Kaulah Permaisuri
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
509

Bacaan






Rana dapat rasakan kepalanya semakin berat. Perut kosong ditambah dengan tidur yang berlebihan membuatkan dirinya semakin lesu. Entah berapa lama dia terlelap setelah meninggalkan Uwais dan ibunya di dapur, dia pun tak pasti.

Dia bangun lantas terduduk di birai katil. Seluruh tubuhnya mula melekit kerana berpeluh. Dia dah biasa hidup dalam suasana berpenghawa dingin. Agaknya inilah satu sebab dia terganggu tidurnya. Biliknya kini membahang panas dan berkuap.

Dahinya berkerut memandang ke tingkap yang masih terbuka luas oleh Uwais pagi tadi. Langsir juga masih kekal diikat ke tepi. Perlahan-lahan Rana berdiri dan berjalan menuju ke tingkap.

Dia kini berdiri kaku di depan jendela.

Bayu yang membawa bahang tengah hari menerjah masuk menyapu wajahnya. Pandangannya melebar ke halaman rumah. Tanah yang berbalam hasil disapu oleh Mak Jah pagi tadi membuatkan kawasan tersebut nampak terurus. Pelbagai pokok bunga kertas yang tumbuh subur disusun teratur turut melambai-lambai seolah menggamit seribu satu rasa.

Rana hembus nafas berat apabila Uwais kembali mengasak fikirannya. Benarkah lelaki itu hanya berpura-pura? Rana gigit bibir.

Nasi sudah jadi bubur. Dia pun sudah selamat menjadi isteri cina buta rancangan Saif. Berpura-pura atau tidak, terpaksa dia berdepan dengan Uwais untuk sebulan lagi. Seterusnya apa pula?

Seterusnya dia akan bernikah kembali dengan Saif. Tiba-tiba dia menggeleng kepala sendiri. Sanggupkah dia membina kembali hidupnya dengan Saif? Adakah dia sudah bersedia memberi kembali kepercayaan yang telah Saif hancurkan?

Kenapa tempoh hari dia tidak terfikir soalan ini? Rana meramas rambutnya sendiri. Ternyata, kepercayaannya pada Saif bukan sahaja hancur, malah telah lama lenyap. Bagaimana harus dia hidup bersama Saif nanti?

Kepalanya mula berdenyut. Sel sarafnya yang sekian lama diabaikan dan tidak digunakan sejak hari malang itu bagai terkena renjatan. Kalau dia tidak balik dengan Saif, dia perlu kembali pada siapa?

Takkan dia perlu terus hidup dengan orang gua yang berpura-pura itu?

Ya! Dia berpura-pura.

Kata Helmi, orang kampung takut dengan Uwais dan Uwais memang mengasingkan diri dengan mereka. Entah-entah, Uwais ada amalkan ilmu hitam. Lihat sahaja rumah buruk mereka yang terasing jauh dari rumah penduduk kampung ini.

Sudah!

Rana tidak mahu terus memikirkan Uwais. Cepat-cepat langsir yang berikat tadi dibetul-betulkan semula sehingga menutupi seluruh tingkap. Biar bergelap terus! Permandangan yang tenang itu sikitpun tidak membantu hatinya yang masih rawan. Indah macam mana permandangan di luar, situasi tetap sama. Dia tetap terasa diri terpenjara di kampung ini.

Seterusnya, Rana berpaling menuju ke arah katil. Dia kembali mahu melenyapkan hakikat dunia nyata sekali lagi dan melarikan diri dari kenyataan. Kisah Uwais dan Saif, Rana tolak ke tepi. Mereka tidak penting dalam hidupnya. Lelaki hanya menyusahkan.

Bantal kekabu bersarung corak bunga-bunga itu ditepuk berkali-kali. Disusun dua lapis agar dia boleh bersandar dahulu. Baru sahaja Rana nak berbaring, dia tersentak apabila pintu biliknya dikuak dari luar. Uwais berdiri di balik daun pintu.

“Saya beli sikit makanan untuk awak.” Uwais bersuara pendek.

“Sudah hampir pukul tiga, awak. Makanlah sikit.”

Rana angkat wajahnya memandang Uwais. Cara Uwais melontarkan kata-kata tetap lembut namun terselit ketegasan.

“Alaslah perut tu. Tadi awak makan sesudu dua aje. Sikit sangat tu.” Uwais mencuba lagi membuatkan Rana automatik geleng kepala. Dua tiga suap dah cukup untuk dia, takkan terdaya untuk dia tambah lagi. Mereka aje tidak tahu Rana dah lama putus selera makan. Tak ada maknanya dengan semua makanan itu.Letaklah steak Tony Roma’s atau pasta dari restoran Franco, Rana takkan terliur.

“Sekurang-kurangnya, makan sedikit.” Uwais terus mencuba.

Rana semakin membeku. Uwais dapat rasakan wanita ini sengaja meletakkan benteng antara mereka. Tanpa berlengah, Uwais meloloskan diri masuk ke dalam bilik. Bungkusan plastik berisi roti dan biskut diletakkan atas meja solek.

“Saya letak di sini dulu.”

Rana buat-buat tuli sambil kembali merebahkan badan. Dia sedikitpun tidak mengangkat muka memandang suaminya itu. Suasana menjadi janggal ketika ini. Mana tidaknya, Uwais tetap berdiri menanti reaksi Rana sedangkan memang Rana akan terus buat Uwais bagai tidak wujud.

“Tak apalah. Awak ambillah masa dan berehatlah.”

Rana sedikit lega mendengar kata-kata Uwais. Akhirnya, dia dapat peluang bersendiri. Tentu Uwais sudah bersedia untuk beredar. Namun sangkaan Rana meleset.

Rupa-rupanya, Uwais terus menuju ke arah pintu lalu pintu tersebut ditutup. Tanpa dipelawa, Uwais duduk sebelah Rana. Suasana sepi seketika sambil Uwais terus memerhatikan Rana.

Rana gigit bibir. Kata nak bagi dia rehat, tetapi macam mana nak rehat kalau Uwais duduk di sini memerhatikan dirinya? Sesiapapun takkan selesa duduk macam ni bersama lelaki asing.

Lelaki asing? Bukankah itu adalah suaminya? Suami yang sah.

Rana menoleh apabila hujung lengan bajunya ditarik perlahan beberapa kali oleh Uwais. Nak apa pula ni? Rana mendaratkan matanya pada Uwais yang pamer wajah selamba.

“Awak memang nak hidup awak hancur ya?”

Soalan Uwais menarik perhatian Rana. Apa yang dia tahu tentang hidupnya yang dahulu? Sesuka hati membuat tafsiran. Rimas! Sungguh Rana rimas.

“Kalau iya pun nak hidup awak hancur, bukan ketika awak menjadi isteri saya. Saya takkan benarkan. Saya tahu awak tak rela berada di sini tetapi awak tetap isteri saya.”

Rana pandang Uwais sekilas. Mungkin lelaki ini mengagak bahawa perkahwinan ini adalah perkahwinan paksa. Dalam hati, Rana mentertawakan Uwais. Kalau kahwin paksapun, Rana takkan turut jika dia tahu Uwaislah calonnya. Hembusan nafas berat diberikan namun disedari Uwais.

“Awak merana di sini tetapi dia yang mengheret awak ke sini sedang bergembira agaknya. Adilkah begitu?”

Automatik Rana mengerutkan dahi. Siapa dia yang Uwais maksudkan? Takkan dia maksudkan Saif? Mustahil! Rana pasti dia dengar berkali-kali Saif menyatakan Uwais tidak tahu siapa Rana dan Saif. Malah dia tidak tahu dirinya digunakan!

Mungkin Uwais bijak mengagak ‘dia’ yang dimaksudkan adalah mereka yang memaksa perkahwinan ini. Rana telan air liur yang terasa perit. Kata-kata Uwais memang ada benarnya. Dia merana di sini tetapi Saif? Entah-entah sedang seronok menghitung hari untuk bersama semula.

Ah, lelaki ini semakin hari semakin jelas tidak seperti yang Helmi sangkakan.

Kalau dia bodoh, bagaimana dia boleh mengagak setepat ini?

“Fikirkanlah, apa saya cakap. Awak perlu kuat.”

Rana tenung mata Uwais di sebelahnya. Entah kenapa yang dia lihat di sebalik renuangan tajam lelaki itu adalah kesungguhan. Perlahan-lahan, Uwais bangun lalu terus menapak ke pintu. Dan tanpa sepatah kata juga, lelaki itu keluar dari balik membiarkan Rana keseorangan.

Rana menjalarkan pandangan pada bungkusan makanan di atas meja solek. Dia tahu perutnya sedang merintih minta diisi. Adakalanya dia diserang pedih ulu hati yang teruk kerana kelaparan. Walaupun begitu, ada satu kepuasan apabila dia mengabaikan keperluan dirinya dan terus membinasakan diri. Biar semua tahu dia merana!

Namun tiba-tiba dia terbayangkan Saif. Adakah Saif benar-benar peduli akan keadaannya yang merana? Saif kelihatan langsung tidak terkesan akan keruntuhan rumahtangga dia dan kehilangan Aydeen. Mungkin dia ada bersedih, tetapi ketika menghantar Rana ke sini, dia dapat lihat Saif gembira bukan kepalang.

Gembira di saat hidup Rana bakal dibiarkan merana sekali lagi bersama cina buta. Buktinya, ketika berhenti rehat di hentian rehat Temerloh, dia dapat saksikan sendiri bukan main seronok Saif menikmati makanan dan bertepuk tampar dengan Helmi. Siap bertambah makannya!

Jadi wajarkah dia rela membinasakan dirinya sendiri sedangkan orang lain sedang bergembira? Rana hela nafas berat. Biarlah! Kalau dia rosak binasa sekalipun, siapa akan meratapi dirinya? Dia tiada haluan hidup jadi untuk apa memikirkan kebajikan dirinya lagi?

Lantas Rana kembali berbaring menepis segala hakikat di depannya.


-------------------------------


“Pujuklah dia lagi, Uwais.”

Saran Mak Jah pada keesokan harinya. Uwais langsung tidak mengangkat muka sambil mengunyah jemput-jemput pisang. Namun hakikatnya, otaknya ligat memikirkan semalam.

Ketika dia masuk ke bilik malam semalam untuk tidur, Rana tetap begitu. Segelas susu yang diletakkan di tepi katil hanya luak suku gelas. Roti dan biskut yang dia belikan pun masih terletak dalam bungkusan langsung tidak berusik. Ya, sengaja dibiarkan tidak berusik.

Dia akui, wanita itu terlalu berdegil untuk mengabaikan makan minumnya. Tembok yang Rana bina antara mereka begitu tebal dan kukuh berdiri. Kalau begitu gah temboknya, Uwais dapat jangkakan ianya tidak mudah untuk dia tembusi. Jadi adakah dengan bertolak ansur akan merubah wanita itu?

“Rana tu dah jadi tanggungjawab Uwais. Baik buruk seorang isteri, suamilah yang mencorakkan dan mendidik. Uwaislah nahkoda, kalau Uwais gagal, semua karam.”

Kata-kata ibunya mematikan lamunannya. Dia tersenyum pahit. Jemput-jemput yang dijamah bagai terlekat dikerongkong.

“Mak, kalau Uwais gagal pun, Uwais akan pastikan bukan sebab dia benci sikap Uwais. Kegagalan hanya akan berlaku kalau dia wanita bandar yang tak suka hidup susah dengan lelaki yang tak ada rupa dan gaya macam Uwais.”

“Hish, kamu ke situ pula.”

“Betullah mak.”

“Kamu bagai memperjudikan isteri sendiri.”

“Tak mak. Uwais tidak memperjudikan Rana. Sebab Uwais tahu, dia lain dari yang lain. Rana akan beri jawapan yang Uwais harapkan. Insya Allah.”

Mak Jah ternganga mendengar kata-kata terakhir Uwais. Senyuman Uwais tidak lagi pahit seperti tadi namun penuh erti. Mak Jah akhirnya menggelengkan kepala. Dia tahu anak lelakinya itu luar dalam. Orang kampung sibuk mengata anaknya itu bodoh alang. Mereka silap kerana menilai luaran. Hakikatnya,

Uwais panjang akalnya!


----------------------------------------


Uwais berdiri kaku di depan pintu biliknya. Dia tahu dia tidak boleh membiarkan Rana terus mengasingkan diri begitu. Dia perlu terus mencuba dan mencuba untuk mendekati wanita itu.

Perlahan-lahan pintu biliknya di buka. Bilik itu seperti biasa masih bergelap biarpun hari sudah meninggi. Tingkap bilik sengaja dibiarkan tertutup kemas membangkitkan suasana suram dan sepi.

Rana bersandar pada kepala katil dalam keadaan lesu. Dia hanya memberikan jelingan sekilas sebelum kembali memejamkan mata.

“Boleh saya berbincang dengan awak?”

Rana seperti biasa masih memulaukan Uwais. Dia terus diam membisu dan tidak memberi apa-apa reaksi.

“Saya hanya ingin berbincang dengan awak sekejap sahaja.” Pujuk Uwais lagi.

Rana hela nafas berat lalu mendaratkan anak mata pada lelaki itu. Wajah Uwais tetap tenang namun matanya redup penuh pengharapan. Kesungguhan lelaki itu membuatkan Rana berfikir sejenak. Rasanya tidak salah dia membiarkan Uwais berbicara dengannya. Bukan buat apapun. Hanya mendengar kata-kata lelaki itu yang tidak akan merubah apa-apa.

Perlahan-lahan dia membetulkan duduk. Kaki yang dilunjurkan tadi kini bertukar posisi. Dia duduk bersila bagai memberi peluang Uwais duduk di depannya. Uwais melabuhkan punggungnya bagai memahami Rana memberinya peluang untuk kali ini.

“Saya tahu saya masih asing pada awak. Perkahwinan ini pun entah awak rela atau tidak.”

Sunyi sepi mula menghiasi suasana.

“Tetapi bagi saya, perkahwinan adalah satu perjanjian samaada rela atau tidak. Dan ianya bukanlah satu perjanjian antara suami isteri sahaja. Ianya juga adalah satu perjanjian dengan Allah bagi seorang suami untuk menjungjung amanat ini.” Luah Uwais perlahan dan sedikit bergetar suaranya. Wajahnya pula mendung menandakan dia bersungguh-sungguh.

“Dan siapapun awak, saya sudah akad untuk jadi isteri saya. Saya akan jaga awak seperti yang Allah amanatkan. Suami adalah pelindung seorang isteri.”

Rana mengerutkan dahi. Kata-kata Uwais bagai janji kosong yang membuatkan Rana kembali merasa rimas.

“Saya tetap akan jaga awak, lindungi awak dan angkat maruah awak seperti seorang permaisuri. Awak bukan dayang, awak bukan pelayan saya tetapi awak permaisuri.” Uwais pejamkan mata lantas meraup wajahnya. Walaupun dia berniat memujuk Rana tetapi apa yang lahir dari bibirnya adalah kenyataan yang dia rasai. Itulah hakikat perkahwinan bagi dirinya. Tanpa sedar, setiap kata-katanya diiringi debaran menandakan dia tidak menipu.

Dengan berani, segalanya dia bentangkan di depan wanita ini.

Berbeza dengan Rana, kata-kata itu dirasakan semakin berbisa. Dia biasa mendengar sumpah janji Saif begini walau tak semanis kata-kata Uwais tadi.

Kata Saif dulu, dia akan bahagiakan Rana.

Dan lagi, Saif janji akan beri segalanya walau dunia jadi taruhan.

Menurut Saif, tiada wanita mampu menakluki hatinya melainkan Rana.

Dari bibir Saif, diucapkan sayang sampai bila-bila hingga hujung nyawa.

Lihatlah apa jadi hari ini?

Lihatlah! Janji disusun tinggi menggapai awan buat Rana mendaki bawa beban harapan. Dan bila janji itu dimungkiri, semua jatuh bertaburan. Sakit tahu tak? Sakit bila satu ketika dia dipeluk penuh kasih sayang, namun selepas itu dia ditepis dan ditolak ke tepi. Malahan dipijak.

Setitik air mata Rana akhirnya jatuh. Walau tangisan Rana tanpa bunyi, tapi dengan pantas disedari Uwais. Mungkin kerana bunyi nafas Rana yang menahan sebak membuatkan badannya sedikit bergetar.

Uwais terus menoleh lantas wajahnya yang tenang tadi bertukar bimbang. Cepat-cepat dia menghampiri isterinya lantas memegang bahu wanita itu.

“Awak, sampai bila awak nak menangis macam ni?” Soal Uwais perlahan.

Tangannya beralih pula mengesat air mata Rana. Rana apa lagi? Entah kenapa semakin laju air matanya bergenang. Uwais pernah buat tidak peduli bila dia menangis hari pertama dia di sini. Entah kenapa apabila Uwais berlembut memujuknya kali ini, dia menjadi begitu tersentuh.

“Awak, kalau awak menangis kerana kisah awak yang lepas, saya faham. Memang saya mahu awak hamburkan kekecewaan melalui tangisan tetapi…”

Uwais berhenti berkata-kata. Tangannya lantas menyentuh kedua-dua pipi Rana.

“Jangan awak menangis kerana kata-kata saya. Saya hadir dalam hidup awak bukan untuk melihat awak menangis lagi.” Sambung Uwais lagi penuh kesungguhan.

Rana geleng. Dia nak suruh Uwais diam dan pergi saja dari sini tetapi mulutnya tetap terkunci. Keinginannya untuk bersendiri semakin menghimpit. Ingin sahaja dia bertempik meminta lelaki berjambang itu keluar sahaja dari bilik ini.

“Rana Ardini.” Uwais lafazkan nama penuh isterinya itu. Dia mengharapkan perhatian Rana namun hampa. Rana semakin hilang kawalan. Ternyata, sikap tolak ansur Uwais hanya membuatkan Rana semakin lemah.

Uwais gelisah lalu tanpa mahu membiarkan Rana dihanyutkan perasaan, tubuh Rana didorong ke depan. Kepala Rana ditekap kemas ke dadanya. Tangannya melingkar memeluk Rana lantas sebelah tangannya membelai rambut isterinya itu.

Masa….

Ia bagai merelakan dan berlalu cukup perlahan memberikan ruang untuk Rana menghela nafas di permukaan dada Uwais. Tangan suaminya yang tak diundang itu semakin kemas mendakapnya dan entah kenapa hatinya dicuit ketenangan dalam pelukan lelaki tersebut. Kemarahan dan kekecewaannya padam bagai disiram air.

Penuh keihklasan, Uwais terus membelai rambut Rana biarpun rambut wanita itu kusut tidak bersikat. Dan demi kerana sebuah keikhlasan dari lelaki bernama suami inilah, Rana tiba-tiba terasa selamat dan dilindungi. Tangisan Rana akhirnya menjadi perlahan sendiri dan matanya dipejam terus rapat.

Tiba-tiba wajah Saif menjelma dan mentertawakan dirinya.

Ingat Rana, kau tak bahagia dan kau takkan bahagia lagi.

Saif bersuara dan semakin galak mengejek dirinya.

Rana buka mata luas-luas kembali lantas dia menolak tubuh Uwais. Terasa dirinya bodoh kerana dengan mudah merasa tenang dalam pelukan Uwais. Perasaan asing itu terus dibuang jauh-jauh. Cepat-cepat dia membetulkan bantalnya lantas berbaring membelakangkan suaminya.

Terpinga-pinga Uwais dibuatnya.

Uwais hela nafas perlahan. Wanita ini terlalu aneh dan emosinya tak ubah seperti kincir angin. Ikut sahaja arah berpusing tetapi kalau tak ada desakan, dia tidak akan bergerak. Nampaknya benar apa yang difikirkannya tadi.

Kelembutan takkan merubah apa-apa pada wanita ini.

Setelah diam beberapa ketika, Uwais mula bangun. Janggal rasanya untuk terus ada di sini melihat sikap dingin Rana. Tanpa sepatah kata, Uwais berlalu meninggalkan Rana lalu pintu bilik ditutup kemas.

Rana berpusing lantas memandang ke arah pintu yang ditutup tadi. Ah! Baru terasa dia mampu bernafas kembali. Pada Rana, sebentar tadi hanyalah satu kekeliruan perasaan yang tidak patut berlaku. Rana lebih suka bersendirian

Tak ada sesiapa ganggu, kan bagus begini?



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku