Kaulah Permaisuri
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Mac 2017
Buat semua wanita diluar sana, Kau bukan sekadar seorang anak, Kau juga bukan sekadar kakak atau adik, Kau bukan pula sekadar seorang isteri atau ibu, Tetapi KAULAH PERMAISURI
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
386

Bacaan






“Awak, makan sedikit ya?”

Uwais masih tidak berputus asa. Dia membawa sepinggan nasi berlaukkan sup ayam ke dalam bilik mereka. Hari dah hampir petang, Rana tetap tidak menjamah apa-apapun walau sudah masuk hari ke tiga. Hanya sesekali dia meneguk air susu itu pun tak habis.

Rana pandang Uwais yang berdiri memegang semangkuk nasi dengan pandangan beku. Bagaimana ingin dia katakan bahawa dia tidak selesa Uwais ada di sini? Benar dia tenang seketika di dakapan Uwais tadi, namun ianya hanya membuatkan dia keliru. Malahan bila semua insiden pelukan tadi berlalu, Rana rasa lebih janggal. Dia tidak mahu sesiapa lagi mengganggunya menyendiri.

Walaupun Uwais! Nampaknya lelaki ini tak faham bahasa tubuh Rana. Baik! Dia akan berusaha lebih keras untuk menunjukkan bahawa dia tidak suka diganggu.

Uwais duduk di birai katil dan meletakkan pinggan ke tepi. Nafas dihela perlahan sebelum dia memegang bahu wanita itu untuk mengangkat tubuh wanita itu. Rana tepis tangan Uwais dengan perlahan tetapi cukup membuatkan Uwais tersentak. Selama ini Rana hanya membatukan diri sahaja. Sekarang dia sudah berani tunjuk perasaan dengan menepis begitu. Puas hati Rana bila lelaki itu terkejut dengan reaksi kasarnya.

Uwais cuba bertenang kembali.

Tepislah, tepis berkali-kali!

Dia tetap ada lalu pinggan dicapai..

“Makan.” Kata Uwais perlahan sambil dia mencedok sesudu nasi yang masih panas berasap.

Rana terus katup mulut dengan kemas sambil memandang luar tingkap.

“Makanlah sikit aje, ya?”

Rana terus diam.

“Awak, tolonglah. Saya tak ada niat lain. Awak perlu makan untuk tenaga awak. Saya tak nak awak jatuh sakit.”

Sama,

Rana membeku sambil menjeling dengan ekor mata ke arah suaminya itu. Benci! Pada Rana, Uwais hanya pura-pura baik. Kenapa? Dia takut Rana sakit sebab tak nak Rana susahkan dia agaknya!

“Tak apalah. Saya letak tepi dulu. Kalau awak nak makan, awak makanlah.”

Uwais akhirnya mengalah. Perlahan-lahan, mangkuk kaca berisi nasi dan lauk yang masih panas itu kembali di letakkan atas meja tepi katil. Keras hati betul wanita di depannya. Wajah sahaja yang lembut tetapi kedegilannya sukar diruntuhkan.

Rana hela nafas lega apabila suara pujukan Uwais tidak lagi menyesakkan gegendang telinganya. Tanpa menunggu lama, dia mula melakukan rutin yang sama. Terus baring mengiring lantas menutupkan mata. Kalau boleh tutup telinga pun dia sanggup.

Dia benci pada semua yang ada di depannya termasuklah Uwais.

Uwais bangun untuk beredar. Sekilas dia memandang pada seluruh biliknya. Cadar sudah bergulung-gulung dibiarkan bersepah. Bantal pula ada yang jatuh ke lantai. Tentu adakalanya, wanita ini mengamuk sendirian.

Uwais daratkan matanya pada Rana yang kaku tak bergerak, hanya kelihatan nafasnya sahaja turun naik. Nampaknya wanita ini sudah pandai bertegas dengannya. Tembok yang dibina antara mereka nampaknya semakin menebal kian hari. Kakinya kini melangkah perlahan meninggalkan wanita itu sendirian sekali lagi.

Usai keluar dan menutup pintu bilik, Mak Jah sudahpun berdiri menanti di luar bilik mereka.

“Macam mana? Dia nak makan tak?”

“Dia tak nak, mak.”

“Allahu, apa kena tu Uwais? Dia memang tak makan lauk kampung kut.”

Mak Jah mula resah. Adakah Rana tak suka tinggal bersama mereka?

Uwais tersenyum kelat mendengar ibunya membuat andaian.

“Uwais pujuk dia tak?” Soal Mak Jah. Uwais angguk tenang.

“Esok kamu pergilah naik motor ke bandar. Belilah ayam KFC ke. Layan sajalah. Mana tahu dia suka. Kesian mak tengok. Dah lah dia tak bercakap.” Saran Mak Jah lagi. Pada Mak Jah, Rana mungkin mogok kerana tak biasa dengan kampung.

“Iyalah mak. Esok Uwais pergi.”

“Ni biar mak buat susu panas. Mana tahu dia nak alas perut. Biar mak saja yang hantar.”

“Terima kasih mak.”

Mak Jah hanya mengangguk perlahan.


-------------------------------------------


“Dia minum tak mak?” Soal Uwais ketika melihat Mak Jah keluar dari bilik Rana membawa segelas air susu lagi pada keesokan harinya.

“Minum sikit. Puas mak pujuk.”

“Tak apalah. Uwais dah beli KFC ni. Biar Uwais pujuk dia makan.”

Mak Jah melirik pada seberkas beg plastik yang dijinjing anaknya. Senyum tawar diberikan. Dia tahu bukan dekat jaraknya untuk Uwais pergi ke bandar. Hampir empat puluh minit perjalanan dengan motosikal buruknya. Adakalanya, lebih baik Uwais beli di bandar Temerloh sahaja. Lebih kurang saja perjalanannya antara bandar Maran dan Temerloh.

“Hmmm, cuba lah Uwais. Pujuk dia elok-elok.” Ujar Mak Jah perlahan.

Uwais beri senyuman kelat sebelum dia masuk ke dalam bilik. Pintu bilik di tutup dengan berhati-hati lantas dia berpaling ke arah isterinya. Rana sedang duduk bersandar di kepala katil dan merenung luar jendela.

Pandangannya tetap kosong.

“Awak..”

Uwais panggil Rana dengan lembut dan perlahan namun Rana tidak langsung menoleh. Rambutnya terus menggerbang dan kusut masai tidak terurus. Uwais terpaksa kumpul kekuatan sebelum langkah kakinya diatur menuju ke arah isterinya itu.

“Saya beli KFC. Awak makan sikit ya? Panas lagi ni.”

Cepat-cepat Uwais buka plastik dan mengeluarkan sekotak bekas makanan berisi ayam goreng. Bau ayam goreng tersebut terus mengisi ruang bilik. Alhamdulillah,memang masih panas.

Uwais mendekati Rana dan duduk di sisi isterinya. Dalam hati, dia berharap selera Rana terbuka sedikit melihatnya namun Rana tetap beku. Sekeliling matanya terus dihiasi lingkaran hitam dan sembab.

“Atau awak lebih suka fun fries?”

Laju aje Uwais keluarkan kentang goreng KFC pula. Memang sengaja dia membeli lebih agar Rana punya pilihan. Demi terdengar sahaja perkataan fun fries, Rana terus menoleh. Uwais tersenyum kerana sangkanya dia telah mendapat perhatian Rana. Disuakan kotak berwarna merah itu di depan Rana sambil dia memandang penuh harapan. Wajahnya dilembutkan.

Lain halnya dengan Rana.

Jantungnya bagai tersentap melihat kentang goreng tersebut. Terus khayalannya menggamit Aydeen yang sentiasa merengek meminta makanan tersebut. Itukan salah satu makanan kegemaran anaknya? Bagaimana harus dia telan makanan tersebut tanpa memikirkan Aydeen? Bagaimana harus dia masukkan ke mulut makanan tersebut jika ianya tidak mampu lagi dinikmati anaknya?

Rana terus jalarkan pandangan pada kentang di tangan suaminya. Matanya yang mula berkaca kembali dicerlunkan pada Uwais. Uwais yang menyedari perubahan wajah Rana terus mematikan senyumannya.

Tanpa diduga, Rana menepis makanan tersebut lalu kesemuanya terjatuh ke lantai. Habis bertaburan kentang dan ayam goreng menyebabkan Uwais tersentak. Matanya menjalar pada kentang dan ayam goreng di lantai sebelum dia kembali memandang Rana.

Kesal terasa mengusik apabila Rana menepis rezeki itu dengan kasar namun perasaan itu tiba-tiba hilang apabila dia melihat setitik air mata terus jatuh dari kelopak mata isterinya itu.

Uwais menghela nafas dalam-dalam sebelum tunduk mengutip makanan tersebut. Semua ini adalah rezeki Allah tetapi Rana bagai tidak mempedulikannya. Kini baru Uwais akui, kecewa benar wanita ini dengan hidupnya.

“Tak apalah awak. Ambillah masa awak.” Uwais bersuara separuh berbisik. Wajahnya penuh sesal.

Sekali lagi Uwais beralah lantas berlalu keluar meninggalkan isterinya itu. Rana mengesat sisa air matanya lalu wajahnya kembali beku. Perlahan-lahan dia membetulkan bantal lantas kembali berbaring memejamkan mata.


------------------------------

“Tak makan juga ke?”

Uwais pandang ibunya yang bertanya ketika dia turun ke dapur.

“Tak.”

“Astaughfirullahala’zim.”

Mak Jah letak kembali pisau yang digunakan untuk memotong sayur. Matanya bertamu dengan anaknya. Pelik, Uwais tetap tenang.

“Tak apa mak. Uwais tahu nak buat apa.”

“Nak buat apa?”

“Mak, Rana tu kalau kita pujuk memang tak jalan”

“Habis tu? Kamu nak buat apa?”

“Kejutkan dia.”

“Kejut dia?” Mak Jah garu kepala.

Uwais hanya senyum penuh makna. Sebungkus Fun Fries yang tertinggal dalam plastik dikeluarkan. Sebatang diambil lalu terus dimasukkan dalam mulut.

“Mak nak?” Selamba dia mempelawa ibunya itu.

“Hish! Kamu orang muda aje makan benda macam tu! Mak tengok pun tak selera!” Ujar Mak Jah seraya menyambung kerjanya. 


--------------------------------


Petang itu, Uwais masuk ke bilik Rana membawa semangkuk bubur. Hari ini, nak atau tak nak, Rana perlu makan! Uwais dah bertekad. Dah empat hari tak makan, Rana masih hanya mengalas perut dengan susu. Itupun sedikit yang sangat dia minum. Uwais tak sanggup tengok Rana terus berdegil macam tu.

Perkara pertama Uwais adalah menyelak langsir dengan kasar. Cahaya petang terus mencuri masuk memedihkan mata Rana. Cepat-cepat Rana tutup mukanya dengan belakang tapak tangan.

Orang gua ni dah kenapa? Bukan dia tak tahu Rana tidak suka cahaya yang terang! Rana mendengus perlahan.

Uwais sekarang sudah berdiri depan Rana yang masih berbaring seperti biasa. Rana dapat mencuri pandang pada Uwais yang sedang memegang semangkuk bubur. Dia memang tak pernah serik agaknya.

“Awak, makan!” Tanpa memanggil Rana dengan lembut, Uwais bersuara keras. Ya, dia tidak akan berlembut lagi. Matanya dicerlun tajam pada isterinya. Rambut wanita itu semakin mengerbang kusut tidak terurus dan wajahnya kian lesu.

Sekali lagi Rana mengeluh bila ternyata Uwais tak serik mengganggunya walaupun dia sudah menepis lelaki itu semalam. Hari ini, dia datang dengan muka dan suara yang lebih tegas pula. Maaf, dia tak takut dengan lelaki ini.

Uwais terus buat tak endah akan keluhan keras Rana. Dia terus duduk di birai katil. Bubur diletakkan atas meja tepi sebelum dia cuba memegang bahu Rana untuk memaksa wanita itu duduk.

Dengan pantas dan kasar, Rana tepis tangan Uwais.

Dia jeling suaminya sekilas sebelum pandang ke arah lain. Benci!

Uwais pula masih buat tak mengerti. Dia tidak lagi tersentak seperti hari sebelum sebaliknya bubur diambil kembali. Dengan menggunakan sudu, bubur tersebut dikacau beberapa ketika sambil dia meniup lembut supaya bubur itu sedikit sejuk. Rana jeling sekilas. Dengan muka penuh jambang di muka, Rana dapat melihat hanya bibirnya sahaja yang terkeluar dan termuncung-muncung meniup bubur tersebut.

Buruk!

Uwais mendaratkan anak mata pada isterinya. Cepat-cepat wanita itu melarikan pandangan.

Tak apa!

Kita tengok nanti siapa yang lebih degil. Getus Uwais.

“Nah, makan.”

Sesudu bubur nasi sudah disuakan pada isterinya. Rana kemam bibir. Sakit pula hatinya bila Uwais buat tak tahu yang dia tak nak. Kepalanya dipalingkan dari Uwais lalu dia buat keras dan kaku. Saja! Biar Uwais tahu dia tak nak makan. Dia tak kan dan tak boleh makan!

“Makan..”

Suara Uwais tekankan pun Rana buat kaku badannya. Akhirnya, Uwais letak kembali bubur. Suasana kembali sunyi membuatkan Rana sedikit lega. Dia dapat rasakan, Uwais tentu akan pergi seperti biasa.

Selalunya Uwais kalau dah mengalah, dia akan diam dan keluar dari bilik, kan?

“Atau awak nak mandi dulu?” Soal Uwais tiba-tiba. Suaranya kembali tegas.

Uwais tahu Rana tak mandi daripada hari pertama. Berkurung sahaja kerjanya. Uwais sangka dia dah cukup selekeh, ada lagi orang yang lebih selekeh darinya. Isterinya sendiri.

Suasana sepi beberapa ketika menandakan Rana takkan mandi apalagi makan.

Okay, tak nak mandi kan?”

Senyap..

“Saya mandikan awak, sekarang!”

Laju aje Rana menoleh kembali pada Uwais. Matanya bulat tanda tidak setuju dengan pelawaan keras lelaki ini. Mana mungkin Rana rela diri dimandikan lelaki ini? Gila!

“Kenapa? Tak boleh?” Semakin seronok Uwais tekankan nada suaranya.

Rana gigit bibir dan matanya menjalar memerhatikan seraut wajah di depannya. Berguraukah dia? Tidak. Tak ada tanda lelaki ini bergurau. Wajahnya pula kembali membengis tidak seperti hari sebelumnya. Mangkuk bubur sudah lama diletakkan ke tepi menandakan Uwais lebih suka idea membantunya mandi.

“Segan? Tak apa, saya lap sikit pun boleh.”

Lelaki ini tiada tanda mahu berhenti.

Uwais mula pegang hujung baju Rana membuatkan Rana terus terduduk dari baringnya. Matanya berlaga dengan Uwais. Dahinya dikerutkan tanda tidak suka dengan desakan lelaki itu. Hujung baju yang dipegang Uwais direntap kasar.

“Cepatlah! Saya mandikan. Buka baju!”

Uwais cuba lagi sekali menarik hujung baju isterinya namun cepat-cepat tangannya ditepis kasar. Muka isterinya yang tadi pucat kini sudah bertukar warna merah. Tentu dia tidak menyangka Uwais seberani itu.

Uwais tahan senyum lantas dia kembali mengambil pinggan nasi tersebut.

“Kalau tak nak saya mandikan, awak makan.” Suara Uwais mula mendatar kembali.

Rana terdiam.

“Makan.”

Sudu dah disuakan pada Rana yang terduduk memandangnya. Rana kemam bibirnya lebih kemas. Uwais tenung Rana kali ini. Wajahnya yang bertukar jadi bengis membuatkan Rana tahu dia tiada pilihan.

“Makan!!!” Suara Uwais bergema memecah suasana bilik yang selalunya sunyi. Bahu Rana sedikit terjungkit apabila disergah begitu. Selama ini Uwais bersabar dengannya. Kali ini tidak lagi.

Bagai luluh jantungnya mendengar suara garau lelaki itu yang cukup menandakan tiada tolak ansur untuknya lagi. Dah lah mukanya mula merah padam. Di tambah dengan penampilannya yang menyemakkan mata, sesiapapun akan membayangkan seribu kemungkinan kalau lelaki ini naik hantu.

Sudu sudah disuakan kembali. Dalam terpaksa, Rana buka sedikit bibirnya dan Uwais terus tayang muka serius. Cukup untuk beri tanda, kalau Rana degil, Uwais tak teragak-agak untuk ubah fikiran daripada suap makanan kepada mandikan Rana.

Kalau perlu, dia sanggup seret isterinya itu ke bilik air.


------------------------------------------------

“Eh, bubur ni kamu makan ke, isteri kamu yang makan?”

“Mak ni! Rana la makan.”

“Hish! Berjaya juga kamu?” Soal Mak Jah seolah tak percaya. Mangkuk bubur yang Uwais letakkan di dalam sinki diangkat tinggi-tinggi.

“Ke mangkuk ni bocor?”

Uwais gelak mendengar ibunya berseloroh. Tanpa menjawab, dia mengambil sebuah cerek. Di tadahnya air ke dalam cerek tersebut sehingga penuh lalu dipanaskan atas dapur gas.

“Nak buat apa pula air ni? Kan tadi kamu baru minum petang?”

“Nak buat air mandian Rana, mak.”

“Oooh.”

Mak Jah kembali terdiam. Diperhatikan saja Uwais yang sibuk keluar masuk bilik air menyediakan bangku dan menadah air untuk Rana dalam kolah. Seketika dia termenung tak percaya.

Mahu ke Rana tu mandi?

“Mak!”

“Ha, iya!”

“Tolong cakap kat Rana, Uwais dah sediakan air mandian. Nanti mak suruh dia mandi, ya?”

“Eh, dah kamu nak pergi mana?”

Uwais senyum sambil mengesat tangannya yang basah. Dia berjalan keluar bilik air lalu menghampiri ibunya.

“Uwais nak solat maghrib kat masjid la macam biasa. Lagi sejam nak masuk waktu ni.”

“La! Kalau dia tak nak mandi macam mana?”

“Kalau dia tak nak mandi, cakap dekat dia ‘tunggu Uwais balik’.”

“Pula!”

Mak Jah kerut dahi tak faham.

“Kamu tak perlu solat di masjidlah hari ini. Solat di rumah saja. Mak rasa, kamu aje boleh buat Rana ikut cakap kamu.”

Uwais terdiam memikirkan cadangan ibunya. Ada benarnya cadangan tersebut. Hari-hari dia memilih solat maghrib dan isyak di masjid. Rasanya tak salah kalau hari ini dia korbankan dahulu aktivitinya itu. Sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

Perlahan-lahan, Uwais menganggukkan kepala membuatkan ibunya menghela nafas lega.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku