Kau Yang Ku Tunggu
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
641

Bacaan






Aisyah melangkah masuk ke Wisma Wawasan dengan penuh semangat. Hari ini merupakan minggu kedua Aisyah bertugas di Wawasan Konsultan. Bangunan empat tingkat yang pada asalnya deretan rumah kedai telah diubahsuai menepati imej syarikat. Syarikat ini lebih besar daripada syarikat lama tempat Aisyah bekerja sebelum ini. Namun begitu Aisyah sudah boleh menyesuaikan diri dengan tempat kerja barunya itu.

Minggu lepas, Yati selaku Jurukur Bahan di Wawasan Konsultan telah memaklumkan kepada Aisyah bahawa namanya tersenarai untuk terlibat dalam satu projek baru yang akan dilaksanakan oleh Wawasan Konsultan. Berkobar-kobar semangat Aisyah untuk menerima projek baru. Tidak sabar rasanya untuk sibuk bekerja semula. Seminggu yang lalu Aisyah hanya disuruh membaca dokumen kontrak dan membantu Nora menyemak lukisan.

Hari ini mesyuarat pembentangan projek tersebut akan diadakan dan Aisyah turut dijemput untuk hadir sama. Lima minit sebelum mesyuarat bermula Yati sudah datang ke meja Aisyah untuk mengajak Aisyah ke bilik mesyuarat. Sepanjang perjalanan ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat bawah Yati dengan ramahnya bercerita tentang staf-staf yang akan terlibat sama di dalam projek itu. Aisyah hanya mendengar dan sekali-sekali menganggukkan sekadar melayan bicara Yati. Mana tidaknya kebanyakan nama yang disebut Yati, tidak Aisyah kenali siapa orangnya. Wawasan Konsultan punya staf hampir dua ratus orang jika termasuk staf yang berada di tapak bina.

Dari jauh Aisyah dapat melihat lampu bilik mesyuarat itu telah terpasang, ketika melalui cermin kaca bilik mesyuarat Aisyah dapat melihat seorang lelaki yang sedang tekun membaca sesuatu berada di bilik mesyuarat tersebut. Aisyah yang berjalan selangkah di hadapan Yati teragak-agak untuk membuka pintu bilik mesyuarat tersebut.

“Tunggu apa lagi, jom masuk.” ajak Yati. Nasib baik ada Yati, jika tidak pasti Aisyah tunggu di luar bilik mesyuarat sehingga ahli mesyuarat lain tiba.

Lelaki yang sedang khusyuk membaca itu mengangkat kepala melihat ke arah mereka apabila pintu di buka. Pandangan mereka bertaut, satu perasaan halus singgah di hati Aisyah, segera Aisyah menunduk memandang ke lantai.

“Assalamualaikum, awalnya kau sampai?” Yati menegur lelaki tersebut dengan ramah. Aisyah membuntuti Yati dan duduk di sebelah Yati sambil menunduk dan membuka buka catatannya.

“Waalaikumsalam, engkau yang terawal hari ini, selalunyamesyuarat dah mula baru engkau sampai.” usikan lelaki tersebut disambut Yati dengan deraian ketawa.

“Mestilah, tunjuk teladan yang baik kat staf baru kita ni.” kata Yati menunjuk ke arah Aisyah.

“Ooo... staf baru patut tak pernah nampak.”

“Itulah kau, asyik duduk di site office, apa yang jadi di Wawasan semua kau tak tau. Minggu lepas ada tiga staf baru masuk, satu engineer, satu QS dan satu kerani akaun.”

Hati Aisyah berdebar-debar, pandangan yang dilemparkan oleh lelaki itu ke arahnya sebentar tadi membuatkan hati Aisyah gementar. Sambil mendengar perbualan Yati dan lelaki tadi, Aisyah mencuri pandang ke arah lelaki tersebut sekali lagi. Macam pernah dilihatnya lelaki tersebut tapi tak tahu di mana. Aisyah menyelak kotak memorinya mencari-cari.

“Amirul ini jurutera baru kita Cik Nur Aisyah.” Aisyah yang berlagak khusyuk membaca buku catatannya terkejut apabila mendengar namanya disebut lantas mengangkat muka dan memandang Yati.

“Ini aku kenalkan, Ir. Amirul Senior Engineerdi Wawasan Konsultan. Hot stuffWawasan ni tau.” sempat pula Yati mengusik Amirul. Aisyah memandang ke arah Amirul. Senyum malu-malu yang dilemparkan Aisyah tanda pengenalan melebar apabila mendengar usikan Yati. Amirul yang pada awalnya hanya mengangguk ke arah Aisyah kelihatan serba-salah dengan usikan Yati. Mulut Amirul bergerak-gerak seperti ingin berkata sesuatu tetapi terhenti apabila pintu bilik mesyuarat dibuka dan satu persatu ahli mesyuarat tiba mengambil tempat.

Mesyuarat dipengerusikan oleh CEO Wawasan Konsultan, Dato’ Hamdan. Turut hadir sama ialah Dato’ Malek pelanggan projek Pembinaan Padang Golf Sutera di Seremban yang juga merupakan rakan baik Dato' Hamdan.

Aisyah mencuri pandang ke arah Amirul, yang duduk bertentangan dengan Yati sekali lagi. Minda Aisyah masih berkata Amirul pernah ditemuinya sebelum ini.

“Nak kata kacak tak jugak, tapi bila senyum, rasa nak luruh jantung aku ni… manis. Bulu matanya, mengalahkan aku macam pakai maskara pula, lentik. Kata-kata yang dikeluarkan bernas belaka, menonjolkan karisma dirinya sebagai seorang jurutera yang berkaliber. Suaranya pula, alamak... serak-serak basah, romantiknya... boleh rindu jadinya...Ya Allah apa sampai ke situ fikiran aku.” Aisyah tersentak sendiri dan terus memandang sekeliling, takut ada yang memerhati. Terus pandangannya dilemparkan ke layar projektor, melihat penerangan projek yang diberikan.

Namun begitu, Aisyah berasa tidak tenang. Entah mengapa hati Aisyah berdebar-debar sejak bertentang mata dengan jejaka itu dan kini Aisyah berasa dirinya diperhatikan. Debaran dan perasaan sebegini hanya sekali pernah dirasai Aisyah. Tiba-tiba Aisyah teringat kepada lelaki itu, walaupun wajah lelaki itu kini samar-samar di minda Aisyah tetapi Aisyah masih ingat lagi debaran dadanya ketika itu. Di mana agaknya lelaki itu sekarang?

Amirul tergamam seketika ketika terpandang gadis bertudung biru yang melangkah masuk bilik mesyuarat bersama Yati. Rentak jantung Amirul berdegup kencang, tangan kanannya diangkat dan diletakkan di matanya sebentar lalu diraupkan mukanya.

“Ya Allah, mimpikah aku ini?” bisik hati Amirul. Pandangan mereka bertaut, dan gadis itu segera menundukkan matanya.

“Terima kasih, Ya Allah kerana memperkenankan doa ku. Ruang dan peluang yang engkau berikan ini akan aku gunakan sebaik mungkin.” bisik hati Amirul. Segera dikawal perasaannya, pandangannya dialihkan kepada Yati yang menegurnya.

Nasib baik ada Yati yang peramah dapatlah Amirul mengawal perasaan. Hampir pengsan Amirul akibat terkejut melihat gadis pujaan hatinya melangkah masuk tadi. Perasaan rindu yang selama ini dipendam, menggebu di dadanya. Amirul memberi isyarat mata kepada Yati untuk memperkenalkan mereka, debaran di dadanya sudah dapat dikawal.

Sekali lagi pandangan mereka bertaut apabila Yati memperkenalkan mereka tadi. Entah mengapa tiada kata-kata yang terkeluar dari mulutnya. Senyuman gadis itu pun tidak sempat dibalas Amirul kerana terkesima dengan senyuman manis gadis itu. Lidahnya kelu untuk berkata-kata… sedangkan di kepalanya sarat dengan seribu soalan yang ingin ditujukan kepada gadis tersebut.

Sepanjang mesyuarat berlangsung, Amirul dapat merasakan pandangan mata Aisyah padanya. Sesekali Amirul turut mencuri pandang ke arah Aisyah. Hilang sedikit rindu yang terpendam di dada selama ini. Sudah lama gadis ini dicari, kini muncul di hadapannya. Hati Amirul mula berbunga.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku