Kaulah Permaisuri
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
509

Bacaan






Saif memerhatikan orang yang lalu lalang di depannya dengan pandangan kosong. Sesekali dia melirik jam di tangannya yang menunjukkan tepat pukul satu tengah hari.

“Mana la pula dia ni pergi? Janji pukul dua belas setengah, janji melayu betullah!”

Rungutnya seorang diri. Air tembikai dipesannya sudah tinggal suku gelas, sepupunya Helmi masih belum menampakkan muka.

Mata kembali dilarikan pada wajah-wajah pengunjung di situ dan dia terhenti pada satu pasangan suami isteri bersama anaknya. Si isteri menyuapkan anaknya makan manakala suaminya pula tanpa segan silu menyuapkan isterinya berselang seli dengan menjamah makanan tersebut untuk diri sendiri pula.

Sebutir nasi melekat di pinggir bibir si suami, lantas si isteri cepat-cepat mencapai tisu dan menguis lembut sisa nasi tersebut. Dari jauh, si suami kelihatan tersenyum bangga. Bangga punya isteri yang menjaga anak dan dirinya.

Saif mengeluh berat.

Kenapa dia tidak pernah berbangga dahulu punya isteri sebaik Rana Ardini? Soalan itu terlintas di kepalanya, bergema di dalam hatinya lantas menyentap jantungnya sendiri. Ah! Apa kena ni? Come on, baru tiga bulan berpisah, kut!

Setiap kali dia melihat kebaikan, dan pengorbanan isteri orang lain, serta merta dia terkenangkan bekas isterinya itu. Semua kebaikan Rana terbayang di matanya.

Rana tidak pernah menghidangkan lauk sejuk untuknya. Semua lauk cuba dimasak sendiri dan sentiasa dipanaskan walau sibuk mana dia dengan kerja. Cawan sentiasa beralas piring, baju sentiasa bergosok kemas, bilik tidur mereka sentiasa bersih menenangkan hati Saif jika kepenatan balik dari kerja. Malah, Rana sentiasa tampil cantik dan menarik di depannya.

Sorry bro, aku lambat!”

Fikirannya yang kacau terganggu dengan suara Helmi. Saif merenggus perlahan sambil mencapai kotak rokok. Sebatang rokok dikeluarkan lalu diselitkan ke bibir. Rokok yang ke lima batang sementara menanti sepupunya itu.

Helmi tersengih-sengih apabila ungkapan maafnya tidak dilayan oleh Saif. Tanpa dipelawa, dia menarik satu kerusi dan duduk berdepan dengan Saif. Pelayan di panggil untuk memesan minuman.

So bro, apa masalahnya kau jumpa aku?”

“Aku ada hal nak cerita dekat kau. Aku rasa kau lebih sesuai untuk aku kongsi benda ni sebab kau kenal aku dari kecil.”

Saif memandang Helmi tajam sambil menyedut rokoknya dalam-dalam.

“Ok. Bring it on,”

“Kau ingat tak, Arissa?”

Saif cuba menguji ingatan Helmi. Helmi hanya menyeringai kecil.

“Ingat! Girlfriend baru kau tu? Apa hal? Dah nak nikah ke? Cepatnya kau, bro! Baru tiga bulan single balik. Ish, aku pun..”

“Aku bukan nak nikah la, gila! Biarlah aku habis cakap dulu.”

Saif meningkah kata-kata Helmi membuatkan sepupunya itu terhenti bicara.

“Ok, teruskan!” Helmi mendepakan tangan memberi ruang padanya.

“Macam ni, bro. Selepas aku dah isi masa aku dengan Arissa, aku dapat rasakan dia tak mampu nak penuhi kehendak aku. I can say that, she is not my cup of tea.”

Helmi mengangguk laju mendengar luahan Saif. Dalam hati, dia memang menjangkakan sepupunya itu memang tidak akan lama dengan gadis itu. Bukan itu sahaja, Saif takkan pernah cukup dengan seorang. Dia yang memang rapat dengan Saif tahu sangat perangai buruk baik lelaki ini. Kisah semua girlfriend Saif sebelum kahwin sehingga dia bernikah dengan Rana Ardini, semua dalam tangan Helmi. Kadang-kadang, dia sendiri jadi orang tengah!

“La, relax la bro! Girlfriend aje pun!”

“Weh, kau nak aku cerita ke tak?”

Saif mendengus kasar. Cerita belum habis, mamat ni dah buat kesimpulan. Hatinya kembali panas.

“Wooo!! Ok! Ok! Kau macam tertekan betul ni. Apa hal ni?”

Helmi pandang Saif tak berkelip. Baru dia perasan ada jambang kasar tak terurus mula tumbuh di sekitar wajah Saif. Kalau jambang kemas macam Wak Doyok tak apa juga. Ini macam jambang orang gila talak aje rupanya.

Wait, gila talak?? Atau Saif sudah..

“Aku tau aku salah. Aku marah! Dia tak pernah lawan aku. Selama kami kahwin, dia ikut apa aku cakap. Taat semua kehendak aku. Cuma silapnya hari tu dia marah-marah aku. Sudahlah hari tu aku masih tidak berpuas hati dengan kematian anak aku. Dia menjawab, aku jadi naik darah. Kau tahu macam mana aku hilang kawal kalau aku dah marah, kan?”

Helmi mengerutkan dahi tidak faham dengan kenyataan Saif ini. Tiba-tiba dia cerita pasal marah-marah, pasal kematian arwah anaknya. Ish, dah Saif ni kenapa?

“Maksud kau? Dia tu siapa? Dia tu…”

“Bekas isteri aku la. Rana! Shoot, what have I done?”

Saif memicit dahi sendiri. Helmi terus bersandar mendengar pengakuan Saif.

“Bukan ke kau cerai dia talak tiga ke?”

“Aku tahu aku salah. Tinggalkan dia untuk Arissa, sedangkan Arissa tak faham kehendak aku. Patut aku tahan diri aku. Sekarang, aku tak boleh bertenang. Aku buka Facebook dia, aku stalk Instagram dia. Walaupun dia tidak pernah post apa-apa lagi, aku tetap stalk! Gambar dia semua aku tak pernah delete dari memory phone aku. Ah! Kenapa aku bodoh tak fikir dulu hari tu?”

Tangannya kini meramas rambut sendiri.

Bro, kalau aku cakap ni kau jangan sentap pula,” ujar Helmi. Wajahnya penuh simpati.

“Apa dia?”

“Kau dah gila talak, bro.”

Saif berhenti meramas rambutnya yang dah kelihatan tercacak dan serabai sana sini. Mulutnya ternganga tidak mampu menyangkal kata-kata Helmi. Kini dia terngiang-ngiang kata-kata arwah ibu mertuanya yang menelefonnya dari Mekah seminggu sebelum kematiannya. Perbualan telefon yang di buat oleh arwah sebaik sahaja mengetahui Rana diceraikan.

“Mami redha Saif ceraikan Rana dengan talak tiga. Tetapi Allah lebih berkuasa. Jangan sampai nanti Saif gila talak, sudahlah!”

Kata-kata yang ringkas tetapi cukup membuatkan dia terkesan sampai sekarang. Walaupun wanita itu sudah pergi mengadap Ilahi sebelum sempat pulang ke Malaysia, dia akui kini. Mulut seorang ibu, walaupun ibu mertua tetap masin!


-----------------------------------


Saif menambahkan kelajuan keretanya membelah angin menuju ke perumahan mewah miliknya. Sebentar lagi dia akan bersiap untuk pergi kerja bagi penerbangan ke Osaka. Walaupun pandangannya tepat pada jalan raya, namun fikiranya kini tertinggal ke belakang mengingati setiap bait perbualan dia dan Helmi.

“Kau tak boleh balik semula dengan bekas isteri kau, bro! Haram! Kau dah jatuhkan talak tiga. Itu jalan mati, weh! Kalau jalan mati biasa, kau boleh patah balik. Tapi ni jalan mati tak ada U-Turn! Kau tak boleh patah balik, tak boleh rujuk.”

Kata-kata Helmi membuatkan Saif bertambang bingung.

The only way is, kau tunggu Rana kahwin. Lepas tu kalau Rana bercerai balik, masa tu lah baru kau boleh kahwin dengan dia.”

Saranan Helmi ini membuatkan dia kembali bersemangat. Susah apa!? Suruh Rana kahwin, lepas tu sebelum masa malam pertama, suruh Rana minta cerai. Apa susah?

“Tapi, kau kena ingat! Aku cakap, kalau Rana bercerai! Kalau suami baru dia tak nak cerai, tak jadi juga. Hahahaha! Kau tengok aje la janda kau tu dari jauh. Ambil bau aje dah kenyang!”

Merah padam muka Saif mendengar gurauan Helmi. Kalau tak fikirkan saudara, dah lama dia hempuk kepala Helmi dengan gelas besar di depannya.

“Kalau aku berpakat dengan mana-mana pak sanggup suruh jadi suami atas kertas untuk Rana, macam mana? Cukup sebulan, cerailah! Buat perjanjian.”

Saif angkat-angkat kening memandang Helmi. Terasa pula dirinya bijak bila dapat memberi cadangan tersebut.

“Maksud kau, ‘cina buta’?”

“Cina what?”

“Ish, kau ni! ‘Cina buta’ la. Orang dulu-dulu gelar ‘cina buta’ pada lelaki yang sanggup berkahwin dengan janda dah cerai talak tiga supaya dia boleh ceraikan balik janda tu. Akhirnya janda tu dah free, baru dia boleh balik kat suami terdahulu. Banyak kerja tau kalau buat perjanjian ngan ‘cina buta’ ni.”

Saif mengangguk-ngangguk tanda setuju.

That’s it! Aku upah ‘cina buta’ untuk Rana. Berapa pun aku sanggup bayar.”

“Woo! Kau ingat senang ke ‘cina buta’ ni?”

Helmi mendepakan tangan tanda tidak setuju.

“Aku faham sikit-sikit aje tentang hukum cina buta ni, bro! Tengok juga cara kau berpakat. Kalau kau selitkan lafaz syarat ni masa majlis lafaz akad nanti, nikah tu takkan sah!” Terang Helmi.

Fuh! Walaupun dia hanya peguam undang-undang sivil tetapi hasil bacaan dan pergaulan dengan kawannya yang bekerja sebagai peguam syariah sikit sebanyak membantunya memahami pekara ini.

“Ala, susah apa! Tak payah pakat masa akad nikah. Pakatlah sebelum akad nikah.” Ujar Saif sambil gelak gugup. Risau juga kalau main dengan hukum ni.

“Kalau berpakat sebelum majlis akad nikah pula, mereka berbeza pendapat ikut mazhab. Ada cakap tak sah, ada cakap sah asalkan rukun nikah dipenuhi.”

Saif terdiam berfikir sejenak.

“Tapi, yang satu ini sah! Kalau bekas isteri kau dan kau sendiri yang berniat macam tu tanpa memberitahu suami barunya, maka kahwin itu sah. Sebab talak di tangan suami barunya, bukan di tangan Rana.”

Saif mula tersenyum berharap. Susah apa? Pakat aje dengan Rana. Nanti malam pertama minta cerai. Yang dia perlu pastikan ialah, suami cina buta tu seorang pak turut, tak tahu diri digunakan dan ikut aje permintaan Rana untuk bercerai. Saif menarik nafas puas hati tanpa sedar dia mempersendakan hukum Allah.

“Aku akan fikirkan cara terbaik supaya perkahwinan ‘cina buta’ ini sah.” Kata Saif penuh harapan.

Bro! Sah memang sah! Kalau aku cakap panjang buka semua kau pening! Macam ni lah, sah tapi tetap dilaknati Allah. Bukan main-main tau kalau hidup dilaknati ni tau!”

Helmi dah macam penceramah bebas membuatkan Saif mendengus kasar.

“Lagipun…”

Kata-kata Helmi terhenti sebentar menagih tumpuan sepupunya itu.

“Lagipun?”

“Perceraiaan mereka nanti tidak sah selagi bekas isteri kau tu tidak ditiduri oleh mamat ‘cina buta’ tu. Hah! Yang ini memang ada hadis sahih dan diterima semua mazhab. Isteri kau perlu ditiduri!”

Bulat mata Saif mendengar bekas isterinya perlu meniduri lelaki lain.

Which means, laki tu kena merasa dulu janda yang..”

“Ok! Stop! That’s too much!”

Saif bangun menahan geram membuatkan Helmi tergelak kecil. Takut pula kau ya kalau bini kau tidur dengan orang lain! Kau tidur dengan perempuan lain sana sini tak apa pula?

“Arggh! Forget about ‘cina buta’ or what! Biar aku balik fikir dulu. Banyak sangat cerita halal haram hari ni sampai aku pun dah naik tepu. Dah, kau bayar air aku! Nanti apa-apahal aku roger,” kata Saif sambil mencapai kunci dan kotak rokok untuk berlalu pergi.

“Weh! Kut iya pun bak sini la rokok sebatang! Rokok aku habis dah ni.” Teriak Helmi selepas beberapa langkah Saif berjalan.

“Argh, kau jangan mimpi la aku nak bagi kau sebatang!”

“Kenapa?”

“Rokok ni pun ada imam kata haram, bro!”

Helmi menepuk dahi mendengar kata-kata sinis Saif. Siot aje!


-------------------------


Saif sudahpun tiba di perkarangan rumahnya. Sebelum dia membuka pintu rumah, dia sempat melirik pada jam di tangannya. Sudah pukul tiga, ada lagi tinggal satu jam masa untuk dia bersiap ke tempat kerja. Perutnya sudah berlagu shahdu tanda kelaparan. Baru disedari dia tidak menjamah makanan tengah hari dan sekarang sudah nak masuk petang. Tadi pun dia hanya minum air bersama Helmi.

“Sayang…”

Usai pintu dibuka, Arissa menyambut sambil merangkul lehernya. Saif membalas dengan memaut pinggang Arissa kemas.

“La, tak balik lagi rumah sewa you? I thought you nak lepak dengan housemate you, hari ni?”

Saif melonggarkan pelukan Arissa. Memang dia yang mengajak Arissa ke rumahnya semalam setelah Arissa pulang dari flight. Namun niatnya hanya untuk tidur bersama dengan gadis tersebut. Arissa masih kekasihnya, namun pergaulan mereka bebas melebihi suami isteri.

Arissa mencebikkan bibir.

“Ala, I sukalah duduk sini. Kalau ikut hati, I nak pindah sini terus!” Ujar Arissa sambil melangkah ke arah sofa.

Saif tersenyum kelat mendengar kata-kata Arissa. Sebelum ini pun, dia macam dah buat rumah ni macam rumah sendiri, kut! Baju Arissa banyak tersadai di sini. Bukan itu sahaja, hairdryer, berus gigi, teddy bear feeling gegurl, bantal busuk, semua dah bersarang dalam rumah ni.

I nak pergi flight sekejap lagi. Takkan you nak duduk seorang?”

Saif menggaru kepala serba salah. Kali terakhir dia meninggalkan Arissa di sini sebulan lepas, dia insaf terus. Bukan apa, memang dia buat macam rumah sendiri! Cuma bezanya, dia langsung tak mengemas. Sampah dibiar penuh, nasi dalam periuk pula entah berapa hari di tinggalkan macam tu saja.

Pelik!

Bab penjagaan diri dan fesyen, Arissa memang tak pernah kalah tapi takkan tak pandai lipat selimut sendiri balik kut?

“Ala, esok Ibalik la. Esok ada fligth ke Delhi.”

Arissa masih berdegil. Dia mengikat rambutnya tinggi-tinggi sebelum mencapai botol pewarna kuku yang diletakkan di atas meja. Setelah menekan butang on pada remote televisyen, kakinya diletakkan di atas meja dan dia mula mencalit pewarna kuku berwarna merah tersebut satu persatu pada jari kakinya. Saif hanya memandang sekilas sebelum terus naik ke tingkat atas.

Bersiap pergi kerja lagi baik!


------------------------------------


Dirinya masih dibaluti tuala ketika dia memasukkan barang peribadi ke dalam beg beroda. Tanpa diundang, kerinduan pada Rana bertandang lagi. Rana sentiasa mengemaskan beg pakaian Saif. Semuanya sudah tersedia dan teratur untuk Saif capai walaupun ketika itu Rana sibuk menguruskan Aydeen. Dia tidak pernah risau tentang barang yang ingin di bawa kerana semua telah dikemas sempurna.

Sekarang, Saif menuju ke bilik yang menempatkan pakaiannya pula. Seketika dia menarik nafas dalam-dalam apabila melihat pakaiannya banyak berlonggok tidak dibasuh. Pandangan yang tidak akan dapat dilihat jika Rana masih ada bersamanya.

Dia membuka almari bajunya mencari kemeja uniformnya namun gagal di temui. Aduh, mana uniform ni? Takkan semua tak basuh lagi kut? Maybe tak lipat lagi. Matanya beralih pula pada bakul yang menempatkan baju yang sudah dibasuh dan dijemur tapi masih belum berlipat.

Tangannya menarik-narik pakaian dari bakul tersebut namun dia gagal menemui satupun uniform miliknya. Akhirnya setelah menterbalikkan bakul tersebut, baru dia temui sehelai uniformnya. Ah, hanya sehelai? Manalah cukup sepersalinan sahaja uniform untuk penerbangan yang terpaksa bermalam di Osaka?

Mahu atau tidak, dia terpaksa menggosok juga kemeja tersebut. Selama dia bujang, kerja menggosok dan membasuh baju dilakukan oleh bibik di rumah ibunya. Sehingga dia berkahwin dengan Rana, dia tetap goyang kaki. Kali ini, terpaksalah buat sendiri. Takkan dia nak harapkan Arissa yang dua kali lima manja tak pandai buat kerja rumah sepertinya?

Baru dia sedari Arissa dan Rana bagai langit dan bumi.

Argh!!

Pagi petang siang malam otaknya hanya memikirkan kebaikan Rana semasa menjadi isterinya. Saif menempelak diri sendiri cuba menafikan bahawa dia perlukan Rana kembali dalam hidupnya. Kalau dilayan perasaannya tentu mood pergi kerja pun hilang. Lagipun dia dan Rana mustahil lagi bersama, kan?

Dia tidak peduli perjanjian ‘cina buta’ itu. Melepaskan Rana menjadi isteri sementara untuk lelaki lain pun bukan masalah tetapi dia tidak sanggup rasanya membiarkan Rana tidur dengan lelaki tersebut. Tercabar ego lelaki, kut!

Bosan dengan dirinya yang asyik mengelamun mengenangkan Rana, Saif cuba memujuk dirinya lagi. Mungkin dia patut memberi peluang pada Arissa. She is not that bad. Kalau diasuh, tentu dia akan jadi lebih baik dari Rana.

Kini, Saif sudahpun siap sepenuhnya. Pilot’s hat dicapai lalu mengepitkannya di celah lengan. Beg dijinjing sebelum dia melangkah menuruni tangga.

“Sayang, ada makanan tak? I lapar.”

Soal Saif pada Arissa apabila kakinya menjejak anak tangga terakhir. Arissa menjungkitkan bahu sambil meniup-niup kuku tangannya. Pewarna kuku lapisan terakhir belum lagi diletakkan, kena pastikan lapisan lama betul-betul kering. Mewarna kuku begitu memang perlukan kesabaran. Arissa boleh mengadap benda alah tu sampai berjam-jam asalkan hasilnya cantik.

“Oh, ya! Ada. Dekat atas meja makan.”

Tiba-tiba Arissa bersuara membuatkan Saif tersenyum. See? She is not that bad. Saif terus melangkah ke meja makan. Alangkah hampanya dia apabila yang ditemui atas meja tersebut hanyalah sekotak pizza Dominos. Topinya di sangkutkan pada pemegang beg, dia lantas membuka kotak pizza tersebut.

Di dalamnya hanya ada dua keping pizza, yang selebihnya dah selamat dimakan Arissa. Saif mengambil sekeping pizza tersebut lalu mengangkatnya separas matanya.

“Ni pizza bila ni?” Jerit Saif dari dapur.

“Pagi tadi. Elok lagi tu. Makanlah, I tak nak dah!”

Saif mengetap bibir menahan geram. Ewah, sedapnya bila dah tak nak, bagi sisa kat kita aje! Sekarang tengok bentuknya pun dah tak lalu. Cheese pun dah keras kematu, roti pun dah masuk angin. Beli pagi tadi, kut. Sekarang dah petang.

“Errr, at least maybe you patut panaskan untuk I, kan?”

Soal Saif sengaja ingin menduga.

“Ala, you buatlah. Kuku I tak kering lagi ni,”

Rengekan Arissa yang satu ketika dulu terasa manja pada Saif kini bagai mengejeknya. If only Rana was here! Rana takkan hidangkan pizza sejuk macam tu. Kalau kena panaskan pun, Rana pastikan ianya terhidang atas pinggan elok-elok siap dibancuhnya air sedap-sedap beserta air batu untuk Saif. Ya, itulah kesempurnaan layanan Rana yang dia tidak hargai.

Stop thinking about Rana, Saif! Dia kau dah ceraikan. Cerai talak tiga!

Saif merengus kasar lantas meletakkan kembali pizza tersebut. Seleranya dah mati. Dia lantas menarik begnya cepat-cepat untuk keluar dari rumahnya sendiri.

“Eh! You tak makan ke?” Soal Arissa tiba-tiba apabila melihat Saif melangkah ke pintu.

“Tak payahlah. Iselera Melayu. Inak nasi, bukan pizza!” Perli Saif namun Arissa gagal memahaminya.

“Ok then. Have a safe flight. I love you.” Jerit Arissa namun Saif terus mendiamkan diri sebelum pintu rumahnya terus ditutup. Dengan mencebikkan bibir, Arissa menjungkitkan bahu lalu terus menyambung menyapukan pewarna pada kukunya.


---------------------------------


Begnya sudah dimasukkan ke dalam bonet dan dia cepat-cepat melabuhkan tubuhnya ke dalam kereta. Sambil menguatkan penghawa dingin, dia bersandar memejamkan mata. Nafasnya turun naik menahan tekanan yang kian menghimpit.

Adakah dia terkena sumpahan ibu mertuanya? Betul ke dia dah gila talak? Saif meraup wajahnya. Kenapa talak tiga? Kenapa dia tak sebut talak satu atau dua? Kenapa dia bodoh tidak menghargai isterinya? Siap dia anggap Rana membosankan dan macam robot!

Saif menghentak steering dengan penumbuk.

Dia mencapai telefonnya lalu membuka aplikasi Facebook. Profil Rana dicari lalu cuba melihat kalau ada post terbaru. Kosong! Tiada apa-apa perkembangan. Macam terbiar. Last updated pun tiga hari sebelum pemergian Aydeen.

Apa khabar agaknya Rana sekarang? Dia sendiri langsung tidak menjenguk walaupun Rana masih tinggal dengan orang tuanya. Tiga bulan dia biarkan berlalu begitu saja. Saif memicit dagunya resah. Tanpa menunggu lama, Saif mendail telefonnya. Dia menunggu seketika sehingga panggilannya bersambut.

“Helmi! Aku dah fikir masak-masak. Aku rasa aku kena cari juga ‘cina buta’ untuk Rana. Kau kena tolong aku, bro!”



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku