Kaulah Permaisuri
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
363

Bacaan






Bab 2

“Saif mana?”

Soal Juliza apabila melihat kelibat menantunya tidak kelihatan. Wajah anak perempuan tunggalnya dipandang atas dan bawah. Pucat dan cengkung sekali. Hati tuanya terdetik risau seolah menghidu ada sesuatu sedang ditanggung anaknya,

Rana hanya tersenyum tawar pada ibunya. Tanpa memberi jawapan, dia menyambung kembali memeriksa dokumen perjalan ibunya bagi memastikan segalanya lengkap sebelum ibunya berangkat. Setelah puas hati, passport dan kad ID dimasukkan semula ke dalam pouch kecil yang melingkar di tubuh Juliza.

“Aydeen, papa Aydeen mana?” Soalnya pula pada Aydeen sengaja menduga cucunya itu. Sambil menjilat aiskrim, Aydeen buat muka kosong.

“Papa tidur.”

Jujur sekali jawapan diberikan menandakan anak itu tidak tahu menipu. Juliza memandang pula wajah Rana memohon kepastian.

“A’ah mami. Dia baru balik flight semalam. Penat katanya.”

Jawapan pendek anaknya itu langsung tidak mampu menenangkan hatinya yang bagai terhidu sesuatu. Kerap kali benar Saif menghilangkan diri kalau ada majlis keluarga. Dia faham tugas menantunya sebagai juruterbang dibatasi masa, tetapi dah berbulan-bulan rasanya dia tidak bersua menantunya itu. Ada sahaja alasan diberikan.

Hari ini adalah hari dia akan melangkah ke tanah suci untuk ibadat haji. Semua keluarganya ada di sisi menitip doa dan sokongan. Maklumlah, untuk usia sepertinya yang berada di kejauhan, macam-macam boleh terjadi. Entah dia berpeluang kembali atau tidak ke Malaysia, dia pun tak pasti. Kecil hati pula rasanya apabila mengetahui Saif menantunya itu lebih rela berada di rumah dari berada di sini menemaninya sebelum berangkat.

Suara Aydeen bergelak ketawa berkejaran bersama saudara sebaya di perkarangan ruang legar KLIA mematikan lamunannya. Segaris senyuman dilirikkan membayangkan betapa dia akan merindui cucunya itu. Selama ini dia tidak pernah duduk berjauhan dari mereka. Seminggu sekali, ada saja Rana singgah di rumahnya membawa Aydeen untuk dia melepaskan rindu. Kebetulan mereka tidak tinggal terlalu jauh, hanya setengah jam sahaja pemanduan dari rumah ke rumah.

“Mami, orang dah panggil untuk berkumpul tu.” Rana bersuara sambil menolak beg troli menghampiri ibunya. Wajah ibunya yang tenang itu direnung bersahaja.

“Mami risau kalau rindu Aydeen, eh?” Usik Rana.

“Hish, maunya tak? Mami mana pernah jauh dengan dia sejak kulit dia merah lagi.”

“Ala… sebulan lebih aje. Anak sendiri mami tak rindu pula?” Kata-kata Rana membuatkan ibunya kembali tersenyum.

“Kamu tu dah ada laki. Dari mami rindukan kamu, baik biar laki kamu yang rindukan kamu.”

Wajah Rana tiba-tiba berubah walau senyuman masih dikekalkan pada wajahnya. Senyum yang pahit, sepahit kata-kata Saif yang perlu ditelannya setiap hari.

“Mami..”

Rana memegang tangan ibunya dengan erat. Jari-jari yang berurat tua itu diramas perahan. Juliza pandang Rana sambil dahi berkerut menantikan luahan anaknya.

“Doakan Rana di sana ya?”

“Doakan apa?”

“Hmmmm..” Rana berfikir sejenak sambil jarinya diletakkan di dagu.

“Doakan Rana diberikan jalan penyelesaian dalam apa jua masalah yang melanda,” sambungnya bersahaja dengan mata berkaca.

Ingin dia meminta ibunya mendoakan agar Saif lembut hati menyayangi dan memberi tumpuan kepadanya semula, tetapi mulutnya terkunci. Dia tidak mahu ibunya itu risau dalam kepemergiannya menunaikan ibadah suci.

Juliza angguk laju dan matanya turut berkaca. Simbahan hidayah Allah adakalanya memberikan rasa sayu sebelum kaki mula melangkah ke sana. Perlahan-lahan anaknya dipeluk erat tanda selamat tinggal.

“Nenek!” Tiba-tiba kakinya juga dipeluk erat oleh Aydeen. Entah bila cucunya berhenti bermain, dia pun tak pasti.

“Nenek nak tinggal Aydeen ke?” Soalan Aydeen membuatkan hati tuanya merasa terhibur dalam terharu.

“Nenek tinggal Aydeen untuk pergi rumah Allah aje. Nanti Allah izinkan, nenek balik jumpa Aydeen, ya?”

“Ala… nak ikut. Aydeen pun nak jumpa Allah!”

Entah bagaimana mulut munggilnya itu lancar mengomel ingin mengikuti neneknya. Rana terpaksa melutut untuk memujuk Aydeen.

“Nanti Aydeen dah besar, Aydeen pun boleh pergi sana. Sekarang bagi nenek pergi dulu,ya?”

Penuh kesabaran, dia mengusap kepala Aydeen yang masih tidak meleraikan pelukan pada neneknya. Ternyata Aydeen sangat manja dengan ibunya itu.

“Ok! Kalau macam tu, biar Aydeen aje datang sana.”

Rana tergelak kecil mendengar kepanjangan akal anaknya menjawab. Agaknya, dia menyangka tanah suci itu hanya sejengkal jaraknya.

“Ha, iyalah! Iyalah! Nenek tunggu Aydeen. Kalau Aydeen lambat datang, nenek balik semula sini dulu tau? Kita pergi sama-sama semula bila Aydeen dah besar.” Terpaksalah Juliza mereka sedikit helah menyedapkan hati cucunya apabila rakannya kelihatan mula beredar ke arah kumpulan haji.

Dengan berat, Aydeen melepaskan pelukannya sambil memandang sayu.

Entah kenapa lain benar pandangan Aydeen kali ini. Berat benar Aydeen melepaskan neneknya seolah-olah merasakan ini pertemuan terakhir mereka. Berkali-kali Juliza mencium pipi munggil itu seolah-olah ingin dibawa bau cucunya itu bersama ke sana. Bau anak kecil ini seolah masuk menyentuh tangkai hati tuanya.

Perlahan-lahan, tangannya yang bersatu dengan tangan anak kecil itu di leraikan dengan berat hati. Akhirnya Aydeen mengalah dengan melambai tangan pada neneknya yang sudahpun melangkah ke arah ahli rombongannya.

Bye, nenek! Tunggu Aydeen kat sana, tau!” Ujar anak itu walaupun neneknya sudahpun jauh meninggalkannya. Rana mengusap-ngusap kembali kepala Aydeen namun tiba-tiba dia baru menyedari perubahan suhu badan Aydeen.

Panas? Bila pula dia demam?


-----------------------------------


Rana membaringkan anaknya ke atas katil. Dengan berhati-hati, dia menarik sedikit selimut cukup untuk menutupi dada Aydeen. Dahi anak kecil itu yang berpelekat Kool Fever itu diraba sekali lagi. Dah kebah demamnya. Mungkin kerana penangan ubat demam yang diambil dari klinik tadi.

Rambut anaknya yang lurus itu diusap berkali-kali. Lena benar tidurnya sehingga Aydeen langsung tidak terjaga dalam dukungan. Bibir Rana kini mencium ubun-ubun anaknya melahirkan satu ketenangan dalam dirinya. Matanya dipejamkan rapat menghayati setiap detik yang berlalu.

Puas melihat keadaan Aydeen yang mula kebah demamnya dan selesa tidurnya, Rana bangun mencapai remote penghawa dingin. Diturunkan suhu hanya pada suhu bilik supaya anaknya itu tidak kesejukan dan tidak pula kepanasan. Perlahan-lahan, lampu katil yang bercorak kartun kegemaran anak kecil itu di matikan.

“Assalammualaikum, sayang mama.” Bisik Rana di telinga anaknya lantas dia berlalu menuju ke pintu. Pintu ditutup dengan perlahan sebelum dia menoleh ke arah biliknya yang terang berderang.

Nampaknya Saif masih ada di rumah menandakan bonus baginya. Jarang sekali Saif ingin lekat di rumah walaupun hari cuti. Masa ini adalah masa yang sesuai untuk mengambil hati Saif. Rana menghela nafas sebelum terus melangkah.


-------------------------------------------


Usai mandi, Rana mengeringkan rambut sambil mengetatkan ikatan baju tidur kimono bunga yang dipakainya. Sesekali dia melirik pada suaminya yang masih leka membelek telefon dari tadi. Adakalanya Saif tersenyum seolah ada sesuatu yang di bacanya begitu menggelikan hati. Rana menggigit bibir memikirkan bagaimana ingin dia memulakan bicara dengan suaminya.

Bukan mudah bagi Rana untuk memulakan kata mengenangkan sikap Saif yang acuh tak acuh. Seolah ada jurang yang sengaja digali Saif antara mereka membuatkan dia takut kalau terganggu mood suaminya itu.

“Hmmm, mama kirim salam tadi,” sengaja Rana mulakan dengan kisah ibunya dengan harapan Saif akan bertanyakan bagaimana pemergian ibunya itu ke tanah suci.

Saif mengeluh perlahan. Mati keseronokkannya membelek telefon, lantas telefon itu diletakkan ke tepi kepala katil.

“Tak payah nak kirim salam. Tentu tadi kau pun dah puas mengadu dekat orang tua tu! Sama aje korang anak-beranak. Berpura-pura!”

Rana memejamkan mata menahan kesabaran. Kata-kata itu terlalu pedas kedengaran apabila Saif mengaitkan ibunya. Tidak tahukah Saif bahawa ibunya itu sangat bangga bermenantukan Saif satu ketika dahulu? Sampai sekarang dia masih memandang tinggi Saif sehingga tidak sampai hati pula Rana untuk menceritakan masalah yang melanda rumahtangganya kini.

Digagahi jua melangkah menghampiri katil, lantas selimut diselak. Setelah melabuhkan punggung di atas tilam, Rana membetulkan bantal. Sejenak dia termenung sendiri membelek segenap inci wajah suaminya yang kini memejamkan mata. Seolah-olah benci benar melihatnya di sebelah.

Kepala akhirnya dilabuhkan ke bantal dengan tubuhnya mengiring mengadap Saif. Bahu Saif dipandang dengan membayangkan bahu itulah yang pernah disandarkan kepala satu ketika dulu. Bahu yang pernah menjadi tempat dia sandarkan lelah. Rana rindu bahu lelaki yang pernah menjadi tempat dia mengadu dan sandarkan harapan.

Tanpa di paksa, Rana mendekati Saif lantas kepalanya dilentukkan ke bahu tersebut. Mata dipejamkan membayangkan betapa indah waktu dahulu ketika Saif akan membalas dengan memeluknya. Dirinya terbuai dalam kerinduan pada belaian suaminya.

“Kau dah kenapa? Tepi sikit boleh tak?”

Suara Saif membuatkan Rana membuka mata. Berkelip-kelip dia memandang Saif yang kelihatan marah dengannya. Tangan Saif menolak kepala Rana dengan perlahan namun cukup untuk membuatkan Rana rasa terbuang. Terbuang dan tercampak jauh oleh suami sendiri tanpa penjelasan.

I cuma nak tahu, masih ke you sayangkan I?”

Terluncur jua pertanyaan dari mulut Rana tanpa dapat ditahan.

“Kenapa? Kau tak puas hati apa? Kau dapat hidup mewah dengan aku kan? Tak cukup lagi? Kalau tak puas hati, sila kemas kain baju keluar dari rumah ni.”

Ungkapan berbaur menghalau diulang lagi oleh Saif tanpa mempedulikan mata Rana yang mula bergenang. Dengan kasar dia menarik selimut lantas tidur membelakangkan isterinya yang sudah teresak-esak.

Saif cuba memejamkan mata sekali lagi, namun esakan Rana membuatkan dia semakin rimas.

“Kau diam boleh tak? Ke kau nak aku lafaz cerai?”

Ugutan Saif membuatkan Rana menggelengkan kepala dan menekup mulutnya menahan tangis. Ugutan cerai dan kata-kata Saif seolah menghalau bukanlah pertama kali didengari, tetapi ianya tetap mampu membuatkan hatinya luluh dan berkecai. Siapa yang mampu menahan rasa terkilan jika suami yang satu ketika dahulu meminta memilikinya dengan cara baik melalui adat lamaran, kini melayannya seperti tiada harga?

“Hish, baik aku tidur luar macam ni! Duduk sebilik ngan kau ni, asyik menangis, menangis, menangis!”

Saif bingkas bangun dan mencapai bantal lantas berjalan pantas meninggalkan Rana di dalam bilik mereka. Rana tau, seperti biasa Saif akan mengasingkan diri dari tidur dengannya. Hinakah dia pada mata suami sendiri sehingga langsung tidak rela berada hampir dengannya?

Rana membiarkan dirinya diselubungi hiba. Segala kenangan manis dengan suaminya seolah-olah menari-nari di kotak fikirannya menambahkan rasa terkilan.

Ya, satu ketika dulu, Saif bersumpah mati dengannya bahawa dia akan berikan bahagia untuk Rana. Satu ketika dulu, Saif berjanji tidak akan berhenti memuja dirinya asalkan dia tidak menjadi hak orang lain. Hanya hak Saif seorang! Kini semuanya hanya tinggal sumpah dan janji.

Tangan yang satu ketika dahulu membelainya kini seolah jijik menyentuhnya. Dia teringat satu masa dahulu, dia pernah menangis kerana merajuk dek salah faham dengan Saif. Ketika itu, Saif datang memeluknya dari belakang lalu mengesat air matanya. Kemarahannya mudah disurutkan hanya dengan pelukan suaminya itu.

Kini tiada lagi.

Tiada lagi dakapan hangat, tiada lagi pelukan dari si suami untuk meredakan tangisnya. Rana berbaring mengiring dalam tangisan yang semakin menggila. Namun tanpa disangka, dia dapat rasakan satu tangan kecil memeluknya dari belakang.

“Mama…”

Suara Aydeen membuatkan Rana berhenti menangis lantas cepat-cepat mengesat sisa air mata. Dia terus menoleh pada anaknya yang entah bila terjaga dari lenanya. Tentu anak kecil ini keluar dari bilik dan mencarinya.

“Aydeen nak tidur dengan mama.”

Aydeen melonggarkan pelukan dan memuncungkan bibir memohon belas ibunya. Rana tanpa teragak-agak mengangguk laju sambil tersenyum tawar. Cepat-cepat dia mengalihkan tubuhnya sedikit memberi ruang untuk Aydeen memanjat katil. Susah payah anak itu berusaha menaikkan tubuhnya ke atas katil dengan dibantu Rana.

Rana membiarkan lengannya menjadi bantal untuk Aydeen dan Aydeen pula dengan penuh prihatin, memeluk ibunya dengan kemas. Dapat Rana rasakan tangan kecil yang melingkar menepuk-nepuk belakangnya seolah-olah menyuruhnya bersabar. Rana dapat rasakan seluruh kehibaannya hilang begitu sahaja dan tanpa sedar, dia akhirnya terlena berpelukan dengan anaknya itu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku