuku, macam mana dengan wajahnya? Tanpa dapat menahan diri aku mengangkat wajahku dan kini mata kami bertemu. Mulutku kini hampir ternganga…



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku