Kau Yang Ku Tunggu
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
554

Bacaan






Aisyah tersandar dikerusinya. Perbualannya dengan Mona sebentar tadi benar-benar mengganggu fikiran Aisyah. Sudahlah runsing dengan permintaan kedua ibubapanya dan sikap jengkel Khairul, kini Hasnul menambahkan lagi semak dalam fikiran Aisyah.

Aisyah masih ingat lagi betapa terujanya dirinya apabila mendapat kerja di syarikat milik Hasnul, walaupun sebuah syarikat kecil namun banyak projek diperolehi oleh syarikat itu. Banyak ilmu dan pengalaman yang dititip oleh Aisyah di syarikat itu.

Segala keceriaan Aisyah di sana hilang sejak enam bulan yang lepas. Semuanya bermula dengan ajakan Hasnul makan tengahari berdua dengan Aisyah. Aisyah tidak berdaya menolak kerana Hasnul mengajaknya atas alasan kerja. Aisyah mula menyedari bahawa alasan tersebut hanyalah helah semata-mata kerana apabila Aisyah membuka topik berkenaan kerja, Hasnul mengelak dan mula membuka cerita tentang dirinya ataupun menyoal Aisyah perihal peribadi Aisyah. Aisyah berasa tidak selesa, tetapi masih melayan Hasnul dengan baik.

Sekembalinya Aisyah ke pejabat, Mona menjadi sasaran utama Aisyah untuk mengadu. Pantri menjadi lokasi pertemuan mereka.

“Dia dah mula masuk jarumlah tu Aisyah. Aisyah kena hati-hati. Dah lama akak tengok tak ada perempuan ikut dia. Rasa akak, Aisyah dah masuk kategori calon seterusnya.” usik wanita separuh abad yang telah hampir sedekad berkhidmat dengan Hasnul. Pasti banyak rahsia Hasnul dalam genggaman Mona.

“Akak dah masak benar dengan perangai dia, dia tu playboy. Rupa ada, duit ada, itu pasal perempuan sebaya Aisyah suka kat dia. Lepas sorang, sorang akak tengok dia bawa ke hulu ke hilir. Semua jenis yang pakai kain tak cukup. Semua lawa-lawa belaka, gedik pula tu. Playboymacam ni memang suka perempuan gedik, manja tak bertempat. Kadang-kadang rimas akak tengok, asyik nak berkepit. Bila bercakap terlentuk kiri, terlentuk kanan.” Mona memuntahkan perasaannya kepada Aisyah. Gelihati Aisyah melihat aksi Mona meniru gelagat girlfriend Hasnul.

“Macam inilah Aisyah, kalau Aisyah perlukan pertolongan akak jangan segan-segan. Apa yang akak boleh bantu, akak bantu. Sekarang ini kita pergi buat kerja dulu. Nanti kalau Hasnul cari akak, jenuh juga akak nak menjawab.”

Semenjak hari itu ada saja alasan dibuat oleh Hasnul agar Aisyah keluar berdua-duaan dengannya. Kalau keluar berkenaan hal kerja seperti pergi mesyuarat atau lawatan tapak Aisyah tidak kisah, tetapi apabila Hasnul mula mengambil kesempatan mengajaknya singgah membeli belah setelah selesai mesyuarat, Aisyah mula bengang. Yang makin mengeramkan Aisyah apabila Hasnul menanyakan pendapatnya untuk membeli barang-barang peribadinya termasuklah seluar kecilnya.

Pada siapa lagi Aisyah mahu mengadu jika bukan Matsengkek sahabat alam sibernya yang setia itu. Matsengkek menasihatkan Aisyah agar menaiki kereta sendiri apabila menghadiri mesyuarat di luar pejabat atau ke lawatan tapak. Biarlah tidak boleh buat tuntutan perjalanan, janji hati kita senang kata Matsengkek.

Seringkali juga Aisyah terpaksa balik lewat kerana Hasnul memberikan Aisyah kerja yang kononnya perlu disiapkan segera. Jika dahulu Aisyah berkerja di bawah pemantauan Encik Mohan, selepas acara makan tengahari tempohari Hasnul mengarahkan Aisyah melapor terus kepadanya.

“Akak, hari ini Aisyah balik lewat lagi. Akak tolong teman ya.” bisik Aisyah perlahan melalui gagang telefon. Risau juga Aisyah jika rakan sekerja yang lain dapat menghidu apa yang berlaku. Mona sering diheret menemankan Aisyah yang terpaksa balik lewat. Aisyah takut berdua-duaan dengan Hasnul. Aisyah berpegang kepada sebuah hadis Nabi Muhammad S.A.W yang membawa maksud;Janganlah seorang lelaki duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya, maka sesungguhnya orang yang ketiga yang akan bersama-sama mereka ialah syaitan kecuali jika bersama mereka seorang muhrim.(Riwayat Ahmad)

Bagi Aisyah mencegah itu lebih baik dari mengubati. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya. Jika Mona tiada, Sarah akan menjadi mangsa Aisyah. Mujur Sarah bekerja sebagai guru, petang merupakan masa senggang baginya. Walaupun Sarah merungut tetapi Sarah sentiasa bersedia membantu Aisyah.

“Aisyah jangan risau. Akak dah dengar dia cakap kat Aisyah tadi. Nanti pandai-pandailah akak berlakon.” kata Mona yang telah menganggap Aisyah bagai anaknya sendiri.

Untuk mengelakkan Hasnul dari terhidu konspirasi mereka, seringkali Mona terpaksa berlakon. Konon-konon terpaksa patah balik sebab tertinggal telefon, dompet dan macam-macam lagi. Paling-paling malas pun hari itu terpaksa tumpang Aisyah sebab suaminya pergi outstation. Pandai sungguh Mona mencari alasan yang kreatif.

“Aisyah, nah bos kasi.” dengan senyum simpul, Mona menghulurkan sekotak coklat kepada Aisyah.

“Akak, saya dah katakan kalau dapat coklat atau barang makanan letak terus kat pantri biar staf lain yang makan.”

“Eh! Kali ini tak boleh, pakcik tu tengah usyar dari jauh. Agaknya dia takut akak rembat coklat ni. Tadi dia pesan, akak kena pastikan Aisyah makan coklat ini. Pakcik kesayangan Aisyah tu kata, coklat ini dibeli khas untuk Aisyah seorang sahaja.” kata Mona. Keningnya dijungkitkan, kotak coklat itu dibuka dan dihulurkan kepada Aisyah.

“Akak entah-entah... dia dah siap jampi.” bisik Aisyah curiga.

“Akak pun syak macam tu juga.” bisik Mona.

“Takutnya Aisyah kak Mona. Akak, kalau akak nampak Aisyah dah mula terhegeh-hegeh kat pakcik tu, tolonglah bawa Aisyah berubat, jumpa ustaz mana-mana. Aisyah takut dah terkena. Mana tau kut-kut gula kat pantri pun dia dah jampi.” Mona mengekek ketawa mendengar kerisauan Aisyah.

“Aisyah buat-buatlah ambil sebiji makan. Dia takkan masuk bilik selagi tak tengok Aisyah telan coklat ni.”

“Err... nak kena makan juga ke?”

“Berlakon sudahlah. Macam tak biasa pula Aisyah ni.”

Aisyah mencapai sebiji coklat dan pura-pura memasukkan coklat itu ke mulutnya.

“Sedapnya kak Mona. Aisyah sukalah. Tak cukup satu ni.” Aisyah memuji dengan kuat. Hasnul yang memandang dari jauh tersenyum lebar.

“Okey, dia dah masuk bilik. Boleh letak balik.”

“Woi! Man, Siti, Nor, ajak sapa-sapa yang ada kat situ mari makan coklat kak Mona bawa ni.” panggil Aisyah kepada staf yang berada tidak jauh dari stesen kerjanya.

“Lupa pula, ini ada satu lagi.” Mona menghulurkan satu bungkusan kepada Aisyah. Segera Aisyah mencapainya dan memasukkan bungkusan itu ke dalam laci sebelum rakan-rakan yang dipanggil tadi tiba.

“Isk... kak Mona ni, cover, coverlah sikit. Nanti budak-budak tu nampak kecoh satu pejabat.”

“Dah berapa kotak Aisyah simpan hadiah pakcik tu?” tanya Mona sebaik sahaja, mereka yang datang untuk mengambil coklat dari Aisyah pergi. Mona sering menjadi posmen menghantar hadiah-hadiah yang dibeli oleh Hasnul.

“Satu tingkat almari dah penuh, terpaksa Aisyah ubah masuk dalam kotak letak bawah katil. Kotak tu pun dah nak penuh.”

“Aisyah pakai sajalah, dah dia bagi bukan Aisyah minta pun.” suruh Mona.

“Ah, tak naklah. Semua barang berjenama yang tak mampu Aisyah beli. Nanti orang kata Aisyah ada sugar daddy. Sampai kat telinga abah Aisyah mahu pengsan dia.” Aisyah menolak. Sudah terlalu banyak hadiah diterima dari Hasnul. Pelbagai barang berjenama seperti beg tangan, jam, minyak wangi dan pakaian dibeli oleh Hasnul terutamanya jika dia keluar negara. Walaupun Aisyah menolak, Hasnul masih tetap memberi.

Akhirnya semua barang-barang yang diterima dari Hasnul disimpan sahaja. Semuanya masih elok belaka, tidak pernah Aisyah gunakan. Niat Aisyah suatu hari nanti semua barang-barang itu akan dikembalikan kepada yang hak, iaitu Munirah, isteri kepada Hasnul.

Bukan sahaja di pejabat, balik ke rumah pun Aisyah masih diganggu oleh Hasnul. Hampir setiap malam Hasnul menelefon sekadar untuk berbual-bual kosong. Walaupun rimas, tetap Aisyah melayannya dengan baik. Terngiang-ngiang lagi di telinga Aisyah ketika pertama kali menerima panggilan yang kononnya romantik dari Hasnul.

“Malam ni sayang makan apa? Jom keluar temankan abang makan.” Uwek, nak termuntah Aisyah mendengar panggilan sayang dari Hasnul. Menyesal pula Aisyah mengangkat telefon tanpa melihat nama pemanggil di skrin kecil telefon bimbitnya. Malam itu kesabaran Aisyah tercabar apabila Hasnul sudah mula berabang sayang dengannya. Geli geleman Aisyah mendengarnya. Rasa tercemar pendengarannya malam itu. Rasa menyampah dan meluat makin beraja di hati Aisyah.

“Err... saya sakit perut nak ke tandas. Nanti callbalik.” Klik. Terus Aisyah meletakkan telefon dan mematikan telefon bimbitnya tanpa menunggu jawapan dari Hasnul. Buat pertama kalinya Aisyah bersikap kurang ajar dengan Hasnul.

“Padan muka. Lelaki tua tak sedar diri, ada hati nak bersayang, sayang dengan aku. Engkau sebaya Pak Su aku tau, tak usahlah berabang, abang dengan aku. Gelinya aku.” bebel Aisyah ke arah telefon bimbit yang dipegangnya.

Kalau nak diikutkan banyak perkara yang menjengkelkan Aisyah sepanjang cubaan mengurat Hasnul. Segala masalah dikongsi bersama Mona. Mona pun sering bercerita kisah Hasnul kepada Aisyah.

“Kak Mona anggap Hasnul tu macam adik. Ada sekali tu, dek kerana geram, akak pun tegurlah dia, 'Hasnul, tak baik angkut anak dara orang ke hulu ke hilir macam ni. Perempuan-perempuan tu semua bukan suka kat engkau, dia orang suka kat duit engkau je. Akak tengok dia orang tu lebih kurang sebaya Mina, anak engkau tu. Kalau Mina tengok mesti dia malu.' Aisyah tahu dia jawab apa?”

Aisyah menggeleng.

“Jawapan Hasnul telah meranapkan rasa hormat Kak Mona kepada seorang ketua. Kata Hasnul, 'Apalah sangat nilai wang ringgit yang saya laburkan untuk menawan hati seseorang wanita itu, jika wanita itu dapat saya takluki itu merupakan satu bonus tetapi jika saya tidak dapat saya tidak rugi apa-apa, saya masih punya isteri yang menanti saya setiap hari di rumah.' Geram tak bila dengar?

Dia ingat isteri dia di rumah tu tiada perasaan ke? Dasar lelaki buaya. Kak Mona terkilan mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Hasnul, hilang hormat akak kepadanya selama ini. Hati akak sedih mengenangkan nasib Munirah, isteri Hasnul.” Mona menyuarakan rasa kesalnya kepada Aisyah. Sehingga hari ini, hati Aisyah meruntun sedih mengenangkan nasib isteri Hasnul.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku