Kaulah Permaisuri
Bab 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
395

Bacaan






Nasi goreng yang kemerahan itu masih berasap ketika ianya dicedok oleh Mak Jah ke pinggan Rana. Bau tumis yang menyelubungi dapur itu masih menyengat di hidung. Dengan penuh keihklasan, pinggan itu dihidang di hadapan Rana.

“Makanlah Rana. Nasi goreng ayam sahaja. Rasalah mak masak.”

Mak Jah tersengih-sengih sambil menuang pula air kopi untuk menantunya itu. Rana yang baru sahaja duduk terkebil-kebil memandang Mak Jah. Pandangannya bertembung dengan Uwais yang masih berdiri.

Rana dapat menghidu kelainan anak-beranak ini. Terutama Uwais. Kata Helmi, dia pendiam dan kelihatan bodoh. Helmi silap. Sebenarnya Uwais tidak pula tampil pendiam dan bodoh alang bila bersama ibunya. Lelaki ini kelihatan normal sahaja dan pandai pula berbicara dengan Rana. Normal dan berkeyakinan walaupun penampilan masih sama.

Sekarang, Mak Jah juga berdiri sebelah Uwais bagai menanti Rana menyuap makanan.

“Makanlah.” Ujar Uwais sedikit lembut. Soal mempelawa makan, tidak sesuai rasanya dia nak bertegas tidak tentu hala. Isteri yang baru dinikahi itu dipandang lama-lama. Rambut Rana yang panjang kusut masai sehingga ada yang terpacak dan bersimpul. Sekali tengok, memang macam hantu Kak Limah gayanya.

Tadi ketika Rana turun dan berdiri sebelah ibunya, dia dapat melihat wajah Mak Jah terkejut melihat Rana dalam kusut masai begitu. Tangan Mak Jah adakalanya sedikit terangkat bagai ingin dia membetulkan rambut wanita itu. Mungkin kerana Mak Jah tidak mahu Rana tidak selesa andai dia menyeka rambut Rana maka hasrat ibunya itu terbantut sendiri.

Uwais tahu sangat ibunya itu. Dia memang pantang melihat orang selekeh. Kalau tidak masakan dia sering menjadi mangsa bebelan ibunya dek kerana penampilannya juga dua kali lima.

Rana merenung nasi tersebut. Perlahan-lahan dia mencapai sudu yang disediakan. Wajah diangkat lalu sekali lagi pandangannya berlaga dengan suami barunya. Suasana siang hari ini membantu untuk dia melihat wajah Uwais dengan jelas.

Baju t-shirt merah yang dipakainya kelihatan lusuh benar. Jambang itu pula memang membuatkan wajah lelaki itu bagai orang gua. Apa yang membuatkan wajah Uwais bertambah bengis adalah matanya. Matanya ke dalam dan anak matanya hitam pekat menjadikan ia kelihatan tajam apabila merenung Rana. Rana cuba membalas renungan tersebut.

Gagal.

Tak sampai beberapa saat Rana tewas. Entah kenapa, pandangan lelaki itu bagai membaca dan mentafsir dirinya menyebabkan Rana terasa bagai tiada hijab antara dia dan lelaki itu. Rana hela nafas sebelum menyuap sesudu nasi goreng.

Setelah berjaya menelan dengan payah, Rana sua sesudu lagi. Niatnya terhenti apabila tersedar mereka berdua asyik memerhatikan Rana. Dah kenapa mereka berdua masih memerhatikan dirinya? Rana kerut dahi tanda tidak selesa membuatkan Mak Jah dan Uwais tersedar kebodohan mereka.

“Jom makan sekali, mak.”

Uwais pelawa Mak Jah yang mula tersengih-sengih. Ibunya hanya mengangguk kepala sambil mencapai pinggan untuk dirinya dan Uwais.

“Hari ini Uwais ada nak ke mana-mana ke?”

Soal Mak Jah bagai cuba melarikan tumpuan yang hanya berpusat pada menantunya tadi. Dia menarik kerusi meja makan plastik itu untuk duduk di depan Rana.

“Tak ada la mak. Uwais duduk rumah saja. Nak ke sungai pun takut hujan pula hari ni.”

“Baguslah. Duduk aje rumah. Kenal-kenal dulu dengan Rana.”

Rana buat tidak peduli dengan perbualan dua beranak itu. Selalu ke sungai rupanya Uwais ni. Agaknya itulah punca rezeki lelaki tersebut. Pandai-pandai aje Mak Jah usulkan anaknya itu untuk berkenalan dulu dengan dirinya. Rana sebenarnya tidak kisahpun samaada dia akan berkenalan atau tidak dengan Uwais. Tidak ada bezanya.

“Tak perlu berkenalan pun Uwais dah tahu Rana tu macam mana.” Sinis Uwais menjawab tanpa mengangkat muka. Rana mengerutkan dahi.

Bagaimana Uwais tahu siapa dirinya sedangkan lelaki itu tanpa sedar telah diangkat menjadi cina buta? Agaknya lelaki ini keyakinannya tinggi melangit tak berpijak dunia nyata.

“Tapi mak, kalau Uwais tak keluar kita nak makan apa nanti? Lauk ada ke untuk mak masak tengah hari ni?”

“Ish! Kan ayam untuk buat jamuan ringkas nikah kamu ada lagi. Mak tak masak semua pun. Jadi hari ini biar mak masak kari. Tak elok membazir biar dalam peti ais lama-lama.”

Dalam diam Rana mengikuti setiap perbualan anak-beranak itu. Agaknya, begitulah kehidupan orang miskin. Makan apa yang masih ada dan tidak membazir. Kalau Uwais tak ke sungai, tentu mereka putus bekalan makanan. Teringat pula akan Rana pada kehidupannya bersama Saif.

Bukan setakat tempat tinggal mereka sahaja yang mewah tetapi dari segi makan pakai semua berlebih. Adakalanya sampai mereput sendiri makanan tersebut di dalam peti ais. Pakaian pun ada yang tidak pakai atau pakai sekali sahaja.

Ya, hidup dengan Saif memang mewah namun dia papa dari segi kasih sayang. Lihatlah apa yang dia miliki sekarang? Rana larikan anak mata pada seluruh pelusuk dapur. Para kayu yang menempatkan dapur gas semuanya bagai kayu reput menanti untuk roboh. Meja di depannya hanya meja plastik yang tidak kukuh buatannya.

Dia semakin diasak rasa terkilan. Matanya jatuh pula pada nasi goreng di depannya. Apa yang dia buat sekarang? Kenapa perlu dia menjamah makanan dan melayan karenah dua beranak di depannya? Bukankah dia sudah lama ditinggalkan bersendiri? Tanpa Aydeen, tanpa suami dan tanpa mami!

Dia tidak patut membuka ruang untuk orang yang masih dianggap asing baginya. Bersendiri lebih baik! Sudu terus diletakkan ke tepi.

“Eh, Rana! Kenapa berhenti makan?” Soal Mak Jah apabila melihat Rana menolak pinggannya jauh dari sisinya. Rana cuma pamer wajah kaku. Dia benci apabila dirinya diambil berat begini.

“Dua tiga suap aje makan? Cukup ke?”

Sambung Mak Jah lagi.

“Agaknya pedas tak mak?” Uwais menyuap sekali lagi nasi goreng cuba merasai sendiri tahap kepedasan. Tak, tak pedas pun. Mungkin pedas bagi Rana.

“Rana tak biasa makan berat agaknya. Ke Rana nak makan roti?”

Mak Jah memberi saranan namun Rana hanya memandangnya sepi.

“Kalau dia nak roti Uwais beli sekejap lagi.”

Rana larikan mata pada Uwais pula. Lelaki ini pandai bertolak ansur apabila bersama ibunya. Malahan perbualannya dengan ibunya pula agak sopan dan berseli dengan tawa dan senyuman. Kalau dengan orang luar? Muka lelaki ini tak ubah bagai ingin menelan manusia hidup-hidup. Hipokrit! Semua manusia adalah hipokrit. Rana menbentak dalam hati.

Dia mula merasa tertipu dengan sikap sebenar lelaki ini.

Tertipu dan terkongkong!

“Tak apa! Mak buat jemput-jemput nak? Pisang ada mak dah peram.” Mak Jah bangun lalu memegang bahu Rana. Cepat-cepat Rana tepis tangan wanita tua itu. Sekali lagi dia memandang Uwais dan dia dapat melihat wajah lelaki itu yang tadinya manis kini dah berubah menjadi kelat mengalahkan buah jambu batu muda.

Mak Jah tetap tersenyum biarpun tangannya ditepis Rana. Alah, buat apa nak terasa? Bukan tepis kuat-kuat pun. Lebih kurang macam kuis sahaja. Rana masih tak biasa dengan dia dan Uwais agaknya.

Seketika Rana memberanikan diri berlawan tenung dengan Uwais. Pandangan Uwais padanya kembali seperti semalam. Tajam dan bengis. Tentu Uwais terasa bila Rana menepis tangan ibunya.

Rana terus bangun.

Cukuplah!

Dia semakin terhimpit jika terus duduk di dapur bersama mereka. Sudahlah lelaki itu tidak sama seperti yang digambarkan, dia tidak mahu ada hubungan mesra antara mereka. Dia perlukan masa! Dan dia mahu masa itu hanya untuk dirinya.

Untuk dirinya seorang tanpa sesiapapun mengganggu atau cuba melayannya dengan baik seperti mereka! Baikkah mereka? Entahlah, kalau pandai berpura-pura belum tentu sikap mereka ini juga adalah satu lakonan. Tanpa berfikir panjang, Rana berpaling lalu mula melangkah meninggalkan mereka terpinga-pinga.

“Er.. Ra..” Mak Jah cuba memanggil namun di tahan anaknya.

“Biarkan dia mak!”

“Tapi dia makan sikit sangat ni. Semalam pun dia tak makan.”

“Biarkan. Nanti sekejap lagi dia lapar, pandailah dia nak makan.”

Suara Uwais tetap tenang bagai tiada apa yang berlaku. Nasi goreng diangkat sesudu lalu dia mengunyah perlahan bagai tidak peduli apa yang terjadi tadi.



-------------------------------------------------


Rana dengar Uwais menahan Mak Jah dari memanggilnya. Dia semakin mempercepatkan langkah menuju ke biliknya. Dalam hati, dia terasa menyesal turun ke dapur untuk bersarapan. Semuanya hanya akan menggamit kenangan lalu. Memang Rana tak hadap sangat pun nak makan tadi kan? Siapa kata sekejap lagi Rana akan lapar? Selagi dia ada di rumah ini atau di mana sahajapun, dia takkan lapar.

Ah, siapa Uwais untuk mengubah hakikat itu?

Rana menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Terus dia mencapai bantal lalu dia menekup mukanya. Tidur! Pejamkan mata. Biar semua hakikat di depannya lenyap.

Kenapa Uwais tidak sama seperti yang digambarkan? Tiba-tiba persoalan itu bergema sendiri di kepalanya. Tidak! Rana tidak mahu berfikir tentang itu. Uwais bukanlah orang yang penting untuk dia fikirkan. Dia bukan sesiapa!

Pergi!

Rana bertempik dalam hati. Rana mencuba dan terus mencuba. Bayangan Uwais diusir dan dia menjemput bayangan Aydeen dan Juliza, ibunya. Lama kelamaan, dia tertidur juga bila pertanyaan tentang Uwais berjaya diusir.

Sementara itu di dapur, Uwais menadah telinga apabila Mak Jah meleterinya. Namun Uwais tetap tenang walaupun Mak Jah ternyata menyebelahi Rana.

“Pergilah pujuk dia, Uwais.”

“Mak, nak pujuk apa? Kita tak buat benda salah. Biarkan dia ambil masa untuk dia dulu.”

“Ish! Ambil masa apa lagi? Perempuan kena dipujuk.”

“Kita boleh pujuk kalau dia sedar dia sedang membinasakan dirinya. Masalahnya, dia tidak sedar dia sengaja membinasakan dirinya.”

“Pandai-pandai aje kamu. Kamu kenal sangat Rana tu?”

Uwais tersentak sebelum memberikan senyum tawar. Lambat-lambat dia bangun.

“Ha, nak ke mana tu? Tadi cakap tak nak keluar.”

Mak Jah menambah apabila melihat Uwais menuju ke pintu dapur.

“Ke kedai, mak. Beli roti untuk Rana.”

Seketika Mak Jah terus terdiam. Dia hanya memandang susuk tubuh anaknya hilang dari pandangan. Bunyi motosikal Uwais kedengaran sayup meninggalkan halaman rumah. Mak Jah geleng kepala. Dia tahu Uwais takkan membiarkan Rana dengan perasaannya begitu. Mulut sahaja kata tak nak pujuk, dalam hati siapa tahu?



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Monolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku