Persis Akar Dani
Bab Part 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
160

Bacaan






Bayangkan!Apakah rasanya bila diri terpisah dengan jiwa? Nuqman adalah jiwa. Kasih sayang Nuqman bagaikan nyawa dalam diri Puteri. Kehadiran lelaki itu akhirnya melenyapkan segala dendam yang bersarang dalam hatinya selama ini terhadap kaum Adam. Manalah dia rasa bahagia selama ini bila hidup penuh dendam?

Saat lelaki bernama Ammar Bahrain meninggalkannya kerana gadis lain, segala rasa benci yang pernah terhimpun dalam dirinya terhadap kaum Adam memuncak. Namun Muhamad Nuqman, jejaka pilihan abah berjaya melunakkan hatinya. Kasih dan kesabaran Nuqman menginsafkannya. Detik mereka bersama di Istanbul dulu ketika dia menghabiskan cuti semesternya di sana, jiwanya berhempas pulas melawan segala perasaan terhadap Nuqman. Namun lelaki itu menguasai hati dan perasaannya dalam santai dia berkasih. Akhirnya Puteri terus juga menjadi pendendam. Tapi dendam yang berbeza. Dia sentiasa merindu. Rindu yang bercampur dendam yang tak padam-padam. Rindu Puteri pada rupa paras Nuqman. Dendam merawan kerana ingin sentiasa berada dalam dakapan mesranya. Redap merana mahu menatap redup matanya yang bening. Teringin benar hendak menghidu harum lelaki itu. Benar, Puteri akhirnya jatuh cinta dengan suaminya sendiri!

Saat berpisah di KLIA sebulan yang lepas sudah cukup memeritkan. Nuqman harus kembali ke Istanbul kerana tugasnya di sana belum selesai. Walau sekuat mana Puteri cuba menahan diri dari menangis, tapi airmatanya tumpah juga. Walau sekuat mata dia bertabah, akhirnya dia merayu juga.

“Abang, jangan pergi. Tolonglah jangan…” rintihannya terluah juga setelah puas dia memujuk diri. Saat tiba ke pintu balai perlepasan itu, benteng pertahanannya runtuh. Jemari Nuqman digenggam sekuat hati demi menahan perasaan. Bayangkan… selepas sekian lama dia cuba mengungkai hubungannya dengan Nuqman, akhirnya dia rebah diasak naluri wanita yang mendambakan kasih mutlak suaminya. Semalam, ya… baru semalam dia menyerah dirinya sebagai seorang isteri. Baru semalam dia mengecap nikmat cinta yang tak terbanding dengan apa pun… dan hari berikutnya dia harus melepaskan Nuqman pergi!

“Ika …” Ujar Nuqman dengan nada yang sarat. Dia melangkah mengadap isterinya, dekat sekali.

“Ika sayang…” Nuqman melepaskan pegangan ke atas bagasinya lalu memegang lembut belakang kepala Puteri dengan kedua tangannya. Kedua ibu jarinya mengusap ubun-ubun wanita kesayangannya itu seraya menolak lembut hingga Puteri tidak dapat mengelak lagi dari mendongak memandang sepasang anak mata Nuqman dengan pandangan yang lencun dek airmata yang berjuraian.

Saat itu… saat mereka saling berpandangan, detik waktu seakan-akan terhenti. Semua yang ada di sekeliling mereka seolah-olah pegun. Tiada jasad dan jisim yang bergerak. Kerana jasad bagaikan tak mampu lagi beraksi. Hati yang sarat dengan bebanan rasa juga tak mampu berbicara. Namun roh mereka bagaikan bersatu dan bersuara di suatu alam lain yang qudus. Mematri janji bahawa jarak, tempat dan masa tak akan memisahkan… kecuali takdir Allah.

Puteri akhirnya tertunduk dan teresak. Nafasnya sesak. Dadanya sakit. Hatinya mengakui bahawa Nuqman terpaksa pergi. Akalnya meyakini akan janji yang terpatri dalam diam itu. Namun airmatanya payah sungguh hendak berhenti.

Nuqman juga sebenarnya menahan diri. Airmata dan rintihan Puteri menggugat kelelakiannya. Perlahan dia meraih saputangan merah dari saku jaketnya dan mengusap kedua-dua pipi Puteri yang sudah kemerah-merahan dengan amat berhati-hati.

“Sayang, abang kena pergi. You know that right?” Nuqman memaksa diri untuk berkata sesuatu. Mana mungkin dia melangkah pergi meninggalkan insan kesayangannya diulit tangis begini. Puteri terngadah memandangnya. Angguk. Nafas Nuqman terhela akhirnya. Dengan segala sisa kekuatan yang ada, Nuqman cuba tersenyum semanis yang mungkin.

Senyuman manis Nuqman… itulah senjata paling tangkas yang mampu menangkis dan melenyapkan segala ancaman rasa dalam dirinya. Senyuman itu penawar segala serangan perasaan yang bergelodak dalam hatinya yang runsing sekaligus menjadi penawar mengubat segala duka. Senyuman itulah juga yang sedikit sebanyak berjaya mereda dan menenangkan hati Puteri. Lalu Puteri angguk lagi, benar-benar cuba mengerti.

“Tapi abang… Ika di sini… tak tahu macam mana?” Sebak meruntun. Sungguh dia masih belum mampu melepaskan lalu diluahkan kebimbangan dengan suara yang sudah serak. Berkerdip bulu mata lebat Puteri memandang suaminya bagai seorang anak kecil yang menagih belas ihsan dari seorang dewasa.

Come here, sayang, let me give you a hug. Come here, big girl!” Nuqman terus mendakap erat tubuh Puteri, seerat-eratnya dan cuba menutup rawan hati sendiri.

Dengan linangan airmata, tubuh kekar itu didakap seerat yang mungkin. Tuhan! Kalaulah dapat aku tinggalkan segalanya demi dia! Namun rasa tanggungjawab yang tergalas dibahu mematikan niatnya. Akur pada takdir, Puteri mengambil peluang terakhir itu untuk menghidu dan mencium sepuas-puasnya harum bau suami tercinta. Hatinya yang tadi hebat dilambung emosi kini sudah semakin tenang.

“Kita jumpa sebulan lagi… untuk majlis hari bahagia kita, hmm…?” Pujuk Nuqman dengan dengan penuh harapan.

“Lepas tu, kita honeymoon, ya sayang. There’s so much more of Istanbul to be explored.” Senyum terukir lagi. Lebih manis kali ini.

Hati Puteri ikut tersenyum dengan impian indah yang bakal menjadi kenyataan. Mereka akan disatukan secara rasmi dan cinta yang melimpah-ruah di dalam tak perlu disembunyikan lagi. Biar satu dunia tahu!

Hari ini, Nuqman kembali sepertimana yang dijanjikan. Untuk merealisasikan impian mereka. Tapi… kenapa ini yang berlaku, ya Tuhan? Puteri menggigit bibir, menahan esakan yang kembali menunda dalam diri. Dia berpusing mengadap Nuqman yang masih memandu dalam diam, beku dan bisu.

“Abang… jangan macam ni, please…! Ika… Ika tak suka dia. Ika cuma nak berterus-terang dengan dia supaya dia tak…”

“Jumpa sorang-sorang macam tu depan fakulti? Boleh ke? Berdua-duaan waktu student dah balik? Kalau syaitan pujuk ajak keluar ke mana-mana kononnya nak berbincang, macam mana?” Dalam kepala Nuqman memang macam-macam gambaran yang mengacah membuatkan jiwanya tertekan dan sengsara. Isterinya! Isteri yang dia tinggalkan baru sebulan!

“Ika minta maaf! Ika marah sangat sampai Ika tak terfikir nak ajak kawan temankan. Ika salah! Ika minta maaf…! Abang tolong jangan buat Ika macam ni! Ika rindukan abang…” Di situ Puteri Zulaikha sudah tak mampu berkata melainkan teresak. Emosinya jadi sarat dan empangan airmatanya pecah tanpa dapat ditahan lagi. Mana mungkin dia menduakan Nuqman sedangkan rindunya pada lelaki itu kian memuncak. Dia menderita menahan rasa. Kasihnya pada Nuqman terlalu dalam. Sampai hati Nuqman mahu mempersoalkan kejujurannya!

Terkelip-kelip mata Nuqman mendengar esakan Puterinya. Nafas dihela kasar. Dia meraup muka yang masih terasa hangat. Perlahan-lahan dia beristighfar. Airmata Puteri Zulaikha meruntun hatinya. Puteri yang dirindu saban hari sedang menangis kerana amarahnya. Nuqman memberi isyarat untuk memberhentikan kenderaan. Dia sendiri tidak pasti di mana mereka sekarang. Amarah yang meledak membuatkan akalnya kurang berfungsi. Dia harus berhenti daripada meneruskan perjalanan yang tiada hala tuju.

“Ika…!” Bahu wanita kesayangannya diraih mendekat. Kedua tangan yang menekup muka itu ditarik turun perlahan-lahan. Wajah basah itu diusap lembut dengan rasa bersalah. Dia sendiri kaget dengan dirinya. Belum pernah dia merasa apa yang dirasainya tadi. Dadanya ketat dan sekujur tubuhnya hangat bila darah panas menyirap. Apa maksudnya semua itu? Cemburu?

“Ika, abang minta maaf. Abang… tak bermaksud nak…” Nuqman tak pasti hendak berkata bila Puteri Zulaikha mengangkat mukanya dan menatap dia dengan sepasang mata yang berkaca.

I guess jealousy is a new thing for me to deal with,sayang. I am so sorry…” Kedua tangan Puteri Zulaikha dibawa ke bibir dan dikucup lembut. Lama.

Semakin lebat airmata Puteri Zulaikha gugur. Itulah Nuqman lelaki dambaannya, yang dicintai sepenuh jiwa dan raga. Mana mungkin dia tidak memaafkan lelaki itu walau sebesar mana pun kesilapannya.

“Maafkan abang, sayang…” rayu Nuqman sepenuh hati. Terpejam sepasang mata Puteri Zulaikha dan airmata hangat laju membasahi pipi. Nuqman telan liur sambil ibu jarinya menyeka kedua pipi itu. Sukar untuk dia gambarkan perasaannya dengan kata-kata pada saat itu. Lalu tubuh itu diraih ke dalam pelukannya tanpa dapat dia menahan diri lagi.

“Abang sayang Ika…” Bisiknya, lirih. Bukan mudah untuk seorang lelaki mengawal diri bila mereka terlalu mengasihi.

... bersambung.

pssst: Persis Akar Dani adalah sekuel novel Makna Pada Rasa yang sudah diterbitkan. Dapatkan novel ini secara online. Whatsapp 011-12541676. Boleh juga baca bab-bab awal Makna Pada Rasa di portal Ilham. Selamat terhibur.


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Part 1 | Bab Part 2 | Bab Part 3 | Bab Part 4 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku