Kaulah Permaisuri
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
502

Bacaan






Helmi sudah mula lelah dan ingin mengalah ketika masuk hari ketiga mencari calon yang ditetapkan Saif. Ada yang miskin tetapi elok rupa paras. Ada yang tak elok rupa paras tetapi sebenarnya berharta. Ada yang cukup semua syarat tetapi sebenarnya benar-benar gila dan ada pula yang nampak gila tetapi bila ditanya tentang perempuan terus dia kelihatan normal.

Manusia, ada kekurangan dan kelebihan.

Sudahnya, dia sendiri rasa nak gila mencari calon tersebut. Kalau susah sangat, baik dia sajalah jadi calon. Helmi telan air liur membayangkan kalau dapat isteri secantik Rana. Muka gred A, iras Fazura campur Datuk Siti Nurhaliza.

Pergh, jangan mimpi dia nak ceraikan untuk Rana balik dengan Saif semula!

Ini adalah kampung terakhir yang dituju. Seperti biasa, dia akan menghabiskan masa petang itu dengan lepak di kedai kopi. Tiada minuman dan makanan special seperti di KL untuk dia order. Terhad pada kopi, teh dan Milo. Nak makan? Standard sajalah. Goreng pisang dengan cekodok sahaja yang ada. Nasi lemak semua hanya menu pagi.

Sambil menghirup kopi hitam pekat yang masih panas, dia memandang pada sekumpulan lelaki dari kampung tersebut yang asyik bermain dam papan. Sesekali mereka bergelak sakan apabila ada yang kalah atau menang. Huh, klasik betul mereka ni. Bagus juga hidup cara kampung ni. Taklah bergantung dengan smartphone dan bermain Pokemon And Go.

“Pak Jusoh! Pak Jusoh!”

Pandangan Helmi terganggu dengan jeritan seorang lelaki lewat dua puluhan yang berlari termengah-mengah. Lelaki itu menuju kumpulan yang bermain dam tadi. Mereka semua berhenti bermain dam lantas memandang lelaki tersebut yang baru tiba. Lelaki itu berpaut di meja sambil mencari nafas yang agak semput.

“Apa kena kau ni, Badri?” Seorang dari ahli pemain dam amatur itu berdiri. Agaknya, itulah Pak Jusoh. Usianya pun kelihatan agak lewat.

“Saya… saya.. dah tau siapa curi duit.. duit..tabung mas.. masjid!” Ujar Badri tercungap-cungap sambil memegang pinggangnya. Badannya membongkok masih kepenatan.

“Ish kamu ni! Kamu jangan main-main. Dah lama kita cari siapa tapi tak pernah dapat tangkap.” Giliran lelaki lain pula bersuara namun wajahnya kelihatan ingin tahu.

“Ingat tak budak lelaki nama Uwais yang duduk tepi sungai tu?”

Semua angguk kepala serentak.

“Ha, dialah! Tak padan dengan sombong tak campur orang. Dalam diam dia buat kerja jahat!”

“Kamu jangan tuduh aje Badri. Kamu ada bukti? Budak Uwais tu selalu datang masjid berjemaah. Takkan dia buat kerja jahat!” Pak Jusoh masih ragu.

“Argh! Tu semua wayang aje Pak Jusoh. Dia pergi masjid untuk mencuri. Tengok penampilan dia yang tak semenggah tu pun dah macam orang gila! Muka penyangak!”

Yang lain mula beristighfar.

“Kamu ada bukti?”

Badri mengangguk laju menjawab soalan tersebut.

“Tadi saya kejar ayam saya yang masuk kawasan rumah dia. Nak jadi cerita, saya ternampak tabung masjid ada dua dia sorok bawah rumah. Takkan dia saja sorok tabung tu kat situ? Dah pecah habis kena kopak pulak tu!”

Seketika semua terdiam menanti reaksi Pak Jusoh.

“Kalau macam tu, moh kita semua pergi rumah dia. Kita soal siasat dulu.”

Anggukkan laju lagi sekali diberikan lantas mereka semua bergegas meninggalkan meja. Helmi yang melihat aksi tadi juga turut bangun. Entah kenapa dia terpanggil untuk turut serta dan melihat sendiri lelaki yang bernama Uwais ini.

“Pak cik, boleh saya ikut?”

Helmi buat muka tak malu. Mungkin kerana ingin bergegas, Pak Jusoh hanya mengiakan bersetuju dan terus pergi. Helmi tersengih-sengih sambil menuju ke arah keretanya.


------------------------------


Rumah kayu itu kelihatan usang dari luar. Kayu-kayu yang mengikat rumah tersebut hampir kesemuanya berlubang dimakan anai-anai. Daun tingkapnya pula seolah-olah hampir tercabut menanti masa rebah ke tanah. Jika dilihat sekali imbas, ia kelihatan seperti rumah terbiar dan menyeramkan.

Tanpa menunggu lama, mereka menghampiri rumah usang tersebut. Helmi yang berdiri di tengah-tengah turut sama meninjaukan kepala. Matanya lantas terhenti pada seorang lelaki yang duduk di beranda rumah.

“Assalamualaikum, Uwais!”

Pak Jusoh memulakan salam. Lelaki yang bernama Uwais itu hanya memandang mereka sekilas sambil menjawab salam antara dengar atau tidak. Matanya beku lantas dia menyambung kerjanya meraup buluh menggunakan hulu parang. Mereka yang ada menelan air liur.

“Uwais, pak cik nak tanya ni. Kamu ke yang mencuri tabung masjid?”

Soalan itu tidak disambut sebaliknya hanya gerakan tangannya yang terhenti sebentar. Seketika dia terbatuk perlahan membiarkan mereka terus menanti.

“Kami tidak mahu menuduh kamu. Kalau ada, kami mohon Uwais mengaku sahaja.”

“Ah, tak payah tanya la Pak Jusoh! Tu, ada bukti di bawah rumah dia!” Sampuk Badri menyebabkan mereka meninjau pula di bawah rumah. Kelihatan dua bekas tabung sebesar pemeluk terlangkup di situ. Semua sudah kosong dan dikopakkan.

“Uwais, apa kamu buat ni salah. Kalau kamu mengaku, senang kita selesaikan di sini. Pakcik tak mahu bawa kamu ke balai. Biarlah kita selesaikan antara kita dulu.”

Uwais masih membisukan diri.

Helmi memandang segenap inci lelaki tersebut. Jambangnya sahaja menutup hampir seluruh wajahnya. Rambutnya kusut masai dibiarkan berserabai membuatkan dia kelihatan menakutkan dan bengis. Kuku-kukunya dikotori tanah dan wajahnya berminyak. Baju t-shirt putih yang dipakainya kekuning-kuningan dan berlubang. Entah kenapa Helmi dapat rasakan dia telah ketemu seseorang yang dia cari selama ini.

“Astaughfirullahal’azim. Apa yang kamu semua kecoh-kecohkan ni? Tak cukup lagi kamu ganggu hidup kami?”

Seorang wanita tua menerpa dengan wajah cemas. Hmm, ini tentu ibunya!

“Anak kamu ni Khatijah, dah mencuri tabung masjid. Cuba la kamu tanyakan dia kenapa dia buat macam tu!”

“Mana boleh! Kita tahu anak kita macam mana! Dia mungkin nampak bodoh pada mata kamu tetapi dia tak buat benda jahat!” Ujar Mak Jah dalam suara bergetar.

Helmi mengangkat kening. Nampak bodoh? Binggo! Helmi tersengih sendiri.

“Sudahlah, Mak Jah! Uwais tak nak mengaku kan? Maknanya, betullah tu! Senang cerita kita bawa sahaja ke balai polis.” Badri berteriak.

“Ya Allah, jangan! Kita siasat dulu di sini. Kalau kamu semua masih tak puas hati, nanti Mak Jah usahakan bayar!”

Suara ibunya yang terketar-ketar langsung tidak dipedulikan Uwais. Dia seolah-olah asyik dengan dunianya tanpa mempedulikan kekecohan itu. Sesekali dia menepuk nyamuk yang menghinggap lengannya

“Mak Jah jangan campur boleh tak? Ini antara kami dengan dia!”

Badri melangkah menghampiri Uwais namun ditahan oleh Mak Jah. Tanpa simpati, Badri menolak wanita tua tersebut. Walaupun tolakkan itu bukan berniat mencederakan namun kudrat tuanya tidak mampu menahan badan lalu dia hampir terjatuh.

“Kurang ajar!”

Uwais bertempik lalu dia melompat turun dari beranda rumahnya. Leher baju Badri dicengkam erat dan parang ditangannya kini berada di leher Badri menyebabkan lelaki tersebut membeliakkan mata terkejut. Marah benar Uwais apabila orang lain menyentuh ibunya.

“Sudah! Sudah! Sabar Uwais!”

Pak Jusoh dan lelaki lain cuba meleraikan cengkaman Uwais. Nafas Uwais turun naik dan matanya merah menahan rasa menyebabkan sesiapa sahaja gerun melihatnya.

“Maafkan kami, Uwais. Kami tak minta apa-apa! Cuma kerjasama kamu sahaja. Bukti dah ada tapi kamu berdiam diri. Kami terpaksa bawa kamu ke balai.”

Pak Jusoh melembutkan suara. Dalam keadaan Uwais yang memegang senjata, dia bimbang kalau ada pembunuhan pula nanti. Matanya tetap mengisyaratkan yang lain supaya berjaga-jaga untuk memegang Uwais jika suasana tidak terkawal nanti.

Uwais melepaskan cengkamannya lalu menolak Badri ke belakang. Pelik! Dia langsung tidak membantah bila orang menuduhnya malah ingin menangkapnya. Cuma dia marah bila orang menyentuh orang tuanya. Pak Jusoh menarik nafas lega. Dia tahu, Uwais memang tidak pernah bersikap kurang ajar dan melawan cakapnya.

Selama dia mengenali Uwais, lelaki ini pernah ke masjid berjemaah. Walaupun tidak berbual malah suka menyendiri di masjid namun Uwais tidak pula membantah kalau diminta tolong. Arahkan sahaja, sapu masjid, alih rak Quran, bantu jika ada makan-makan di masjid, semua Uwais tolong tanpa membantah. Dia akan melakukan semua kerja walaupun langsung tidak bertegur-sapa dengan jemaah.

“Ha, Zul! Ambil tabung tu ke balai buat bahan bukti!” Arah Pak Jusoh lagi pada seorang lelaki yang agak muda usianya. Lelaki tersebut patuh lantas terus bergegas menuju ke arah bawah rumah.

“Nanti dulu!”

Helmi bersuara menyebabkan semua mata memandang ke arahnya.


-------------------------------


Semua mata-mata yang ada di situ masih berpusat kepada Helmi. Helmi melangkah berjalan ke hadapan sambil memegang dagunya. Dia sedang mengatur bait perkataan untuk dilontarkan. Ini bukan pekara mudah, namun dia tahu dia perlu menyelamatkan keadaan. Saat ini dia rasa seperti diresapi semangat perisik ala CIA.

Bukan apa, dia tahu ada sesuatu yang tak betul terjadi di sini. Alahai, Melayu! Macam itulah. Seimbas dia melihat Badri, dia tahu sebenarnya lelaki itu memang busuk hati. Keresahan yang Badri tunjukkan dah nampak seperti dia tergesa-gesa menutup kesalahan dengan menyalahkan orang lain. Kadang-kadang, ada betulnya drama Melayu. Dalam sesebuah kampung, mesti ada kaki report dan tabur fitnah.

“Hmm, sejak bila tabung masjid ni hilang?” Soal Helmi.

Pak Jusoh berpandangan sesama lelaki lain.

“Pertama kali hilang sejak enam bulan lepas. Kali kedua hilang sejak dua bulan ni,” jawab seorang lelaki yang berdiri di belakang Pak Jusoh.

“Pelik! Orang yang mencuri, dia takkan letakkan bukti macam tu sahaja di bawah rumah. Lebih baik letak dalam rumah, biar tersorok.”

Kata-kata Helmi menyebabkan mereka berbisik sesama sendiri.

“Lagipun kalau dah lama tabung ini bawah rumah, sepatutnya dah berhabuk. Saya tak nampak tabung ni berhabuk. Bersih, macam baru letak aje!”

“Awak siapa nak masuk campur hal kami?”

Badri mula resah. Peluh jantan menjalar turun dari dahinya.

“Baik, saya tak masuk campur. Kita sama-sama bawa tabung ni ke balai dengan syarat! Jangan sesiapa pegang terus dengan tangan. Mak Jah, ambilkan kain! Kita pegang beralas kain supaya kesan cap jari orang terakhir pegang tabung ni takkan tercemar. Senang sikit kerja polis.”

Helmi berlagak tegas menyebabkan Badri semakin hilang arah.

“Betul juga cakap kamu. Cap jari takkan menipu. Hmm, kamu ni polis ke?” Soalan Pak Jusoh dibalas dengan senyuman sinis dari Helmi. Bagus juga kalau cakap dia polis! Mahu terkencing si Badri ni.

“Pak cik, saya polis cawangan khas Bukit Aman. Kawan si Uwais.”

Sedap aje Helmi menyamar siap guna nama Uwais. Nasib baik Uwais buat tak tahu.

“Baiklah, tabung ini biar saya bawa ke balai. Dalam seminggu dua ni tahulah siapa punya kerja.”

“Bukan saya Pak Jusoh! Badri yang suruh saya letak bawah rumah tu.”

Tiba-tiba Zul bersuara panik. Wajahnya mula pucat dan kelihatan gugup. Helmi tersenyum sendiri. Tahu kau takut!

“Badri? Melampau kamu! Kerja kamu sebenarnya, ya!”

Hampir terkencing Badri melihat muka Pak Jusoh merah padam memandangnya. Dia tahu dia tak akan sempat lari dengan kelibat ramai lelaki yang ada di sini. Lagipun, dengan kehadiran polis Bukit Aman bernama Helmi ini, dia tahu dia dah tak ada ruang untuk bersembunyi.

“Saya.. saya…”

“Sudah! Kamu buat malu aku aje datang sini tuduh si Uwais ni!”

Tangan Pak Jusoh diangkat tinggi ingin menampar Badri namun di halang lelaki lain. Badri menikus tunduk hilang sikap samsengnya yang gah ditunjukkan tadi.

“Macam mana, pak cik? Nak buat report ke? Bawa balai aje.” Helmi makin seronok menjadi garam dan gula penyedap rasa. Best pula jadi polis ni. Pak Jusoh terdiam memandang Badri yang ketakutan.

“Tak payah la. Ini masalah dalam kampung saja. Kami tak nak ada anak muda dalam kampung ni masuk penjara pula. Biar kami selesaikan sesama sendiri. Sekurang-kurangnya, kami dah tahu siapa dalangnya.” Usul seorang lelaki sebaya Pak Jusoh. Yang lain hanya mengangguk.

“Baik, kalau kamu ubah fikiran, kita tutup dahulu kes! Tapi ingat, saya tak kisah untuk buka kes. Mana tau kalau dia buat lagi.”

Helmi menghabiskan kata-kata dengan mencerlunkan mata ke arah Badri menyebabkan Badri menundukkan wajah. Sekadar nak bagi warning, apa salahnya. Terdetik juga dia kalau betul-betul mereka nak buka kes balik, tentu dia pula kantoi menyamar polis.

“Maaflah kalau kami semua dah susahkan encik….”

“Helmi”

“Ya, Encik Helmi. Nasib baik Encik Helmi ada.”

“Jangan cakap macam tu. Saya cuma menjalankan tanggungjawab sebagai anggota polis kepada masyarakat,” Helmi dah feeling sendiri jadi polis. Inilah agaknya pengaruh filem Polis Evo yang dia tonton bulan sudah! Helmi senyum sendiri.

“Lagipun, saya rasa yang patut kita minta maaf ialah pada Mak Jah dan Uwais.”

Helmi memasuk jarum lagi ingin mengambil hati Uwais namun dia sedikit kecewa melihat Uwais langsung tidak memberi reaksi. Hanya Mak Jah saja yang mengangguk terharu. Huh! Hati kering betul mamat tu. Macam tak ada perasaan.

“Ya, betul. Kami minta maaf, Uwais. Khatijah.”

Mak Jah hanya senyum kelat dan Uwais pula hanya melangkah pergi memanjat beranda seterusnya menyambung kerjanya meraup buluh. Wajahnya kembali beku seolah tiada apa berlaku dan dia kelihatan kembali asyik dalam dunianya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku