Kucing
Bab
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 05 Mac 2017
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)
1168

Bacaan






          “Yeay! Yeay! Ayah balik. Yeay! Yeay!”

          “Haaa..apa khabar puteri kecil ayah?”

          “Ani okay, I am good!” jawab anak kecil itu dengan riang.

           Tergeletek hati ayahnya melihat telatah anak tunggalnya itu. Sudah pandai berbahasa Inggeris berkat pembelajaran di rumah yang dipraktikkan oleh dia dan isterinya.

          “Ayah..ayah..”

          “Ye?”

          “Ayah ingat tak hari ni hari apa?”

          “Ish! Mesti la ayah ingat. Hari ini kan hari Khamis.”

          “Eyyyhhh!! Tahu lah. Bukan yang tu.”

          “Habistu?”

          “Hari ini ada apa? Hari ini sempena apa?”

          “Hurmmmm…” Ayahnya menggaru-garu kepala seperti memikirkan sesuatu. Selang beberapa detik, ayahnya tersenyum dan terus membalas pertanyaan anaknya itu.

          “Ayah dah ingat! Hari ni ‘Hari Kambing Masak Kurma’ kan? Hahahaha,” jawapan humor yang diberikan selepas tercium bau masakan dari dapur. Masakan isterinya. Masakan ibu kepada anaknya itu.

          “Eyyyhhh!! Benci lah ayah ni!”

          “Hahahahahahaha!”

           Hanya ketawa besar, berdekah-dekah kedengaran dari mulut ayahnya itu. Anak kecil itu hanya mencebikkan bibir. Kakinya menghentak-hentak ke lantai tanda marah. Tanda protes dengan memori lemah ayahnya. Anak kecil itu mana mungkin mengerti humor orang dewasa. Selang beberapa detik, raut wajah anaknya mula kemerahan. Bibirnya telah dicebikkan melepasi tahap norma. Menunjukkan tanda-tanda emosi sedih, tangisan mungkin akan tercetus bila-bila masa sahaja. Melihat perubahan itu, ayahnya menghentikan gelak tawanya. Agak sukar. Masih lagi tertawa kecil beberapa kali.

          “Mana boleh ayah lupa Ani anak kesayangan ayah oi, hari kan hari jadi kamu.”

           Masih lagi mencebik bibir.

          “Alololololo..” Ayahnya cuba bergurau senda, sambil menggeletek pinggang anaknya itu.

           Anak kecil itu cuba mengelak, menujukkan protes kemarahan. Tetapi jika diperhatikan dengan teliti, kelihatan sedikit ukiran senyuman disebalik cebik bibirnya.

          “Tak nak kawan ayah!”

          “Tak nak kawan sudah! Hahahaha..”

           Ayahnya lantas menjengah ke luar pintu rumah dan menggapai sesuatu di sebalik ruang di antara rak kasut dengan daun pintu. Sebuah sangkar besi berwarna hitam diangkat. Terdapat seekor haiwan di dalam sangkar itu. Haiwan bermisai, berkuku tajam dan berbulu. Halus bulunya, gebu.

          “Kalau tak nak kawan dengan ayah, Ani kawan dengan si meow ni.”

           Anak kecil itu terus tersenyum girang. Dia melompat-lompat kegirangan mengelilingi ayahnya yang sedang menjinjing sangkar kucing itu. Ayahnya tahu benar, masak dengan perangai anaknya. Cukup meminati haiwan kesayangan Rasulullah S.A.W itu. Setiap kali kelibat haiwan berbulu itu melintasi hadapan mereka, tak kira di kaki lima, restoran, bahkan ketika berada di dalam kereta, anaknya akan terus menjerit-jerit memanggil kucing tersebut. Berkali-kali dia meminta seekor kucing sebagai peneman rumah, sebagai penyeri, sebagai haiwan peliharaannya. Cuma isterinya, tidak menggemari haiwan berbulu itu. Cukup alergik. Tidak cukup dengan kuisan kaki, sepak terajang pun pernah dihadiahkan kepada kucing jalanan yang cuba meminta makanan. Tetapi hari ini ayahnya tekad. Menggunakan kuasa veto, permintaan anaknya perlu ditunaikan. Alangkah bahagia seorang ayah yang dapat menggembirakan hati anak kecilnya.

          “Meeooowwwwww…” anak kecil itu mengusik haiwan berbulu di dalam sangkar itu. Jari mungilnya dijolok-jolok sebalik celahan sangkar, mencuit haiwan berbulu itu.

           Kucing itu hanya diam. Mungkin ketakutan. Hanya bunyi bising keseronokan dan bunyi ajukan kucing dari mulut anaknya kedengaran. Riuh rendah rumah mereka kedengaran dari jauh. Indah kebahagiaan keluarga mereka.

           Bahagia.

          “Imaginasi aku je kot,” bisik ayahnya di dalam hati, tatkala melihat wajah kucing itu yang sedang senyum sinis, hanya seimbas senyuman itu, apabila melihat wajah anaknya yang sedang bergembira.


                                             ******************************


          “Abang! Abang bukannya tak kenal Nor! Nor alergik dengan kucing!”

           Tiada respon diberikan. Hanya kepulan asap rokok dihembus keluar dari mulutnya. Berkepul-kepul keluar melalui beranda. Hanya perokok yang memahami erti nikmat menghisap rokok. Benda yang telah lama difatwakan haram ini. Bukannya dia tidak tahu dosa pahala, cuma berpura-pura tidak tahu. Selagi mana ada khilaf di kalangan ulama’, selagi itu pegangannya masih boleh menghisap rokok. Salah satu waktu wajib menghisapnya adalah selepas menjamu selera, seperti sekarang, dan di samping peneman semasa membuang air besar dan ketika memandu tatkala terperangkap kesesakan lalu lintas. Lamunannya dipintas oleh terjahan soalan dari isterinya.

          “Abang dah mati kutu ke apa? Dah takder benda lain nak dibeli buat hadiah pun? Kucing juga abang belikan?”

           Hanya senyuman hambar diberikan. Diendahkan bebelan isterinya. Matanya terus meleret ke arah pemandangan lalu lintas jalan raya nun di bawah sana. Rokok masih dikepilkan di celahan jarinya. Telinganya hanya memfokuskan kegirangan anaknya di dalam rumah yang sibuk bergurau senda dengan kucing itu.

          “Abang tahu kan Nor alah dengan kucing. Nanti mesti Nor bersin tak henti-henti kalau ada kucing! Eee..dah la kucing ni jenis haiwan yang pengotor! Berak merata. Siapa nak basuh? Abang?? Nor juga yang kena basuh tahu tak?”

           Tersenyum.

          “Habis busuk satu rumah tahu tak?”

           Tersenyum.

          “Lain kali pakai lah otak sikit abang pun! Nak sambut hari lahir anak, beli lah mainan ke, bawa pergi taman tema ke, buat birthday party ke, ni tidak, kucing dibelinya?? Binatang yang Nor meluat! Benci! Pengotor!”

           Tersenyum.

          “Tengok macam tadi. Nak makan pun susah! Bising dalam sangkar! Kalau lepaskan habis sofa tu dicakar, sama macam sofa kat rumah Along tu. Lama-lama satu rumah busuk bau kucing! Buang la! Kalau tak Nor bunuh binatang tu! Nor nak lempar kat bawah tu! Tak pun buang kat pasar pagi esok.”

           Tersenyum. Kemudian, muka ketat dihasilkan.

          “Bising lah awak ni,” jawapan secara tiba-tiba yang dikeluarkan bagi menghentikan bebelan isterinya itu.

          “Biar lah. Alergik je pun. Bukannya boleh mati. Tahan lah sikit demi anak,” sambungnya lagi.

           Mata lelaki itu masih ralit memerhatikan silau lampu kenderaan di jalan raya. Sayup kedengaran, suara bebelan isterinya yang masih tidak berhenti. Bertubi-tubi. Aneh! Bebelan itu kuat dan lantang, betul-betul bersebelahan dengannya. Betul-betul di sebelah telinganya. Tetapi bebelan itu hanya sayup-sayup kedengaran di telinga. Sepatah pun tidak diambil peduli. Setelah beberapa minit, isterinya berhenti dan terus menuju masuk ke rumah. Sambil menghempaskan pintu gelangsar, satu jeritan dikeluarkan.

          “Bodoh punya suami!”

           Tersenyum.

           Jauh di sudut hati, menyumpah-nyumpah bangang isterinya.

           Lagipun, bukan lah ideanya untuk membeli kucing tersebut. Petang tadi, sedang fikirannya serabut dengan hadiah hari jadi yang perlu disediakan, satu pertolongan tiba-tiba muncul. Seekor kucing dihadiahkan oleh seorang geladangan ketika di persimpangan lampu isyarat. Sebagai seorang ayah, siapa yang tidak tergoda melihat seekor kucing yang berbaka dan comel, apatah lagi hendak diberi secara percuma. Free kot?


                                             ******************************


          “Bangsat punya kucing! Tak der tempat lain ke nak berak hah??” Sumpah seranah yang dikeluarkan dari mulut Nor tatkala melihat ketulan najis di atas tikar kesayangannya.

          “Nanti kau. Siap kau!”

           Melilau-melilau matanya mencari kelibat kucing gebu itu.

          “Haa! Sini pun kau! Meh sini aku nak tonyoh-tonyoh dengan cabai!”

           Nor menerjah ke arah kucing itu. Walaupun dengan aura dendam yang amat kuat dirasai, kucing itu tidak menunjukkan sebarang reaksi ketakutan. Hanya meneruskan aktiviti menjilat tubuh badannya, disamping melihat reaksi wanita itu yang semakin menghampiri.

          “Meoww?”

           Bunyi yang mimik seakan-akan pertanyaan dikeluarkan dari mulut kucing itu tatkala dia diangkat oleh Nor. Ditenungnya wajah Nor dengan pandangan kecomelan melampau. Kenapa dia diangkat? Nak kemana?

           Purrrr..Puurrrrr...Purrrrrr…

           Hanya bunyi manja getaran dihasilkan. Menyangkakan wanita itu menyayanginya. Sedang memanjakannya.

           Nor membuka peti ais di dapur, dan menggapai segenggam cili padi dengan tangan kanannya. Segemal dicekaknya. Dikepalkan seketika genggaman, dan terus tanpa belas kasihan menonyoh ke muka kucing itu. Apa lagi, menggelinjang lah kucing itu. Tetapi rontaannya masih lemah. Syaitan mula menguasai diri Nor, ditonyohnya lagi sekuat hati di muka kucing tersebut. Geram melihat kucing itu masih belum memberi respons kesakitan melampau. Selepas beberapa detik, barangkali kepedihan mula dirasai. Raungan kesakitan dalam bahasa kucing kedengaran memenuhi setiap pelusuk rumah. Meronta-ronta kucing itu dengan nada yang sangat kasihan, kesakitan melampau, tidak tertahan agaknya. Walaupun tangan Nor dicakar-dicakar dek rontaan, Nor hanya menguatkan lagi genggaman, dan terus-menerus menonyoh-nonyoh cili padi ke wajah kucing tersebut.

           Setelah berpuas hati, baru lah dilepaskan kucing itu. Lantas, menggelupur lah haiwan berbulu itu melarikan diri. Terhoyong-hayang tidak kenal arah. Beberapa derianya mungkin lumpuh seketika.

           Bammm!

           Bunyi hentakan akibat kucing itu terlanggar rak pinggan. Tapi, terus melarikan diri ketakutan. Sakit sangat.

          “Hahahahahaha!”

           Nun di hujung rumah, kucing itu masih menggelepar kesakitan, beberapa kali diusap-usap wajahnya menggunakan kaki hadapannya, dicucikan, lantas dijilat. Kemudian tidak tentu arah dan mengeluarkan bunyi yang sangat kasihan. Bunyi kesakitan dan kepedihan yang melampau. Haiwan itu cuba untuk pegun di suatu lokasi, tetapi tidak mampu. Terlalu sakit. Terlalu pedih. Bunyi kesakitan dan gelupurannya terus-menerus selama beberapa minit.

          “Hahahahahah..baru puas hati aku!”

           Hanya ketawa berunsurkan kejahilan kedengaran sayup dari ruang dapur. Tawa Nor.

           Tetapi, Nor sedar, dia cuma berpura-pura tidak sedar sebentar tadi. Kucing itu tersenyum! Ya, ketika dia dirasuk untuk terus menyakitkan kucing itu. Sedang dia dengan rakusnya menenyeh cili ke wajah kucing itu, makhluk itu tersenyum!


                                             ******************************


          “Nor..kucing bukannya faham apa yang salah, apa yang betul.”

           Diam.

          “Kalau ye pun kucing tu berak kat karpet tu, tak perlu lah sampai begitu sekali awak seksa dia. Dia pun makhluk Tuhan. Ada perasaan. Ada naluri kesakitan. Kasihan la sama.”

           Masih tiada respon.

          “Awak tengok anak kita tu, kesian kat dia. Sangat manjakan kucing itu. Tak pernah berenggang langsung. Sampaikan nak ke tadika pun kena dipaksa. Tak sanggup tinggalkan si meow.”

           Diam lagi.

          “Ingat Nor, setiap yang kita buat pasti ada balasannya. Tuhan itu Maha-Adil.”

           Nor hanya menjeling tajam suaminya. Lirikan matanya hanya memerhatikan tangan suaminya yang sedap mengepil sebatang rokok. Hatinya meluat melihat gelagat alim suaminya. Ceramah konon. Alim konon. Jika diberi peluang, mahu saja dihadiahkan sebuah penumbuk tepat di mata kanan suaminya. Diendahkan suaminya yang berbadan gempal itu.

           Semasa melangkah ke dapur, sekali lagi amarahnya membuak. Kucing itu datang dan bergesel-gesel di kakinya. Cuba bersabar, tetapi sabarnya lesap begitu sahaja tatkala Nor hampir terjatuh akibat sukar untuk berjalan. Pergerakannya dihalang oleh kucing itu. Tanpa berfikir panjang, satu sepakan tepat di perut kucing itu terus dihadiahkan oleh Nor. Dua kali sepakannya.

          “Padan muka kau! Pergi jauh-jauh.”

           Kerja basuh pinggan diteruskan. Tekun sekali Nor memfokuskan kepada kerjanya.

           Akan tetapi, terdapat sesuatu yang menganggu fikirannya sejak dari minggu lepas. Sering menghantui dirinya. Setiap kali dia menyepak, menendang, menyeksa dan berbagai tindakan kejam terhadap kucing itu, niatnya hanyalah sekadar suka-suka, tetapi bagaikan dirasuk sesuatu, anggota tubuhnya tidak dapat berhenti. Tidak dapat terhenti dari terus-menerus gembira tatkala melihat kucing itu mengerang kesakitan. Tangannya, kakinya, terus menampar, menendang, menyeksa kucing itu, walhal jauh di sudut hatinya, masih wujud perasaan kasihan. Dan, yang paling mengganggu fikiran Nor, setiap kali penyeksaan dilakukan, Nor perasan, mimik wajah kucing itu, seakan-akan tersenyum. Senyum memerli Nor.

           Hairan.

           Tetapi mulut dan suara kucing itu menunjukkan reaksi sedang mengerang kesakitan. Tetapi diselang-seli dengan satu senyuman sinis, yang ngeri, Pernah sekali dia menyedari senyuman itu datangnya daripada bayangan kucing itu sendiri. Ya, bayang-bayang yang terhasil daripada kucing itu. Senyuman yang kelihatan di sebalik dinding, pantulan bayang-bayang hitam, seekor kucing yang sedang senyum sinis. Seakan-akan, kucing itu yang mengawal Nor. Kucing itu yang menghasut untuk membencinya. Untuk menyeksanya.


                                             ******************************

           Suasana gelap.

          “Hello?”

           Sunyi.

          “Ada sesiapa ke kat sini?”

           Sunyi.

          “Abang? Ani?”

           Sunyi.

           Nor cuba berpijak di dunia yang nyata. Diperhatikan keadaan sekeliling. Sunyi sepi, tiada sebarang pencahayaan. Gelap gelita. Bahkan tangannya sendiri tidak kelihatan.

          “Bekalan elektrik terputus ke?” Soalan yang diajukan kepada diri sendiri.

           Tangan Nor cuba menggagau mencari suaminya. Meraba-raba keadaan sekeliling. Aneh, suaminya tiada di sebelah, Lagi aneh, Nor bukan lah di atas katil. Dia sedang berdiri entah di mana. Seingatnya, dia sedang berbaring dan terlelap di sebelah suaminya.

          “Abang! Abang kat mana? Ani? Ani dengar tak suara mak?”

           Suasana masih gelap. Sunyi. Seram sejuk. Pengudaraan tidak beberapa baik. Udara terasa lembap, dengan sedikit bau pahit, busuk. Nor cuba melihat keadaan sekeliling sekali lagi. Setiap sudut ditenung dengan tajam, dengan niat kononnya dibesarkan kornea matanya, bagi mendapat lebih banyak pencahayaan untuk melihat di mana dia sedang berada. Tetapi, satu habuk benda hidup, hatta bayangan objek pun tidak kelihatan.

          “Meowwwww…”

           Hanya suara kucing itu yang kedengaran. Buat pertama kalinya, Nor lega mendengar bunyi itu. Tersenyum Nor seorang diri dek gembira dengan bunyi yang seringkali meluap-luapkan api kemarahannya. Diperhatikan dari satu sudut, kucing itu sedang berjalan menghampiri Nor. Langkah demi langkah.

           Dari sedikit pencahayaan yang entah datang dari mana, kelibat kucing itu berada betul-betul di hadapannya. Nor terbeliak! Matanya terbeliak! Diperhatikan kucing itu sedang berdiri dengan kaki belakangnya. Seakan-akan berdirinya manusia. Kucing itu seakan-akan di solek. Kelihatan sedikit bergincu, dengan alas solekan di kelopak dan keliling bebola matanya. Dan kali ini Nor dapat melihat dengan jelas.

           Kucing itu tersenyum!

           Mata Nor masih terbeliak. Tekaknya terasa disekat sesuatu. Tidak dapat bersuara. Seluruh badannya kaku. Sejuk sekali. Tiba-tiba, bebola matanya terasa pedih. Seakan-akan mereput. Sangat pedih! Ibarat diambil cili padi dan diperah jusnya, tepat ke bebola mata. Sakit! Mulutnya terkunci! Tetapi ternganga. Ternganga luas. Kiri dan kanan bibirnya juga terasa pedih. Pedih yang teramat! Seperti terdapat seseorang sedang menoreh bibirnya menggunakan pisau dapur dan terus ke pipinya. Mata Nor masih terbeliak. Memerhatikan kucing itu yang masih tersenyum sinis memandang Nor.

           Dengan bersusah-payah, Nor mengangkat tangannya kepada kucing itu. Seakan-akan meminta pertolongan.

          “Tolonggggg….”

           Suaranya tersekat-sekat.

          “Tolonggggggggggg….”

           Kucing itu hanya tersenyum.


                                             ******************************


          “Tuhan lebih sayangkan isteri kamu.”

           Angguk.

           Bacaan tahlil baru sahaja selesai. Seorang demi seorang beredar pergi. Setiap jiran yang datang menunjukkan rasa simpati, dengan kematian isterinya. Bau kemenyan masih kuat memenuhi rumahnya.

          “Bersabar lah ye..” teguran seorang lagi jiran.

           Angguk.

          “Assalamualaikum ustaz..” Sapaan diberikan kepada seorang lelaki muda yang berkopiah dan berjanggut kemas itu. Pemuda yang mengimamkan bacaan tahlil sebentar tadi. Sapaan isyarat untuk bertanyakan sesuatu, setelah dia pasti orang ramai sudah berkurangan.

          “Waalaikummussalam..”

          “Ustaz..apa yang patut saya lakukan? Saya takut anak saya fobia, terkesan melihat keadaan mayat isteri saya, mayat ibunya, yang tidak sempurna pagi tadi. Semenjak dari tadi, dia langsung tidak bersuara. Menangis pun tidak. Seakan-akan kaku. Seakan-akan rohnya dikunci sesuatu.”

           Pemuda itu hanya tersenyum. Cuba menghadiahkan satu senyuman harapan. Tetapi disebalik senyuman, pemuda itu tahu, sudah pasti kanak-kanak itu akan ketakutan melihat keadaan ibunya. Mata mayat ibunya terbeliak, hampir terkeluar bebola matanya, Mulutnya ternganga luas. Seperti mati dalam ketakutan dan kesakitan yang teramat sangat. Urat-urat hitam memenuhi wajah mayat itu, kebanyakannya di kawasan mata dan hujung bibir.

          “Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.”

           Pemuda itu menjeling melihat anak kecil itu di penjuru rumah. Sedang duduk memeluk lutut. Comel kucing di sebelah anak kecil itu. Hanya duduk terpangku melihat tuannya. Seperti sedang memujuk.

          “Kembali kepada Yang-Esa, sentiasa dekatkan diri kepada-Nya. Hanya Dia yang Maha-Mengetahui.”

           Angguk.

          “Assalamualaikum.”

          “Waalaikummussalam Ustaz.”

           Ketika sedang mengenakan sepatu, pemuda itu sekali lagi menghadiahkan sekuntum senyuman kepada tuan rumah, ayah kepada anak kecil itu. Dan sekali lagi dia menjeling kearah anak kecil itu. Sebenarnya pemuda itu bukan lah cuba melihat Ani, tetapi melihat kucing itu. Ingin memastikan apa benar yang dia terlihat sebentar tadi.

           Kucing itu tersenyum!

          “Imaginasi rasanya. Mainan perasaan. Astaghfirullah,” bisiknya di dalam hati, sambil berlalu pergi.




                                             -TAMAT-










































Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku