Kaulah Permaisuri
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
309

Bacaan






Helmi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Disebabkan Saif dia terdampar di sini. Entah mana hala telah dia pergi, ceruk kampung mana di Pahang ni telah dia masuk. Mengenangkan imbuhan yang lumayan, dia turutkan juga. Setelah kepenatan memandu, dia melepaskan lelah di sebuah kedai kopi tak bernama. Nama kampung ni pun dia tak tau!

Lelaki itu mestilah orang pendalaman kampung, yang tak berhubung dengan dunia luar. Itu syarat pertama Saif untuk ‘cina butanya’. Ok, Tick!Tak ada masalah. Ada ramai orang yang masih tinggal di pendalaman kampung di Malaysia ni.

Kedua, dia letak pula syarat nak lelaki tak handsome. Cis, tau pula takut. Memang ramai lelaki tak handsome kat Malaysia ni, tapi ramai juga yang handsome. Muka Melayu jati woi! Walaupun kulit ala-ala coklat tan tetapi macho! Hmmm tetapi tentu tak ada masalah juga nak cari tak handsome, orang bandar sendiri ramai tak handsome.

Ketiga, mesti miskin. Saif tahu orang pendalaman kampung sekarang ramai yang kaya. Tanah berekar-ekar silap hari bulan lagi kaya pada Saif. Namun semua syarat ini tidak menjadi masalah bagi Helmi untuk mencarinya. Syarat terakhir Saif agak berat.

Dia mahukan lelaki itu mestilah ala-ala lurus bendul dan bodoh alang. Dia tak nak yang gila sebab kalau gila, takkan mengesahkan sesebuah perkahwinan. Bukankah seseorang lelaki harus waras dalam mendirikan rumahtangga?

Kata Saif, kalau yang nampak gagap, juling, bisu atau pekak lagi bagus. Jangan terencat sudah. Itupun sebab akal yang cukup adalah syarat penting rukun nikah. Aduh, mana nak cari bodoh alang atau lurus bendul tapi waras ni?

Ah, esoklah sambung cari! Dia dah ambil cuti tiga hari untuk membantu Saif. Dah penat seharian bertanyakan orang kampung di situ. Esok dia try masuk kampung lain pula. Baik balik homestay, tidur lagi best. Helmi terus bangun dan mencapai kunci kereta.


----------------------------------------


Saif membaca sekali imbas pesanan ringkas Helmi. Katanya, masih tak berjumpa lelaki yang dimaksudkan Saif. Aduh, susah sangat ke?

Dia bangun menghampiri balkoni bilik hotelnya. Osaka sekarang berada dalam musim dingin. Cermin balkoni tersebut berkabus dengan wap air sesekali menitis menghasilkan jaluran panjang ke bawah. Waktu sekarang sudah pukul enam petang waktu Osaka dan waktu itu tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Hanya Malaysia satu jam ke belakang.

Baru pukul lima, takkan si Helmi ni dah give up nak balik homestay?

Kalau gagal bertemu cina buta tu macam mana? Takkan nak sauk aje sesiapa pun? Dia ada terfikir kawan-kawan yang dipercayai tetapi ini soal perempuan. Kalau soal perempuan, sesiapa pun tak boleh dipercayai walaupun darah daging.

Saif beralih pada kerusi kecil tepi katil. Tangannya mencapai punat lampu lalu biliknya menjadi terang-berderang. Entah berapa lama dia bergelap, dia pun tak pasti. Jepun memang awal masuk waktu siangnya, tetapi cepat pula gelap walaupun baru pukul enam petang. Kini dia mencapai telefonnya membelek gambar Rana yang masih disimpan.

Ingatannya menggagau mengenang waktu mula-mula bertemu Rana secara kebetulan apabila mereka bertugas di penerbangan yang sama. Hubungan mereka tiada yang istimewa, namun Saif dapat rasakan Rana adalah pilihannya yang tepat. Tanpa menunggu lama, mereka mengikat tali pertunangan dan seterusnya berkahwin dua bulan kemudian.

Cepatkan? Memang pun.

Pada Saif, dia sudah malas mencari lagi kerana terlalu ramai pilihan dalam hidupnya. Maybe it’s time to settle down dan ternyata dia membuat pilihan tepat. Rumahtangga mereka bahagia dan Rana adalah isteri yang taat dan sangat menjaga kebajikannya. Segalanya sempurna lebih-lebih lagi, Rana mengambil keputusan meninggalkan kerjaya pramugari selepas mengandungkan Aydeen.

Namun semua menjadi hambar setelah dua tahun berkahwin. Dia mula bosan dan rindukan cara hidup lamanya. Tipulah kalau dia tidak merasa bahagia punya isteri sebaik Rana. Mungkin silap dirinya yang bosan tiada cabaran dalam rumahtangga. Rana terlalu baik dan taat tetapi Rana tidak seperti perempuan lain yang suka pergi club dan berjoli.

Rana diva tapi diva dengan cara tersendiri yang penuh kelembutan. Dia suka bergaya, keperempuanan tinggi, shopping, masak. Ah, banyak lagi lah! Cuma dia tak suka berparty. Tak suka asap rokok dan bau arak, katanya. Pembersih yang amat!

Kehadiran Arissa merubah segalanya. Arissa buat dia seronok, sama-sama hisap rokok. Sama-sama parti, sama-sama meneroka thrill dalam hubungan tak halal. Ya! Dia teruja dan seronok apabila tidur dengan perempuan lain selain dari isterinya dalam keadaan sorok-sorok. Huh! Baru dia sedari bodohnya dia dalam menilai kasih sayang seorang isteri.

Perutnya sudah mula berkeroncong, lalu dia bangun menuju ke arah meja. Tadi setelah penat berjalan di bandar Osaka, dia sempat membeli mee soba di kedai dua puluh empat jam. Kotak jernih mee soba itu dibuka lalu kicap soya di tuang. Paket wasabi dikoyakkan lalu dipicit mengeluarkan wasabi kehijauan ke atas mee tersebut. Sambil menggaul-gaulkan mee dengan chopstick, dia membelek kembali gambar Rana di telefonnya.

Tiba-tiba dia tersenyum memikirkan syarat dan kriteria ‘cina buta’nya. Dia memilih orang pendalaman kampung kerana dia mengenali bekas isterinya. Rana adalah seratus peratus buatan KL dan dia takkan betah duduk di kampung. Dia tahu Rana takkan tahan dengan cuaca dan keadaan rumah kayu.

Kerana itu juga dia mahukan lelaki tersebut miskin. Kalau lelaki tersebut tidak mampu menyediakan rumah selesa dan makanan enak-enak lagi bagus. Saif percaya, dia telah beri kehidupan mewah untuk Rana. Mana mungkin Rana terima kehidupan yang jauh lebih susah dari bersamanya? Money is power!

Syarat lain adalah lelaki tersebut mestilah yang tak handsome! Kali ini dia tergelak pendek sambil memandang gambar Rana yang tersenyum lawa padanya. Rana cantik dan dia sendiri pun memang handsome. Sebab itu agaknya Rana terpaut. Rupa paras mampu menakluk atau menjauhkan cinta.

Mana mungkin wanita sesempurna Rana akan bahagia mendapat lelaki buruk? Saif mahu batin Rana menjerit setiap kali melihat wajah suami barunya itu. Saif gelak sendiri lagi membayangkan kalau Helmi dapat jumpa seorang lelaki yang rongak, berjerawat hitam, dan muka bersopak. Rana tentu takkan tunggu lama dan terus minta cerai.

Ya, biar Rana geli. Lagi bagus!

Minta cerai? Hmmm masalah baru! Kerana itu juga dia mahukan syarat terakhir ini dipatuhi Helmi. Lurus bendul dan bodoh alang. Dia mahukan lelaki tersebut dengan mudahnya melepaskan Rana untuk kembali padanya bila diminta nanti. Dengan alasan Rana tidak bahagia dan tidak betah hidup susah tentu mudah bagi Rana untuk melepaskan diri.

Lelaki yang bodoh sahaja akan lepaskan Rana. Cop! Bukankah dia yang mula lepaskan Rana? Jadi, dia bodohlah kan? Saif menggaru kepala sendiri sambil meletakkan kembali telefon.

Tangannya menari-narikan chopstick lantas mengepit mee soba. Dia menarik tinggi-tinggi sebelum menyuap ke mulutnya. Kuah soya yang bercampur mee memberikan rasa yang cukup pada selera Saif.

Selepas kekenyangan, dia bersandar sebentar pada kerusi. Matanya melilau pada ruang biliknya yang terhad. Di Jepun, semua rumah kecil-kecil termasuk bilik hotel. Semua ruang terhad cukup-cukup menempatkan katil dan perabut yang asas sahaja.

Jujurnya dia sukakan penerbangan ke Jepun lebih-lebih lagi pada musim dingin begini. Namun dia harus pulang cepat ke Malaysia untuk menemui Rana. Dia mahu memujuk Rana kembali padanya dan bersetuju untuk berkahwin dengan cina buta.

Terlintas juga dirinya, bagaimana dia boleh menerima Rana berkahwin lain dan meniduri lelaki tersebut? Namun membayangkan pakej miskin, buruk dan bendul lelaki cina buta tersebut, Saif terpaksa relakan. Sekurang-kurangnya dia tahu kalau mereka bersama atas katil pun, Rana takkan rela.

Ala, dia pun dah lama curang bersama perempuan lain. Setakat Rana bersama dengan lelaki lain tanpa relanya takkan jadi kudis. Asalkan Rana menjadi miliknya kembali! Saif senyum sendiri dalam kegusaran yang sukar ditafsir.


-----------------------------------


Rana duduk bersandar di kepala katil. Rambutnya masih basah dibiarkan terurai. Sesekali titisan airnya menitik membasahi baju putih yang dipakainya. Seorang pembantu rumah masuk ke biliknya membawakan sedulang makanan.

Rana masih membatukan diri. Tanpa berlengah, pembantu rumah tersebut mencapai tuala dan terus mengelap lembut rambut Rana yang basah itu. Rana terus tidak bergerak. Keras macam patung hanya sekali-sekala kepalanya mengikut arah rambutnya yang ditarik lembut ketika dikeringkan oleh pembantu tersebut.

“Dia dah mandi ke, Mak Yam?”

Entah bila Datik Azian muncul berdiri dimuka pintu membuatkan pembantu rumah itu menoleh sebelum menganggukkan kepala laju.

“Ya, saya sudah mandikan dia, Datin. Sekarang saya nak suap dia makan pula. Minta-minta dia makan banyak sikit hari ni.”

Datin Azian melarikan anak mata ke arah Rana. Dia menarik nafas dengan berat. Sudah tiga bulan lebih Rana tinggal bersamanya tetapi Rana tetap begitu malahan lebih teruk dia langsung tak bercakap. Dia risau keadaan Rana akan berterusan tidak mempedulikan sekeliling.

Biarlah Rana terus tinggal di sini sehingga dia benar-benar pulih semangatnya. Lagipun, lebih mudah untuk doktor peribadi mereka datang ke sini memantau keadaan Rana mengikut jadual.

Menurut pakar, Rana mengalami kesan selepas trauma. Dalam bahasa Inggerisnya, dia mengalami elective mutism. Selalunya, orang dewasa yang mengalami kesan ini akan mendiamkan diri. Suruh mandi, dia mandi. Suruh makan, dia makan walau sedikit tetapi dia tidak bersuara. Diam membisu.

Entah bila Rana akan bercakap kembali, dia pun tak tahu. Nasihat pakar, ahli keluarga terdekat dan kawan-kawan perlu berusaha mengembalikan keyakinannya. Itu sahaja. Siapa yang sanggup mengembalikan keyakinan Rana kalau bukan dirinya? Rana tak ada sesiapa. Sanak saudara Rana semua mempunyai tanggungjawab sendiri.

Ya, dia sudah menjaga Rana dengan baik. Makan, minum dan kebersihan semua dipastikan mengikut jadual. Semuanya konsisten selama tiga bulan ni. Dia mahu menebus semuanya. Menebus semua kesalahan yang dilakukan Saif. Mengingatkan Saif menambahkan rasa terkilan dalam dirinya.

Kali terakhir dia berjumpa Saif hanya ketika anaknya itu menjemput Rana untuk mendaftarkan perceraian mereka di mahkamah. Lihatlah? Sampai macam tu sekali tegar Saif membuang Rana dalam hidupnya. Tanpa maaf dan tanpa pamer riak wajah bersalah. Rana pula hanya mampu menurut dan mengangguk bila di soal balas hakim mahkamah. Semuanya Rana telan.

Datin Azian perlu ada untuk Rana. Kerana kesilapannya tidak menegur Saif dan gagal mendidik Saif, dia sanggup memikul tanggungjawab menjaga bekas menantunya itu. Dia seorang perempuan, dan yang penting dia juga manusia biasa. Siapakah yang sanggup membiarkan wanita seperti Rana menanggung semuanya seorang diri?

“Datin, dia cuma makan dua suap aje. Macam mana ni, Datin?”

Soalan Mak Yam mematikan lamunannya. Perlahan-lahan, dia melangkah ke arah mereka. Wajah bekas menantunya dipandang sekilas. Memang sukar nak suruh Rana makan.

“Tak apa, Mak Yam. Mak Yam pergilah buat kerja lain dulu. Biar saya jaga Rana.”

Pembantu rumah itu mengangguk kepala patuh sebelum keluar dari bilik. Datin Azian mencapai mangkuk berisi bubur dari meja kecil tepi katil. Dia lantas mencedok sesudu lantas diangkat untuk disua pada Rana. Wajahnya dimaniskan.

“Makan sikit lagi ya, Rana?”

Rana geleng. Rana bukan tak tahu makan sendiri sehingga bersuap begini. Sungguh! Rana tak ada selera.

“Sikit aje lagi. Nanti Rana sakit, mama susah hati.”

Rana memandang sekilas Datin Azian. Tanpa memberi jawapan, dia menarik selimut lalu membetulkan tubuhnya untuk berbaring. Rana terus mengiring membelakangkan Datin Azian.

Datin Azian menarik nafas lantas melepaskannya perlahan-lahan. Begitulah keadaan Rana setiap hari. Membisu mengasingkan diri. Semua kena bersuruh dan Rana tidak membantah. Cuma tak ada reaksi.

“Tak apalah Rana. Rana rehat dahulu. Nanti minggu depan, mama nak bawa Rana bercuti Pulau Tioman. Kita tenangkan fikiran di sana, ya?”

Masih tiada jawapan. Dia tahu Rana akan patuh aje untuk mereka bawa bercuti. Datin Azian lantas meletakkan kembali mangkuk ke atas dulang. Selepas itu tangannya mencapai sikat di dalam laci meja tepi katil tadi. Dia menyikat lembut rambut Rana yang masih lembab. Ketika ini segala simpati dan sayang pada wanita itu menyentuh naluri keibuannya.

Tubuh Rana kering melidi ditatap lembut. Hanya nafasnya sesekali turun naik. Datin Azian percaya, sedikit masa lagi Rana akan pulih. Ya, masa yang Allah berikan dan dengan usaha, dia percaya Rana akan kembali seperti dahulu.


--------------------------------


Rana membuka matanya perlahan-lahan. Telefon bimbitnya yang nyaring berbunyi mengganggu tidurnya. Bukan, bukan tidur! Dia hanya memejamkan mata sentiasa seolah-olah tidak mahu berdepan dengan masa yang berlalu di depannya.

Telefon bimbitnya itu berhenti berdering. Sudah lama dia tidak membelek telefon itu. Yang dia tahu, telefon itu sentiasa dicas setiap kali kehabisan bateri oleh pembantu rumah atau bekas mertuanya. Untuk apa? Dia pun tak tahu sedangkan dia sendiri tidak mahu berhubung dengan dunia luar atau sesiapa pun.

Matanya kembali dipejamkan. Itulah rutin hariannya. Hampir sepanjang hari menutup mata tidak mahu memandang sesiapa. Biarkan dia terperap di sini menumpang rumah bekas mertua menanti Allah menjemputnya. Jangan salah faham. Dia tidak mahu membunuh diri. Dia masih punya kewarasan tetapi satu sahaja dia tidak punya.

Dia tidak punya semangat hidup.

Dia dengar mertuanya bercakap dengannya tadi. Dia dengar pembantu rumah memujuknya makan. Dia tidak melawan. Bila disuruh mandi, dia mandi sama ada dibantu atau mandi sendirian. Bila suruh makan, dia makan walau sedikit.

Kalau bawa dia bersiar-siar, dia ikut tetapi pandangannya tetap kosong. Mereka akan cuba berbual dengan dia tetapi tak ubah seperti bercakap dengan patung. Dia benar-benar tiada kudrat suara untuk membalas. Suaranya seolah-olah ditahan dari berkata-kata.

Ya, suaranya hilang dan hanya tersimpan dalam dirinya. Biarlah begitu. Dia tidak mahu mencuba bersuara lagi. Untuk apa? Ianya tidak akan merubah apa-apa. Biar tiada orang tahu apa kehendak dan rasa dalam dirinya. Dia akan terus pendam dan pendam.

Telefonnya berbunyi lagi. Kali ini hanya bunyi pesanan masuk. Rana terkebil-kebil sendiri dalam gelap. Perlahan-lahan dia bangun dan mencapai lampu tidur. Punat lampu ditekan lalu cahaya kekuningan terus membiaskan cahaya menerangi bilik tersebut. Rana mengecilkan anak mata yang pedih melawan cahaya.

Sekilas dia memandang jam di dinding. Pukul sepuluh malam. Ah, dia tidak peduli masa yang beranjak! Malam atau siang adalah sama. Sekarang, hari pun dia tidak tahu inikan pula ingin mengetahui tarikh atau bulan?

Telefonnya berbunyi lagi dan entah kenapa tangannya cepat mencapai telefon tersebut. Niatnya untuk mematikan sahaja telefon itu. Rimas, dia benci dunia luar! Namun matanya terhenti pada skrin telefon yang memaparkan nama pemanggil dan penulis pesanan ringkas Whatsapp.

Saif?

Lama dia merenung telefon tersebut. Perlahan-lahan dia membuka pesanan tersebut.

Rana, please! I makes mistake. I cannot live without you. Please answer me. I miss you soo much – Saif Irfan

Demi terbaca pesanan tersebut, Rana dapat rasakan dadanya berombak dan pandangannya kian kabur. Dirinya tidak bersedia lagi menerima kejutan demi kejutan lantas dia memejamkan mata. Setitik air matanya jatuh meluncur menuruni pipi.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku