Kau Yang Ku Tunggu
Bab1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
902

Bacaan






As Salam ChubbyMonster,

Bagaimana hari awak hari ini? Hari saya sungguh mengecewakan. Saya rasa teramat hampa kerana awak masih menolak permintaan saya. Saya dah agak dah, awak mesti menolak permintaan saya untuk berjumpa... Kenapalah awak tidak mahu berjumpa saya. Awak takut saya makan awak ke? I just wish you’ll accept it.

Lapan tahun lama kita kenal di alam siber, salahkah saya cuba membawa persahabatan ini ke alam realiti. I really wanna meet you. 8 years of friendship and you don’t even know my real name let alone my face… aren’t you curious about me??? I'm curious about you. Can you imagine if we are neighbour or officemate... and we both don't know about it...

Please think about it...

Your Friend, Matsengkek

Itulah pesanan yang ditinggalkan oleh Matsengkek dalam kotak e-mel ChubbyMonster a.k.aAisyah. Aisyah mengeluh… Mat masih tidak jemu-jemu memujuknya untuk berjumpa. Sesekali terbit jua rasa di hati Aisyah untuk mengenali pemuda itu secara realiti tetapi perasaan ragu-ragu menghalangnya.

Matsengkek dikenali di alam siber, ketika Aisyah menuntut di UTM. Entah mengapa hati Aisyah tersapa untuk menyambut salam perkenalan yang dihulurkan oleh jejaka tersebut. Pada mulanya Aisyah melayan Matsengkek kerana kebosanan selain daripada tertarik dengan nickname yang digunakan simple dan agak kelakar bunyinya pada pemikiran Aisyah. Siapa sangka, kini usia persahabatan mereka sudah menjangkau lapan tahun. Walaupun telah lama bersahabat, namun mereka belum pernah bersua. Bertukar-tukar gambar seperti kenalan lain pun tidak pernah. Unik dan pelik, itulah hakikatnya perhubungan mereka.

Aisyah seronok berkawan dengan Matsengkek. Mereka saling berkongsi cerita, impian dan perjalanan suka duka kehidupan mereka. Walaupun dengan teknologi canggih masa kini mereka masih lagi berhubung secara e-mel. Aisyah selesa begitu, hubungan yang tiada tekanan. Keperibadian lelaki itu terserlah melalui e-melnya. Seorang yang berkarisma, matang dan jujur. Sedari awal perkenalan, mereka sudah berjanji untuk bercakap jujur antara satu sama lain. Semenjak mereka berkawan, sudah beberapa kali Mat mengusulkan agar mereka berjumpa. Namun Aisyah menolak dengan seribu satu alasan.

Enam bulan kebelakangan ini, topik itu sahaja yang menjadi pilihannya. Tidak jemu-jemu Mat memujuk. Jauh di sudut hati Aisyah juga ingin berjumpa tetapi pelbagai kemungkinan terbayang di minda Aisyah sekiranya mereka bertemu. Aisyah tidak mahu hubungan yang telah dibina sekian lama itu retak. Jika selama ini Aisyah tertunggu-tunggu e-mel dari Mat tetapi disebabkan permintaan Mat yang satu itu, Aisyah jadi semakin resah dan gelisah. Aisyah tidak menafikan kebenaran kata-kata Mat. Sampai bila Aisyah harus menolak?

Mata Aisyah masih terpaku memandang bait-bait yang terpapar di dada komputer ribanya.

“Hai… termenung panjang nampak… ingatkan buah hati ke?” teguran Sarah teman serumahnya mematikan lamunan Aisyah.

“Tak ada apa-apalah...” jawab Aisyah perlahan-lahan

“Ya ke? Tak percayalah aku. Mamat tu ajak jumpa lagi kan…?” telah Sarah lagi.

Aisyah mengangguk perlahan.

“Habis, apa jawapan engkau kali ini?”

“Aku tolak. Kali ini aku dapat rasakan dia benar-benar kecewa dengan keputusan aku.”

“Memang patut pun dia kecewa. Bukan sekali dua dia ajak jumpa, berkali-kali. Susahlah aku kalau Mat merajuk panjang kali ini.”

“Apa kena mengena pula dengan kau?”

“Mestilah aku yang susah sebab kena menadah telinga dengar rengekan kau sebab tak dapat e-mel dari Mat.”

“Isk... engkau ni. Tak sporting langsung.” Aisyah sudah mencebik mendengar usikan Sarah.

“Hmm... kalau engkau? Kau jumpa tak?” Tiba-tiba Aisyah menyoal setelah masing-masing menyepi seketika.

“Kalau aku? First time dia ajak aku terus jumpa... tak syok la berkawan tak kenal rupa...” jawab Sarah serius.

“Engkau pernah tak bayangkan macam mana rupa si Mat tu... manalah tau entah-entah macam muka Lee Min Ho ke? Ken Taredeth ke? Tak ke bergegar iman bila jumpa...” usik Sarah sambil ketawa. Sarah peminat tegar drama Korea dan Lakorn Thailand. Tidak puas menonton di televisyen, dia akan menonton secara on-line. Itu tidak termasuk koleksi CD yang dimilikinya. Aisyah turut mengenali pelakon-pelakon popular drama kedua-dua buah negara itu kesan dari menemani Sarah menonton.

“Huh, Aum Arthichart lagi kacak, badan pun sasa baru best peluk. Setakat Lee Min Ho apa handsomenya.... jalan pun terkepit-kepit.” Aisyah mengutuk artis korea kesukaan Sarah. Sarah mencebik.

“Tak baik engkau kutuk artis kesayangan aku tu.” kata Sarah geram.

“Apa kau ingat Mat engkau tu kacak sangat ke? Aku gerenti selebet orangnya… percayalah cakap aku... nama pun Matsengkek, mesti muka pun serabai tak berjaga... betul tak?” sambung Sarah mengutuk sambil ketawa besar.

Aisyah yang cuba menahan wajah seriusnya pun terburai ketawa mendengar kata-kata Sarah tersebut. Di fikiran Aisyah terbayang muka watak kartun Din Beramboi yang sering dibaca semasa zaman persekolahan dulu…

“Oiii, aku serius ni Sarah…” Aisyah berkata sambil cuba menahan ketawa.

“Aku tau engkau serius, aku pun serius jugak ni. Aku tak nak tengok engkau tension, tak best… hidup kena happy… tengok macam aku ni… perkara begini perkara kecil… bukan kau bercinta dengan dia pun…” Sarah masih lagi meneruskan usikannya.

“Cuma satu sahaja aku nak tanya engkau, kau tak nak jumpa sebab apa? Takut dia tidak seperti yang kau bayangkan atau kau takut kau betul-betul dah jatuh cinta dengan dia? Ataupun kau takut Mat tidak suka kau lagi selepas berjumpa?”

Aisyah terdiam. Pertanyaan Sarah menyentap jiwanya. Apakah benar seperti telahan Sarah?

“Entah, aku sendiri tak tahu.”

“Aisyah, bagilah peluang untuk diri engkau dan diri Mat. Jodoh tidak akan datang bergolek. Berapa banyak lagi pinangan yang kau nak tolak. Mak dan abah kau pasti mengharap kau akan bertemu jodoh secepat mungkin. Nizam pun dah bertunang. Mungkin selepas ini mereka tidak akan bertolak ansur lagi dengan kau.

Engkau bukan tak ada pilihan, cuma engkau tu yang terlalu memilih sangat. Kalau aku jadi engkau dah lama agaknya aku kahwin, tak seronoklah membujang lama-lama macam ni. Cemburu aku tengok kawan-kawan kita, masing-masing dah berkeluarga. Masalahnya aku ni tak ada siapa yang nak. Puas juga menayang muka masa kenduri kahwin sedara mara dan kawan-kawan, masih tak laku-laku lagi. Tak kan sampai aku kena buat cheap sale kut.” Dalam nasihatnya, Sarah sempat menyuarakan isihatinya kepada Aisyah. Walaupun dalam ketawa tetapi Aisyah dapat merasai perasaan sahabatnya itu.

Cheap sale? Buy one free one? Okey gak tu, kahwin dengan kau dapat kahwin dengan aku sekali... mesti ramai yang tertarik...” ucap Aisyah dengan nada yang serius.

“Woi! Gila kau. Merapulah tu... Less fifty percent sudahlah... Tak ingin aku jadi madu kau. Janganlah termasin mulut kau... puih...puih...puih...”

Aisyah sudah tidak dapat menahan ketawanya lagi apabila melihat aksi Sarah. “Aku pun tak ingin bermadu dengan kau.” Aisyah berkata dalam ketawa.

“Letihkan nak menepis segala soalan dari kaum keluarga bila kenduri-kendara?” soal Sarah apabila ketawanya telah reda. Aisyah membalas dengan anggukan tanda mengiakan kata-kata Sarah.

“Betul cakap kau tadi… sampai bila kita nak membujang begini?”

“Aku cakap bukan sebarang cakap. Semuanya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Kita dah cukup matang untuk menilai dan membuat keputusan yang terbaik bagi diri kita dan keluarga.”

“Wah... tak sia-sia aku lantik kau jadi kaunselor aku. Semua kata-kata engkau bernas belaka.”

“Perlilah tu.”

“Aku tak perlilah. Aku setuju dengan apa yang kau cakap tadi.”

Sarah mengerling, memek mukanya menunjukkan dia masih tidak percaya dengan kata-kata Aisyah.

“Aku dah ambil keputusan, aku akan jumpa Mat tetapi bukan sekarang. Sekarang bukan waktu yang sesuai. Tunggulah sebulan dua lagi, bagi aku selesa di tempat kerja baru aku dulu kemudian baru aku akan jumpa Mat. Engkau rasa okey tak keputusan aku ni?” Aisyah meminta sokongan Sarah.

“Suka hati engkaulah Aisyah, aku no hal… nak minta temankan masa jumpa nanti pun aku rela.” jawab Sarah sambil bangun menuju ke dapur.

Sarah dan Aisyah merupakan rakan sekampung. Mereka menjadi rapat apabila Aisyah berpindah ke sekolah Sarah. Kebetulan Aisyah sekelas dengan Sarah. Aisyah seorang yang pemalu, manakala Sarah seorang yang peramah, walaupun sikap mereka berdua jauh berbeza tetapi keakraban mereka seperti isi dengan kuku. Pertemuan di hentian bas setiap hari mengikat silaturrahim hubungan mereka. Rumah yang berdekatan memudahkan mereka mengulangkaji pelajaran bersama. Persahabatan mereka berlarutan sehingga ke menara gading apabila kedua-dua mereka berjaya meneruskan pengajian di Universiti yang sama. Yang membezakan mereka hanyalah jurusan yang diambil di mana Sarah mengambil Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, manakala Aisyah pula Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Sebaik sahaja tamat pengajian, Aisyah terus bekerja di sebuah syarikat perunding dan Sarah pula menyambung pengajian di maktab perguruan atas desakan ibunya yang mahukan Sarah menjadi pendidik. Walaupun mereka membawa haluan masing-masing selepas pengajian namun kini mereka tinggal serumah kerana kebetulan Sarah dapat mengajar di Kuala Lumpur.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku