Kaulah Permaisuri
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
335

Bacaan






“Macam mana nak cakap ni, bang?”

Datin Azian memicit jari-jemarinya satu-persatu. Wajahnya penuh gelisah. Datuk Idris cuma mampu mengeluh perlahan lantas menggeleng-gelengkan kepalanya. Siapa yang punya kudrat untuk menghadapi dugaan yang bertimpa? Jika sekali dua, tak mengapa. Bagaimana kalau berkali-kali? Susah untuk diterima akal warasnya bagaimana hebat dugaan kali ini untuk dihadapi sekali lagi oleh menantunya.

“Sudahlah dia baru kehilangan Aydeen, si Saif pula buat perangai. Sekarang? Macam mana kita nak sampaikan yang ini pula, bang?”

Datin Azian bersuara lagi dengan nada yang mula bergetar. Pandangannya dialihkan pada Rana yang duduk membatukan diri di ruang balkoni rumahnya.

Rambut Rana yang panjang sudah siap disisir rapi oleh pembantu rumahnya dan mereka sengaja membiarkan Rana duduk memandang permandangan taman untuk menenangkan diri. Sesekali angin bertiup menyentuh baju putih yang dipakai menantunya membuatkan hujung kainnya menari-nari ligat namun pergerakannya tetap kaku di situ.

Masih terbayang di matanya bagaimana keadaan Rana yang di temui hampir dua minggu lepas. Walaupun Rana hanya menantu, tetapi hatinya luluh melihat wanita itu terbaring tak bermaya dipukul oleh anaknya sendiri.

Kecewa dan terkilan rasanya melihat perbuatan Saif yang tak berperikemanusiaan. Nasib baik mereka cepat menjenguk Rana awal pagi itu selepas dia merasa tak sedap hati. Firasat hati ibu memang selalunya adalah benar walaupun dia hanya ibu mertua.

Hasil pemeriksaan doktor peribadi mereka, Rana hanya mengalami lebam dan pendarahan luka luar tetapi siapa tahu luka dalaman yang dialaminya? Dia tidak dapat membayangkan detik demi detik yang Rana lalui apabila berdepan dengan anaknya yang baran.

Malu rasanya untuk mengadap menantunya apabila mengenangkan perangai Saif begitu. Lebih malu rasanya apabila Rana tidak mahu mengambil apa-apa tindakan undang-undang pada Saif walaupun Saif sudahpun menceraikannya.

Dia kini berjalan perlahan semakin menghampiri Rana. Selepas apa yang terjadi pada wanita itu, baru dia akui Rana adalah menantunya yang terbaik. Kekhilafan dirinya yang tidak mengambil endah aduan Rana sebelum ini membuatkan dia merasa dia bertanggungjawab sepenuhnya menjaga Rana sehingga semangatnya pulih kembali.

Matanya menjalar pada segenap inci tubuh Rana. Walaupun dipisahkan dengan pintu kaca balkoni yang separuh tertutup namun dia dapat melihat urat-urat halus jelas kelihatan di tangan wanita itu yang semakin melidi. Keadaanya tidak ubah seperti tulang yang dibaluti kulit tanpa isi.

Wajah Rana begitu cengkung masih tersisa lebam dan luka di dahinya meninggalkan kuping kulit mati tanda luka yang baru kering. Datin Azian menggigit bibir sendir menanggung terkilan mengenangkan semuanya berpunca dari hentakan tangan anaknya sendiri.

Selama Rana bersama mereka sekalipun Saif tidak menjenguk walau berkali-kali dia memaksa Saif untuk berdepan dan berbincang. Selama hampir dua minggu itulah jugalah, Rana kurang bercakap. Tanya sepatah kata, sepatah juga jawabnya. Adakalanya Rana diam dan hanya akan memandang kosong lantas memusingkan wajah ke arah lain. Ya, seolah-olah fikirannya tidak ada di sini.

Makan apatah lagi? Semua perlu dipaksa itu pun hanya sesudu dua. Rana lebih banyak termenung dan memencilkan diri. Allah sahaja yang tahu apa yang berada difikirannya dan Datin Aizan akui, ianya terlalu berat untuk dipikul.

Lebih-lebih lagi, sekarang. Sanggupkah dia menjadi pengantara untuk menyampaikan satu lagi berita berat untuk Rana? Sudahlah Rana sedang menanggung beban perasaan, sanggupkah dirinya menambahkan lagi berat beban tersebut? Mampukah seorang insan biasa seperti Rana menanggungnya?

“Bang, kita kena cakap juga, bang. Itukan mami dia? Dia berhak tahu.”

“Ish, awak ni. Awaklah yang cakap sendiri. Saya tak sanggup. Dah naik tebal muka saya nak mengadap si Rana tu,”

Suaminya mengelakkan diri membuatkan dia tiada pilihan. Dirinya kini semakin hampir dengan Rana yang duduk membelakangkannya. Buat seketika, dia mengambil beberapa detik untuk mencari kekuatan. Dengan berat hati, tangannya diangkat lantas diletakkan dengan perlahan di atas bahu Rana. Ibu jarinya mengusap-usap lembut bahu yang hanya terasa tulang itu.

“Rana.. Mama nak sampaikan satu berita untuk Rana,”

Senyap.. sunyi..

Hanya bunyi burung yang berkicauan sesekali terbang melintasi rumah banglo mewah itu.

“Rana. Apa-apapun, mama harap Rana tabah selepas mendengar apa yang mama nak sampaikan ni,” sambungnya lagi.

Datin Azian menoleh sekilas pada suaminya mengharapkan sokongan selepas Rana tetap membisu. Datuk Idris pula memberikan isyarat menganggukkan kepala tanda mahukan isterinya meneruskan kata-kata.

“Tadi, mama baru dapat khabar dari ibu saudara Rana yang sama-sama di Mekah dengan mami Rana. Katanya, ibu Rana terjatuh ketika wukuf, dan sekarang… sekarang.”

Suaranya terhenti di situ. Dia cuba mencari nafas.

“Ibu Rana sudah tiada, Rana.” Walaupun dengan separuh berbisik, namun dia yakin berita itu kedengan jelas di telinga Rana.

Ternyata berita itu membuatkan Rana menoleh dan mendongak sedikit ke arahnya yang masih berdiri. Mata Rana yang lebam kebelakangan ini berkedip-kedip memandang wajahnya. Datin Azian menyedari ada urat merah dan air jernih kelihatan berlumba-lumba mula bertakung di sekitar anak mata wanita tersebut.

“Mama..”

“Ya, sayang.” Penuh simpati, tangannya mengusap rambut Rana. Anehnya, Rana tiba-tiba tersenyum sambil menggelengkan kepala.

“Aydeen mana, mama? Rana rasa, dari tengah hari tadi dia tak makan.”

Datin Azian menekup mulutnya menahan sebak. Ya Allah, berikan Rana kekuatan. Kau takkan menduga hambaMu bertimpa-timpa begini jika Kau tahu dia mampu menempuhnya.

“Aydeen! Aydeen! Cepat makan! Kejap lagi kita nak jemput nenek balik haji.”

Dengan pantas, Rana bangun dan terjenguk-jenguk ke dalam bilik memaksa Datin Azian memaut tubuhnya

“Rana, jangan macam ni, nak! Sabar, bawa mengucap.”

Rana meronta-ronta namun kerana dirinya yang masih lemah, dia tewas dalam pegangan bekas mertuanya. Kini mereka berdua terduduk berpelukan.

“Mama, lepaskan Rana. Rana nak pergi jemput mami dengan Aydeen. Nanti lambat pula.”

“Rana, doa banyak-banyak sayang. Allah lebih sayangkan mereka,”

“Tak! Mama tak faham. Mami Rana tengah tunggu tu. Rana tahu dia tengah tunggu kami.” Seiring dengan rayuannya, setitis air mata meluncur laju dari sudut matanya.

“Rana, ingat Allah, sayang. Ingat Allah!”

Datin Azian terus memeluk Rana sambil badannya bergoyang kiri kanan seolah-olah mendodoi anak kecil. Dia amat berharap agar dia dapat memberikan kekuatan pada bekas menantunya namun siapakah?

Siapakah yang tidak akan goyah hatinya jika mendapat ujian bertimpa-timpa? Dalam hatinya terus berdoa, ‘Ya Allah, Kau berikan kembali kebahagian yang tak terhitung sebagai ganjaran dugaan hebat yang Kau berikan kepadanya. Sesungguhnya, hanya Kaulah yang maha mendengar keluhan hambaMu yang ditimpa musibah.’


------------------------------------


Arissa Shafikah meriba kepala Saif dan mengerlus lembut rambut lelaki tersebut. Dada Saif yang tadinya berombak kasar menghambur kemarahan pada Rana kembali tenang. Tenang apabila di belai Arissa sehingga dia akhirnya tertidur dipangkuannya.

Hampir setiap hari selepas bercerai, Arissa menjadi pendengar setia lelaki ini. Benci benar Saif pada Rana lebih-lebih lagi selepas dia kehilangan satu-satunya anak lelaki hasil perkongsian hidup mereka. Benci yang masih terbawa walau sudah hampir dua minggu mereka berdua berpisah.

Tiba-tiba, satu senyuman nakal tergaris di bibirnya. Siapa sangka, lelaki yang selama ini berjaya mencuri tumpuannya kini melutut meraih cintanya? Kembang hatinya merasakan betapa ramai pramugari yang memang sukakan Kapten Saif Irfan dalam diam termasuk dirinya. Cuma satu yang menghalang mereka mendekati Saif iaitu dia sudah berkahwin.

Arissa tahu dan sedar hakikat status perkahwinan Saif. Malahan dia pernah menjamu isteri dan anaknya di dalam pesawat ketika mereka sekeluarga bercuti. Cantik! Rana cantik sekali memandangkan dia juga adalah bekas pramugari.

Kelembutan dan keibuan Rana jelas tepancar apabila dia melayan anaknya. Kecantikan Rana seiring dengan kecantikan wanita Melayu yang mampu membuatkan sesiapapun merasa tenang melihatnya. Wajah Saif pula penuh kebahagiaan dan berbangga melihat anaknya, Aydeen mencuri tumpuan dengan kaletahnya.

Entah kenapa dia merasa cemburu melihat kemesraan mereka. Well, apa kurangnya dia? Jika isteri Saif cantik kemelayuan, dia punya darah Belanda. Kulitnya lebih cerah dan kalau orang bandingkan dia dengan Nora Danish, nescaya orang anggap mereka adik beradik. Tak pernah ada lelaki yang tak pandang padanya, melainkan lelaki ini. Ya, lelaki bernama Saif Irfan ini pernah langsung tidak menoleh padanya ketika dia masih bahagia dengan Rana.

Bukan dia mahu menjadi perampas tetapi tidak layakkah dia merasa bahagia seperti yang Rana rasa? Segalanya bermula selepas percutian mereka. Kebetulan Saif dan Arissa bertugas di penerbangan yang sama. Tanpa isterinya, mudah bagi Arissa mendekati Saif. Ketika mereka mendarat di Perth, peluang untuk bersiar-siar lebih terbuka buat mereka.

Tak sangka, Saif tidak keberatan bersiar-siar dengannya. Bermula gurauan biasa ketika menyusuri bangunan bersejarah di Fremantle, Arissa pandai mencuri perhatian Saif dengan gayanya yang lebih seksi. Saif yang masih melayannya seperti kawan akhirnya mula terperangkap apabila Arissa bermesra bermain kata. Penginapan di Perth atas tiket bekerja selama empat hari itu akhirnya membuka ruang mereka mengenali lebih dekat, maka terbukalah satu rahsia.

Rahsia yang memang biasa dialami lelaki yang berkahwin. Rupanya, adakalanya dia bosan dengan Rana yang bagai kerbau dicucuk hidung. Semua kata Saif ditelan bulat-bulat. Suruh buat apapun dia sanggup. Arissa ketawa kecil mengenangkan betapa bodohnya Rana. Apa? Dia ingat ini zaman Mahsuri di mana semua wanita harus tunduk mengalah sepanjang masa tanpa kompromi?

Hello?

Sekarang zaman digital. Wanita perlu cerdik menjerat lelaki dan berdiri atas pendapat sendiri. Bukan hanya patuh membuta tuli. Lelaki sekarang suka cabaran dan dia adalah wanita yang sentiasa bersedia membuatkan lelaki rasa tercabar untuk memilikinya. Lelaki juga adakalanya sukakan perempuan nakal. Itulah hiburan bagi mereka yang sudah mula bosan dengan isteri sendiri.

Jadi adakah dirinya bersalah apabila Saif sudah mula jemu dengan Rana? Come on! Best woman win! Siapa suruh tak pandai goda suami? Too bad kalau selepas mengenali Arissa Shafikah, Saif mula menganggap perkahwinannya dengan Rana adalah kesilapan. Cinta Saif mula berputik untuk dirinya dan menurut Saif, dia tidak pernah merasakan sebegini walaupun dengan Rana dulu. Jadi, adakah ini salah Arissa?

Saif menggeliat membetulkan badannya membuatkan Arisssa tersedar dari gamitan memorinya. Dia tunduk memandang Saif yang baru tersedar dari lena.

“Hmmm.. sekejapnya you tidur.”

Arissa mengerlus lembut rambut lelaki itu. Saif hanya terkebil-kebil memandang Arissa. Dia lantas bangun meraup wajahnya.

“Kenapa ni sayang?” Soal Arissa manja.

Ibaru teringat.”

“Hmm? Teringat apa?”

I tak daftar lagi perceraian I dengan Rana. Kalau tangguh nanti, tentu kena denda dengan mahkamah syariah.”

Arissa mengangkat kening. Bibirnya yang berkilat dengan sisa pengilap bibir itu separuh terbuka.

“Habis tu? U nak buat apa sekarang?”

“Nampaknya I kena balik juga. Terpaksalah mengadap parent I. Rana pun tinggal dengan mereka sekarang.”

Ada cemburu tiba-tiba menjengah hati Arissa. Bukankah Rana sudah bercerai dengan Saif? Kenapa perlu menumpang di rumah mertuanya? Dah tak ada tempat nak pergi sangat ke? Takkanlah dia tak boleh menumpang rumah saudara-maranya?

Don’t worry sayang. I uruskan benda ni sekejap aje. Senang untuk I mulakan hidup baru dengan you nanti.”

Saif cuba memujuk apabila melihat wajah Arissa berubah. Usahanya berjaya apabila Arissa mula mengukirkan senyuman. Perlahan-lahan, Saif melabuhkan kembali kepalanya ke riba gadis itu. Dia menarik nafas lega.

Sebenarnya, dia cuba menyembunyikan sesuatu dari Arissa. Baru sebentar tadi dia seolah-olah didatangi mimpi seumpama deejavu. Mimpi yang mengulang kembali episod hidupnya yang pernah bahagia dengan Rana. Aydeen pula berdiri antara mereka berdua dan berbual dengan penuh kaletah. Entah kenapa, senyuman Rana di dalam mimpinya itu begitu mengusik kelakiannya.

Adakah dia mula rindukan isterinya? Tak mungkin! Baru sangat mereka berpisah. Ini hanya mainan tidur dan dia akan pastikan, urusan pendaftaran perceraiannya dengan Rana diuruskan cepat mungkin. Saif memejamkan mata, mengusir bayangan Rana yang semakin menghimpit dirinya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku