Kau Yang Ku Tunggu
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
314

Bacaan






“Aisyah, Aisyah, keluar kejap, tolong mak ni…” Aisyah yang sedang asyik menyanyi mengikut lagu Kalau Aku Kaya yang sedang berkumandang di corong radio sambil mengemas baju ke dalam beg, bingkas bangun lalu membuka pintu bilik apabila terdengar ketukan pintu bilik dan suara Hajah Rubiah memanggilnya.

“Kenapa mak? Aisyah tengah kemas baju ni, sekejap lagi kan Aisyah nak balik KL.” tanya Aisyah melalui daun pintu yang terkuak sedikit itu.

“Tolong mak buat air sekejap... ada kawan abah datang tu... mak nak ke belakang panggil abah kamu.” kata Hajah Rubiah.

“Biar Aisyah pergi panggil” baru saja kata-kata itu keluar di mulutnya kelibat tubuh Hajah Rubiah tidak kelihatan lagi. Pantas sungguh Hajah Rubiah berjalan.

“Eh, mana Mak ni? Orang tak habis cakap lagi dah hilang.” gerutu Aisyah sendirian.

“Isk... kawan abah ni pun satu… time-time ni la nak datang.” omel Aisyah lagi sambil menyarung tudung sebelum melangkah keluar bilik menuju ke dapur. Nasib baiklah biliknya berada di bahagian belakang berdekatan dengan dapur, tidak perlu melalui ruang tamu... kalau tidak kena bersalam-salaman dulu, terutamanya jika kawan abah ditemani oleh isteri mereka.

Kebelakangan ini, Aisyah paling tidak senang apabila saudara mara datang ke rumah. Mana tidaknya, asyik-asyik soalan yang sama saja diajukan kepadanya, “Bila kamu nak kahwin?” naik muak Aisyah mendengar soalan cepumas daripada ibu-ibu saudaranya. Jika diikutkan rasa geram dah lama dikarate mulut-mulut mereka. Itu belum lagi kes terserempak masa kenduri, Aisyah terpaksa menahan panas telinga mendengar sindiran mereka. Kalau tidak dilayan, nanti dikata tidak beradap dan sombong. Mak dan Abah juga yang malu nanti. Jadi terpaksalah Aisyah berbasa-basi dengan mereka.

“Dah siap air tu...” Hajah Rubiah menegur Aisyah sebaik sahaja melangkah masuk. Kelihatan kelibat Abah di luar berjalan terus menuju ke pintu hadapan.

Aisyah yang sedang asyik mengacau gula di dalam teko terkejut. “Dah, dah, Aisyah buat air teh ‘O’ mak, boleh kan?” tanya Aisyah memohon persetujuan Hajah Rubiah.

Hajah Rubiah mengangguk. “Lepat pisang pagi tadi ada lagi, potong dua masukkan dalam pinggan.” arah Hajah Rubiah kepada Aisyah.

“Tak payah potonglah.” kata Aisyah mengambil lepat dari dalam pengukus dan memasukkannya terus ke dalam pinggan.

“Eh, budak ni. Malas pula dia. Potong, bagi senang orang makan.” tegur Hajah Rubiah. Aisyah terpaksa akur dengan arahan Hajah Rubiah namun begitu mulutnya terkumat-kamit merungut tanpa suara.

“Berapa orang yang datang tu mak?” tanya Aisyah apabila selesai memotong dan menyusun lepat pisang seperti kehendak Hajah Rubiah. Tangan Aisyah mencapai talam untuk meletakkan cawan.

“Tiga orang, sekali dengan Abah kamu letaklah empat cawan.” ujar Hajah Rubiah

“Apa hal kawan Abah tu datang, nak jemput kahwin anak dia orang ke? Maklumlah masing-masing dah pencen ni, anak sure semua dah kerja dan nak kahwin, betul tak mak?” tanya Aisyah lagi sambil menyusun cawan di dalam talam.

“Isk, banyak soal pula budak ni. Dah siap? Pergi hantar ke depan.” suruh Hajah Rubiah

“Ala... mak, tak maulah, Aisyah malu... mak hantarlah...” kata Aisyah yang tidak begitu gemar melayan tetamu, Aisyah lebih rela terperuk di dapur membuat kerja daripada melayan orang yang datang.

“Isk, jangan nak mengada-ngada pula, dah jom ke depan sama... mak angkat kuih, kamu bawa air tu... karang jangan jangan lupa salam dulu baru masuk ke dapur, dengar tak...?” pesan Hajah Rubiah sambil berjalan menuju ke ruang tamu.

“Yalah...” kata Aisyah dalam keterpaksaan dan terus mengangkat dulang mengekori Hajah Rubiah ke depan.

Sebaik-baik Hajah Rubiah melabuhkan punggung duduk di sebelah Haji Rosman terus sahaja Hajah Rubiah berkata, “Inilah Aisyah anak kami. Aisyah, ini Pakcik Kamal, Makcik Seri dan itu anak dia Khairul.”

Aisyah baru sahaja hendak menuang air ke dalam cawan dan menghidangkan kepada tetamu tadi terhenti seketika, terkejut mendengar nama Khairul disebut tadi. “Eh... bukan ke itu mamat yang nak dijodohkan dengan aku... apa hal pula datang hari ni... patutlah mak beria-ia menyuruh aku hantar air.” bisik Aisyah dalam hati. Matanya mengerling sepintas lalu ke arah tetamu yang berada di hadapannya.

Sebaik sahaja selesai menghidangkan air, Aisyah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Makcik Seri dan terus menonong ke dapur.

“Apa dah jadi ni… apa pasal pula kawan abah tu datang? Isk... tak sukalah... Mak pun sama tak bagi warning langsung kat aku. Aku pula keluar pakai T-shirt selebet macam ni, buat malu je.” gerutu Aisyah sambil memandang T-shirtlusuh yang dipakainya.

“Eh, apa pasal aku kena pakai cantik-cantik, aku bukan nak pikat dia pun.” Aisyah memarahi dirinya.

“Macam mana rupa mamat tadi tu? Rugi pula tak tengok tadi... Baik aku intai, bukannya dia nampak pun...” Aisyah menyelak sedikit langsir tingkap yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu rumahnya. Biasalah orang kampung, suka sangat membina rumah bersambung-sambung bila ada duit. Hasilnya jadilah rumah begini, dalam rumah ada tingkap.

“Boleh tahan juga, macam rupa Jamal Abdillah pun ada juga... tapi bukan taste akulah... handsome lagi Encik Amirul engineer kat office baru aku. Isk... apasal aku bandingkan mereka berdua... sedangkan dua-dua baru pertama kali aku jumpa... tak kenal pun... Macam mana pula boleh terkeluar nama Encik Amirul ni...” Aisyah bermonolog sendiri.

“Macam mana? Okey tak orangnya? Berkenan tak?” tanya Haji Rosman sebaik sahaja tetamu tadi balik.

“Pakcik Kamal dan Makcik Seri tu berkenan benar dah dengan Aisyah... kalau boleh nak masuk meminang terus.” sambung Haji Rosman lagi.

“Eh... Apa pasal pula dia orang nak masuk meminang? Bukan semalam dah setuju supaya kami berkawan dulu. Masa bilanya nak berkawan kalau dah masuk meminang? Mak orang tak sukalah macam ni...” Aisyah mula memberontak.

Hajah Rubiah yang mendengar jawapan Aisyah tersenyum. Faham benar Hajah Rubiah perangai Aisyah, dia akan membahasakan dirinya “orang” kalau ada perkara yang tidak dipersetujuinya dengan Hajah Rubiah atau Haji Rosman. Hilang dah nama manja “Aisyah”nya. Dengan kakak-kakaknya memanglah Aisyah membahasakan dirinya “orang” tapi tidak dengan Hajah Rubiah dan Haji Rosman.

“Semalam, selepas abah sampaikan keputusan Aisyah kepada Pakcik Kamal, dia gembira benar... Kebetulan si Khairul tu pun ada, itu yang Pakcik Kamal ambil keputusan untuk datang. Bagi Aisyah dan Khairul saling kenal rupa sebelum berkawan.” terang Haji Rosman untuk menyejukkan hati anak gadisnya itu.

“Habis tu, mamat tu ada cakap apa-apa ke?” tanya Aisyah sambil menjeling tajam ke arah Haji Rosman. Mukanya ketat tanda tidak setuju dengan tindakan mereka.

“Tak adalah pula, tapi mak tengok dia asyik pandang Aisyah masa Aisyah tuang air tadi... berkenan la tu...” Hajah Rubiah cuba mengusik.

“Isk... mak ni...” marah Aisyah dengan usikan Hajah Rubiah. “Mana tahu, entah-entah dia mengata Aisyah berkati-kati dalam hati... mungkin dia kata Aisyah ni... perasan cantik, anak dara tak laku, tak sedar diri, ada hati nak kat dia, mana mak tau...” Aisyah berkata lagi

“Takkan kut sampai macam tu sekali. Anak abah ni bukannya tak ada rupa, sempurna, cukup sifat, kerja pun bagus jangan terlalu merendah diri Aisyah.... tak elok. Bersangka buruk pun jangan, berdosa.” nasihat Haji Rosman.

Tertunduk Aisyah mendengar nasihat abahnya. Malu pada dirinya sendiri kerana berprasangka buruk pada Khairul.

“Abah tahu anak abah dah matang, fikirlah dengan fikiran terbuka, kami tak paksa Aisyah, niat kami baik. Kami nak semua anak-anak kami bahagia... kalau betul Khairul tu jodoh Aisyah pasti Allah akan permudahkan, betul tak? Sampai bila Aisyah nak membujang? Jangan memilih sangat, nanti menyesal di kemudian hari.” Haji Rosman terus menasihati Aisyah. Terkedu Aisyah mendengar nasihat Haji Rosman. Rasa hormat kepada abahnya membuatkan Aisyah malu dengan perbuatannya.

“Benar kata abah, Aisyah terlalu mengikut perasaan. Maafkan Aisyah abah, mak. In sha Allah, Aisyah akan memberi ruang untuk perhubungan ini.” kata Aisyah perlahan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku