Kau Yang Ku Tunggu
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
339

Bacaan






“Selamat pagi Cik Aisyah” tegur Lia dengan cerianya, apabila Aisyah berjalan melintas mejanya. Aisyah berpaling memandang belakang bagi memastikan siapa sebenarnya yang disapa Lia.

“Err... Selamat pagi Lia.” jawab Aisyah setelah pasti Lia menegurnya.

“Dah sarapan?” Aisyah berbasa. Lia merupakan penyambut tetamu di Wawasan Konsultan. Perangainya yang gedik dan suka membawa mulut membuatkan ramai staf wanita di Wawasan kurang senang dengannya. Lia cemburu terhadap staf perempuan muda seperti Aisyah kerana menganggap mereka sebagai pencabarnya. Itulah yang diberitahu kepada Aisyah pada minggu pertama dia mula bekerja. “Jika Lia mula berbaik-baik... hati-hati, selalunya ada udang di sebalik batu.” Teringat Aisyah kata-kata amaran salah seorang staf. Huh, ini yang buat Aisyah suspen.

“Dah Cik Aisyah. Cantik Cik Aisyah hari ni. Baju baru ya.” Lia mula beramah mesra dengan Aisyah. Aisyah mula cuak.

“Err... saya masuk dulu. Banyak kerja.” Aisyah mereka alasan untuk melarikan diri dari menjadi mangsa Lia seterusnya.

“Nantilah dulu, saya ada perkara nak bagi tahu Cik Aisyah.” tahan Lia.

Makin suspen Aisyah dibuatnya dengan kata-kata Lia.

“Apa dia?” tanya Aisyah. Tidak elok pula rasanya jika Aisyah terus pergi dari situ. Mungkin Lia ada perkara penting, jika tidak buat apa Aisyah ditahannya.

“Alah, duduklah sini dulu, borak-borak dengan saya.” ajak Lia.

“Eh, tak boleh saya ada banyak kerja kat dalam. Lain kalilah ya.”

“Tak apalah kalau macam tu.” Lia sudah menarik muka.

“Merajuk pula dah, malas aku nak melayan kerenah perempuan ni.” gerutu Aisyah dalam hati.

“Saya cuma nak bagi tahu, petang semalam Cik Aisyah ada terima sejambak bunga, cantik. Cik dah balik, jadi saya terima bagi pihak Cik Aisyah. Saya dah letak di atas meja Cik. Dari boyfriend ke? Seronoknya kalau saya pun dapat jambangan bunga macam tu...” Lia berkata sambil meletakkan kedua-dua tangannya ke dada. Mata Lia memandang ke atas dan senyuman terukir di bibir Lia. Nampak sangat Lia sedang berangan.

“Hah! Bunga… terima kasih Lia, saya masuk dulu.” pantas Aisyah mengayunkan langkah berlalu pergi dari situ.

“Siapa pula yang hantar bunga kat aku ni? Tak sampai sebulan kerja kat sini dah dapat jambangan bunga, sahih lepas ini aku jadi popular. Lia mesti canang satu bangunan nanti. Aduh, masak aku macam ni.” desis hati Aisyah.

“Tunggulah dulu Cik Aisyah.” panggil Lia. Aisyah meneruskan langkahnya tanpa menghiraukan panggilan Lia, mesti banyak soalan tambahan yang bakal keluar dari bibir penyambut tetamu yang terlebih ramah itu jika Aisyah masih di situ.

Setibanya Aisyah di stesen kerjanya, ada sejambak mawar merah di atas meja seperti yang dikatakan oleh Lia tadi. Mata Aisyah meliar memandang ke kiri dan kanan, nasib baik tiba awal hari ini. Cepat-cepat Aisyah mengambil jambangan tersebut dan menyorokkannya di bawah meja. Kad yang terselit di bunga tersebut sempat dicapai oleh Aisyah.

Air muka di tempat kerja barunya perlu dijaga. Nanti dicap entah apa-apa oleh rakan-rakan barunya. Pasti ada yang dah tahu dari Lia penyambut tetamu yang terlebih ramah tadi. Baru sahaja Aisyah hendak membaca kad tersebut tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, segera Aisyah melihat siapa nama pemanggil di skrin telefonnya itu.

“Kak Mona. Apa hal pula Kak Mona telefon pagi-pagi macam ni?” soal Aisyah sambil menekan telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum Kak Mona, apa hal call pagi-pagi ni? Ada gosip baru ke?” dengan ceria Aisyah bertanya sebaik sahaja dia menjawab panggilan dari Mona. Mona merupakan setiausaha kepada Hasnul, bos tempat kerja lama Aisyah.

“Aisyah, akak minta maaf sangat... sangat...” kata Mona tertahan-tahan di hujung talian

“Eh... kenapa ni? Kak Mona, apa dah jadi? Pakcik tu marah akak ke?” Aisyah mendesak ingin tahu. Suara Mona kedengaran begitu sedih sekali di halwa telinga Aisyah..

“Hasnul ada call Aisyah tak?” soal Mona

“Pakcik tu, tak ada la pula... dia dah give up la tu kak... dah faham kut saya tak suka kat dia.” jawab Aisyah sambil ketawa.

Give up... Aisyah kata... salah telahan Aisyah tu... hari-hari dia tanya akak pasal Aisyah... sampai naik rimas akak dibuatnya...” kata Mona kegeraman.

“Ya ke? Ingatkan bila saya pindah ofis dia dah beralih arah, rupanya belum lagi ya...” Aisyah mula risau. Pasti sesuatu telah berlaku menyebabkan Kak Mona menelefonnya pagi-pagi begini. Apa pula yang telah Hasnul lakukan kali ini?

Hasnul a.k.a Bos Kak Mona, lelaki yang tergila-gilakan Aisyah. Hampir enam bulan Aisyah menelan segala tindak tanduk dari bosnya yang gatal itu, akhirnya terlaksana juga rancangan Aisyah untuk berhenti kerja dengan notis 24 jam. Jika diikutkan hati sudah lama Aisyah ingin berhenti kerja tetapi atas nasihat Matsengkek, Aisyah menangguhkan dahulu niatnya sehingga mendapat tawaran pekerjaan lain sebelum berhenti. Betul juga kata Matsengkek, takkan Aisyah hendak menganggur lama-lama. Lagi pun Aisyah perlu menabung untuk membayar pampasan kepada syarikat kerana Aisyah ingin berhenti dengan notis 24 jam. Aisyah sendiri tidak pasti berapa lama duit simpanan yang ada akan bertahan, takkan Aisyah hendak minta wang belanja daripada mak di kampung.

Tawaran kerja daripada Wawasan Konsultan sememangnya ditunggu Aisyah. Sudah banyak temuduga yang dihadiri oleh Aisyah sehingga Aisyah hampir putus asa apabila jawapan yang diterima semua mengecewakan. Tawaran itu datang tepat pada waktunya dan Aisyah amat bersyukur. Rancangan berhenti kerja diatur dengan bantuan Mona. Aisyah perlu mencari waktu yang sesuai untuk berhenti, Aisyah tidak mahu menghantar surat berhenti ke tangan Hasnul. Peluang itu datang apabila Hasnul ke keluar negara selama seminggu. Kesempatan itu diambil oleh Aisyah untuk menghantar surat berhenti kerja dan cek penalti setara dengan dua bulan gaji seperti yang tercatat di dalam kontrak semasa Aisyah diterima bekerja di syarikat tersebut. Pegawai sumber manusia syarikat itu menerima perletakan jawatan Aisyah tanpa banyak bicara.

Untuk mengelakkan Hasnul terus menjejaki Aisyah, Mona menasihati Aisyah supaya berpindah rumah. Aisyah dan Sarah sepakat mencari rumah sewa bersama-sama. Setelah puas mencari akhirnya mereka menemui sebuah rumah sewa yang berdekatan dengan sekolah Sarah dan terletak tidak jauh dari Wawasan Konsultan. Lokasi yang strategik dan memudahkan mereka berdua. Sarah tidak perlu lagi keluar awal-awal pagi dan menaiki dua buah bas ke sekolah. Aisyah pula tidak perlu menempoh kesesakan lalulintas untuk ke tempat kerja.

“Aisyah.” panggilan Mona mematikan lamunan Aisyah.

“Ya, Kak Mona.”

“Semalam Kak Mona MC, naik kerja hari ni akak tengok meja akak berselerak, buku telefon akak terbuka pada nama engkau… akak agak ini mesti angkara pakcik playboy tu. Mesti dia dah dapat nombor baru Aisyah. Dalam buku tu pun ada alamat pejabat baru Aisyah... Kak Mona minta maaf Aisyah. Selalunya buku tu akak kunci dalam laci… mungkin semalam sebab tergesa-gesa nak ke klinik, akak terlupa kunci. Tak sangkalah pula jadi macam ni...” panjang lebar Kak Mona menerangkan kisah yang berlaku. Perasaan bersalah jelas tergambar dari suaranya.

Kak Mona pun dah terikut-ikut Aisyah memanggil Hasnul dengan panggilan Pakcik. Sudah tua tapi masih tak sedar diri nak menggatal dengan anak dara. Anak sulung Hasnul pun dah hampir sebaya dengan Aisyah, itu yang membuatkan Aisyah makin meluat. Memang tidak dinafikan, walaupun berusia lewat 40-an, Hasnul masih kelihatan segak. Ditambah pula dengan status ahli perniagaan berjaya, tidak hairanlah ada saja perempuan yang hendak berdamping dengannya. Hasnul kini tercabar kerana Aisyah tidak melayan dan mempedulikan godaannya, jadi Hasnul terus berusaha tanpa jemu untuk memikat Aisyah.

“Tak apalah Kak, bukan salah akak. Perkara dah jadi... lama kelamaan pakcik tu akan tahu juga Aisyah kerja di mana. Kuala Lumpur ni kecil, pusing-pusing satu hari mesti terjumpa.” kata Aisyah.

Tiba-tiba Aisyah teringat bunga yang baru diterimanya, kad kecil yang masih lagi dipegangnya dibuka. Tepat sekali telahan Aisyah bunga tersebut memang dari Hasnul.

“Masih belum berputus asa lagi lelaki ini.” getus hati Aisyah.

“Kak Mona nak Aisyah berhati-hati, akak tak nak sesuatu yang buruk berlaku pada Aisyah. Orang tengah gila bayang macam dia sukar hendak diduga perlakuannya.” pesan Mona yang kerisauan.

“Kak Mona jangan risau, pandailah Aisyah jaga diri. Kalau ada apa-apa nanti Aisyah bagi tahu akak, okey.” balas Aisyah.

“Maafkan akak ya Aisyah sebab tak jaga amanah Aisyah dengan baik. Bagi tahu akak jika pakcik tu kacau Aisyah. Tahulah nanti akak basuh dia.”

“Terima kasih akak sebab bagi tahu Aisyah. Err… Aisyah minta diri dulu, banyak kerja nak buat.” balas Aisyah cuba menghentikan perbualan mereka kerana takut terbabas bercerita perihal bunga yang diterimanya. Kalau Kak Mona tahu berkenaan bunga tersebut alamat bertambahlah kerisauan beliau.

“Okeylah kalau macam tu. Jaga diri tau.” pesan Mona lagi sebelum talian diputuskan.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku