Persis Akar Dani
Part 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
228

Bacaan






Sejambak mawar putih ditangannya ditatap geram. Lelaki itu semakin berani! Kalau hendak diikutkan hatinya, mahu saja direnyuk-renyuk bunga itu sampai hancur lumat. Kalau dengan orang yang tak faham bahasa, memang itu saja caranya!

Puteri Zulaikha berpusing ke kiri dan ke kanan mencari kelibat orang yang dinanti. Marahnya kian meluap mahu memuntahkan lahar. Sudah tebal mukanya diusik dan diperkatakan teman-teman sekolej. Apa tidaknya, hari-hari dapat bunga dari si dia. Lebih hebat bila pesanan-pesanannya disampaikan melalui pelbagai cara. Sekejap melalui kawan sekursus, kadang-kadang ada poskad di cermin kereta dan paling banyak, salam yang sering dikirimkan melalui teman-teman lelaki. Sungguh memalukan! Dia sangka anak orang kaya maka dia boleh buat apa saja?

“Assalamualaikum,” satu suara menyapa dari belakang membuatkan Puteri Zulaikha terpejam matanya menahan perasaan yang bergelodak. Bunyi derap kakinya yang terhenti serentak dengan salam itu memang amat dekat dengannya. Salam tetap dijawab dalam diam. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dia berpusing laju. Serentak itu jambangan bunga ditangannya dihayun kuat ke dada lelaki yang tak faham bahasa itu.

“Ariff Haikal! Awak tak…” Suara Puteri Zulaikha hilang di situ sebaik saja melihat wajah lelaki yang tertegun memandangnya. Pegangan tangannya yang mengenggam sejambak bunga itu terlepas lalu bunga-bunga segar yang putih tak bersalah itu jatuh terhempas di kaki. Ada kelopak yang terlerai. Ada tangkai yang patah. Dek kerana ikatan rebennya tiba-tiba jadi longgar.

“Ya Allah!” Tangan Puteri Zulaikha laju menekup mulut sendiri. Buntang matanya memandang lelaki itu, tak berkelip.

Lelaki itu juga terkaku di situ. Menahan sakit dadanya dihempas sejambak bunga. Namun tak sesakit hati di dalam tatkala dia mendengar nama yang dilontarkan dari dua ulas bibir yang merah basah itu. Realiti meregut mimpinya semalam, dia tunduk mengambil bunga yang tak berdosa itu. Dikutip kelopak yang gugur lalu diselit kembali di dalam ranting yang hampir terlerai. Dia tunduk memandang bunga tanpa sepatah kata. Kerana seluruh kata-kata yang dihimpunkan sejak sebulan yang lepas tiba-tiba hilang maknanya.

“Nuqman! Ab… abang! Ika…” Puteri Zulaikha gugup. Dia tak pasti hendak berkata. Riak wajah lelaki yang sekian lama ditunggu itu langsung tak dapat dibaca.

“Ariff Haikal? Segak orangnya?” Nuqman bertanya ringkas tanpa memandang. Bunga mawar yang putih suci itu dipandang dengan hati yang kini berbagai warna. Darah yang menyirap hingga ke otaknya membuatkan dia terpaksa menarik nafas beberapa kali agar dia tidak meledak di situ juga. Puteri ketap bibir mendengarnya. Cemas dan takut datang silih berganti. Nuqman yang tidak mahu memandangnya sangat menakutkan. Pasti lelaki itu benar-benar marah!

“Abang…” Terketar jemari Puteri mahu menyentuh tangan Nuqman yang masih mengelus mawar putih yang terkulai di tangannya. Saat itu juga tangan itu dijatuhkan dan dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Jemari Puteri dibawa ke bibir sendiri, digigit kuat untuk menghilangkan segala debar. Matilah!

Take your roses and bring me to him. I need to tell this guy who you really are!” Serentak itu, bunga-bunga malang itu kembali mendarat di dada Puteri Zulaikha dan sebelah tangannya ditarik kuat sehingga tubuhnya terdorong ke depan, dipaksa mengikuti langkah Nuqman yang panjang.

“Abang! Biar Ika jelaskan. Abang dengar dulu… tolonglah!” Namun lelaki itu sudah sampai ke keretanya. Pintu dibuka dan tubuh Puteri Zulaikha ditolak masuk dengan agak kasar. Nuqman melangkah laju lalu masuk di tempat duduk pemandu. Kereta meluncur laju meninggalkan ruang parkir di hadapan sunyi hening petang itu.

Talk now while you can!” Giginya diketap rapat. Rahangnya bergerak-gerak. Bukan mudah untuk mendengar nama lelaki lain meniti di bibir wanita kesayangan.

“Abang, Ika… err… dia… dia ganggu Ika! Sejak sebulan ni, abang. Tapi… tapi Ika tak pernah layan. Ika tak pernah bagi dia ruang pun! Demi Allah, bang! Ika dah marah dia, dah bagitau Ika tak suka. Tapi dia tetap kirim bunga jugak. Sebab tu, Ika tekad nak jumpa dia tadi, nak cakap terus-terang…”

“Nak cakap apa? Yang Ika ada suami? Kenapa baru sekarang? Kenapa tak sebulan dulu? Sebab abang dah nak balik?” Keras nada pertanyaan Nuqman sekeras air mukanya saat itu. Sedikit pun dia tidak berpaling.

“Abang! Ika tak sangka dia serius sangat. Ika dah sampaikan pesan, Ika tak suka dia. Ika ingat dia akan back off. Tapi semalam… abang, Ika tak pernah jumpa dia! Sumpah! Hari ni je Ika rasa Ika perlu berdepan dengan dia…” Puteri Zulaikha kalut sungguh. Kenapa Nuqman marah tanpa usul periksa? Nuqman tak percayakan dia? Wajah Nuqman semakin ketat memandang ke depan membuatkan Puteri Zulaikha rasa hiba. Dan bila lelaki itu diam tak berkata sepatah, hatinya semakin kecut dan hiba.

psst: Boleh dapatkan novel Makna Pada Rasa secara online untuk berkenalan dengan watak-watak dan cerita Muhamad Nuqman dan Puteri Zulaikha. Whatsapp 011-12541676. 

Sila kongsikan komen dan pandangan supaya penulisan novel ini semakin lancar. Moga terhibur!


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Part 1 | Bab Part 2 | Bab Part 3 | Bab Part 4 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku