Kau Yang Ku Tunggu
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
513

Bacaan






Sekembalinya dari kampung, Aisyah membuka kotak e-melnya, namun hampa. E-mel yang dinanti tiada. Sudah mencecah tiga minggu masih tiada balasan e-mel daripada Matsengkek. Masih merajuk ke dia? Sakit ke dia? Hati Aisyah tertanya-tanya.

Aisyah terus menghantar e-mel perkhabaran dirinya dirisik kepada Matsengkek. Memohon nasihat dan pendapat Matsengkek. Kepada Sarah pun belum Aisyah khabarkan berita itu. Aisyah malu untuk bercerita kepada Sarah memandangkan baru beberapa hari lepas Sarah menegurnya kerana terlalu memilih. Jika perkara ini sampai ke pengetahuan Sarah bukan sahaja kata-kata nasihat, pasti usikan turut keluar dari mulut Sarah. Usikan berkenaan Matsengkek pun sudah tidak terlarat Aisyah melayannya, bila ditambah pula dengan hal risikan ini... huh... baik dirahsiakan dulu, tunggulah sehingga perkara ini sah barulah akan Aisyah ceritakan kepada Sarah.

Sudah beberapa e-mel diutuskan, namun Matsengkek masih diam membisu. Jika sebelum ini, sekurang-kurangnya satu e-mel seminggu pasti diterima dari Matsengkek. Kini Aisyah mula merindui bingkisan dari sahabat baiknya itu. Usikan dan cerita-cerita nakal dari Matsengkek sentiasa menghiburkan.

“Salahkah keputusan aku... Patutkah aku jumpa dia sekarang? Aku belum bersedia untuk bertemu dengan Mat. Aku takut...”

Bunyi telefon bimbit menghentikan lamunan Aisyah.

“Siapa pula bertelefon tengah-tengah malam begini, nombor pun aku tak kenal, nak angkat ke? Angkat sajalah, mana tahu entah-entah ada kecemasan.” Aisyah mengomel sendiri.

“Hello.” ucap Aisyah sebaik sahaja telefon diangkat.

“Hello, itu Aisyah ke?” terdengar suara di hujung talian berkata.

“Ya, saya Aisyah, siapa ni?” jawab Aisyah kehairanan.

“Aku Khairul, anak Pakcik Kamal.” jawab suara tersebut.

“Hah, siapa?” Aisyah bertanya tidak percaya.

“Khairul, nombor ini Haji Rosman yang bagi masa aku pergi rumah engkau hari tu.” Khairul memperkenalkan dirinya sekali lagi. Angkuh semacam je mamat ni. Ini ke bakal suami aku…euw…no way. Siap beraku engkau dengan aku… huh tak romantik langsung. Macam ini cara dia, bolehkah aku terpikat?

“Err… Ya ke?” Aisyah masih lagi kelu untuk berkata-kata, di fikirannya terbayang saat Khairul datang bersama kedua orang tuanya ke rumah tempohari. Itulah hendak sangat berkawan dulu, bila dapat telefon terkedu juga dibuatnya, fikir Aisyah.

“Engkau apa khabar? Belum tidur lagi ke?” soal Khairul mematikan lamunan Aisyah.

“Baik. Belum lagi” jawab Aisyah. “Mamat ni mesti ingat aku ni mamai, pendek-pendek sahaja jawapan aku terhadap soalan yang dia bagi.” fikir Aisyah.

“Aku mengganggu ke? Maklumlah dah dekat pukul sebelas malam. Tengah buat apa tadi?” Khairul cuba untuk meneruskan perbualan mereka.

“Tak, tak mengganggu pun, tengah surf internet.” jawab Aisyah.

Mereka sama-sama terdiam seketika.

“Aku nak tanya sikit, boleh?” tiba-tiba Khairul bertanya serius.

“Apa dia?” tanya Aisyah. Pelbagai soalan bermain difikirannya.

“Engkau setuju ke nak kahwin dengan aku?” soalan Khairul menerjah ke telinga Aisyah membuatkan Aisyah hampir tersedak air liurnya sendiri.

“Err... macam... macam yang saya jawab hari tu. Err... kita ka...wan dulu. Err... saya tak kenal awak lagi. Sa... saya tak nak kahwin dengan orang yang saya belum kenal hati budinya” tergagap-gagap Aisyah menyusun kata untuk menjawab soalan dari Khairul itu.

“Engkau nak tau, bapak aku bagi tempoh tiga bulan untuk aku tackle engkau, tiga bulan bertunang dan terus kahwin. Macam mana setuju tak?” tanya Khairul sambil ketawa di hujung talian

“Hah...maksudnya enam bulan lagi kita kahwin. Apa pasal nak ekspress sangat. Kalau saya tak suka macam mana?” terkejut Aisyah mendengar kata-kata Khairul itu.

“Ibu aku lagi suka kalau terus kahwin, tak payah tunang tunang. Aku nohal, engkau?” Khairul terus berkata tanpa mempedulikan kata-kata Aisyah.

“Gila.” gerutu Aisyah perlahan.

“Apa dia? Aku tak dengarlah.”

“Bila masa pula saya setuju nak kahwin dengan awak?”

“Eleh, jual mahal pula.” Khairul mengejek.

Aisyah mula bengang, tak pernah dia jumpa lelaki kurang ajar begini. Macam mana mak dan abah boleh kata lelaki ini baik. Aisyah geram.

“Awak jangan buat saya marah.”

“Ha, saja buat-buat marah nak suruh aku pujuklah tu...” Apa bangang sangat lelaki ini. Eii... geramnya aku dengan lelaki perasan bagus ni.

“Hoi, tak ada maknanya...” nada suara Aisyah sudah berubah. Rasa hormat dan ingin mengenali pemuda itu terbatal.

Don’t worry, Aku akan pastikan engkau jatuh cinta dengan aku dalam tempoh tiga bulan.” dengan yakinnya Khairul menjawab. Alahai mamat ni, cakap besar la pula. Perasan nak mampus. Meluat pula aku. Mana datang tempoh tiga bulan ni pula, mesti mamat ni memandai buat cerita.

“Iya, sangatlah tu... sudahlah, saya dah ngantuk ni, nak tidur.” Aisyah cuba menghentikan perbualan yang mula menjengkelkan hatinya itu.

“Okeylah kalau macam tu, nanti esok aku telefon lagi. Selamat malam. Jangan lupa mimpikan aku.” ucap Khairul.

Uwek rasa nak termuntah Aisyah mendengar ucapan akhir Khairul. Cepat-cepat Aisyah mengucapkan selamat malam kepada Khairul dan meletakkan telefon.

Fikirannya sarat… Entah-entah betul tempoh tiga bulan untuk jatuh cinta yang dikatakan Khairul tadi. Merepek betul. Gila, desperatesangat ke yang nak terburu-buru kahwin ni. Siapa perempuan? Aku perempuan ke dia? Musykil sungguh aku dibuatnya. Cakap besar pula tu… macam bagus sangat. Kenal bertahun-tahun pun belum tentu jatuh cinta inikan tiga bulan. Daripada kahwin dengan Khairul baik aku kahwin dengan Matsengkek, dah tentu-tentu aku kenal hati budinya walaupun tak kenal wajahnya. Muka nampak baik, perangai entah macam mana. Dalam telefon pun boleh cakap kasar, kalau aku jadi bini... hiss... tak dapat aku bayangkan.

Hati Aisyah jelas menolak Khairul tetapi kali ini dia tahu dia tidak dapat menolak lamaran itu tanpa sebab. Jika dulu dia menolak kerana masih belajar dan baru bekerja, tapi kini Aisyah kehilangan akal. Fikirannya buntu. Khairul anak kawan abah. Mana mungkin Aisyah melukakan hati kedua orang tuanya yang begitu mengharap. Hati Aisyah merintih, Aisyah terlena dalam tangisan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku