Kau Yang Ku Tunggu
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
452

Bacaan






Mesyuarat Projek Padang Golf Sutera baru sahaja tamat. Amirul segera mengemas barang-barangnya untuk mengejar Aisyah yang sudah melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu.

“Amirul, sekejap lagi jumpa saya di pejabat.” pesan Dato' Hamdan sebaik sahaja melihat Amirul bangun dari tempat duduk. Pergerakan Amirul terhenti, lalu Amirul berpaling dan menganggukkan kepala ke arah Dato' Hamdan yang masih duduk bersembang dengan Dato' Malek.

“Apahal Dato' hendak jumpa engkau?” tanya Yati yang berjalan beriringan keluar dengan Amirul. Amirul tercari-cari Aisyah. Kelibat gadis itu sudah tidak kelihatan lagi. Ah, melepas aku hendak bertegur sapa dengannya. Amirul mengeluh.

“Eh, mengeluh pula. Aku tanya, kenapa Dato' nak jumpa?”

“Budak baru tu mana? Tak tunggu kau ke?” Tanpa segan silu Amirul bertanya. Soalan Yati terbiar tanya jawapan.

“Dia dah naik tadi masa aku tengah sembang dengan staf Dato' Malek. Kenapa? Minat ke? Aku tau dia solo lagi, nak aku jadi orang tengah ke?”

“Isk... ke situ pula kau ni Yati. Aku saja tanyalah...”

“Aku tau kau saja mengelak soalan aku tadi kan?”

“Soalan mana?”

“Buat-buat lupa pula. Jawablah kenapa Dato' nak jumpa kau?”

“Pasal apa lagi, kerjalah. Ada sebab lain ke kalau Dato' nak jumpa?”

“Mana tahu... kut-kut dia nak bagi duit bonus projek kat engkau sorang. Itu yang dia nak jumpa kau kat bilik. Behind close door.”usik Yati

“Pandai betul kau reka cerita, dah pergi buat kerja.” Amirul mengusir Yati. Yati ketawa kecil melihat Amirul yang tidak senang dengan usikannya.

“Okeylah aku pergi dulu. Kalau kau nak aku jadi posmen kau tahu mana nak cari aku. Jangan tunggu lama-lama nanti dikebas orang.” sempat lagi Yati mengusik sebelum berlalu dari situ.

Ternganga mulut Amirul mendengar usikan Yati. Nampak sangat ke? Rasanya tadi sudah habis dikawal perasaan terujanya sebaik sahaja melihat Aisyah. Aduh, malunya aku dengan si Yati ni.

“Atuk masuk hospital, Pak Ngah nak Mirul balik kampung jaga atuk.” kata Dato' Hamdan sebelum sempat Amirul melabuhkan punggungnya. Dato' Hamdan merupakan bapa saudara Amirul, namun begitu pertalian saudara mereka masih dirahsiakan dari warga Wawasan Konsultan.

“Hah, teruk ke atuk tu? Bila atuk masuk hospital? Kenapa nenek tak bagi tahu Amirul.” bertalu-talu soalan Amirul ajukan kerana terperanjat dengan berita yang disampaikan oleh Dato' Hamdan.

“Pagi tadi, atuk jatuh di bilik air semasa hendak mengambil air sembahyang. Pak Su telefon Pak Ngah sebelum mesyuarat tadi.” terang Dato' Hamdan menenangkan Amirul. Matanya melirik memandang Amirul yang kelihatan gelisah, Dato' Hamdan tahu Amirul amat menyayangi kedua atuk dan neneknya. Setelah kehilangan ibubapa dalam kemalangan jalanraya, Amirul dijaga oleh Haji Latif dan Hajah Som. Dato' Hamdan tahu permintaannya agar Amirul menjaga Haji Latif bukan satu pengorbanan besar buat diri Amirul. Amirul sanggup melakukan apa saja untuk Haji Latif dan Hajah Som. Lihat sahaja sekarang, walaupun pada awalnya Amirul berkeras tidak mahu bekerja di syarikatnya tetapi atas permintaan Hajah Som, Amirul akhirnya mengalah.

“Kata Pak Su, atuk tak apa-apa cuma tulang punggungnya retak sebab terhentak semasa jatuh. Doktor terpaksa membuat pembedahan.” sambung Dato' Hamdan lagi.

“Mirul jangan risau. Masalahnya sekarang Pak Su tak boleh nak jaga atuk sepenuh masa. Mirul tau sajalah perangai atuk tu, mesti dia tak selesa dijaga oleh Neng tu.”

Amirul boleh membayangkan situasi Neng, pembantu rumah dari kepulauan Riau yang digajikan oleh Dato' Hamdan untuk menemani atuk dan neneknya. Atuk bukan suka Neng berada di rumah itu. Jika Neng ditugaskan membantu urusan seharian atuk pasti atuk makin tidak selesa. Nenek pula sudah tidak kuat untuk membantu atuk bergerak. Silap-silap Neng menjadi tempat atuk melempiaskan rasa bosan dan kecewa kerana pergerakan atuk terbatas. Nenek pula mesti sudah tidak betah menegah atuk lagi.

“Tapi Pak Ngah, atuk mesti makan masa nak baik. Takkan Mirul nak cuti panjang? Nanti apa kata staf lain? Memanglah sekarang ni Mirul punya projek semua dah siap tapi projek padang golf yang baru dapat tu siapa nak handle.” terang Amirul serba salah.

“Pasal hal cuti Mirul jangan risau, Mirul hantar surat mohon cuti tanpa gaji nanti Pak Ngah akan luluskan. Duit belanja Mirul bulan ini nanti Pak Ngah bagi, jangan risau. Projek baru tu pun baru initial stage, Dato’ Malek dah maklumkan pada Pak Ngah, land acquisition hanya akan selesai dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.”

“Ini bukan pasal duit Pak Ngah…” Amirul teragak-agak untuk berkata. Dalam hati Amirul hanya teringatkan Aisyah. Jika bercuti panjang, sukarlah nanti untuk mendekati gadis idaman yang telah lama ditunggu olehnya.

“Pasal hubungan kita, Mirul jangan risau, so far tiada siapa kat office ni yang tau kecuali Pak Ali.” Dato’ Hamdan menenangkan Amirul.

Dato' Hamdan masih ingat lagi syarat Amirul ketika mula bekerja di Wawasan Konsultan. Amirul tidak mahu orang lain tahu hubungan kekeluargaan mereka. Dato’ Hamdan sudah beberapa kali menawarkan Amirul menjadi Pengarah Bersekutu syarikatnya tetapi ditolak oleh Amirul dengan pelbagai alasan. Amirul anak arwah abangnya telah dianggap seperti anak sendiri, tambahan pula Dato' Hamdan sendiri tiada anak lelaki. Perkahwinannya hanya diserikan dengan seorang anak perempuan itu pun setelah menunggu hampir dua belas tahun. Hendak menunggu Rima anaknya belum ketahuan lagi apa minatnya, tahun depan baru nak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia. Jika boleh Dato' Hamdan ingin mewariskan syarikatnya itu kepada Amirul. Amirul masih darah keturunannya dan Dato' Hamdan percaya kepada kewibawaan anak buahnya itu.

“Kalau begitu kata Pak Ngah, Mirul tak kisah. Lepas pejabat nanti Mirul akan balik.” akhirnya Amirul berkata seraya bangun untuk keluar dari bilik Dato’ Hamdan.

“Tak payah tunggu, buat surat bagi Pak Ngah lepas itu Mirul boleh terus balik.” arah Dato' Hamdan.

“Err... yalah…” Amirul mengalah apabila melihat renungan tajam Dato' Hamdan. Faham benar Amirul maksud renungan itu. Berilah seribu alasan sekali pun, arahan Dato' Hamdan tadi adalah muktamad.

“Kirim salam pada nenek. Malam nanti Pak Ngah dan Mak Ngah akan sampai.” sempat lagi Dato' Hamdan berpesan sebelum Amirul membuka pintu untuk keluar.

“Mentang-mentanglah syarikat ni milik dia, sesedap rasa sahaja Pak Ngah suruh aku bercuti panjang. Pak Ngah… Pak Ngah... kacau rancangan aku. Nasib baik sebab atuk.” Amirul mengomel sendirian.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku