Kaulah Permaisuri
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
648

Bacaan






Rana meleraikan ikatan telekung yang dipakainya. Dia pun tidak pasti entah berapa lama dia tertidur kepenatan di atas sejadah selepas menunaikan solat tahajud. Ketika ini, hanya itulah senjatanya untuk melawan kerinduan pada Aydeen. Solat adalah penebat kesunyian dan kesedihan.

Tadi, baru beberapa saat ketika dia menjejakkan kaki ke rumahnya, hatinya kembali luluh. Dari ruang tamu, dapur, hingga ke ruang atas semuanya menggamitkan memori pada anaknya. Menari-nari di matanya semua keletah anaknya seolah-olah Aydeen masih ada di sini.

Kesepian rumah besar itu dirasakan begitu menggigit sehingga Rana mengambil keputusan bersendiri dan mengadu pada Yang Esa sahaja. Doa dan tahlil dititipkan untuk anaknya walaupun dia tahu, Aydeen sudah tentu selamat di sana dan kembali dalam keadaan bersih tanpa dosa. Rana merasakan hatinya sedikit terisi kerana ternyata hanya Allah sahaja yang mampu memberinya kekuatan kembali.

Ubun-ubun rambutnya yang hampir kering diseka. Dia berdiri didepan cermin membetulkan ikatan rambutnya. Matanya bengkak kerana tangisan menghasilkan lingkaran sekelilingnya. Kulitnya yang putih menjadikan pipinya dan hidungnya kemerahan.

Tiba-tiba Rana terdengar bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah. Diselaknya langsir dan dia dapat melihat Saif baru sahaja pulang ke rumah. Rana cepat-cepat menuju ke luar bilik untuk menyambut Saif yang baru memasuki ruang tamu.

Dia ingin mengadu segalanya pada suaminya. Dia ingin berkongsi kesedihan ini. Biarlah! Biarlah dia terkilan tidak dapat menghubungi Saif seharian. Tentu sahaja Saif ada penjelasan dan dia masih sanggup menerima apa pun. Hampir setahun memendam rasa, bagi Rana selagi mereka masih suami isteri, dia akan terus bersabar.


--------------------------------


Ruang tamunya masih bergelap ketika Saif membuka pintu rumah. Hanya cahaya dari bilik atas kelihatan menyimbah ruang tangga. Gambar-gambar mereka sekeluarga menghiasi dinding kelihatan berbalam-balam terbias bayangan dari lampu.

“Rana!!!!” Saif bertempik tanpa menghiraukan jiran yang bakal mendengar suaranya di malam yang sunyi.

“Mana kau, perempuan?”

Dengan pantas dia menutup pintu rumahnya dengan kuat. Ketika dia berpaling, isterinya itu baru saja turun dan berdiri di ruang tamu dengan wajah yang masih sembab. Tanpa belas, Saif menarik tangan Rana lantas menolaknya ke sofa.

“Aku suruh kau jaga anak, bukan bunuh anak!” Tambahnya lagi pada Rana yang terduduk.

Rana mengusap pergelangan tangannya yang terasa perit disentap oleh suaminya.

“Kau tahu tak aku panas hati? Kau faham tak apa rasanya bila kau tak sempat tengok anak kau buat kali terakhir?”

Soal Saif sambil menanggalkan jaket kulit yang dipakainya lalu menghempasnya ke lantai. Berurat lehernya bertempik menambahkan bengis di wajahnya.

“Kau paham tak apa aku rasa?” Ulangnya lagi membuatkan Rana mengangguk laju.

Apalagi yang ingin di katakan apabila melihat Saif dalam keadaan hilang kewarasan begitu? Rana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Dia sudah kehabisan tenaga hari ini dan dia redha menerima setiap kemarahan yang dilemparkan padanya.

“Sebab kau, anak kita tak ada! Sebab sial yang kau bawa, budak tu pergi. Sial daripada ibu kau, merebak ke kau, sekarang anak kita pun kena badi sial kau! Keturunan kau memang tak elok!”

Entah kenapa kali ini Rana merasakan kata-kata itu begitu mencabar kesabarannya yang ditahan sekian lama. Seperti halilintar, suara itu menembus telinganya sehingga hatinya terasa bagai dirobek.

Satu kesilapan besar apabila Saif menyebut sebut tentang ibunya begitu. Apatah lagi bila dia mengaitkan nasib yang menimpa Aydeen adalah darinya. Kalau dirinya begitu sial, adakah anaknya juga sial?

Tahap kesabaran yang ditahan terasa sudah melepasi kepala dan akalnya. Kali ini Rana tidak mampu lagi menahan diri. Benar seorang isteri harus taat dan hormat pada suaminya tetapi Saif benar-benar melampau.

Seorang lelaki seperti Saif mahukan isterinya semulia Siti Khadijah, tetapi sikap Saif tidak langsung menjunjung sunnah dan akhlak Nabi terhadap isteri-isterinya. Segala kata-kata dan layananan Saif padanya adalah penderaan mental yang kini sudah padat di dalam diri Rana bakal meletus seperti bom jangka.

Saif dikurniakan Allah sembilan akal untuk mengawal satu nafsu supaya mampu mendidik isterinya namun ternyata Saif gagal. Manakala akal Rana nan satu tidak mampu lagi mengawal nafsu kemarahan dan emosinya. Seolah-olah lupa pada kudrat dirinya yang tadinya lemah, Rana menjerit,

Enough!!!”

Rumah besar itu bergegar dengan suara Rana membuatkan Saif tersentak. Buntang matanya memandang Rana seolah ingin ditelan. Enough? Saif tidak sangka Rana seberani itu. Sakit hatinya melihat Rana yang mula berdiri di depannya dengan nafas yang berombak.

“Kurang ajar!”

Saif mengangkat tangannya tinggi ingin menampar Rana tetapi Rana langsung tidak cuba menutup melindungi wajahnya. Dengan penuh keberanian Rana merenung wajah suaminya. Matanya tajam tanpa berkedip seolah menadah wajahnya untuk ditampar.

“Tampar! Silakan tampar Saif Irfan. Aku sudah tidak peduli.”

Kata-kata Rana mencabar kelakian Saif lalu..

Pangggg!

Saif menampar wajah isterinya sekuat hati. Rana menjadi hilang pertimbangan lalu jatuh terjelupuk ke lantai. Tangannya memegang dan meraba pipinya yang panas. Tidak terasa langsung kesakitan kali ini kerana segala keperitan dan penyeksaan batin yang dilalui mengatasi segalanya.

Ketika Rana menoleh kembali ke arah Saif, tiada lagi air mata seperti yang sering Rana titiskan oleh sikap Saif sebaliknya hanya darah merah yang menitis dari pinggir bibirnya.

“Aku tak tahu kau ini manusia atau apa? Cukuplah kau seksa dan keji aku! Kahwin dengan kau adalah kesilapan!” Sambung Rana lagi sambil mengesat darah dibibirnya membuatkkan Saif semakin menyinga. Dia menarik rambut Rana memaksa Rana berdiri dan merapatkan wajahnya hampir dengan wajah wanita itu.

“Aku tak peduli kau rasa satu kesilapan atau tidak kahwin dengan aku! Yang penting aku dah merasa setiap inci tubuh kau. Ini Saif! Kalau sekarang aku ceraikan kau, seribu betina berlari dapatkan aku.” Kata Saif sambil menarik rambut Rana lebih kuat membuatkan dia sedikit terjinjit.

Rana hanya ketawa mengejek dengan mulutnya yang penuh dengan darah di celahan gigi. Dalam kesakitan entah bagaimana dia masih mendapat kekuatan.

“Pergi! Tolong pergi pada mana-mana perempuan kau mahu. Kau tidak lah sehebat mana. Aku sendiri dah tak lalu nak melayan sikap sombong kau.” Ujar Rana dengan pedas.

Dia tahu Saif akan hilang pertimbangan. Pukul! Jika Saif memukulnya dia sudah tidak peduli untuk mati di tangan suaminya. Yang terbayang kini adalah wajah anaknya yang tentu akan menantinya di sana.

Saif menghempaskan tubuh Rana ke dinding. Hatinya membengkak melihat Rana tidak lagi merayu. Tiada lagi air mata dan sendu. Tanpa belas dia mencekik isterinya. Tercungap-cungap Rana cuba bernafas. Puas melihat Rana kesakitan, sekuat tenaga dia menolak tubuh Rana yang genit itu ke meja tepi pula. Berderai barang perhiasan yang tersusun di atasnya jatuh ke lantai.

“Dengar sini, perempuan! Tak guna aku mengadap muka kau lagi kalau zuriat aku kau tak pandai nak jaga. Aku ceraikan kau hari ini juga. Bukan talak satu, tapi talak tiga! Aku dah tak ada selera dengan kau!”

Habis sahaja melafaz talak, Saif menarik sekali lagi rambut Rana lalu meluahkan ludah pekat ke wajah wanita itu. Tergapai-gapai tangan Rana meminta melepaskan rambutnya yang mula memedihkan kulit kepala. Dalam tawa mengejek, Saif melepaskan genggaman tangannya dengan kasar.

Tubuh Rana kini terduduk lemah-selemahnya namun Saif tidak ada tanda-tanda mahu berhenti. Matanya merah berapi menandakan kemarahan masih menguasai tindakannya.

Kini, tangan sasanya menumbuk mukanya dan Rana terus membiarkan Saif melakukan keganasan kepadanya sesuka hati. Hanya nama Allah dilafazkan berkali-kali memberi kekuatan dalaman pada dirinya. Dia redha kalau ini adalah detik akhir hidupnya.


-----------------------------------------


Rana membuka matanya perlahan-lahan. Dalam kesamaran dia dapat melihat keadaan ruang tamu itu bersepah tidak terurus. Kaca-kaca perhiasan bertaburan di lantai. Dia menggagahkan diri untuk bangun tetapi dia hampir terjatuh. Kakinya begitu lemah untuk menampung tubuhnya. Nasib baik Rana dapat berpaut pada meja makan.

Dia memegang dahinya.

Pedih! Ada darah yang sudah kering. Rambutnya kusut masai. Setiap inci kulitnya terasa berbisa. Perlahan-lahan, dengan begitu payah Rana berpaut pada pemegang tangga. Terhincut-hincut Rana memanjat satu persatu anak tangga menuju ke bilik.

Rumah itu kembali sunyi sepi. Mungkin Saif sudah keluar. Kali terakhir yang dia ingat adalah Saif menumbuknya tanpa henti. Rana juga tahu ketika itu dia tidak menangis malah langsung tidak merayu seolah-olah hatinya sudah mati. Hari ini baru dia akui, perasaannya turut sama terbuang seperti mana Saif membuangnya dengan lafaz talak tiga sebentar tadi.

Setelah masuk ke dalam bilik, Rana menghampiri bag tangannya. Dia ingin mengambil ubat penahan sakit yang terselit di dalamnya. Beg tersebut berjaya dicapai namun kerana tenaganya yang lemah, beg itu terjatuh ke lantai memuntahkan segala isi di dalamnya.

Rana tunduk untuk mengutip satu demi satu barangannya yang bergelimpangan. Namun tangannya terhenti seketika. Hatinya yang disangka mati kembali terasa seperti disiat-siat apabila melihat baju terakhir yang dipakai Aydeen jatuh bersama barang-barang dari begnya tadi. Baju t-shirt bewarna biru ini tersarung di tubuh Aydeen ketika kali terakhir makan bersamanya di dapur. Baju inilah anak itu pakai ketika mereka tidur bersama sebelum anaknya pergi.

Perlahan-lahan Rana mengutip baju tersebut. Dia menggenggam baju itu lalu menciumnya sambil memejamkan mata. Masih kuat bau Aydeen melekat segenap baju tersebut.

Aydeen! Rintih Rana lantas dia terjelupuk ke lantai.

“Mama sakit, Aydeen! Sakit!”

Rana menumbuk-numbuk dadanya seolah mahu melepaskan kesakitan yang menyesakkan dada. Terketar-ketar bibirnya apabila sebak mula berkumpul. Nafasnya seolah-olah tersekat di kerongkong menanti dihamburkan bersama tangisan yang menggila.

Baju Aydeen ditekap kemukanya. Rana sudah tidak tahan lagi.

“Kenapa Aydeen tinggalkan mama? Kenapa Aydeen tak tunggu mama? Ya Allah! Cukup, Ya Allah. Cukup dugaanMu ini, aku tidak mampu lagi menahan.”

Tercungap-cungap Rana mencari nafas kerana sebak yang teramat sangat. Seperti anak kecil, tubuhnya merengkot menahan seksa batinnya.

Rana menangis semahu-mahunya sehingga dirinya begitu lemas. Dia memejamkan mata dan berbaring bagai terdampar dalam keadaan berputus-asa. Hidupnya terasa kian kosong. Tiada lagi tangan kecil anaknya menyapu air mata, tiada lagi pelukan manja anaknya menenangkan dirinya yang rawan.

Baju anaknya masih digenggam dan dicium berkali-kali. Kini terdetik di hatinya untuk mati. Seolah-olah dia benar-benar tidak mahu lagi meneruskan hidup lantas matanya dipejamkan lebih rapat. Ketika nafasnya semakin lemah dia seolah-olah terdengar kata-kata anaknya yang sering menenangnya ketika dia sedih…

“Mama, tak moh nangis. Aydeen sayang mama.”

Untuk sedetik, suara Aydeen yang masih bermain di kepalanya itu membuatkan Rana berhenti menangis namun dia terus menutup matanya bagaikan tidak mahu terjaga lagi. Bayangan Aydeen seolah-olah menggamitnya untuk bersama di alam lain.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku