Kau Yang Ku Tunggu
Bab PROLOG
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
781

Bacaan






PROLOG

“Eii, geramnya. Itulah tadi aku dah cakap tak payah keluar, degil. Buku tu minggu depan pun boleh belilah. Tak menyempat sungguh, macamlah kuliah dah mula. Sekarang tengok apa dah jadi? Buang masa aku je.” bebel Amirul sambil memandang bas yang sarat dengan penumpang berlalu pergi di hadapan mereka.

Samad yang berada di sebelah Amirul memekakkan telinga. Malas Samad hendak melayan bebelan teman sebiliknya itu. Samad sedar kesilapannya mengajak Amirul keluar hari ini. Sungguh Samad tidak menyangka, hari ini pelajar-pelajar baru mengambil kesempatan untuk keluar setelah hampir seminggu kehidupan mereka terkongkong kerana orientasi. Kini sudah hampir dua jam mereka berdua berdiri di situ menunggu bas, kaki Samad pun sudah lenguh. Tiga buah bas ke destinasi mereka terpaksa dipandang berlalu begitu sahaja. Bukan sengaja tetapi bas-bas itu terlalu penuh, padat macam sardin, tubuh kurus Samad pun belum tentu boleh menyelit masuk. Kalau Samad tahu begini keadaannya pasti Samad turuti nasihat Amirul tadi.

“Tadi aku ajak naik motor tak nak. Kalau macam ini gayanya pukul berapa nak sampai hostel?” bebel Amirul lagi sambil berjalan mundar mandir di hadapan Samad.

“Yalah, aku tahu aku salah tak dengar cakap engkau. Tapi kalau naik motor buruk engkau tadi, lagi tak pasti pukul berapa kita boleh sampai. Motor tua kau tu, setakat jalan dalam kampus bolehlah harap.”

“Engkau kutuk motor arwah bapak aku. Motor yang kau tumpang pergi kelas selama ni. Tak kenang budi betullah kau ni.” rungut Amirul. Sudahlah hari panas, kata-kata Samad pula membuatkan hati Amirul semakin panas.

“Hehehe... janganlah marah. Akukan kawan baik engkau, room-mate lagi. Aku minta maaf. Aku tak patut cakap macam itu. Aku tahu motor tu sentimental buat kau.” Samad memujuk.

Amirul membungkam tidak membalas. Hati Amirul geram.

“Eh! Itu bas dah datang, jom aku pun dah tak larat. Kali ini aku tak kira aku nak menyelit juga.” kata Samad menarik tangan Amirul ke hadapan. Samad tersenyum, percaturannya mengena kerana pintu bas berhenti betul-betul berdekatan tempat mereka berdiri. Macam semut menghurung gula, begitulah keadaan mereka ketika itu sebaik sahaja bas berhenti. Orang ramai berasak-asakan mencari ruang untuk menaiki bas tersebut.

“Hoi, jangan tolak.” marah Amirul menjeling ke arah gadis yang menolaknya.

Sorry, brader. Orang belakang...opsss.” belum habis kata-kata gadis itu, sekali lagi Amirul ditolak. Badan Amirul tertolak ke hadapan mengenai besi pemegang di pintu bas. Geram sungguh Amirul. Amirul menjeling gadis itu sekali lagi. Ikutkan panas hati memang hendak disembur gadis itu, tapi bila difikirkan semula bukannya salah gadis itu. Masing-masing bertolak-tolakan untuk menaiki bas.

“Huh, berjaya juga kita naik.” Samad berkata gembira. Amirul hanya menjawab dengan jelingan tajam. Sudahlah terpaksa berhimpit, panas pula tu. Amirul berpaling ke depan membetulkan kedudukan dia berdiri. Topi di kepala dijadikan kipas. Tiada lagi ruang kosong di belakang. Gadis bertudung putih yang menolaknya tadi berdiri betul-betul di sebelahnya. Orang masih lagi bertolak-tolakkan, gadis itu semakin merapat. Mereka hanya dipisahkan oleh tote beg yang dipeluk oleh gadis itu.

Sebaik sahaja bas bergerak, gadis itu memaut lengan rakan disebelahnya. “Kau pegang kuat-kuat tau... aku tak stabil ni.” Amirul terdengar gadis itu berkata perlahan kepada rakannya. Gadis itu berada di tengah-tengah antara dua kerusi membuatkan dia sukar untuk mencapai tempat pemegang. Ditambah pula keadaan orang yang berasak-asak menyebabkan gadis itu tersepit tidak boleh bergerak.

“Aku tahulah. Kau peluk pinggang aku. Sakit tangan aku kau cengkam.” balas rakannya.

“Gila kau, tak ingin aku.” gadis itu mencebik.

Amirul yang mendengar, tersenyum. “Baik peluk abang, adik oii, kawan adik tu perempuan nanti orang cap lesbian pula.” Amirul berkata di dalam hati. Amirul mencuri pandang wajah gadis di sebelahnya itu.

“Manis.” detik hati Amirul apabila terlihat gadis itu senyum kepada rakannya .

Sepanjang perjalanan, bas berhenti beberapa kali ada yang turun dan ada penumpang yang naik. Bas berhenti sekali lagi, agak ramai pula yang turun kali ini. Ketika bas sudah mula bergerak, Samad mencuit bahu Amirul mengajaknya bergerak ke belakang kerana bahagian belakang sudah ada ruang kosong. Masing-masing bergerak, menjarakkan diri supaya lebih selesa. Bas yang bergerak perlahan itu, tiba-tiba membrek secara mengejut. Gadis bertudung putih itu terlepas pautan lengan kawannya lalu tersembam ke dada Amirul. Amirul yang masih belum betul kedudukannya, terkejut. Tangan Amirul tidak sempat berpaut pada railingmenyebabkan dia jatuh bersama gadis itu, seperti tindakan domino beberapa orang yang berdiri di belakang Amirul turut sama terjatuh. Gadis itu jatuh betul-betul di atas dada Amirul. Entah masa bila tangan Amirul berada di pinggang gadis itu dia pun tidak pasti. Keadaan bas dalam keadaan mendaki memburukkan lagi keadaan.

“Okey ke belakang tu?” jerit pemandu bas.

“Aduh!” terdengar suara Samad mengaduh di belakangnya. Pasti Samad juga turut terjatuh kena hempap. Suara keluhan dan erangan yang lain juga turut kedengaran.

Gadis itu mengangkat muka, mata mereka bertentang. Amirul terpana. Satu perasaan halus yang sukar dimengertikan menyelinap masuk ke dalam dirinya. Dadanya berdebar-debar. Keadaan sekeliling tiba-tiba menjadi senyap dan sunyi.

“Hoi! Bangunlah.” Samad menepuk bahu Amirul. Amirul terkejut. Tindakan refleks menyebabkan, Amirul menolak gadis itu ke sisi tanpa disedarinya.

“Aduh!” gadis terjerit kecil terkejut dengan tindakan Amirul. Tangannya menggosok pinggulnya yang terhentak ditolak Amirul.

“Engkau okey?” tegur rakan gadis itu apabila menyedari apa yang telah berlaku setelah pemandu bas menjerit. Segera dia menunduk untuk membantu gadis itu bangun.

“Okey, aku okey.” gadis itu cuba bangun namun terhenti apabila merasai tudungnya ditarik.

“Kenapa tu?” tanya rakannya apabila gadis itu masih lagi tidak bergerak dari sisi Amirul yang kini sudah duduk dan hanya memandang perlakuan gadis itu.

“A... aku tersangkut.” kata gadis itu cuba menarik tudungnya yang tersangkut di baju Amirul.

“Nanti biar saya buat.” kata Amirul apabila terasa bajunya ditarik. Entah bagaimana rambu-ramba yang berjuntaian dari tudung gadis tersangkut di butang baju Amirul.

“Okey, dah.” kata Amirul kepada gadis yang kelihatan serba-salah itu. Sudahlah terpaksa duduk menyenget dengan tangan di lantai untuk mengelakkan dirinya dari terjatuh ke atas Amirul. Wajahnya turut tunduk kerana malu. Tersenyum Amirul apabila terdengar gadis itu menghela nafas yang panjang sebaik sahaja mendengar ucapan Amirul. Tanpa bertangguh, gadis itu terus bangun dan berdiri di sebelah kawannya. Gadis itu memandang tegak ke hadapan sepanjang baki perjalanan masuk ke kampus.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku