Kaulah Permaisuri
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
413

Bacaan






Rana membuka kelopak mata perlahan-lahan. Pandangannya agak kabur apabila berlawanan dengan sinar matahari yang menjengah masuk. Wajah pertama yang terlihat adalah Aydeen yang sedang leka memusing-musingkan mainan robot kegemarannya. Suara serak basahnya menuturkan dialog-diolog superhero yang hanya dia memahaminya.

Rana tahu Aydeen tentu terjaga lebih awal darinya. Maklumlah, anaknya itu sudah tidur terlalu lama semalaman kerana mengantuk makan ubat. Yang dia tahu, semalam, Aydeen telah terjaga dan mencarinya lantas mereka tidur bersama.

Ketika dia bangun menyelesaikan solat subuh tadi pun, Aydeen masih lena sehingga menggamit Rana untuk tidur kembali dan menyambung memeluk anaknya. Segaris senyuman menghiasi wajah Rana membayangkan bagaimana Aydeen langsung tidak mahu mengganggu tidurnya dan setia bermain sendirian.

“Aydeen lapar?”

Soal Rana tiba-tiba membuatkan anaknya itu berhenti bermain. Anggukan comel di berikan membuatkan Rana tersenyum lagi. Jam di dinding dikerling sekilas menunjukkan pukul lapan setengah pagi.

“Jom! Mama buat pancake nak?”

“Nak! Yeay! Nak pancake robot!”

Aydeen dah mula melompat ingin turun dari katil. Dia memang gemarkan pancake, dan Rana suka melayannya membuat pelbagai bentuk. Kadang-kadang, bentuknya tidaklah seperti robot, tetapi mata anak kecil seperti Aydeen membayangkan itulah bentuk robot paling sempurna baginya.

Rana membantu menurunkan anaknya dari katil. Sempat dia meraba sekali lagi kepala anaknya untuk memeriksa suhu. Alhamdulillah, sudah kebah demamnya!

“Lepas makan pancake, Aydeen boleh pergi jumpa nenek kan mama?”

Rana tergelak kecil sambil dia berjalan memimpin tangan Aydeen menuruni tangga. Rindu benar Aydeen pada neneknya. Macamlah Mekah tu dekat!

“Ish, janganlah pergi jumpa nenek lagi. Aydeen kena teman mama dulu. Sian mama duduk seorang.”

Sengaja Rana mereka helah supaya Aydeen tidak kecewa dalam niatnya untuk berjumpa neneknya.

“Ala.. nanti Aydeen datanglah melawat mama pula.” Lancar anak itu menjawab membuatkan Rana tidak terkata apa lagi.

Aydeen terus berlari anak menuju ke arah dapur. Mata Rana menjalar seluruh ruang tamu apabila kelibat suaminya sudah tiada lagi di situ. Mungkin dia sudah pergi kerja awal pagi tadi. Getusnya.

Kerja Saif memang tidak menentu masa. Adakalanya, seawal empat pagi dia perlu bersiap. Untuk itu, Rana sentiasa memastikan baju seragam Saif dan semua kelengkapan peribadi miliknya tersedia. Semua sudah disusun dengan teratur oleh Rana demi kemudahan Saif.

Selalunya, jika terpaksa bertugas terlalu awal, Saif hanya akan mengejutnya untuk menemani ke muka pintu. Adakalanya, sempat Rana sediakan minuman panas untuk suaminya itu sekadar mengalas perut.

Tetapi itu semua bagai tinggal memori. Walaupun kelengkapan Saif masih tersedia oleh Rana, tetapi Saif lebih rela keluar tanpa sepatah kata. Jangankan untuk bekerja, untuk keluar santai pun langsung tidak dikhabarkan pada Rana. Itulah agaknya kebebasan yang Saif inginkan.

“Cepatlah mama.”

Rengekkan Aydeen dari dapur mematikan lamunannya. Lain macam benar semangat Aydeen pagi ini. Rana terdetik sendiri sambil mula menyediakan bahan-bahan asas untuk pancake tersebut.


----------------------------------------


Aydeen makan bertambah, berselera sungguh. Selalunya hanya sekeping dua pancake saiz kecil sahaja yang mampu mengisi perutnya, kali ini hampir empat keping.

Rana menggeleng melihat Aydeen begitu seronok menghabiskan cebisan terakhir. Kecil matanya kerana mulutnya ternganga besar setiap kali pancake itu tersua ke mulut. Comel!

“Lepas ni, mama nak mandi. Aydeen main kat depan tv, ya?” Ujar Rana sambil mengemas pinggan-pinggan kotor. Anaknya itu mengangguk patuh. Tanpa berlengah, dia turun dari kerusi dan terus berlari anak menuju ke ruang tamu.

Rana menghela nafas senang hati. Biar hebat beban yang di tanggung, anaknya itu benar-benar seorang teman penghibur untuk dirinya. Sekarang, usia Aydeen baru tiga tahun setengah. Terfikir juga ingin mendaftar anaknya itu ke sekolah tadika, tetapi dibatalkan hasratnya itu. Tunggulah umur empat tahun, nanti bosan pula dia duduk rumah tanpa Aydeen.

Seperti kebiasaan, Rana akan mengemas biliknya sebelum masuk ke bilik mandi. Ketika mandipun, pelbagai tugasan disusun di dalam kepalanya. Basuh baju, jemur kain, kemas rumah, hantar carpet ke dobi, gosok pakaian Saif, masak dan entah beberapa lagi tugasan yang memang suri rumah sepertinya sahaja yang tahu. Dia gemar mengaturkan tugas supaya segalanya dapat disiapkan tanpa tertinggal. Terfikir juga bagaimana agaknya bagi ibu yang bekerja?

Tentu lagi hebat aturan harian mereka.

Rana berjalan perlahan menjenguk ruang tamu apabila Aydeen senyap tanpa suara dari tadi. Tertidurkah dia? Dari sudut tangga, Rana dapat lihat tubuh Aydeen sedang berbaring. Namun jantungnya tiba-tiba berdebar kencang apabila melihat kaki anaknya terketar kekejangan.

Tak cukup tanah Rana berlari mendapatkan anaknya. Mata Aydeen buntang hanya menampakkan mata putih, malahan suhu badannya tiba-tiba naik mendadak. Kali ini lebih panas!

“Aydeen!”

Dalam panik, Rana memeluk Aydeen dan menjerit memanggil Aydeen namun anaknya itu terus tidak sedarkan diri. Gerakkan tubuhnya jelas menandakan Aydeen terkena sawan menyebabkan Rana bertambah tidak tentu arah. Digoncangnya tubuh Aydeen berkali-kali namun tiada jawapan.

Tanpa berlengah, dia mendukung anaknya sambil mencapai kunci kereta. Yang difikirkan hanya satu, klinik atau hospital terdekat!

Enjin kereta dihidupkan, dan Aydeen diletakkan di kerusi sebelah. Tangannya tetap meramas-ramas tangan Aydeen yang masih kekejangan itu. Kini air matanya yang berjujuran tidak lagi dihiraukan dan kenderaan terus dipandu laju.

“Aydeen! Bertahanlah sayang! Mama ada…”


---------------------------------------------------


Rana terduduk di kerusi menunggu sambil meramas-ramas rambutnya sendiri. Bagaimana anak sekecil itu rupanya sedang menanggung kesakitan dalam diam? Tadi elok saja Aydeen mampu tersenyum dan bermain di depannya. Kini anaknya itu berada dalam bilik kecemasan dalam keadaan kritikal.

Rana masih ingat bagaimana ketika mula tiba di hospital. Anaknya terus di sambut masuk ke bilik oleh staff perubatan dan dalam masa singkat, Aydeen dibaringkan dan suhunya disejukkan dengan meletakkan air berisi ais kebadannya. Dari luar bilik, Rana dapat mendengar Aydeen akhirnya meraung setelah tersedar dari sawan.

Jelas kedengaran suara Aydeen seolah tersiksa. Telinganya ditekup kerana tidak mampu menahan mendengar anaknya itu menangis memanggilnya. Dia hanya dibenarkan melihat dari jauh disebalik langsir yang memisahkan mereka.

Ingin dia merempuh petugas perubatan itu demi untuk memeluk anaknya, tetapi dihalang oleh jururawat di situ. Segalanya berlaku begitu singkat. Yang dia tahu, suara Aydeen mula perlahan dan dia akhirnya diarahkan beredar untuk menunggu di luar.

Kini dia kebingungan di kerusi menunggu. Surat kebenaran untuk melakukan prosuder kecemasan pada anaknya itu terpaksa ditanda tangan. Biarlah! Lakukanlah apa sahaja asalkan dia dapat melihat Aydeen kembali ceria semula. Harapan Rana teguh dan tinggi menggunung walaupun kini kakinya sendiri lemah tidak mampu berdiri.


--------------------------------


“Mana cucu mama, Rana?”

Datin Azian tiba-tiba menerpa setelah tiba di perkarangan ruang menunggu itu. Bahu menantunya digoncang-goncang beberapa kali memohon jawapan namun hampa. Rana membatukan diri dan hanya mampu menangis.

Datuk Idris meraut janggut sendiri. Dia juga cemas apabila dihubungi Rana. Rasanya baru sangat dia berjumpa cucunya itu dalam keadaan sihat. Hari ini lain pula ceritanya.

“Dah beritahu Saif?”

Soalnya memecah kesunyian yang hanya berselikan esakan dari Rana dan isterinya. Rana hanya mampu memandang sepi ke arah bapa mertuanya lantas dia menggeleng.

“Kenapa? Saif kerja ke? Kalau macam tu, Rana perlu tinggal pesan pada syarikat penerbangan.”

Cadangnya sekali lagi disambut dengan gelengan oleh Rana membuatkan mertuanya saling berpandangan.

“Saif keluar rumah sejak pagi tadi. Rana pun ingat dia pergi kerja, rupanya tak. Dia tidak bekerja tetapi dia tetap tak dapat dihubungi. Rana dah cuba hubungi syarikat penerbangan. Katanya Saif sebenarnya dalam cuti tahunan untuk seminggu,”

Kali ini Rana menerangkannya dengan tenang. Dia tahu secara tidak langsung dia telah menangkap Saif berbohong dengannya. Kalau Saif dalam cuti tahunan, kenapa dia tidak memilih untuk mengisi masa dengan anak bini? Pagi-pagi lagi Saif sudah keluar rumah tanpa memberi apa-apa pesan.

Datin Azian mencuit suaminya memohon penyelesaian. Dengan ekor mata, dia mengarahkan Datuk Idris untuk beredar ke sudut bilik. Dan suaminya itu menurut tanpa banyak soal.

“Macam mana ni bang? Saif kena tahu pekara ni! Risau saya!” Ujar Datin Azian sambil meramas-ramas tangan sendiri.

“Nak buat macam mana? Saya sendiri dah cuba hubungi dia, tetapi memang handphone dia off!”

“Abang cubalah suruh Helmi cari dia. Helmi tu kan rapat dengan dia.”

Datin Azian mencadangkan nama anak saudara atau lebih tepat sepupu rapat anaknya itu. Mereka berdua memang dari dulu saling berkongsi rahsia. Manalah tahu kalau Helmi lebih tahu di mana Saif sekarang.

Datuk Idris mengangguk setuju lantas menekan-nekan sesuatu di telefon bimbitnya. Seketika hanya terdengar suaranya bercakap-cakap dengan seseorang. Datin Azian menggigit bibir sambil matanya tidak lepas memandang Rana.

Terngiang-ngiang suara Rana mengadu padanya tempoh hari. Hati kecilnya kini berbisik, Saif memang jauh berubah dan mengabaikan anak isterinya. Tanpa diundang, ada sesal datang menjengah dirinya membuatkan dia melangkah perlahan ke arah Rana. Menantunya itu perlukan sokongan, dan dia akan cuba memberikannya…


---------------------------------------


"Puan, kami percaya anak puan telah diserang sawan meningitis. Ianya berpunca dari demam akibat jangkitan virus atau bakteria yang menyerang ke selaput otak. Jika dibiarkan berlarutan, ia akan melumpuhkan saraf penting dan organ lain. Kami akan berusaha untuk memberikan ubat untuk anak puan kuat melawan jangkitan ini.”

“Allahu….”

Datuk Idris dan Datin Azian berpelukan hiba.

Rana mendengar setiap penerangan doktor bertugas dengan jiwa yang remuk. Bibirnya terkumat-kamit beristighfar.

“Tapi bagaimana dia boleh secepat ini merebak, doktor? Baru semalam dia demam, itu pun hanya sekejap. Saya pasti, suhunya sudah turun. Saya sudah berikan ubat, macam mana pula demamnya boleh kembali kali ini sehingga melumpuhkan otak?” Rana memohon kepastian.

Sungguh! Dia masih tidak percaya keadaan anaknya kritikal. Katakanlah ini hanya mimpi ngeri! Tangannya menggenggam tisu yang lunyai seolah mencari kekuatan.

“Saya harap puan tidak menyalahkan diri sendiri. Jangkitan kuman seperti ini sudah lama bersarang. Adakalanya, suhu anak puan sebelum ini mungkin pernah naik mendadak tapi dalam tempoh sekejap hingga tidak disedari puan. Dan semalam ketika suhunya meningkat, mungkin ia berupa amaran terakhir sebelum ia meledak lebih tinggi seperti yang terjadi tadi. Apa-apapun, saya amat berharap agar kita semua bertenang dan teruskan berdoa.”

Rana melangkah longlai menuju ke dinding kaca yang memisahkan dirinya dan Aydeen. Kenapa? Kenapa dalam ramai-ramai umat manusia, dia yang dipilih? Tangannya memegang cermin kaca seolah ingin menggapai anaknya. Mesin-mesin yang bersambung dengan wayar berselirat melingkar tubuh anaknya. Tiada seorangpun ibu di dunia ini yang sanggup melihat anaknya sedang bertarung separuh nyawa begitu.

“Ya Allah, Kau pindahkan kesakitan anakku pada ku. Aku sanggup menanggung semua kesakitannya asalkan anakku sihat kembali.” Doa Rana dengan lemah namun penuh pengharapan.

-------------------------------------------------------

Rana menggenggam tangan Aydeen mengharapkan genggaman tangannya di balas. Hampa, yang ada hanyalah gerakan halus seolah-olah dia sedang berinteraksi dalam mimpi. Mata Aydeen separuh tertutup dengan alat bantuan pernafasan yang ditebuk masuk ke ronganya untuk membantunya bernafas.

Dada anak itu turun naik tanda nafasnya masih menghuni paru-paru. Namun seksa sekali pada pandangan Rana. Seolah ada batu besar menghempap dada dan menyekat anaknya itu bernafas.

Pipi Aydeen dielus lembut. Tembam! Aydeen seorang yang gemar makan. Beri apa sahaja, pasti tidak ditolak. Rana tidak pernah risau soal makan dalam membesarkan anaknya. Namun hari ini menjadi sebaliknya. Anak yang mulanya sihat sudahnya terbaring tanpa tindak balas.

Kini Rana hanya mampu berdoa semoga tubuh anaknya kuat melawan jangkitan kuman yang menghuninya. Antibiotik yang dimasukkan ke saluran darah menjadi harapan dan ikhtiar untuk mereka.

“Rana..”

Rana menoleh pada ibu mertuanya yang menggamit di pintu bilik. Dia melangkah perlahan menghampiri mertuanya itu.

“Rana baliklah dulu, biar mama pula tengokkan Aydeen,”

Rana geleng.

Tidak! Dia tidak mahu tinggalkan Aydeen walau sesaat.

“Jangan macam tu. Rana tak makan dari tadi. Baliklah sekejap mungkin untuk mandi. Kesihatan Rana pun perlu jaga. Nanti malam, Rana boleh sambung jaga Aydeen, ya? Pergilah balik ambil barang keperluan atau dokumen yang perlu.”

Pujuk ibu mertuanya lagi membuatkan Rana tiada pilihan. Dia tahu, dia datang ke situ sehelai sepinggang. Hanya telefon bimbit dan kunci kereta sahaja yang dicapai.

Tanpa sebarang kata, Rana berpatah balik ke arah anaknya.

“Aydeen, mama balik sekejap aje tau? Mama datang balik bawa mainan robot Aydeen, ya? Aydeen tunggu mama, ya!” Bisiknya dalam sebak ke telinga anaknya.

Tangannya mengangkat tangan Aydeen untuk dicium dengan lama. Terasa ada gerak balas seolah Aydeen cuba menggenggam tangannya kembali membuatkan Rana tersenyum sedikit. Dia yakin, anaknya akan menunggunya kembali.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku