Persis Akar Dani
Bab Part 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Karya Juea Abdullah. Novel ini adalah sambungan dari Novel MAKNA PADA RASA yang sudah terbit dalam versi cetak. Dapatkan Makna Pada Rasa secara online. Whatsapp 011-12541676
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
354

Bacaan






“Sekarang dia di mana?”

Wajah Puteri Zulaikha berubah pucat. “Err… di… di-dia?”

Nuqman yang sudah kembali memandu dengan tenang berpaling ke arah isterinya. Jangan dikocak hati ini, Ika! Benteng sabar ni memang takkan bertahan lama…, desis hati Nuqman sambil menjeling tajam.

Puteri Zulaikha cuba tersenyum untuk menyembunyikan rasa gelisah di hatinya. Dia nak buat apa pulak ni? Janganlah kecoh pula nanti. Mana nak letak muka ni! Jemarinya diriba diramas-ramas tak tentu arah.

“Abang tanya, sekarang dia di mana?” Nuqman mengulang tanya dengan suara yang sehabis tenang.

“Hmm… dia… dia… di tempat tadi tulah! Sebab… sebab Ika minta dia tunggu… kat situ…” Suaranya perlahan-lahan berhenti sambil dia menjeling sedikit demi sedikit ke arah Nuqman. Jangan marah lagi, tolonglah! Hatinya memanjat doa.

Nuqman diam. Betul juga! Mestilah lelaki itu menunggu isterinya di tempat yang dijanjikan. Marah punya fasal sampai otak pun tak berfungsi. Laju dia memutar stering membuat pusing U di sebuah simpang dan meluncur laju ke tempat tadi. Saat itu, akal dan hatinya berperang menyusun ayat apakah yang paling sesuai untuk dia hamburkan kepada kumbang sesat yang semberono memuja bunga di jambangan orang!

Sesusuk tubuh yang tegap dan tinggi lampai duduk santai di atas bonet kereta Puteri yang ditinggalkan di situ. Berambut ikal dan berkaca mata, lagaknya penuh santai dan yakin diri. Sepasang matanya meliar mengitari kawasan mencari gadis yang selama ini didambakan.

Seri. Itulah yang ada pada gadis yang amat menambat hatinya. Sejak semester ini bermula, dia secara tak sengaja terpandangkan wajah itu saat gadis itu sedang bersenda gurau dengan teman-temannya. Sungguh dia tak menyangka ada sesuatu yang menunggu bila dia tergerak hati mahu menziarahi adiknya belajar di fakulti senibina ini. Kebetulan, adiknya mengenali serba-sedikit latar belakang anak tan sri yang mengocak hati lelakinya. Maka sejak hari itu, seri wajah milik gadis bernama Puteri Zulaikha sering menjadi buruannya. Seri pada wajah itu begitu memukau tak kira samada tika dia rancak berbicara sesama teman atau diam termenung sendirian. Sukar untuk dia temui seri wajah seperti itu seolah-olah hatinya sentiasa berbunga bahagia. Bagaikan terasa matahari tersenyum dan bintang berkerlipan bila wajah itu ditatap asyik dan selalunya secara rahsia. Ahh… parah sungguh Ariff Haikal!

Deru bunyi kenderaan menghampiri membuatkan dia tegak berdiri. Dan sebuah Pajero berhenti betul-betul di sebelah kereta Puteri. Saat itu, wajah yang ditunggu muncul dalam pandangan. Puteri Zulaikha!

Sebaik saja Nuqman melangkah turun, wajah lelaki yang tadi teruja berubah kelat. Suara ketawa kecil meletus dalam hatinya. Tahu pun! Lain kali kalau nak singgah di jambangan orang, merisiklah dulu!

“Saya Nuqman, suami Puteri Zulaikha,” Terus, tanpa teragak sedikit pun, lafaz perkenalan itu terluncur sebaik saja salamnya berjawab dan tangan terhulur menawarkan silaturrahim walau entah bagaimana hujungnya hubungan itu nanti.

“Ohh… sa-saya… err…”

“Ariff Haikal. Apa khabar?” Tukas Nuqman dengan sedikit senyuman ditarik sekejap. Sekejap saja. Dan anak muda di hadapannya ikut cuba tersenyum. Namun tak jadi. Berbagai riak muncul di wajahnya, terkejut, keliru, malu dan kesal berbaur. Pandangan sepasang mata lelaki yang jelas lebih matang darinya itu menghunjam ke arahnya membuatkan dia kalut memandang ke arah lain.

“Sssa-saya… err… hmm… sorry! Saya… tak sangka. Maksud saya… saya minta maaf,” Gelabah dan rasa bersalah sebelum dipersalahkan. Maaf pastinya perkataan terbaik untuk meluruskan semua ini, bisik hati Ariff Haikal sambil menjeling ke arah dalam kenderaan pacuan empat roda itu, mencari kalau-kalau wajah yang berseri itu sudi menatap dirinya dengan kemaafan juga.

Lelaki yang berseluar khaki rona coklat muda kehijauan di hadapannya segak bergaya ranggi dan lengkap bersongkok itu berpeluk tubuh. Wajahnya tampan dan tenang namun serius memandangnya dengan riak muka yang penuh persoalan. Ariff Haikal telan liur berkali-kali.

“Saya betul-betul minta maaf,” ujarnya sekali lagi, seikhlas yang termampu.

Angguk.

Diam lagi.

Ariff Haikal hilang bicara. Dia hanya mahu minta diri dan pergi dari sini sepantas cahaya kerana rasa malu semakin kuat merengkuh dirinya. Namun lelaki bernama Nuqman ini terus berdiri dengan gaya senang dirinya, diam memerhati membuatkan dia tak mampu menyuarakan niat hatinya. Apakah lelaki ini mahu menuntut penjelasan? Ahh… rumitnya! Kenapa kau tersasar dengan isteri orang, Ariff Haikal! Marah sungguh dia dengan dirinya sendiri.

“Tahu tak kenapa Islam ajar kita sebagai lelaki supaya merisik dan menggunakan perantaraan dalam hubungan antara lelaki dan perempuan? Lebih-lebih lagi kalau perempuan tu kita nak jadikan teman istimewa.” Patah-patah perkataan yang lahir dari lelaki bersongkok itu bagaikan busur anak-anak panah yang menembusi dada dan terus ke jantung. Soalan kalah mati!

... bersambung


psst: Dapatkan novel Makna Pada Rasa dalam versi cetak yang sudah terbit Januari 2017 untuk lebih menghayati kisah Persis Akar Dani. Whatsapp 011-12541676. Bab-bab awal Makna Pada Rasa ada dimuatnaik di portal Ilham. Selamat membaca. Moga terhibur.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku