Kaulah Permaisuri
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
380

Bacaan






Mak Jah menghidangkan teh panas pada Helmi, tetamu yang menyelamatkan situasi getir sebentar tadi. Dia benar-benar rasa terhutang budi menyebabkan dia menjemput Helmi naik ke rumah untuk minum dan berkenalan. Orang kampung tadi sudah pun pulang membawa pesalah yang sebenar, Badri.

Helmi menghirup minuman yang masih panas tersebut. Matanya melilau mencari si Uwais. Tadi ada masih duduk di beranda. Tiba-tiba dia hilang entah ke mana seolah tidak suka dengan kehadiran Helmi.

“Terima kasihlah sekali lagi tolong kami tadi. Kalau tak ada Encik Helmi, tak tahulah macam mana nasib si Uwais tu.”

Suara Mak Jah sebak membayangkan kalau Uwais dipenjarakan. Uwais tentu sahaja tidak melawan walau dipenjarakan. Dia pula sudah tua untuk berdepan hidup ini sendiri. Makan minum tentu jadi tak menentu. Sudahnya, dia hanya akan duduk seorang diri menunggu mati.

Helmi memandang wajah tua itu sambil mengangguk perlahan.

“Tak perlu la berencik, Mak Jah. Panggil Helmi sahaja.”

Helmi bersuara sopan sambil membetulkan duduk. Dia tidak selesa duduk lama-lama atas kerusi rotan buruk ini. Rumah ini tidak banyak perabut. Selain kerusi ini, yang ada hanya gobok lama dan rak buku menempatkan Al-Quran. Kelihatan di depannya hanya ada dua buah bilik. Hmmm, bayangkanlah kalau Rana terpaksa tinggal di sini?

“Uwais mana Mak Jah?”

“Oh, dia keluar la tu. Waktu macam ni, dia turun sungai tengokkan kalau ada ikan terlekat kat bubu,”

Helmi terdiam. Pergh! Betul-betul kampung ni, ikan pun tangkap dengan bubu dari sungai. Mana nak dapat suasana macam ni di bandar?

“Kamu dah lama kenal Uwais?”

“Huh?”

Helmi mengerutkan dahi.

“Tadi kamu cakap, kamu kawan dia.”

“Oh, tak! Itu sahaja nak takutkan orang yang menuduh Uwais tadi.”

Mak Jah mengangguk puas hati. Dia dah mengagak pekara tu. Uwais mana ada kawan! Tak bercampur orang.

“Uwais tu pendiam. Dia sibuk dengan dunia dia tapi dia tak pernah kacau orang. Si Badri tu sahaja yang suka mengacau dia menuduh dia gila kerana amal ajaran sesat. Sampai satu hari, agaknya marah sangat dengan Badri, si Uwais pergi tumbuknya muka Badri sampai patah hidung.”

Helmi mengangkat kening mendengar cerita Mak Jah. Patutlah si Badri tu dendam. Boleh tahan juga bengis si Uwais ni, ya?

“Eh, tapi kamu jangan salah faham. Orang kampung anggap dia gila sehingga ada yang takut pada dia. Semua sebab mulut si Badri tu lah. Sebenarnya tidak! Dia dengan Mak Jah, dia boleh berbual macam biasa. Dia lurus bendul sebenarnya, cuma dia berbeza dengan kita. Apa dalam fikiran dia, tak siapa yang tahu.”

“Dia pernah ambil dadah ke Mak Jah?”

Sengaja Helmi mengutarakan soalan itu. Bunyi agak keterlaluan, tetapi penting untuk dia mengenali latar belakang Uwais sebelum diusulkan pada Saif.

“Eh! Tak pernah! Dari kecil sampai besar, merokok pun tak pernah. Dunia dia Mak Jah saja tau. Tak pernah dia buat benda jahat, solat pun Alhamdulillah tak pernah tinggal. Cuma manusia sahaja suka menilai seseorang melalui penampilannya. Mereka takut yang bukan-bukan dengan Uwais kerana fitnah.”

Wajah Mak Jah kini terlukis sedikit sesal.

Soalan itu seolah menilai Uwais. Dia tahu penampilan Uwais yang tak terurus menyebabkan orang bersangka begitu. Helmi menyedari perubahan wajah Mak Jah menyebabkan dia dihimpit rasa bersalah namun tugasnya ke kampung ini perlu dibereskan.

“Dia pernah berkahwin?”

Kali ini Mak Jah mengerutkan dahi mendengar soalan Helmi.

“Tak, tak pernah.”

“Kalau tadi saya dah menolong Mak Jah dan Uwais, boleh tak Mak Jah tolong saya pula?”

Terkulat-kulat Mak Jah mendengar permintaan Helmi. Dia tahu dia memang terhutang budi dengan Helmi. Kalau tadi, lelaki ini tidak membantunya, tentu Uwais sedang berada di balai polis. Walaupun tuduhan itu tidak berasas, tetapi bukti dan kenyataan orang kampung yang gerun dengan Uwais tentu sahaja membuatkan Uwais merengkok dalam penjara sebelum jatuh bicara.

Mak Jah mengeluh berat.

“Apa.. apa yang boleh kami bantu kamu?” Soal Mak Jah tergagap-gagap.

Kalau dari segi wang dia takkan mampu buat masa sekarang. Dia runsing menanti jawapan Helmi. Bimbang kalau dia tidak dapat membantu, adakah Helmi akan kecil hati?

“Kahwinkan Uwais dengan seorang kenalan saya dari KL.”

Pendek jawapan Helmi menyebabkan Mak Jah terlopong. Hilang akalkah lelaki ini? Tadi dia dah bantu mereka, sekarang nak dikahwinkannya Uwais?

“Tapi kami anak beranak makan minum ala kadar sahaja. Macam mana nak menanggung anak dara orang lain? Keadaan Uwais yang macam tu, macam mana nak bahagiakan seorang isteri? Takkan tahannya orang lain duduk dengan kami, nanti jadi macam menganiaya orang pula! Lebih-lebih lagi, perempuan bandar.”

“Hish, Mak Jah ni. Tu semua tak penting. Kahwinkan sahaja. Kalau tak sesuai, anggap sahaja tak ada jodoh. Yang penting, kahwin dulu!”

Helmi tersengih sendiri. Memang tak akan sesuai, dan memang takkan panjang jodoh mereka. Itulah yang dia dan Saif mahukan.

“Mak Jah, saya minta tolong ni.”

Helmi menambah rasa serba salah di hati orang tua tersebut.

“Baiklah. Tapi kalau perempuan itu tak bahagia, kamu jangan salahkan Uwais pula. Iya lah, walaupun semua tu kuasa Allah, tapi Mak Jah risau kalau jodoh mereka tak panjang dan perempuan tu tak tahan.”

“Tak apa! Yang penting kahwin dan sanggup lepaskan kalau dah tak bahagia. Kalau betullah dah jodoh mereka tak panjang, saya sendiri akan menjemput dia semula.”

Helmi menahan ketawa. Senang betul pujuk anak-beranak ni. Bukan anaknya sahaja bodoh alang, maknya pun sekali. Fikir Helmi tanpa rasa bersalah.

Mak Jah mengangguk lagi. Ya Allah, adakah ini dugaan atau anugerah dari Mu? Baru sekejap tadi dia hampir kehilangan Uwais, sekarang Uwais bakal dapat isteri pula? Kalau isteri yang memang dia kenal, tak apa juga. Ini entah mana perempuan bandar bakal datang bergolek serah diri untuk hidup dengan Uwais. 

Bertuah hidup kau, Uwais!


---------------------------


“Mama tak setuju. Apa kau dah gila ke Saif?” Suara Datin Azian bergema di ruang tamunya yang luas. Dia mengetap bibirnya. Matanya tajam mencerlun ke arah Saif. Bukan dia tidak suka Saif datang menjenguk mereka tetapi kedatangan Saif petang ini membawa niat. Niat yang dia tidak akan bersetuju walau apa pun.

Datuk Idris yang duduk di sofa berdepan dengan Saif hanya membatukan diri. Saif pula menundukkan wajahnya. Wajah yang sudah mula ditumbuhi jambang halus. Rambut juga kusut-masai. Cukup sudah satu tanda dia gila talak!

“Jangan buat main-main dengan akad macam ni, Saif. Cukuplah Rana tu menanggung semua. Kita sekeluarga dah cukup berdosa, tau tak?” Sambungnya lagi.

“Abang! Cakaplah sesuatu. Takkan nak biar aje anak kita buat macam ni? Si Rana tu baru nak pulih semangat dia.”

Pandangan Datin Azian bertaut dengan suaminya. Melihat suaminya itu diam seribu bahasa menambahkan rasa terkilannya. Sebagai bapa, Datuk Idris tidak pernah menegur Saif. Semua Saif buat adalah betul. Dia akui, dulu dia juga terikut dengan sikap suaminya yang terlalu manjakan anak. Kali ini tidak lagi.

Kemanjaan dan kepercayaan yang diberikan membuatkan Saif naik lemak. Dia tidak pernah mengaku salah. Semua betul seperti mana mereka sentiasa menganggap anaknya itu betul. Sekarang inilah akibatnya.

“Saif cuma minta peluang ke dua aje, mama. Kali ini aje.”

“Peluang ke dua? Peluang ke dua tu wujud kalau kamu lafaz talak satu atau dua. Ini kamu dah lafaz talak tiga!”

“Sebab itu Saif dah fikir masak-masak. Saif rela Rana kahwin dengan cina buta.”

“Kamu rela, Rana tu relakah? Kamu fikir tak perasaan Rana kalau kamu kahwinkan dia macam tu? Boleh tak kamu beri sedikit rasa kasihan pada Rana?”

Datin Azian menjeling tajam usai menghabiskan kata-kata. Geram dia dengan Saif. Sayang tu sayang juga. Tetapi Saif buat tindakan pentingkan diri. Dulu bukan main sombong buang Rana. Sampai tak sekalipun dia jenguk Rana walaupun Rana ada dengan mereka, ibu bapanya sendiri.

“Mak Yam, bawa Rana ke sini,”

Pinta Datuk Idris tiba-tiba.

“Abang!”

Datin Azian separuh menjerit memanggil suaminya.

“Rana tak boleh berdepan dengan Saif. Dia tak kuat lagi. Semasa mereka berjumpa selepas urusan mahkamah pun, Rana nak melangkah pun tak kuat. Abang lupa?” Sambungnya lagi. Terbayang-bayang di matanya bagaimana Rana harus dipapah selepas pulang dari mahkamah.

“Sabar, bawa bertenang. Kita tengok dulu macam mana penerimaan Rana.”

“Nak tengok apa? Tak cukup apa kita tengok selama ini?”

Datuk Idris buat tidak peduli dengan kata-kata isterinya. Dia terus mengisyaratkan sesuatu meminta Mak Yam memanggil Rana. Datin Azian mendengus sambil dia memeluk tubuhnya. Kesal benar dengan sikap memenangkan anak oleh suaminya.

Mampukah Rana berdepan dengan Saif lagi? Rana masih trauma, dia tidak mahu cadangan Saif ini akan membuatkan Rana hilang pertimbangan waras. Datin Azian resah sendiri menanti bekas menantunya keluar dari bilik untuk menyertai mereka.


-------------------------------


“Duduk, Rana.”

Tegas aje suara Datuk Idris. Rana memandang Mak Yam seketika. Pembantu rumah itu hanya mengangguk lalu menuntun Rana ke arah sofa. Perlahan-lahan, dia memegang bahu Rana dan memintanya duduk.

Rana teragak-agak. Seketika dia memandang pula wajah-wajah mereka di depannya. Mereka juga tidak berkelip memandangnya. Tanpa membantah, Rana melabuhkan punggungnya di atas sofa empuk ala Inggeris itu.

“Rana, maaf papa panggil Rana. Papa perlukan pendapat Rana kali ini. Papa harap Rana cuba jawab, ya?”

Seketika Datuk Idris mendaratkan matanya pada Saif untuk Saif mulakan bicara. Saif bangun membetulkan rambutnya supaya kemas. Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri Rana.

“Rana…”

Saif mengambil tempat di sebelah Rana yang masih membisu.

I.. I nak balik dengan you. Kita mula hidup baru ya, sayang?”

Saif separuh merayu. Dia cuba memegang tangan Rana namun Rana tersentak. Automatik, dia menyendengkan tubuhnya seolah-olah takut dengan Saif. Wajahnya berkerut.

“Kenapa you? I janji Iakan jaga you. I takkan apa-apakan you,”

Saif semakin mendekatkan duduknya namun Rana semakin menikus. Datin Azian memandang penuh simpati. Dah cakapkan? Rana masih trauma?

Please Rana. Bagi Ipeluang.”

Saif semakin mendesak membuatkan Datin Azian bangun dari duduknya.

“Sudah, Saif! Jangan dipaksa. Rana takkan jawab apa-apa.”

Datin Azian pula duduk di sebelah Rana lantas memeluk tubuh wanita itu. Tanpa dipaksa, Rana membalas pelukan Datin Azian dan melarikan wajahnya dari Saif. Datin Azian dapat rasakan tubuh Rana sedikit menggigil.

“Kenapa mama? Kenapa Rana sampai macam ni? Dia masih waras lagi kan?”

“Baru kamu nak tanya? Selepas Aydeen tak ada, maminya pun pergi dan kamu ceraikan dia? Baru kamu nak tanya?”

“Rana masih waras, Saif. Ini cuma kesan trauma. Bagi dia masa.”

Datuk Idris menyampuk.

“Kalau kamu tanya macam mana pun, dia takkan jawab. Dia mengalami kesan selepas trauma, elective mutism. Dia diam tak mampu berkata-kata apa-apa buat masa ni. Mungkin dia akan ikut aje apa kamu suruh tetapi dia bukan dirinya lagi. Kamu puas hati?” Ujar Datin Azian.

“Kenapa? Kenapa sampai macam ni?”

“Kenapa kamu tanya? Sebab dia dah hilang keyakinan dan semangat. Sebab kejutan yang kamu bagi dalam hidup dia. Manusia, Saif. Siapa mampu terima dugaan bertimpa macam ni?”

“Jadi, benarkan Saif jaga dia dan pulihkan semangat dia sehingga dia bercakap semula. Ini kesalahan Saif. Saif sanggup tanggung.”

“Dengan serahkan dia pada cina buta?”

Datin Azian mencemuh.

“Sebulan sahaja, mama. Sebulan sahaja dia duduk dengan cina buta tu. Cukup tempoh, Saif akan ambil dia balik. Saif akan jaga dia lebih baik dari dulu.”

Saif hampir melutut. Matanya sudah mula merah dan wajahnya terlukis sesal. Sesal yang sepatutnya dia tunjukkan dari mula lagi. Dia memandang Rana di depannya. Tubuh Rana yang susut itu menandakan wanita itu cukup terseksa. Rambut yang semakin panjang terus kusut tidak terurus.

Rana jauh berbeza dari dulu.

“Mama tak setuju. Saif lupakan sahaja Rana.”

“Zian…”

Tiba-tiba Datuk Idris memanggil isterinya.

“Berilah peluang pada Saif. Mungkin nanti Saif akan mengembalikan semangat Rana semula.”

“Abang!”

“Zian, tak ada apa lagi kita boleh buat. Takkan kita nak biar Rana terus macam ni? Mungkin ini jalan terbaik. Kalau dah ada orang yang sanggup jadi cina buta, mungkin kita patut cuba.”

“Abang, Rana tak mampu bagi keputusan untuk diri dia. Kenapa kita pula buat keputusan ni?”

“Sudah! Abang tahu kalau dia mampu berkata-kata, dia akan setuju. Rana takkan jadi macam ni kalau tak sebab dia sayangkan Saif.”

Datin Azian menggelengkan kepala berkali-kali. Betulkan? Datuk Idris memang sentiasa menyokong tindakan Saif.

“Saif, uruskanlah pernikahan mereka nanti. Papa rasa ini jalan terbaik. Jangan sia-siakan peluang ke dua ini.”

Saif angguk. Lega bila ayahnya menyokong dirinya. Datin Azian menggigit bibir. Dia tiada kudrat untuk membantah apabila suaminya sudah menyebelahi anaknya itu.

“Rana, cakap dengan mama please. Ini peluang Rana. Kalau Rana tak setuju, Rana cakap sekarang sebelum terlambat.” Bisiknya pada Rana namun Rana masih membisu.

Kata orang membisu seribu bahasa adalah tanda dia setuju tetapi Datin Azian tak percaya tu. Dia tahu Rana membisu kerana dia sudah tidak peduli mana arah hidupnya. Berbeza kan? Kenapa mereka tidak boleh memahaminya?



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku