Kaulah Permaisuri
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
347

Bacaan






Pintu bilik ibunya diketuk beberapa kali. Saif sudah bersedia untuk berangkat pulang ke rumahnya selepas selesai perbincangan mereka namun Datin Azian bagai sengaja meminggirkannya dengan mengurung diri di dalam bilik. Atas nasihat ayahnya, dia perlu berjumpa ibunya untuk memujuk wanita tersebut.

“Mama, boleh Saif masuk.”

Tiada jawapan lantas Saif menghela nafas perlahan. Dia sangat lemah kalau bab memujuk ini. Selama ini, hanya wanita yang memujuknya termasuk ibunya itu. Cuma sekarang ini ibunya memang kerap pula membantahnya.

Perlahan-lahan daun pintu yang berukir dan bercat putih itu ditolak. Matanya meliar mencari ibunya namun sukar kerana suasana yang gelap. Dalam teraba-raba, dia memetik suis lampu.

Setelah suasana terang berderang, dia dapat melihat Datin Azian duduk di atas katil. Saif memang sudah mengagak ibunya itu belum tidur. Baru pukul lapan setengah malam, kut! Marah benar Datin Azian pada dia dan ayahnya sampai dia nak balik pun, ibunya itu lebih rela duduk bersendiri dalam bilik.

“Mama,”

Datin Azian mendengus. Sungguh, dia tidak sanggup lagi bercakap dengan Saif. Semua itu hanya akan membuahkan pergaduhan. Melalui cermin kaca di tepinya, dia dapat melihat Saif melangkah ke arahnya.

“Mami, izinkan sahaja Saif jemput Rana pergi minggu depan, ya?”

“Pergi sahaja. Kenapa perlu beritahu mama? Kamu tetap akan pergi.” Jawapan pedas ibunya membuatkan Saif hampir tergelak. Macam budak kecil pula perangai ibunya kali ini.

“Tak apalah mama. Saif balik dulu. Benci benar mama pada Saif agaknya.” Saif sengaja membalas rajukan dengan dia sendiri pula merajuk. Mana tahu, dengan cara ini ibunya akan serba salah?

Datin Azian angkat muka dan menjeling anaknya sekilas. Ibu mana yang bencikan anak? Ini bukan benci. Ini adalah marah dan kecewa. Getus hati Datin Azian sendiri.

“Ini alamat rumah yang Rana duduk nanti, in case mama ada hal nak jumpa Rana,” Melihat ibunya tidak terkesan dengan rajuknya, Saif menyeluk poketnya dan mengeluarkan sekeping kertas. Kertas itu kemudiannya diletakkan di atas meja tepi kepala katil.

“Mama?”

Datin Azian tak menjawab sambil menjeling kertas tersebut.

“Hish! Suka hati mamalah!”

Saif tarik muka bosan namun akhirnya mengalah. Bukan dia tidak tahu keras hati ibunya. Panas betul hatinya dengan ibunya itu. Lantaklah! Yang penting dia berpeluang untuk menjemput Rana pada minggu hadapan. Fikir Saif sebelum berpusing untuk berlalu.


--------------------------------


Lampu dan pintu ditutup kembali meninggalkan Datin Azian keseorangan di dalam bilik tersebut. Sebaik sahaja bunyi kereta meninggalkan halaman rumah, Datin Azian melepaskan keluhan berat. Kecewa benar pada tindakan Saif dan persetujuan suaminya. Untuk beberapa minit, dia berteleku di birai katil. Kesunyian menghimpit dirinya.

Bukan dia tidak mahu bermenantukan Rana kembali. Dia tidak sanggup melihat nasib wanita itu dipersendakan melalui cina buta. Untuk apa? Untuk memberikan bahagia pada Saif kembali? Kenapa anaknya itu tidak pilih untuk teruskan sahaja hidupnya tanpa Rana? Bukankah lebih baik begitu dari menyerahkan bekas isteri pada lelaki lain? Dia kenal sangat sikap pentingkan diri Saif.

Siapa tak kenal anak sendiri?

Akan berkat dan bahagiakah seorang anak apabila seorang ibu murka padanya? Kekecewaan Datin Azian seolah-olah bersatu dengan tiupan angin di luar rumahnya. Tidak semena-mena, tingkap biliknya terbuka di tolak angin membuatkan langsir putihnya turut terbuai. Dalam kesejukan angin malam yang menerjah masuk itu, Datin Azian menadahkan tangan pada Ilahi.

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Berikan Rana erti bahagia yang sebenar, bukan kepalsuan dunia. Aku mohon padaMu, janganlah Kau siksa dia lagi dengan dugaan berat. Jika bukan dengan anakku, Kau berikan dia seorang suami yang terbaik yang mampu membimbingnya ke jalan Mu. Amin.”

Sebaik sahaja doa diaminkan, tidak semena-mena ribut yang mencuri masuk ke dalam biliknya terus terhenti. Angin yang menyapu seluruh ruang di situ juga hilang seolah-olah membawa bersama doanya.

Dalam kesamaran, tiba-tiba matanya terpahat pada sekeping kertas putih yang terbalik jatuh ditiup ke lantai. Baru dia teringat kertas tersebut ditinggalkan Saif supaya dia dapat melawat Rana bila perlu. Dia mencapai kertas tersebut lantas membuka lampu di kepala katil. Dengan mengesat sisa air mata, dia membaca tulisan tangan anaknya.

Uwais Dzikral Bin Zambri

Rumah no 4,

Kampung Serangkam,

26400 Maran, Pahang.

“Uwais Dzikral?” Datin Azian mengerutkan dahi seolah-olah mengenali sebaris nama tersebut.


----------------------------------------------

Uwais baru sahaja mengaminkan doa selepas solat isyak apabila tiba-tiba angin dengan kuat menerpa masuk rumah kayu tersebut. Berkereot bunyi tingkap terbuka luas dek terjahan angin menyebabkan Uwais terpaksa bangun untuk menutup tingkap.

Entah kenapa ketika dia berdiri di depan tingkap tersebut bersama angin yang menyapu wajahnya, dia tiba-tiba teringat satu nama. Seolah-olah angin tersebut membisikkan nama tersebut sekali lalu.

Rana Ardini…

Uwais memejamkan mata, terbantut niatnya menutup tingkap.

Dia tidak tahu siapa Rana Ardini, dia tidak ambil pusing. Hidupnya sudah cukup melarat, dugaannya sebesar gunung, sel otaknya sudah tidak mampu mentafsirkan bagaimana dia akan bernikah minggu hadapan. Cukuplah Allah baginya. Dia tidak perlukan sanjungan sesiapa lagi dan dia tidak akan menyanjung manusia lain lagi melebihi Allah Azzawajalla.

Namun ibunya yang bersungguh supaya dia menerima Rana menyebabkan dia menurut sahaja apa yang dah direncanakan. Meninggi suara pada ibunya pun tak pernah, apalagi nak melawan setiap kehendak wanita tersebut. Ibu adalah syurga di dunia dan akan membawa ke akhirat.

Pandangannya dilebarkan pula pada sungai yang hampir dengan rumahnya. Cahaya bulan membuatkan permandangan sungai tersebut mendamaikan sekali. Permandangan yang tidak pernah dapat dia nikmati jika tidak berpindah ke sini. Air Sungai Pahang kelihatan semakin melimpah ke tebing menandakan di hujung sana sudah mula menampung hujan. Bunga-bunga tengkujuh sudah mula menjelmakan diri. Mereka perlu bersedia untuk banjir besar yang sering melanda kampung ini.

Kerana itu dia sibuk mencari buluh untuk dibuat rakit. Hari itu, ketika orang kampung datang menuduhnya mencuri tabung masjid, dia sedang sibuk meraup buluh untuk rakitnya. Tentu mereka semua takut melihatnya memegang parang meraup buluh tersebut. Baju dan badannya pula kebetulan kotor kerana melakukan kerja berat menebas belukar mencari buluh. Uwais tersenyum sendiri mengenangkan wajah Badri yang gugup.

Siapapun akan takut dengan Uwais, takut dengan penampilan dan sikap menyendirinya. Uwais tidak peduli. Biar gila dipandangan manusia, biar tiada siapa menghampiri dirinya, ini adalah ketenangan sebenar. Biarlah! Dia sudah bosan dengan dunia manusia yang hipokrit.

Adakah bakal isterinya juga hipokrit? Berkahwin tanpa mengenali, menyerahkan diri pada lelaki yang disangka gila sepertinya? Dia tahu ada sesuatu yang disorokkan tetapi dia tidak akan bertanya. Bukankah Allah sebaik-baik perancang? Tanpa perlu bertanya, jika Allah izinkan maka jawapan itu sendiri akan datang bergolek di depannya.

Sudahnya, dia menutup tingkap rumahnya rapat-rapat menyambung niatnya untuk berzikir selepas solat tadi. Ternyata, Uwais Dzikral yang disangka bodoh dan gila oleh orang kampung ini sebenarnya lebih tinggi takwanya pada yang mengata. Jadi, siapakah yang gila sebenarnya?


-----------------------------------------------


“Mak Yam, tolong tengokkan Rana ya. Saya ada sedikit perkara ingin di selesaikan.” Pagi itu, Datin Azian masuk ke bilik bekas menantunya untuk meninggalkan pesan pada pembantu rumah yang sedang berkemas.

“Baik Datin. Datin nak ke mana?”

“Saya ada urusan ke luar daerah. Malam nanti saya pulang. Barang Rana tu jangan lupa kemaskan. Esok Saif akan menjemput dia.” Sekilas Datin Azian memandang Rana yang membatukan diri di atas katil. Tiada tanda langsung bekas menantunya itu akan membantah mendengar arahannya untuk mengemaskan barang-barang untuk dibawa nanti.

“Saya sudah kemaskan pakaiannya. Cuma barang peribadi lain sahaja belum dikemaskan.”

Datin Azian hanya menganggukkan kepala mendengar jawapan balas pembantu rumahnya. Dia cepat-cepat berlalu untuk meneruskan urusannya.

Rana memandang sekilas beg pakaiannya yang sudah terisi. Dia tidak tahu isi di dalamnya. Dia tidak mahu tahu. Mak Yam terkedek-kedek menuju ke tandas pula. Dia mengambil segala botol-botol mandian dan syampu lalu memasukkannya ke dalam beg yang lebih kecil.

Perlahan-lahan Rana tundukkan wajah. Jarinya memegang hujung rambut yang jatuh ke dadanya. Bila kita tidak pedulikan diri, rasa cepat pula panjang rambut ni. Dulu, pelbagai jenis potongan rambut dia cuba. Pernah potong pendek, potongan bob, buat perm, relaxing, arghh! Macam-macamlah.

Sekarang?

Jarinya yang menyelit di celahan rambut terasa tersekat-sekat. Dia biarkan aje tak terurus. Semua atas Mak Yam atau bekas mertuanya. Kalau rajin mereka nak menyikat, rajinlah. Kalau tak, biarlah bersimpul macam ni. Siapa nak tengok? Kalau ada nak tengok pun Rana tak kisah.

Rana turunkan tangan. Kini jari ke dua-dua tangannya direnggangkan. Matanya menjalar pada urat jari yang melingkar. Kukunya bersih dan pendek kerana sering di rapikan oleh Mak Yam tetapi kulitnya kering. Bukan kerana buat kerja kasar. Mungkin dia kurang minum air. Tak pernah disapu pelembab lagi seperti dulu.

Mengingatkan hidupnya yang dulu cukup membuatkan Rana semakin terkilan. Dia pandai menjaga penampilannya demi Saif. Walau selepas kehadiran Aydeen, dia tetap berusaha menjaga penampilan. Dia sendiri juga memang suka menjaga kecantikan. Bukankah wanita perlu cantik untuk suaminya?

Namun berbaloikah semua itu sekarang?

Semalam, dia dengar semua perbualan mereka yang di depannya. Jujur Rana rasa nak menjerit. Bukan Rana tak faham rancangan cina buta oleh Saif tetapi dia tetap mendiamkan diri. Dalam hati, ada pelbagai luahan ingin Rana nyatakan pada Saif. Bukankah suaminya itu pernah menyatakan sudah tiada cinta lagi buatnya?

Rana ingin tanya,

Kenapa menyarungkan cincin di jarinya kalau Saif tak cinta?

Rana ingin tahu,

Tak rasa bersalah ke pada arwah anaknya bila dia lafazkan cerai dulu?

Rana ingin kepastian,

Apa Saif punya hormat pada arwah ibunya bila dia memukul Rana?

Rana ingin bertempik,

Tak malukah Saif bila sudah ludah dijilat balik?

Susah!

Susah untuk meluahkan semuanya. Susah bila kita ada terlalu banyak perkataan untuk dihamburkan tetapi kita tiada satu pun arah untuk dituju. Ya, untuk apa luah semua kalau hidupnya sudah tiada haluan?

Jadi Rana tekad. Dia boleh sahaja cakap dia tidak mahu. Berkali-kali bekas mertuanya berbisik minta dia bersuara, tetapi dia membeku. Setakat cakap sepatah perkataan ‘tidak’ bukan susah pun. Namun apa beza? Hidup di sini atau hidup bersama cina buta? Dan selepas itu kembali pada Saif? Tak ada bezanya kerana hidupnya tetap sudah musnah.

Kembali kepada Saif umpama membenarkan dirinya mati sekali lagi.

Biarkanlah…


---------------------------------------------


“Maafkan mama, Rana. Mama tak mampu lagi menjaga Rana. Mama tak mampu melindungi Rana.” Ujar Datin Azian.

Hari yang ditunggu telah tiba. Datin Azian dan Datuk Idris menghantarnya ke muka pintu untuk ke destinasi yang bakal dituju. Malam ini, Rana akan bernikah dengan seorang yang tidak wanita itu kenali. Berat untuk dia melepaskan bekas menantunya namun dia sedar ini adalah jalan terbaik untuknya. Dia percaya, Allah punyai perancangan lebih hebat. Tidak selamanya wanita ini akan menderita.

Pelukannya makin dieratkan. Untuk beberapa ketika, suasana menjadi sepi. Ya, siapa kata mertua selalunya sayangkan anak melebihi menantu? Dia dapat rasakan, semua ini tidak benar. Lihatlah dirinya? Dia lebih susah hati memikirkan masa depan Rana bagai memikirkan anaknya sendiri.

“Rana tetap menantu mama yang terbaik. Rana jaga diri, ya?”

Walaupun Rana tidak memberikan jawapan, dia tahu Rana faham permintaanya itu. Perlahan-lahan pelukan mereka terlerai. Mata Rana bersatu dengan Datin Azian lalu Datin Azian mengangguk lemah.

Mak Yam membantu mengangkat beg pakaian Rana lalu dimuatkan ke dalam bonet kereta. Saif hanya bersandar pada kereta tersebut dan memerhatikan ibunya dan Rana dengan bersahaja.

“Jangan risau, mama. Sebulan saja.” Saif cuba mengingatkan ibunya.

Datin Azian tidak menjawab. Dia masih menggenggam erat tangan Rana.

“Zian, Helmi dan Saif sudah tunggu tu. Nanti lewat pula bertolak.” Sampuk Datuk Idris pula. Perlahan-lahan, baru Datin Azian mengangguk. Tangan menantunya dilepaskan.

Pergilah Rana, mama percaya Rana akan temui ketenangan di sana. Bisik hati kecilnya seolah-olah Rana mampu mendengarnya.



-----------------------------------

Rana terus memandang luar tingkap. Kereta yang dipandu Helmi masih membelah angin tiada tanda akan berhenti. Saif di sebelah Helmi pula kelihatan resah. Tak sabar benar agaknya mahu sudahkan urusan cina buta untuk bekas isterinya.

“Rana lapar ke?”

Soal Helmi tiba-tiba. Rana seperti biasa masih diam memandang luar tingkap menikmati permandangan petang di tepi lebuhraya itu.

“Kau ni, kan dah cakap dia takkan jawab.”

“Aik? Tanya pasal lapar ke tak pun dia tak jawab?”

“Tak jawabnya. Kalau kau nak dia makan, kau berhenti, beli benda makan, lepas itu suruhla dia makan. Kalau lapar, dia makan. Kalau tak, dia tak makan.”

Serious?”

“Kau ingat muka aku main-main? Bibik aku jaga dia, memang macam tu lah.”

Helmi terdiam. Matanya memandang Rana melalui cermin pandang belakang. Betul juga, ya? Bila mereka bercakap pasal Ranapun, Rana buat beku. Patutlah mudah aje Saif pujuk Rana ke sini.

“Habis? Macam mana nak tau bila nak jemput dia balik KL nanti?”

“La.. sebulan cukuplah kut. Sebulan lagi, kita jemput dia balik. Kita sendiri boleh failkan cerai bagi pihak Rana. Dia akan ikut aje. Kau tengoklah sekarang, dia setuju aje kan?”

“Setuju memangla setuju. Aku ingat kau dah berpakat dengan Rana supaya Rana sendiri minta cerai. Ni macam mana nak minta cerai kalau dia diam membisu macam ni?”

“Dah kau cakap kau dah jumpa lelaki lurus bendul? Kau jangan main-main? By the time aku nak minta dia ceraikan Rana, lelaki tu kena ikut. Aku sanggup bayarlah berapa pun!”

Helmi ketawa tengok muka cuak Saif.

“Ya, ya! Lelaki tu lurus bendul. Tak payah bayarpun. Dia pun sama macam Rana ni. Kau suruh cerai, dia akan cerai. Orang kampung pun ramai tak suka dia. Boleh jadi saksi lelaki tu memang tak boleh jaga seorang bini pun.”

“Sama? Maksud kau dia bisu macam ni juga ke?”

“Bisu tak la. Cuma dia kurang bercakap. Kalau suruh pun dia ikut. Orang kampung kata dia gila, tetapi tak. Dia tak gila. Dia bongok aje kut!”

Saif pula ketawa. Lega agaknya bila tahu, cina buta itu pun jenis ikut arahan.

“Jangan risau la. Muka pula jauh la beza memang takkan jadi Fattah Amin. Kalau kau tengok, boleh patah semangat lagi adalah!”

Siot aje kau kan?”

“Hahahaha. Betul apa? Cukup pakej kau minta. Orang pendalaman kampung, lurus bendul, tak handsome,miskin. Dengan keadaan Rana pula macam ni, memang mudahla nak ambil dia balik. Silap hari bulan, tak sampai dua minggu Rana duduk sini. Hari ketiga, tiba-tiba aje Rana boleh bercakap minta kau ambil dia.”

Saif senyum senget mendengar kata-kata Helmi. Seketika dia menoleh ke belakang memandang Rana. Rana tetap macam tu. Apa yang mereka bualkan tadi langsung Rana tak ambil pusing.

“Kalau ikut hati, cukup dua hari aje aku nak tinggal Rana dengan cina buta tu tetapi nanti dipersoalkan pula sekejap aje dah minta cerai. Biarlah, sebulan tu okay. Aku pun banyak kena buat flight jauh dalam dua minggu ni.”

“Sebulan tu pun sekejap. Kau seorang rasa lama, kut.” Bidas Helmi.

Saif tidak menjawab. Selamba dia pusing ke belakang untuk capai tangan Rana. Nak pegang dan tunjuk pada Rana yang dia masih sayang. Ketika jari Saif menyentuh tangannya, Rana membulatkan mata memandang Saif tak berkelip sebelum dia tarik tangannya dari lelaki itu.

Saif jungkitkan bahu sambil kembali duduk dengan betul. Tak apa, Rana masih takut dengannya. Macam mana pula dengan cina buta tu? Tentu Rana lebih takut kan? Kalau dengan Saif, Rana larikan tangan. Dengan cina buta tu, silap hari bulan tangan tu tak lari mana melainkan ke muka lelaki tersebut. Saif terus senyum yakin dengan dirinya sendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku