Kau Yang Ku Tunggu
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
294

Bacaan






“Assalamualaikum... mak! oh mak!” jerit Aisyah sambil memanjat anak tangga.

“Mana pula perginya mak ni? Pintu depan ternganga luas… heii... mak ni tak takut langsung pencuri masuk.” omel Aisyah sendiri.

“Abah! Mak! Aisyah dah balik ni.” jerit Aisyah dari muka pintu lagi.

“Waalaikumsalam, mak ada kat dapur.” terdengar sayup jawapan Hajah Rubiah dari arah dapur.

“Apa pasal mak tak tutup pintu depan tu... bahaya tau…” tanya Aisyah seraya menghulur tangan bersalaman dengan Hajah Rubiah.

“Isk... tak ada bahayanya... ini kampung bukannya bandar… huh, kamu balik sorang ke?” tanya Hajah Rubiah

“Biasalah mak dengan Sarah, tapi Aisyah dah hantar Sarah balik rumah dia tadi” jawab Aisyah sambil menarik kerusi meja makan di hadapan Hajah Rubiah.

“Abah mana? Yong dengan Nyah tak balik ke mak? Adik-adik lain mana?” tanya Aisyah sambil menarik bakul kangkung di sebelah ibunya. Aisyah memang ringan tulang di dapur. Masakan yang dimasak oleh Aisyah boleh tahan sedapnya.

“Abah ada kat kebun belakang tu... Yong dengan Nyah kamu, entahlah… mak ada suruh balik tapi biasalah sibuk memanjang…” jawab Hajah Rubiah sambil bangun menuju ke sinki untuk membasuh udang yang baru disiang tadi.

Alin merupakan kakak sulung yang dipanggil Yong oleh Aisyah dan adik-adiknya tinggal di Ipoh. Nyah pula panggilan kepada Sofi kakak kedua Aisyah yang merupakan seorang guru yang menetap di Tanjung Malim. Kedua-dua kakak Aisyah sudah berumah tangga. Aisyah merupakan anak ke tiga dari enam adik beradik. Zaini adik di bawahnya telah pun berumah tangga dan punya seorang anak. Nizam pula baru sahaja bertunang dengan buah hatinya. Seorang lagi adik Aisyah, Niza masih menuntut di UiTM.

“Alah tak best la macam tu, tak ada kawan sembanglah Aisyah ni. Apa hal mak suruh Aisyah balik? Baru minggu lepas Aisyah balik. Nasib baik di pejabat masih belum banyak kerja lagi. Kalau tidak susah juga Aisyah nak balik.” Aisyah mula membebel. Hajah Rubiah meneruskan pekerjaannya tanpa mengendahkan bebelan Aisyah.

“Apalah hal penting yang mak nak bincangkan tu? Ha! ada orang masuk meminang Aisyah. Betul tak?” Aisyah menelah sambil ketawa.

Hajah Rubiah tersenyum mendengar telahan Aisyah, namun tidak memberi sebarang respon.

“Mak, Aisyah cakap dengan mak ni.”

“Ya, mak dengar.”

Apahal dengan mak ni, selalunya ada saja benda nak bercerita. Boleh dikatakan apa yang berlaku di kampung akan dikhabarkan sebaik sahaja Aisyah melangkah masuk ke rumah bila balik bercuti.

“Mak sakit ke?” tanya Aisyah kerisauan.

“Isk... kamu ni, mak sihat. Abah kamu pun sihat.”

“Habis tu, mak buat tak reti je bila Aisyah cakap.”

“Mak tengah masak, kamu pergilah berehat kat depan sana.” halau Hajah Rubiah. Kalau diikutkan hati, Hajah Rubiah ingin membuka bicara kenapa dia menyuruh Aisyah balik. Tetapi Hajah Rubiah tahu masanya belum sesuai.

“Aisyah nak pegi telefon Nyah suruh dia baliklah, mak tak layan pun Aisyah cakap... penat tau...” rajuk Aisyah apabila semua soalannya tidak berjawab. Tangannya yang tadi pantas mengerjakan kangkung di hadapannya itu terus diseluk ke poket beg tangan yang berada di sebelahnya dan ditariknya keluar telefon bimbitnya.

“Nyah... bila nak balik rumah mak? Marilah balik, orang boring ni tak ada kawan nak gosip… kalau tau Nyah tak balik malas orang nak balik… entah apa sebab, tiba-tiba mak suruh orang balik… ingatkan Niza ada... boleh gak buat lawan cakap. Puas orang membebel, tak ada respon pun dari mak.” berhamburan kata-kata Aisyah sebaik sahaja mendengar ucapan hello dari Sofi di hujung talian.

“Hoi… kalau ya pun bagilah salam dulu… ini tidak bercakap terus tak henti-henti macam peluru mesingan…” tegur Sofi.

“Opps, Sorry...” jawab Aisyah akur tentang kekasarannya tadi

“Hmm...Yalah tu... dah tegur banyak kali pun tapi still buat juga… Nyah tengah bersiap, sekejap lagi Nyah sampai… mak dah pesan suruh Nyah balik. Buat back up dia… dah, dah, pergi tolong mak masak tu…” ujur Sofi.

“Hah! Apa Nyah cakap tadi, back up mak…apasal nak kena ada back up pula? Tak fahamlah.” tanya Aisyah yang keliru sambil memandang Hajah Rubiah yang masih berada di sinki.

“Haaa… tunggu sajalah... ada surprise untuk Aisyah...” ujur Sofi lagi sambil ketawa lalu terus mematikan talian.

“Mak... Aisyah main-main jelah tadi.” kata Aisyah tak percaya, tangannya sudah mengaru-garu kepala.

“Mak tak main-main. Kalau tak percaya pergilah tanya abah kamu.” selamba Hajah Rubiah menjawab.

“Abah, betul ke kata mak tadi?” Aisyah yang tidak puas hati dengan penerangan Hajah Rubiah pergi mendapatkan Haji Rosman yang sedang berehat di ruang tamu

“Apa mak kamu cakap?” tanya Haji Rosman yang terkejut diterpa Aisyah.

“Mak kata kawan abah nak pinang Aisyah untuk anak dia?”

“Ha, betullah tu.”

“Habis tu, abah dah terima?”

“Belum lagi, itu yang abah suruh Aisyah balik ni.”

“Eiii tak sukalah macam ni... zaman sekarang mana ada orang kahwin style macam ini lagi... abah... mak... Aisyah tak nak.” Aisyah yang masih terkejut dengan berita dari ibu kesayangannya itu cuba menolak. Hatinya mula memberontak, otaknya ligat memikirkan alasan terbaik untuk diberikan kepada mak dan abahnya.

“Abah dah jumpa dah budak Khairul tu, berkenan benar abah dengan dia tu… sesuai abah tengok dia dengan kamu.” Haji Rosman cuba memujuk hati anak gadisnya itu. Haji Rosman tahu benar perangai anak gadisnya itu walaupun tingkah lakunya lembut tetapi hati Aisyah keras namun begitu Aisyah anak yang baik dan belum pernah lagi anak gadisnya itu melawan kehendak mereka.

“Pakcik Kamal kawan baik abah, banyak tolong abah masa kita susah dulu… takkan abah nak terus tolak… nanti orang kata tak kenang budi pula.” Hajah Rubiah yang duduk di sebelah Haji Rosman mencelah.

“Apa ni mak, abah. Orang tak nak kahwin lagi… dahlah tak kenal... entah macam mana rupa dia... eii tak naklah orang... abah tolaklah…” Aisyah berusaha memujuk kedua orang tuanya.

“Takkan abah nak tolak macam tu je. Kalau nak tolak kena bersebab.” ujur Haji Rosman yang serba salah mendengar rayuan Aisyah.

“Makcik Seri cerita, dulu si Khairul tu belajar jurutera macam kamu juga tapi sekarang mengajar, jadi cikgu. Alah macam Sarah. Khairul tu sekarang mengajar kat Seremban kalau tak silap mak. Mak belum jumpa tapi dari gaya cerita macam baik budaknya.” pujuk Hajah Rubiah.

“Mak, dia kan cikgu, takkan tak ada cikgu perempuan yang suka kat dia... mustahil mak… cikgu lelaki sekarang kan on demand, cikgu perempuan pula cantik-cantik… Nak ke dia kahwin dengan Aisyah ni yang tak berapa nak lawa ni…” Aisyah cuba memberi alasan. Otak Aisyah buntu memikirkan jalan untuk menolak permintaan orang tuanya itu. Aduh, sakit kepala. Pasangan yang bercinta bagai nak rak pun ramai yang bercerai-berai, inikan dirinya yang nak dijodohkan dengan orang yang langsung tidak dikenali. Pelik, tidak mungkin lelaki itu tak membantah langsung... sukar untuk dipercayai… ada lagi ke lelaki yang taat, menurut kemahuan mak bapak macam ini di zaman serba moden ini…

“Umur kamu tahu ni berapa? Dua puluh lapan kan? Zaini adik kamu tu dah kahwin ada anak satu dah, tak lama lagi kenduri Ijam pula... Aisyah nak tunggu apa lagi... Takkan nak tunggu Niza yang umur 20 tahun tu kahwin dulu...” sempat pula Hajah Rubiah memperli anaknya. Sofi yang duduk di sebelah Aisyah mengekek ketawa. Aisyah menjeling, panas hati dengan sikap Sofi.

“Mak teringin sangat nak tengok Aisyah berumahtangga, Mak ni dah tua, sebelum dijemput Illahi mak nak ada orang yang menjaga Aisyah. Mak nak tengok Aisyah macam orang lain ada suami, ada anak. Mak nak Aisyah bahagia…” Hajah Rubiah cuba menasihati Aisyah lagi. Mungkin cara halus begini boleh membuatkan Aisyah berlembut hati dan menerima pinangan itu.

“Mak janganlah cakap macam tu, Aisyah tak sukalah…” jawab Aisyah, sayu hatinya bila Hajah Rubiah berkata demikian.

“Dah tiga pinangan Aisyah tolak. Takkan yang ini pun Aisyah nak tolak. Cuba bagi sebab kenapa Aisyah nak tolak. Aisyah dah ada pilihan hati sendiri? Mak tak memilih menantu… asal Aisyah bahagia mak turut gembira…” Hajah Rubiah cuba untuk menyelami hati anak gadisnya itu.

“Betul cakap mak tu Aisyah... nak tunggu apa lagi, Nyah sendiri tak pernah dengar Aisyah berkawan dengan sesiapa... kalau dah ada calon sendiri, pandai-pandailah bawa balik... perkenalkan pada mak dengan abah, sure mak dan abah tak menolak. Atau Aisyah nak tunggu anak raja, anak Dato’ masuk meminang?” tiba-tiba Sofi yang dari tadi menjadi pemerhati menyampuk.

“Nyah...” Aisyah menjeling geram. Bukannya nak bagi sokongan, mengutuk orang pula.

“Aisyah kena faham... abah mesti serba salah tu…” bisik Sofi di sebelah Aisyah. Tangan Aisyah dicapai dan digenggamnya untuk memberi kekuatan kepada adik kesayangannya itu.

“Tolonglah Nyah, macam mana orang nak buat ni?” bisik Aisyah memohon pertolongan Sofi.

“Aisyah kena fikir, sendiri. Tentang hal ini Nyah betul-betul tak boleh nak bantu. Mak dah suruh Nyah pujuk Aisyah untuk terima. Tapi Nyah tahu soal hati kita tidak boleh nak paksa.” bisik Sofi.

Aisyah terdiam... menunduk sambil berfikir… fikirannya buntu… kata-kata Sarah tempohari menerjah ke minda Aisyah. “Betul kata kau Sarah, kali ini aku dah tak ada pilihan.” desis Aisyah.

Perlahan-lahan Aisyah mengangkat muka, Haji Rosman, Hajah Rubiah dan Nyah Sofi sedang memerhati dirinya. Mata kedua-dua orang tuanya penuh pengharapan. Aisyah serba salah.

“Beginilah mak, abah... Biar kami kawan dulu boleh? Beri kami masa untuk kenal hati budi masing-masing dulu sebelum Aisyah buat keputusan. Boleh tak?” perlahan-lahan Aisyah menyusun kata takut hati Haji Rosman dan Hajah Rubiah terguris dengan keputusannya itu.

Haji Rosman mengangguk tanda setuju. Aisyah menarik nafas lega.

“Err... nanti abah bagi nombor telefon Aisyah kat anak kawan abah, kita tengoklah dia call ke tidak. Kalau dia call mungkin sebab dia setuju. Kalau dia tak call, maksudnya dia pun kena paksa macam Aisyah…” Aisyah memberi cadangan.

Sofi tersenyum memandang adiknya. “Pandai pun adik Nyah buat keputusan.” bisiknya.

Haji Rosman dan Hajah Rubiah menarik nafas lega. “Kalau macam tu, nanti abah bagi tahu Pakcik Kamal. Bagus keputusan Aisyah tu, abah pun setuju.” puji Haji Rosman memandang Aisyah sambil tersenyum. Kematangan Aisyah terserlah dengan keputusannya itu. Haji Rosman tidak lagi berasa serba salah untuk berhadapan dengan sahabatnya Kamal.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab PROLOG | Bab1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku