Kaulah Permaisuri
Bab 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
372

Bacaan






Uwais berdiri dalam jarak sedepa di depan Rana. Wajahnya bengis dengan mata dicerlun tajam mengalahkan ketajaman mata pisau. Jambangnya yang menutup separuh muka cukup menyemakkan mata. Tipulah kalau Rana tak rasa seram melihat lelaki itu tetapi Rana gagahkan diri.

Air mata yang bersisa diseka sebelum Rana juga berdiri. Sekarang mereka sedang mengadap sesama mereka. Suasana sepi hanya berseli dengan bunyi katak dan cengkerik di luar bagai mengejek. Mata Rana bergerak-gerak menjalar memandang Uwais. Anak mata Uwais pula dikecilkan memandang Rana atas bawah.

Ketika ini mereka kaku tak bergerak.

Hanya nafas sahaja yang membezakan mereka dengan patung tak bernyawa.

Pada Rana, lelaki di depannya tak ubah macam beast. Macam orang gua pun ada. Kenapa comot benar penampilannya? Hari bernikah pun tidak ada usaha jaga penampilan. Ah, mungkin semua itu tidak penting pada lelaki ini. Bukankah dia hanya seorang lelaki yang bodoh dan melarat?

Uwais masih kaku memandangnya membuatkan Rana tekad untuk merapatkan diri. Selendang yang melilit di bahunya dileraikan lantas jatuh ke atas lantai. Tangannya membuka cangkuk butang kebaya di bahagian atas dadanya. Buka satu! Dia tak buka semua. Cukup untuk bagi tanda, ‘Kau boleh buat apa kau suka’. Segala ketakutan pada lelaki itu dengan mudah ditepis kerana dia tidak mahu peduli apa terjadi selepas malam ini.

Uwais melangkah menghampiri Rana. Jelas lelaki ini agak tinggi bila dia sudah berdiri tegak di depan Rana. Ketinggian Rana hanya separas dagunya. Nafas panas Uwais pun Rana dapat rasa di ubun kepalanya manakala bahang tubuh Uwais juga turut terasa hampir dengannya.

Rana pejamkan mata bagai menanti untuk terus memusnahkan dan membinasakan dirinya.

Masa..

Ianya berlalu cukup perlahan.

Sedar-sedar, Rana dapat rasakan selendang yang jatuh ke atas lantai tadi kini melilit kembali bahunya. Terus Rana buka mata luas-luas. Dia menundukkan kepala melihat tangan Uwais membetulkan selendang itu di bahunya dengan kemas supaya tidak jatuh.

Lama lelaki itu merenung Rana kembali. Tiba-tiba dia tersenyum membuatkan Rana mengerutkan dahi. Dia dapat melihat, senyuman tersebut dengan mudah menghilangkan segala kebengisan yang sentiasa dipamerkan oleh lelaki tersebut.

“Saya tahu awak tidak bersedia. Jangan hukum diri sendiri macam ini.”

Perlahan tutur katanya malah intonasinya juga lembut. Selembut pandangannya yang masih tertacap pada Rana. Melihat Rana bagai kebingungan, Uwais memegang kedua-dua bahu isterinya itu.

“Saya tahu awak perlukan masa. Kalau awak nak lepaskan perasaan sedih awak malam ini pun lepaskanlah. Saya takkan ganggu untuk hari ini.”

Ya, mata Rana penuh sendu menandakan wanita ini sedang berduka. Dia tidak tergamak untuk mementingkan diri di saat wanita ini masih bersedih.

Rana teragak-agak.

Sukar untuk dia mempercayai lelaki ini melepaskannya dengan mudah malam ini.

“Awak menangis tadi kan? Teruskanlah melayan perasaan awak. Lepaskan semua.” Uwais mengalihkan anak mata ke arah katil bagai cuba memberi isyarat pada Rana untuk kembali ke atas katil tersebut. Tangannya diturunkan dari bahu Rana lalu dia menggenggam tangan wanita itu.

“Pergilah..” Uwais meyakinkan Rana sekali lagi lalu perlahan-lahan Rana kembali terduduk di atas katil. Aneh, kata-kata dan air muka lelaki ini berbeza dari kali pertama dia melihatnya. Bukan itu sahaja, segala-galanya berbeza dari yang digambarkan Helmi. Melihat lelaki itu masih memerhatikannya, dia membaringkan tubuh.

Uwais tersenyum puas hati sebelum dia menuju ke arah suis lampu. Bilik kecil itu akhirnya bergelap setelah lampu dipadamkan. Dengan berhati-hati dan hanya berpandukan cahaya yang mencuri masuk dari celah papan, Uwais melangkah kembali ke arah katil.

Uwais memandang Rana di sebelah setelah dia juga berbaring di atas katil. Wanita itu terus mengiring membelakangkannya. Dalam hati Uwais mula mengira detik yang berlalu.

Satu,

Dua,

Tiga,

Dan dalam keheningan malam, akhirnya kedengaran perlahan-lahan suara esakan tangis Rana. Wanita itu kembali meratap dan menangisi nasibnya dan Uwais langsung tidak terdetik untuk memujuk apa lagi mengganggu wanita itu melepaskan perasaan.

Bagus! Memang dia nak Rana menangis puas-puas. Jangan pendam!


-------------------------------------------------


Lewat pagi esoknya, Rana terjaga dari lena sambil dia memerhatikan sekeliling biliknya. Uwais sudah tiada di sebelah membuatkan Rana menghela nafas lega. Perlahan-lahan dia meraba kepalanya yang berdenyut.

Ingatannya kembali pada semalam. Dia tidak tahu entah pukul berapa dia akhirnya terlelap sendiri. Uwais memberikannya kebebasan untuk menangis dan memang benar, dia terasa satu kebebasan menghamburkan perasaannya begitu.

Rana larikan mata pada sekeliling bilik tersebut. Biliknya sedikit terang apabila ada cahaya matahari di luar yang mencuri masuk celah papan. Agaknya, sekarang dah pukul sembilan atau sepuluh pagi. Bayu pagi pun masih tersisa.

Sejuk!

Apabila Rana usapkan kakinya di bawah selimut, dia terasa tilamnya yang beralas itupun turut dingin. Bayu kampung di rumah kayu memang macam ini agaknya. Macam mana dia nak mandi di pagi hari kalau terus duduk di sini? Hmmm.. jangan mimpi!

Rana dah buat keputusan pun semalam. Dia tetap Rana yang malang hidupnya. Jadi dia tetap sama seperti Rana yang dijemput Saif dari rumah Datin Azian. Dia tetap takkan ada selera makan dan dia tambah satu lagi. Iaitu dia takkan mandi. Biarlah tak terurus macam ni. Setakat Uwais yang nak tengok, Rana peduli apa!

Sekarang?

Sekarang Rana nak teruskan rutin yang sama. Tidur, tidur dan tidur. Tak mengantuk pun Rana akan pejam mata. Biar dunia ini lenyap terus dari fikirannya. Lantas itulah yang Rana lakukan.

Dia pasti Uwais tidak akan mengganggu. Lelaki itu begitu bertimbang rasa semalam. Memang pelik! Tak nampak pun bodoh alang dan bengisnya. Bagus juga, Rana akan bebas mensia-siakan harinya dengan berbaring dan mengasingkan diri seperti di rumah Datin Azian. Dia menghela nafas panjang lalu terus memejamkan mata kembali.

Samar-samar, dia membayangkan Aydeen datang. Comelnya! Aydeen mendaratkan satu ciuman di pipinya. Tengok? Mami pun ada sambil menawarkan untuk mendukung Aydeen.

Aydeen dah empat tahun lah! Berat untuk mami dukung. Sian mami nanti lenguh tangan. Rana tak apa. Rana dah biasa dukung Aydeen terutama sekali ketika Aydeen mogok tak nak berjalan meminta perhatian Rana. Rana bermonolog bagai berbicara dengan ibunya sendiri.

Khayalannya meleret pada Saif. Saif datang merayu-rayu dan melafazkan sesal. Saif akui dia tidak boleh hidup tanpa Rana. Huh! Puas hati Rana yang masih tersisa kemarahan pada Saif apabila membayangkan lelaki itu melutut dan merayu.

Tiba-tiba, khayalannya sedikit terganggu apabila dia mendengar pintu biliknya terbuka. Lantai usang itu juga mula berkereot apabila menahan beban seseorang yang memijak permukaannya. Dia dapat mengagak tentu Uwais yang datang.

Rana semakin kemas memejamkan mata dan cuba memekakkan telinga. Dia terus berpura-pura tidur. Semoga lelaki itu akan keluar dari bilik ini secepat mungkin apabila melihat dia masih belum terjaga dari tidur olok-oloknya.

Rana mahu terus menyambung kebebasan melayan mimpi sendiri.

Rana mahu dunia lenyap dan biarkan dia terus dalam dunia imaginasi.

Tiba-tiba…

Tap!

Bunyi selak tingkap diangkat lalu dia dapat mendengar dengan jelas daun tingkap itu ditolak kasar untuk bukaan penuh. Dia cuba membuka mata namun sukar apabila cahaya yang terang mula menceroboh masuk biliknya. Yang nyata, bayangan Saif mula hilang berganti dengan susuk tubuh lelaki lain berbalam-balam dalam simbahan cahaya.

Setelah anak matanya mula pulih dari kejutan, dia dapat melihat dengan jelas Uwais berdiri tegap di depannya. Wajah Uwais bersahaja namun matanya tajam merenung Rana. Anak mata Rana larikan ke arah langsir tingkap yang sudah diikat ke tepi. Ini mesti dia sengaja kejut orang bangun dengan membuka tingkap luas-luas?

Itu cara basi!

“Bangun!” Ujar Uwais dalam lembut. Rana membalas renungan Uwais seketika. Semalam dia memberi kebebasan untuk Rana lalu kenapa hari ini dia perlu memaksanya bangun?

“Semalam saya dah bagi awak masa kan? Takkan hari ini awak perlukan masa sampai tak mahu bangun? Sudah pukul sepuluh pagi.” Uwais masih berlembut.

Rana buat tuli dengan Uwais. Dia menarik selimut lalu terus menutupi mukanya. Permintaan Uwais langsung tidak diendahkan. Dia siapa? Semalam lelaki ini memahami situasinya, hari ini lelaki ini sepatutnya bertolak ansur sekali lagi.

“Bangun!”

Uwais tarik hujung selimut lalu selimut tersebut terdampar ke atas dada Rana. Rana hembus nafas berat. Sakit pula hatinya apabila Uwais berdegil tidak seperti semalam. Agaknya, dia fikir dia warden asrama? Menetapkan masa untuk Rana bangun dan tidur? Setelah memberi jelingan sekilas, Rana tarik kembali selimut untuk menutup wajahnya kembali.

Sunyi seketika…

Tiba-tiba Rana dapat rasakan selimut tersebut ditarik lagi kali ini dengan perlahan-lahan lalu jatuh kembali ke dadanya. Rana buka mata dan dia dapat melihat Uwais memberikannya pandangan beku.

Macam tak bersalah!

“Bangun!”

Rana mendengus. Selimut cuba ditarik kembali namun gagal apabila Uwais menggenggam erat hujung selimut.

Ya Allah! Dia memang tak faham bahasa ke? Kenapa dia tak habis-habis nak mengganggu hidup aku? Aku bukan kacau dia pun! Rana membentak dalam hati. Bibir digigit menahan geram.

“Bangun! Gosok gigi, cuci muka dan makan sarapan.”

Uwais sudah mengeluarkan senarai apa yang perlu Rana lakukan membuatkan Rana rasa terkongkong. Terkongkong dari aktiviti biasanya membuatkan Rana semakin mengeraskan badan lantas mata cuba dipejamkan. Sekali lagi suasana kembali sunyi. Dalam keadaan masih berbaring, Rana hela nafas lega.

Bagus! Uwais dah mati akal lah tu. Sangka Rana.

Tiba-tiba, dia dapat rasakan bantalnya pula ditarik dengan perlahan-lahan sehingga hampir senget kepalanya. Terus dia membuka mata lebih lebar. Kali ini Uwais duduk hampir dengannya sambil tetap tayang wajah selamba.

“Kalau awak tak nak saya kacau awak macam ni, awak bangun. Bangun dan makan. Selepas itu saya tak kacau awak. Saya beri kebebasan seperti semalam.”

Uwais mula buka tawaran dengan bersuara lembut membuatkan Rana terkebil-kebil. Sungguh! Macam menarik pula tawaran itu. Uwais tak akan kacau, apa yang lebih baik dari itu

Kalau Rana tak turutkan, tentu lebih banyak gangguan dari Uwais.

“Bangunlah.” Suara Uwais semakin mendatar.

Rana hela nafas lalu perlahan-lahan dia mengangkat tubuhnya untuk duduk. Sekilas dia memandang ke arah Uwais. Hari ini lelaki ini tampil bersih. Cuma jambangnya sahaja masih di situ dan pakaiannya tetap lusuh. Agaknya, lelaki ini memang tidak ada pakaian yang elok kut!

“Selepas itu, awak boleh sambung tidur.”

Tawar Uwais lagi pada Rana membuatkan dia terus menimbangkannya. Apa salahnya dia turut arahan Uwais kalau ianya mampu memberikan ruang padanya untuk bersendiri lagi? Setelah beberapa ketika, Rana mula mengensotkan tubuhnya ke hujung katil lalu kakinya mencecah lantai sebelum dia bangun dan berdiri.

Uwais tersenyum di belakang Rana. Lega akhirnya dia dapat membantu Rana meninggalkan dunia khayalannya dan kembali pada realiti walau untuk seketika. Tak mengapa, banyak lagi masa dia ada untuk menarik Rana dari terus hidup dalam mimpi yang suram.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku