Kaulah Permaisuri
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
488

Bacaan






Juliza memandang segenap ruang Masjidil-haram yang indah bergemerlapan. Lantai yang putih berkilat membiaskan tubuh mereka yang lalu lalang untuk solat di situ. Terasa bertuah dirinya dijemput menjadi tetamu Allah. Inilah nikmat yang dirasai bagi dirinya untuk mencukupkan rukun sebagai orang Islam. Lantas zikir dan lafaz Alhamdulillah, membasahi bibirnya berkali-kali.

Mereka baru saja selesai menunaikan solat asar dan Juliza mengambil keputusan untuk duduk sebentar sebelum menyambung untuk melakukan solat-solat sunat. Sayang sekali rasanya untuk dia pulang ke hotel penginapan dan membiarkan peluang beribadat ini berlalu begitu sahaja.

Entah bagaimana, tiba-tiba dia mengalihkan pandangan pada satu sudut di sebalik tiang.

“Aydeen?”

Nalurinya berdetak apabila melihat kelibat seorang anak kecil yang sama seperti cucunya. Berkali-kali dicuba membuka dan memejamkan mata namun kelibat yang sama terus menghiasi pandangannya.

Wajah Aydeen cerah berseri dengan jubah putih bersih yang dipakainya. Kopiah putih kemas tersisip di kepala membuatkan cucunya itu kelihatan suci dan tenang sekali. Mulut Juliza terkumat kamit antara sedar dan tidak. Ingin dia menjerit memanggil cucunya itu tetapi suaranya seolah tersekat di kerongkong.

Agak lama juga dia berpandangan dengan Aydeen seolah-olah Aydeen ingin mengatakan sesuatu padanya. Tidak semena-mena dia dikejutkan dengan tepukan perlahan di bahunya.

“Kita balik hotel dululah. Sekejap lagi mereka dah hidang makan petang. Nanti kita sambung ibadat semula bila masuk maghrib.” Teguran sahabatnya membuatkan Juliza berpaling dari Aydeen. Tanpa memberi jawapan, dia memandang sekali lagi tempat cucunya itu berdiri.

Hilang..

Yang ada hanya tiang seri yang gah menampung masjid agung itu.

Juliza beristighfar sendiri sambil melurutkan dada yang mula berdebar. Adakah dia bermimpi? Jauh di sudut hatinya, dia percaya dia tidak bermimpi dan kedatangan Aydeen di situ seolah-olah memberi satu tanda.


-----------------------------------------


Robot mainan kegemaran Aydeen ahkhirnya terlucut dari genggaman Rana. Dia tergamam kaku sebaik sahaja tiba di luar wad. Kelihatan jururawat berlari-lari membawa alat kecemasan dan mereka hanya menuju ke arah satu bilik. Bilik anaknya!

Datin Azian sudah membenamkan wajahnya ke dada suaminya. Mereka berdua sedang meratapi sesuatu membuatkan Rana terpinga-pinga.

“Mama! Kenapa mama? Kenapa dengan Aydeen?” Soal Rana bertalu-talu. Seingatnya, baru sebentar dia pulang. Hanya untuk mandi dan membawa barang keperluan. Sekembalinya, semuanya menjadi kelam kabut.

“Rana….”

Tiada jawapan sebaliknya hanya laungan dari mulut mertuanya. Rana memandang lagi sekumpulan jururawat dan doktor yang gigih sedang melakukan prosuder kecemasan. Terjungkit-jungkit dia cuba mencuri pandang untuk melihat anaknya tetapi hampa. Akhirnya matanya hanya terhenti pada tangan Aydeen yang akhirnya terkulai di birai katil.

Ya Allah! Adakah?

Rana cuba meyakinkan diri bahawa anaknya masih selamat namun, keyakinan itu hancur lebur apabila melihat doktor merenggangkan sthethoscope, menyangkutnya ke bahu lalu menggelengkan kepala.

“Catatkan waktu kematian, tepat pukul satu tengah hari,” hanya itu yang dapat di dengari Rana membuatkan dia terus terduduk dalam keadaan lemah-lemahnya. Matanya kini kabur dan pandangannya terus kelam.


----------------------------------------


“Rana nak pangku Aydeen. Kita balik dengan kereta sendiri sahaja tanpa menggunakan khidmat van.”

Ujar Rana perlahan apabila jenazah mendapat perlepasan dibawa pulang. Dia tidak perlukan van jenazah, Aydeen perlu berada dalam dakapannya untuk kali terakhir.

Bapa mertuanya memutuskan jenazah Aydeen dimandikan dan dikafankan di rumah mereka. Rana hanya bersetuju bagai orang mengantuk disorong bantal. Dia tiada kudrat untuk menguruskan segalanya keseorangan. Sudahlah ibunya masih di tanah suci, suami sendiri pula masih gagal dihubungi.

Tidak sekali dia terlintas untuk mencari suaminya. Biarlah, di depannya hanya masa yang sedikit untuknya terus bersama anaknya buat kali terakhir walaupun anaknya itu hanya tinggal jasad tak bernyawa.

“Rana dah maklumkan pada mami Rana?”

Soalan bapa mertuanya dibalas dengan gelengan. Segalanya berlaku terlalu pantas dan dia belum sempat mengkhabarkan ibunya apa-apa. Keyakinannya tadi kononnya anaknya akan pulih rupanya hanya telahan salah. Niatnya tidak mahu ibunya bimbang di sana, namun kini segalanya terpaksa dimaklumkan jua.

“Tak apalah. Biar papa saja hubungi mami Rana.” Sambung bapa mertuanya.

Rana angguk lemah.

“Jom Rana, kita bawa balik Aydeen,” celah ibu mertuanya pula dan Rana terus menurut.

Di dalam kereta, Rana hanya mendiamkan diri. Peliknya, tidak setitis air matanya menitis ketika memangku anaknya. Wajah Aydeen ditatap lama. Bagaikan orang sedang tidur gayanya.

Bibir Aydeen kebiruaan diusap lembut. Sesekali dicium pipi Aydeen yang dingin membeku. Adakalanya dia memeluk tubuh kaku itu lama-lama. Rana nak guna peluang ini selagi boleh. Rana nak simpan kenangan pelukan terakhir ini sampai bila-bila.

“Kita kebumikan malam ni juga ke bang? Saif macam mana?”

Soalan ibu mertuanya sedikit mengganggu tumpuan Rana.

“Boleh aje kalau kita kebumi pagi esok, tetapi kalau Saif kita tak jumpa juga macam mana? Nak report polis pun kena tunggu 24jam,” Keluh bapa mertuanya pula. Sesekali dia memusingkan stering kereta menuju ke destinasi.

“Mama, papa, tak perlulah tunggu Saif. Kita kebumikan Aydeen secepat mungkin. Cukuplah Aydeen terseksa tadi. Rana tak mahu Aydeen tambah terseksa menunggu jika lambat jenazah dikebumikan nanti.”

Kata-kata Rana tidak pula dibantah mertuanya. Agaknya, mereka juga tidak sanggup menanggung risiko mencari anaknya yang entah di mana tak dapat dikesan. Benar, menangguhkan perkebumian sebenarnya adalah satu penyeksaan pada jenazah.

Rana menyambung mencium ubun kepala anaknya entah berapa kali. Masih tertinggal bau syampu kegemaran anaknya melekat di celahan urat rambut. Matanya dipejamkan rapat-rapat.

“Pergilah sayang. Tidurlah selena mungkin. Mama halalkan air susu mama untuk Aydeen. Mama halalkan kesakitan melahirkan Aydeen ke dunia. Aydeen anak mama yang baik. Mama redha Aydeen pergi.” Bisiknya perlahan namun dapat didengari mertuanya menyebabkan mereka juga turut sebak.

Dalam mata yang masih terpejam, tiba-tiba Rana teringat keletah anaknya ketika menghantar ibunya menunaikan haji. Aydeen seolah berat melepaskan ibunya pergi. Terngiang-ngiang suara Aydeen menyatakan hasratnya ingin berjumpa Allah.

Sekarang, anak inilah yang terpilih. Dalam satu hari, dia diambil dari ibunya untuk kembali kepangkuanNya. Diakhirat kelak, anak inilah yang akan menunggu ibunya yang redha dengan pemergiannya yang awal dari anak-anak yang lain. Dan dia akan menunggu ibunya masuk syurga bersama berkat kesabaran ibunya.

“Tunggu mama, ya sayang?” Bisiknya lagi seolah-olah anaknya itu mampu mendengarinya.


-------------------------------------------


Bukan senang bagi Rana melihat satu demi satu aturan menguruskan pengkebumian anaknya. Dengan mata kepalanya, dia melihat anaknya dimandikan. Luluh hatinya melihat setiap susuk tubuh Aydeen yang dahulunya lasak bermain, kini kaku kebiruan. Kaki, tangan, muka, semuanya tidak akan mampu dapat disentuh di alam nyata lagi.

Ketika siap dikapan, berulang kali Rana mengusap jenazah anaknya seolah tidak percaya. Benarkah ini anaknya yang dikandung sembilan bulan? Benarkah kini anaknya sudah menjadi jasad tak bernyawa?

Hatinya rupanya lebih luluh apabila melihat jenazah itu masuk ke liang lahad. Ketika itulah dia tahu, terputuslah segala hubungannya dengan anak kecil itu. Terputus sudah segala masa untuk mereka gelak tawa atau tangis bersama lagi. Terbataslah belaian seorang ibu pada anaknya terpisah ke alam lain. Anak itu akan terus bersemadi di dalam tanah, kembali menjadi asalnya, dan hanya akan bangkit bila tiba akhirat kelak.


---------------------------------------


“Rana tidur rumah papa sahajalah.”

Pelawa bapa mertuanya ketika mereka pulang dari kubur.

“Papa dah bercakap dengan mami Rana, dia pun minta papa jagakan Rana sementara dia balik nanti. Risau benar bunyinya. Sudahlah dia jauh, mustahil pula dia untuk berada di sini teman Rana sekarang,”

Datuk Idris memandang menantunya dengan penuh rasa bersalah. Maunya tidak? Dia sudah dapat mengesan Saif melalui bantuan Helmi. Siapa sangka rupanya Saif sedang bercuti di kepulauan Maldives? Dengan siapa dan kenapa tidak pula dia ketahui, yang dia tahu, anaknya itu tidak patut meninggalkan anak bini tanpa dapat di hubungi.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Walau bagaimanapun, tentu Saif juga terkilan sekarang. Akibat lewat mendapat berita anaknya, dia sendiri tidak sempat menatap wajah anaknya buat kali terakhir. Terlambat untuknya meminta mereka semua menangguhkan pengkebumian kerana ketika itu jenazah tersebut sudah dikafankan menunggu diusung.

“Rana rasa, biarlah Rana balik rumah sendiri, papa. Rana nak bersendiri,”

Suara Rana lesu tak bermaya. Selendang yang jatuh ke bahu ditarik dan terus melurut ke ribanya. Kepalanya berat kerana terlalu banyak menangis. Dia perlukan masa untuk bersendiri walaupun sebenarnya, dia mengharapkan ibunya ada di sini. Tidak sikitpun dia mengharapkan Saif ada untuknya kali ini. Entahlah, hatinya lelah untuk bersedih tentang ketiadaan suaminya.

“Nanti risau pula mami Rana,” celah Datin Azian pula untuk memujuk Rana.

“Insya Allah, mami faham. Tadi pun Rana dah bercakap dengan mami.”

Rana masih terdengar suara ibunya menenangkannya melalui telefon. Ketika taliannya bersambut, Rana cuma mampu menangis tanpa sepatah kata. Ibunya pula kedengaran lebih tenang dan redha. Di tanah suci, pelbagai ujian yang mendatang adalah tangga keimanan, dan ibunya begitu terbuka menghadapinya.

“Kalau macam tu, Rana balik rumah untuk rehat sahaja. Esok pagi, kami akan jenguk Rana. Kalau perlu, esok kami sendiri jemput Rana rehat di sini pula.”

Nada suara Datin Azian penuh rasa tanggungjawab. Terdetik di hatinya rasa sesal tidak mengambil kisah tentang aduan Rana tentang Saif. Malu benar rasanya apabila ramai bertanyakan di manakah Saif ketika anaknya dikebumikan. Saif sudah melampau!

Suasana sunyi tiba-tiba menyulubungi rumah besar itu menandakan semua penghuninya melayan perasaan sendiri. Datuk Idris menjalarkan pandangan pada ruang tamunya yang dilapangkan untuk memberi ruang menunaikan solat jenazah. Sejadah-sejadah sudahpun dilipat ke tepi oleh orang gajinya dan surah-surah Yassin sudahpun kembali pada rak asal. Hanya bau kapur barus masih menyelubungi suasana.

Sepatutnya kalau ikut usia, dia yang pergi dahulu. Tak sangka, akhirnya dia sendiri yang menyambut cucunya yang masih kecil ke liang lahad. Takdir Allah, Aydeen menolak antibiotik melawan virus yang menyerangnya. Sesesungguhnya ternyata perancangan Allah lebih hebat menjangkaui akal manusia.

“Rana balik dulu, papa.”

Suara Rana mengejutkan khayalan Datuk Idris. Cepat-cepat dia menyambut huluran salam yang menanti. Seterusnya, Rana bersalaman dan lantas berpelukan pula dengan ibu mertuanya. Agak lama mereka berdua berdakapan seolah melepaskan hiba ke bahu masing-masing.

“Sabarlah Rana. Mama dan papa ada untuk menyokong Rana.” Bisik ibu mertuanya perlahan.


---------------------------------------------



Saif memandu laju kereta Audi A7 kepunyaannya. Segala kemarahan dilemparkan dengan menekan minyak memacu kereta mewah itu membelah jalan raya.

Sakit hatinya, sakit! Baru sehari di tinggalkan, satu-satunya anak lelakinya telah pergi ke pangkuan Illahi. Ini mesti salah ibu dia! Kalau tak pandai jaga anak, inilah akibatnya!

Bagai dirasuk, Saif bertempik di dalam kereta. Dia tidak menyangka deringan telefon Arissa yang berkali-kali itu rupanya membawa khabar buruk dari sepupunya, Helmi. Berbakul Helmi menyalahkannya kerana terpaksa menghubungi Arissa disebabkan telefonnya telah di matikan.

Arghh! Bukan salah telefonnya! Salah perempuan tu yang tak tahu jaga anak! Takkan kerana demam, budak tu boleh melarat sampai meninggal dunia? Anaknya itu sihat! Yang bodoh adalah maknya! Berbakul Saif menyalahkan Rana tanpa bersalah.

Baginya, kerana Rana dia tidak sempat menatap Aydeen buat kali terakhir. Tidak sikitpun dia mencerminkan diri pada kesalahannya yang bercuti senyap-senyap bersama Arissa. Hatinya memang sudah lama meluat dengan Rana, dan kematian Aydeen telah meledakkan segalanya.

“Kau tunggu aku balik! Kau tunggu! Tahulah nanti nasib kau, perempuan!”

Sebelah tangannya menggenggam penumpuk lalu dilepaskan seluruh tenaganya ke stering kereta. Hatinya sudah lama mati untuk Rana. Sejak kehadiran Arissa, dia tidak mampu lagi berbohong tentang perasaan. Yang menghalang dia membuang Rana adalah anaknya, Aydeen.

Setiap hari bersama Rana baginya bagai penuh kepura- puraan. Rana hanya isteri di atas kertas demi menjaga masa depan Aydeen. Kerana itu duit belanja rumah tidak pernah diabaikan dengan harapan Rana mampu menjaga anaknya dengan baik. Rupa-rupanya perempuan itu pandai berdendam dalam diam apabila mengadu dengan ibunya dan sekarang? Sekarang, dia dah pandai mengabaikan Aydeen hingga membawa kematian!

Keretanya terus di pandu laju dan membawa segunung kemarahan. Matlamatnya hanya satu, Rana Ardini perlu dihukum!



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku