Kaulah Permaisuri
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
476

Bacaan






Rana memusing-musingkan cincin bertahta berlian di jari manisnya. Kilauannya yang menyerlah tentu saja menandakan ia bukanlah cincin yang murah. Harganya sahaja mencapai belasan ribu seperti yang sering diungkit Saif. Ungkitan yang sering saja menghias bait kata Saif akhir-akhir ini hingga mengguris hatinya.

Dahulu, dia bangga. Cincin berlian ini menjadi tanda ikatan dirinya seorang wanita kini punyai suami. Demi tersarung sahaja cincin ini, syurga dan masa depannya kini beralih pada seorang insan bernama Saif Irfan. Kecoh semua sepupunya yang perempuan membelek cincin tersebut usai akad nikah. Rana dipandang sebagai seorang wanita paling bertuah.

Dia masih ingat bagaimana dia tersenyum bahagia lebih-lebih lagi ketika Saif memeluknya untuk sesi bergambar. Saif Irfan, seorang pilot kini menjadi miliknya. Semua memandang mereka pasangan paling secocok sesuai dengan Rana yang ketika itu masih menyandang jawatan pramugari.

“Hmmm baru masuk lima tahun berkahwin, tak kan kamu dah nak mengadu macam-macam dengan mama?” Kata-kata tajam Datin Azian, ibu mertuanya mematikan lamunan Rana. Dia mengetap bibir menahan rasa sambil dia memandang sayu memohon simpati.

“Seorang isteri patut patuh pada suami. Kena banyak-banyak bersabar. Bercakap pun jangan meninggi. Itukan syurga kamu.” Tambahnya lagi membuatkan Rana hanya mampu mengangguk kepala lesu.

Ya, syurga di bawah tapak kaki Saif, suaminya. Kerana itu Saif merasa wajar bagi dirinya menguis tubuh Rana menggunakan kaki setiap kali dia melafazkan bosan melihat wajah Rana. Selalunya, Saif akan menghamburkan kata-kata betapa kehadiran Rana hanya menyusahkan dan menyemakkan mata.

“Rana tak pernah meninggi suara pada Saif, mama. Rana.. Rana cuma sedih Saif berubah kebelakangan ini. Selalu marah-marah.” Rana cuba membela diri membuatkan ibu mertuanya mendengus perlahan.

“Itulah silap kamu. Bersedih! Jangan! Jangan bersedih sangat. Cuba berusaha sikit. Kalau tayang muka sedih, lelaki mana tak bosan? Cuba kalau kamu senyum dan bersabar? Bukan susah pun kan?”

Senyum? Bagaimana mahu senyum kalau Saif sering menyuruhnya mengemas kain baju untuk kembali pada ibunya? Bagaimana mahu senyum suaminya sendiri menuduhnya menumpang di rumah yang dibeli oleh Saif sebelum perkahwinan mereka? Seorang isteri mana yang mampu tersenyum menahan rasa apabila suaminya sering mengamuk menghamburkan kata-kata kesat dan menolaknya hingga terjatuh?

Isteri mana yang mampu tersenyum?

Rana telan air liur mencari kekuatan. Dia tidak mahu menangis di depan mertuanya. Walaupun matanya sudah mula bergenang, digagahi jua mencari semangat supaya air mata itu tidak jatuh.

“Masak la sedap-sedap bila Saif balik. Kain baju dia kemas elok-elok. Rumah kena bersih.” Sambung bapa mertuanya pula meyokong isterinya.

“Kami bukan nak membela Saif, tapi kamu fahamkan apa yang kami cuba sampaikan ni?”

Rana angguk lagi seolah tiada punya kuasa lagi untuk membela diri. Banyak lagi yang ingin diluahkan pada mereka tetapi akhirnya terpaksa disimpan. Ingin Rana luahkan betapa dia tidak pernah mengabaikan Saif. Makan minum Saif sentiasa terjaga. Rumah sentiasa bersih, malahan dua tahun lepas, mereka memberhentikan orang gaji semata-mata Rana ingin memberi tumpuan menjadi isteri sepenuhnya pada Saif.

Ya! Walaupun terpaksa mengorbankan kerjayanya sebagai pramugari, dia rela demi Saif.

“Mama, Aydeen nak McDonald.” Kata Aydeen sambil berlari kecil ke arah dakapan Rana. Sekilas Rana melirik pada siaran iklan televisyen mengenai makanan segara tersebut. Wajah anak kecil yang baru berusia empat tahun itu kemudiannya ditatap lembut.

“Nak fries (Fun Fries).” Rengeknya dalam suara yang serak-serak basah. Manja bunyinya pada telinga Rana membuatkan Rana mula tersenyum.

“Alah.. cucu tok babah ni. Mari sini peluk tok babah. Kita beli McDonald, jom!” Bapa mertuanya mencelah dua beranak itu apabila melihat wajah Aydeen penuh harapan. Tangan didepa sambil jarinya menggamit.

Perbualan mereka sedikit terganggu dengan keletah cucunya namun dia tetap terhibur. Aydeen adalah legasi keluarga mereka. Cucu sulung pertama dari anak lelaki sulung yang menjadi kebanggaan mereka.

Aydeen geleng lembut membuatkan rambutnya turut terbuai. Bibirnya dimuncungkan membuatkan dia kelihatan comel sekali. Wajah anak ini menenangkan hati Rana yang rawan. Kerana anak inilah, Rana masih di sini, masih merelakan hatinya dihiris hari demi hari oleh suaminya sendiri. Asalkan anak ini masih punya seorang ayah, asal sahaja Aydeen tidak menjadi mangsa kehancuran rumahtangga dia dan Saif.

“Amboi, dah tak nak kawan dengan tok babah ke? Cian tok babah.” Bapa mertuanya masih berusaha memujuk Aydeen.

“Tak nak! Aydeen nak pergi dengan mama. Tok babah kawan papa! Aydeen kawan mama.”

Wajah bapa mertuanya sedikit berubah dengan kata-kata spontan dari mulut Aydeen. Ungkapan yang tulus dari hati anak kecil yang masih suci. Seolah-olah dia dapat merasakan segala kekecewaan ibunya pada keluarga mertuanya sendiri.

“Eh, mana boleh macam tu! Aydeen jangan kawan dengan mama seorang aje. Mama perempuan. Kena kawan dengan lelaki juga. Papa kan lelaki? Tok babah pun lelaki, kan?”

Rana cuba memujuk dalam serba salah. Dia tidak mahu dituduh cuba menghasut Aydeen membenci Saif dan keluarga Saif. Dia sendiri tidak tahu dari mana Aydeen mampu memberi tindak balas begitu.

Dia akui memang dia terkilan apabila cubaan pertama meminta mertuanya menasihati Saif gagal. Malahan dia pula dituduh tidak berusaha mengambil hati Saif. Namun dia juga seorang ibu. Mungkin mereka terlalu menyanyangi Saif sehingga sukar menerima kesilapan Saif.

Mungkin!

“Jom la mama!” Aydeen dah mula merengek membuatkan Rana terpaksa beralah.

“Jom!”

Tangan kecil anak itu digengam erat lalu dia bangun ingin meminta diri. Dipicit-picit lembut setiap jejari anaknya yang berisi mengalirkan kasih sayang yang tidak mampu terungkap.

“Rana balik dulu mama, papa!”

Wajah tua didepannya dipandang silih berganti sebelum menghampiri mereka untuk bersalam-salaman.

“Banyakkan bersabar. Kita perempuan, kena sentiasa beralah melayan suami. Lama-lama lembutlah hati Saif tu,” sempat ibu mertuanya memberi nasihat ketika tangannya dicium Rana.

Rana hanya tersenyum lemah lalu meneruskan langkahnya ke arah pintu. Hatinya merasa kosong kerana tiada penyelesaian yang diharapkan, namun sebaik sahaja pandangan dilabuhkan pada Aydeen, dia merasa kembali terisi. Ternyata, hanya anak ini punca kakinya masih mampu melangkah ke depan sehingga saat itu.


--------------------------------


“Dah puas mengadu?”

Rana tersentak mendengar soalan Saif yang secara tiba-tiba. Pilot’s hat dan kot hitam di tangan Saif disambut Rana tanpa memberi apa-apa jawapan. Sebelah tangannya cuba mencapai tangan Saif untuk disalam. Bukankah seorang isteri patut mencium tangan suaminya ketika suami itu pergi dan pulang?

Tangan Rana ditepis lalu Saif melonggarkan ikatan tali lehernya. Panas! Walaupun ruang tamu di rumah mereka lengkap dengan penghawa dingin, namun kepanasan hatinya terbawa ke seluruh tubuhnya. Terngiang-ngiang suara ibunya Datin Azian menceritakan kedatangan Rana ke rumahnya. Mengadu! Terasa hilang segala kebebasan dalam urusan rumahtangganya apabila ibunya mengetahui perihal lakunya akhir-akhir ini.

“Aydeen, salam papa! Kan papa dah balik ni?”

Rana cuba ubah topik sambil memanggil anaknya. Tak sesuai rasanya bergaduh depan Aydeen.

“Aydeen..”

Rana memanggil dengan lembut sekali lagi apabila Aydeen tidak memberi apa-apa reaksi. Dia masih leka mencantum mainan Lego menjadi bentuk robot kegemarannya.

“Aydeen!” Suara Saif mengejutkan anak kecil itu sehingga terjungkit bahunya. Anak itu mula memalingkan wajah memandang kedua-dua orang tuanya. Bulat matanya penuh pertanyaan tanda baru terjaga dari dunia imaginasi.

“Salam papa!” Sambung Saif dengan keras. Aydeen menenyeh hidungnya yang tak gatal sambil bangun dalam teragak-agak. Dia nampak agak resah apabila dia memandang wajah Rana silih berganti dengan Saif.

Rana tahu, Aydeen serba salah. Sikap Saif yang baran memakan diri apabila anaknya sendiri mula takut padanya. Pantang ada yang tak kena, kerusi meja pun Saif akan terbalikkan atau tendang. Tentu sahaja bagi kanak-kanak kecil sepertinya trauma melihat kelakuan begitu.

Namun Aydeen adalah anak yang sangat baik. Dia tetap melangkah sambil sebelah tangannya memegang mainan robot. Kini sebelah tangannya yang kecil mencapai tangan Saif lalu diciumnya dengan ikhlas. Lembut juga hati Saif lantas dia akhirnya mengusap lembut kepala anaknya.

Good boy! Dah, pergi sambung main.” Ujar Saif perlahan pada Aydeen yang mendongak memandangnya.

Rana tersenyum melihat hubungan bapa dan anak itu. Dia tahu, walau Saif berubah kebelakangan ini namun, Saif tetap menyayangi anaknya. Cuma yang dia tidak dapat dipastikan akhir-akhir ini, adakah Saif masih menyayanginya?

“Kau senyum kenapa?”

Soalan Saif yang kasar mematikan pertanyaan yang berlegar di kepala Rana.

“Nasib baik Aydeen tu banyak ikut perangai keturunan belah aku. Kalau banyak ikut perangai keturunan kau, tak tahulah jadi apa!”

Bagai belati tajam, Saif menuturkan satu-satu bait kata yang menghiris perasaan isterinya. Dia nampak wajah Rana berubah mendung namun tiada langsung simpati terselit di hati Saif. Entah kenapa dia semakin seronok menyeksa Rana, wanita yang pernah digilai dahulu. Pada Saif, Rana langsung tidak menyenangkan hatinya kini. Kehadiran seorang isteri yang dirasakan begitu menyusahkan.

You nak makan? I hidangkan sekarang, ya?” Rana cepat-cepat melindungi perubahan wajahnya. Walau dia amat terluka dengan perbandingan keturunan yang Saif katakan tadi, namun dia cuba memujuk diri. Saif sedang penat balik kerja, dia ketua keluarga yang memikul beban di bahunya untuk mencari sesuap nasi. Rana perlu bertolak ansur.

“Tak payah! Aku nak keluar. Duduk rumah ni buat kepala aku semak. Lain kali, mengadu lagi banyak-banyak dekat mama!”

Tanpa mempedulikan Rana, Saif terus berjalan lalu hilang dari pandangan setelah memanjat tangga ke biliknya di atas. Pintu bilik sengaja dihempas kuat lalu meruntuhkan semula semangat yang cuba dikumpul Rana dari tadi.

Dalam tidak sedar, Rana terduduk di sofa. Buntu memikirkan apa lagi yang harus dilakukan untuk menakluk ego seorang lelaki bernama suami. Tiada bimbingan, tiada kasih sayang, dan tiada perhatian dari Saif menjadikan dia kini tak ubah seperti boneka bernyawa di rumah sendiri. Rana menekup mukanya apabila sebak menyerang. Air matanya yang ditahan dari rumah mertuanya sejak tadi akhirnya luruh jua.

Bukan mudah untuk dia menanggung semua kelukaan dan seksaan mental dari suaminya seorang diri. Puas sudah dia berpura kuat dan menyorokkan masalah pada keluarganya bimbang mereka risau. Senyum yang diberikan selama ini hanya untuk menutup luka. Dan sandarannya hanya dengan bercerita pada mertua dengan harapan, mertuanya akan memberi penyelesaiaan pada mereka berdua. Namun ternyata lain jadinya apabila Saif semakin benci padanya.

Habis? Pada siapa harus dia mengadu? Pada ibunya yang tentunya akan sedih bila dia diperlakukan begini. Tidak! Ibunya akan kecewa. Agaknya, dia memang dilahirkan untuk menanggung semua ini sendiri. Memendam sahaja semua ini seorang diri.

Akhirnya Rana tewas dalam menahan hiba. Dia terhingguk-hingguk menangis melepaskan perasaan. Hatinya terus merasa pedih dek kesepian yang menghimpit. Dia sedar dia harus berdepan semua ini sendiri tanpa sesiapa lagi.

Tanpa sesiapa!

“Mama.. mama.”

Suara serak Aydeen membuatkan Rana terhenti menangis. Tangannya yang menekup muka diturunkan dan dia dapat melihat Aydeen berdiri didepannya dengan wajah yang sayu.

“Mama tak moh nangis.”

Rayuan Aydeen tidak membantu sebaliknya menambahkan sebak Rana, namun air matanya tetap diseka. Bibir Rana terketar-ketar.

“Aydeen kan sayang mama?” Tambah anak itu lagi membuatkan Rana terus menariknya ke dalam dakapan. Kepala anaknya itu dicium berkali-kali memberi kembali kekuatan yang hanya seorang ibu yang dapat memahaminya.

Ya, sekali lagi Aydeen menjadi tugu melindunginya dari rebah, menjadi peniup semangat untuk dia kembali mampu berdiri. Dalam keadaan masih memeluk Aydeen, Rana akui dia tidak pernah sendirian asalkan anaknya terus menjadi miliknya. Dia lupa bahawa dia masih ada Aydeen!



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku