Kaulah Permaisuri
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
484

Bacaan






“Saya balik dulu Mak Jah.”

Helmi menghulurkan tangan pada Mak Jah setelah jemputan mula pulang. Dia tersenyum puas hati. Manakan tidak? Memang betul keluarga ini tidak bercampur orang. Jemputan mereka sahaja boleh dikira dengan jari. Hanya keluarga imam dan ketua kampung sahaja yang hadir.

Lehernya dipanjangkan mencari Uwais. Tadi dia nampak kelibat Uwais yang hanya berbaju melayu lusuh dan kain pelekat usang duduk di beranda. Sekarang, sekali lagi entah ke mana lelaki itu menghilang. Misteri betul!

“Cari Uwais ke?” Mak Jah mengagak.

“Ha.. Ya Mak Jah. Dia tak apa-apa kan?” Helmi sekadar bertanya. Walau secara totalnya, dia berpuas hati dengan keadaan Uwais. Hari ini dia lihat sendiri, di hari pernikahan sendiri pun Uwais tampil selekeh. Helmi cuba berbual pun Uwais mendiamkan diri. Mudahlah rancangannya berjaya nanti.

“Hish! Dia tak apa-apa. Biasalah, terkejut tiba-tiba dapat isteri. Orang bandar pula tu. Siapalah Uwais nak banding dengan Rana tu kan?” Mak Jah berseloroh sambil ketawa pendek.

“Ya! Ya, Mak Jah. Terkejut tu tak apa. Cuma Mak Jah jangan lupa perjanjian kita?”

“Perjanjian?” Mak Jah garu kepala tak gatal. Bila masa dia berjanji? Sukar untuk dia mengingati semula perbualannya dengan Helmi. Maklumlah, usianya pun dah senja.

“Alah Mak Jah ni! Buat tak tahu pula!”

Helmi ketawa.

“Perjanjian mana tu?”

Mak Jah terus bertanya dengan wajah yang terlukis kekeliruan. Jelas dia benar-benar lupa membuatkan Helmi mati tawanya.

“Mak Jah, kan saya cakap hari tu? Kalau Rana tak bahagia dan Uwais tak mampu menjaga isterinya dengan baik, saya sendiri akan menjemput Rana pulang. Mak Jah lupa eh?”

Wajah Mak Jah terus berubah. Hilang manis berganti dengan air muka yang agak tegas. Helmi telan air liur.

“Mak Jah. Saya cakap kalau. ‘Kalau tak bahagia’.”

Helmi pula berseloroh apabila melihat Mak Jah kelihatan serius. Dia tidak mahu keluarga ini dapat menghidu rancangan mereka. Mak Jah sedikit lega lantas dia cuba lorekkan senyuman pada lelaki di depannya.

“Ya, kalau! Tetapi soal hidup kita tidak boleh meramal. Bukankah rezeki, jodoh, dan ajal adalah di tangan Allah? Dan jangan kita lupa bahawa kita punya doa yang menjadi perisai kita.”

Kata-kata Mak Jah cukup membuatkan Helmi terpaku seketika. Lain macam pula kebijaksanaan Mak Jah berkata malam ni. Tiba-tiba Mak Jah tergelak tanpa sebab membuatkan Helmi terkulat-kulat. Sah gila agaknya perempuan ni. Tadi bercakap punyalah serius, sekarang dia ketawa besar pula.

“Kita doakan mereka ya!” Pesan Mak Jah lagi di hujung tawa.

“Ya, kita doakan saja mereka.” Ujar Helmi walau dalam hati, dia langsung tidak percaya kuasa doa. Doalah banyak manapun. Tengok anak wanita ini dan rumah yang tunggu masa roboh ni aje dah tahu memang Rana takkan bahagia.

Confirm! Lantas dalam senyum yang dibuat-buat, Helmi melangkah mahu menuruni anak tangga.

“Oh, Mak Jah. Lupa pula!” Helmi berpusing kembali ke arah Mak Jah ketika dia sudah menuruni satu anak tangga. Mak Jah yang masih berada di beranda kembali mengangkat wajahnya.

“Mak Jah kalau nak Rana makan ke minum ke, memang dia takkan jawab. Mak Jah kena suruh aje. Kalau dia nak, dia akan buat.”

“Ya! Mak Jah faham. Memang macam itu ke dia sejak lahir? Kesian.”

“Eh, tak adalah sejak dia lahir. Itu bisu namanya. Ini dia tiba-tiba je semenjak dua menjak ni tak bercakap. Saya pun tak faham kenapa dia macam tu.” Helmi cuba menutup kisah Rana. Cukuplah dia sekadar mengkhabarkan apa yang perlu sahaja.

“Oh! Kesian..”

Ulang Mak Jah lagi. Helmi menggeleng kepala. Dah macam satu lakonan P.Ramlee dalam Madu Tiga pula bila melihat Mak Jah. Tiba-tiba asyik sebut kesian macam tu. Hai, malang nasib Rana serumah dengan mak mertua ala tiga suku begini.

“Saya balik dulu. Dah lewat sangat ni.” Sekali lagi Helmi meminta diri.

“Ya! Ya! Baliklah dulu. Dah lewat malam ni. Kesian...”

Sudah! Mak Jah sebut lagi perkataan tu membuatkan Helmi tidak mahu melayan orang tua itu lagi.

“Baiklah Mak Jah.”

Helmi angkat tangan tanda hormat lalu meneruskan langkah ke arah keretanya. Gaya Mak Jah yang tiba-tiba bagai tiga suku itu membuatkan Helmi rasa tidak selesa pula. Nanti boleh naik gila dia melayan orang tua itu.

Langkah kakinya dipercepatkan memandangkan keretanya terletak agak jauh dan tersorok. Maunya tidak? Saif ada menanti di dalam kereta enggan turun melihat pernikahan Rana. Tak sanggup katanya! Pandai pula Saif cemburu walaupun lelaki tersebut ternyata bukan saingannya.


--------------------------------------------------

Mak Jah menggeleng-gelengkan kepala melihat Helmi bagai tergopoh-gapah meninggalkannya. Dia kembali masuk ke dalam rumah untuk menutup daun pintu dan menyelak kunci. Setelah pasti pintunya rapat, dia menoleh ke belakang.

“Dah balik ke?”

“Subhanallah! Bertuah punya anak!”

Hampir sahaja Mak Jah bersilat apabila Uwais tiba-tiba berada di belakangnya. Entah berapa lama dia di situ, Mak Jah pun tak tahu. Uwais ketawa melihat ibunya terperanjat lebih-lebih lagi bila tangan Mak Jah hampir sahaja melibas mukanya.

“Kamu ni Uwais! Dengan orang luar bolehlah kau takut-takutkan macam tu. Ini emak kamu!” Mak Jah masih tak berhenti membebel sambil mengurut dadanya.

“Mak tu memang dengan anak sendiri pun takut!”

“Memangpun! Mak dah cakap, hari ni hari nikah kamu. Cukurlah jambang tu. Kuku tu sengaja kau biar hitam kotor dan hitam macam tu. Baju melayu kamu yang elok ada, dipakai juga yang dah kusam ni.” Suara Mak Jah semakin tinggi melihat Uwais tetap selamba. Uwais hanya senyum tawar sambil membuka kopiah lusuhnya. Gayanya bersahaja dan kelihatan normal. Memang langsung tidak sama dengan cara dia membawa diri depan Helmi dan orang kampung sebelumnya.

Memang jauh berbeza.

“Biarlah mak. Hari bernikah ni lagilah Uwais nak biar mereka dengan pandangan mereka. Biar mereka takut nak dekat, lagi bagus.”

“Itu mereka, isteri kamu? Takut dia tengok kamu gamaknya. Ingat sikit Uwais. Jangan sampai dia patah semangat tengok kamu.”

Uwais terdiam sambil melurutkan janggutnya.

“Ha! Diam kenapa? Itulah, suka buat sesuatu yang kamu seorang rasa betul. Isteri kamu tu kan tak bercakap. Kasihan dia bila sedar-sedar kena kahwin dengan suami macam kamu ni!”

“Kenapa mak? Kenapa dengan macam Uwais? Miskin dan buruk ya?” Sinis aje Uwais menjawab namun tetap tersenyum. Dia tidak mahu Mak Jah terasa.

“Ha! Sedarpun diri kamu! Kalau sedar, usahalah sikit.”

Aduh, ibunya sedikitpun tidak membela.

Uwais garu telinga. Mak Jah memang begitu, sekali dia dah ada peluru memang semua arah dia boleh tuju. Kadang-kadang, tepat pula tu peluru dia mengena sasaran.

“Mengantuk la mak. Uwais tidur dulu.” Uwais bagi alasan mudah untuk mengelak. Mak Jah sekadar mencebik.

“Pandaipun mengantuk! Dah ada bini terus mengantuk kamu kan?”

“Mak…”

Mak Jah pula ketawa. Seronok agaknya usik pengantin baru. Lain pula halnya dengan Uwais. Saat ini kakinya mula melangkah ke arah biliknya. Debar melanda dengan tiba-tiba tetapi dia tetap berlagak tenang.

Dia tidak pernah menunjukkan sikapnya yang sebenar pada sesiapapun melainkan dengan ibunya. Dan hari ini segalanya akan berubah

Semata-mata kerana Rana.


----------------------------------------

Seronok betul mereka berbual semalam tanpa mempedulikan Rana yang ada di dalam kereta. Macamlah Rana tak tau apa topik mereka. Sebenarnya, kalau boleh Rana ajuk perbualan mereka satu-persatu pun Rana boleh. Cuma dia tetap pilih untuk melihat dan mendengar sahaja.

“Dia tak tahu yang kita gunakan dia jadi cina buta. Jangan risau, sampai satu masa dia akan lepaskan Rana kerana tak sesuai. Keadaan Rana macam ni, mudah untuk kekalkan jarak dan mengelakkan kita bagi apa-apa harapan! Senang untuk dia lepaskan Rana nanti.”

Kata-kata Helmi tengiang-ngiang di telinga Rana.

Rana Ardini memusing-musingkan cincin emas nipis di jarinya. Memang jauh langit dan bumi kalau nak compare cincin yang pernah Saif sarungkan. Begita juga Saif dan Uwais. Mereka berbeza dalam segala segi namun Rana tahu hidupnya tetap sama seperti dulu. Tetap hancur.

Tadi baru saja berlangsung pernikahannya dengan Uwais dan itulah kali pertama dia berdepan dengan lelaki tersebut. Betul apa mereka bualkan dalam kereta tentang Uwais. Rana bukan tak nampak dengan biji matanya sendiri keadaan suami barunya.

Bila orang kampung bertanya, lelaki itu mendiamkan diri dan mendengus perlahan. Ibunya seorang sahaja yang bercakap, lelaki itu lebih banyak memencilkan diri. Selepas sarung cincin, lelaki itu terus hilang entah ke mana.

Dan wajahnya kekal bengis.

Pendiam dan bengis!

Kalau perkahwinan ini terjadi sebelum tragedi malang menimpanya, tentu dia akan menjerit ‘tidak’ sekuat-kuat hati. Namun ini adalah perkahwinan yang di bina ketika dia sudah tidak peduli sesiapapun yang hadir di depannya kini.

Biarlah suaminya itu bengis seperti orang gua sekalipun.

Dia tahu mustahil Saif akan meminta Helmi carikan yang elok untuknya. Ego Saif tinggi mengalahkan Tugu Monas. Mana mungkin dia akan carikan yang terbaik untuk Rana? Lagipun perkahwinan ni hanya sementara. Keegoan Saif lebih ketara bila dia tiada di saat pernikahan tadi. Dia tidak sanggup melihat pernikahan hasil perancangannya sendiri agaknya.

Sungguh! Dia tetap akui, memang teruk pilihan Saif untuknya.

Perlahan-lahan Rana menjalarkan matanya pada segenap ruang bilik tidurnya. Cadar bunga-bunga zaman tujuh puluhan mana la mereka sarung dekat tilam ni? Dah la corak tak padan dengan sarung bantal. Seluruh bilik usang-seusangnya. Nak pijak lantaipun bunyi berkereot dan papan di dinding pun ada yang sudah dimakan anai-anai. Segala perabut yang pula hanya minimum dan sudah layak disimpan dalam muzium.

Rana gigit bibir.

Kalaulah ibunya masih ada, dia pun akan bantah. Ibunya akan jaga Rana sebaik Datin Azian. Mereka bukan orang susahpun. Mami adalah bekas ketua jururawat hospital kerajaan. Rumah miliknya pun masih ada, tunggu Rana huni semula di sana bila Rana dah pulih nanti.

Bila mengenangkan arwah ibunya, Rana mula sebak. Laju pula air matanya jatuh. Sekarang dia tak ada pilihan. Hidupnya tetap dah hancur. Agaknya sampai bila-bila dia tak ada pilihan. Biarlah dia menumpang kasih dengan lelaki menakutkan ini. Kalau malam ini, dia habis nyawa di tangan lelaki itupun, tak apa. Dia dah lama give up.

Tiba-tiba ketukan halus di pintu kedengaran membuatkan Rana tersentak. Dia menyangka dia sudah tidak peduli soal hidupnya namun entah mengapa dia tetap diserang debaran.

Tak lain tak bukan itu mesti Uwais! Rana tahu ini malam pertama. Malam pertama, apa lagi si suami nak kalau bukan untuk dilayan?

Entah-entah, lelaki itu bernafsu singa?

Lantaklah, dah terlanjur ada di sini!

Macam mana kalau lelaki itu luar tabii?

Biar!

Habis? Kalau hari pertama dia mendera fizikal pula macam mana?

Rana gigit bibir lantas berfikir sejenak. Takut! Baru dia sedar dia masih punya rasa takut. Dia masih terasa sakit didera fizikal oleh Saif jadi mungkin ini hari terakhir dia melihat dunia sebagai orang normal. Selepas ini, mungkin dia akan jadi gila sebab tekanan perasaan.

Ah, tak penting pun! Lelaki semua sama. Kalau dia nak buat apa pun dekat Rana, Rana terima. Baik Saif atau Uwais, pada Rana mereka tetap lelaki. Kedua-duanya hanya akan menghancurkan dirinya. Rana kuatkan diri sendiri disaat dia mula ragu-ragu akan keputusannya berada di sini.

Pintu bilik akhirnya terbuka ditolak dari luar lalu Rana mendongak. Dia tekad! Mahu atau tidak, dia akan menyerahkan dirinya jadi korban lelaki ini.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku