Kau Yang Ku Tunggu
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
427

Bacaan






Sudah beberapa hari Sarah memerhatikan sahaja tingkah laku pelik rakan serumahnya itu. Muka Aisyah monyok setiap kali pulang dari kerja. Setiap hari ada sahaja bunga atau hadiah yang dibawa pulang. Bakul sampah rumah mereka bukannya penuh dengan sampah tetapi penuh dengan bunga mawar berbagai-bagai warna yang dibuang Aisyah setiap kali tiba di rumah. Sayang Sarah melihat bunga-bunga yang cantik itu, hendak dikutip nanti dimarah Aisyah. Maka terbiarlah bunga-bunga tersebut menghiasi bakul sampah mereka. Bagus juga tidak perlu letak potpuri mewangikan dapur.

Kotak-kotak coklat pula memenuhi ruang di peti sejuk sehingga ke atas meja makan. Bukan coklat yang murah-murah, handmade, imported pun ada, paling murah pun Ferrerro Rocher. Terliur juga Sarah melihatnya, hendak dimakan terasa was-was. Tiada satu pun kotak coklat itu telah dibuka menandakan Aisyah telah menjamahnya, mesti ada cerita disebalik semua bunga dan coklat yang memenuhi ruang rumah mereka

Jika dulu mereka selalu lepak bersama menonton televisyen pada waktu malam tetapi kini balik sahaja dari pejabat Aisyah akan terus berkurung di dalam bilik. Tiada lagi usikan dari Aisyah apabila dia menonton drama Korea di televisyen. Tiada lagi perebutan alat kawalan jauh televisyen untuk menonton cerita kegemaran masing-masing. Rumah itu kini sepi tanpa gelak tawa dan gurau senda rakannya itu.

Sebelum Sarah berkursus minggu lepas, Sarah tidak berkesempatan untuk bertanya masalah Aisyah. Kini selepas Sarah pulang dari berkursus, dilihatnya Aisyah semakin teruk. Tubuh badan Aisyah yang tinggi lampai itu kelihatan semakin kurus. Setiap malam Sarah terpaksa mengadap makan malam sendirian kerana Aisyah sering menolak bila diajak dengan mengatakan dia sudah makan atau pun sudah kenyang.

Malam ini Sarah nekad, dia akan terus mengetuk pintu bilik Aisyah sehingga Aisyah keluar. Sarah tidak sanggup melihat kemurungan rakannya itu lagi.

“Aisyah, Aisyah… buka la pintu ni, mari kita makan sama… dah lama kita tak makan sama…” pujuk Sarah sambil mengetuk pintu bilik Aisyah.

“Marilah keluar, aku akan ketuk pintu bilik ni sampai engkau buka Biar roboh pun aku tak kisah.” gertak Sarah lagi sambil menguatkan ketukan di pintu bilik Aisyah.

Terdengar tombol pintu dipulas. Sarah tersenyum puas. Pintu bilik dibuka sedikit oleh Aisyah. “Ada apa? Aku nak rehat ni, penat.” tanya Aisyah dari celahan pintu yang terkuak sedikit itu.

“Jom makan, aku masak spesial hari ini. Kegemaran engkau, ada tom yam, ayam goreng kunyit dan telur dadar. Jomlah temankan aku, tak seronoklah aku makan sorang-sorang.” kata Sarah sambil menolak pintu bilik dan menarik tangan Aisyah keluar.

Aisyah seperti lembu dicucuk hidung, menapak keluar bilik apabila tangannya tidak dilepaskan oleh Sarah sehinggalah tiba di meja makan.

“Hah… makanlah. Apa tunggu lagi? Penat aku masak ni tau.” ajak Sarah apabila dilihatnya Aisyah hanya menunduk memandang nasi di pinggan.

“Aku tak ada selera. Engkau sajalah yang makan.”

“Mana boleh, banyak lauk ni tak terhabis aku makan sorang. Mari sini aku cedok… engkau suka tomyam kan...” kata Sarah sambil menarik pinggan Aisyah dan mencedok kuah tomyam berserta isinya ke dalam pinggan Aisyah.

“Ini pula ayam goreng kunyit, nah makan…” kata Sarah lagi sambil mengambil ayam tersebut dan meletakkan di tepi pinggan lalu disua pinggan tersebut kepada Aisyah.

Aisyah terharu dengan sikap keprihatinan Sarah, takungan air mata yang ditahannya pecah jua. Hatinya sebak, dia tersedu, “Sarah...” hanya itu yang mampu keluar dari mulutnya sambil memandang Sarah.

Sarah yang melihat hujan air mata rakannya itu, terus memeluk Aisyah. Berat benarkah tanggungan Aisyah yang tabah itu sehingga mengalirkan air mata sebegini.

Apabila sedu Aisyah telah berhenti, dilepaskan pelukannya. Kotak tisu di atas meja diambil oleh Sarah sambil sebelah tangan lagi menarik tangan Aisyah.

“Jom kita ke depan dulu.” kata Sarah ringkas. Kotak tisu dihulurkan kepada Aisyah sebaik sahaja Aisyah duduk di sofa.

“Okey, sekarang aku nak kau cerita apa yang sebenarnya berlaku ke atas diri engkau.” kata Sarah sambil duduk di sebelah Aisyah.

Aisyah mengambil tisu lalu mengesat air matanya. Perlahan-lahan dia mengangkat muka memandang Sarah. “Terima kasih Sarah kerana menjadi sahabat aku.” tutur Aisyah dengan rasa bersalah kepada sahabatnya itu.

“Dah, dah, dah, aku tak nak dengar kau berdalih lagi. Kali ini aku nak dengar apa yang sebenarnya terjadi.” Sarah mendesak.

“Hasnul dah tau aku kerja di Wawasan Konsultan.” kata Aisyah lemah.

“Jadi bunga-bunga yang kau campak tu, coklat-coklat yang bertimbun tu semua dia bagi.” kata Sarah yang semakin jelas dengan keadaan Aisyah.

Aisyah mengangguk.

“Aku ingat segalanya akan berakhir apabila aku bertukar kerja, tapi kini aku dah tahu mana nak letak muka. Satu ofis tahu aku terima bunga setiap hari. Aku dah tak boleh nak sorok lagi. Aku asyik kena perli kat pejabat. Rasa macam nak berhenti pun ada. Aku dah tak tahu nak buat macam mana. Semakin jauh aku melarikan diri semakin dia mendekat. Aku takut aku goyah. Batu yang keras jika setiap hari dititis air akan berlekuk. Inikan pula aku yang punya iman senipis kulit bawang.” luah Aisyah sambil memandang wajah Sarah.

Sarah menggenggam kuat tangan Aisyah seakan menyalurkan kekuatan ke dalam diri Aisyah. Sebelah tangan lagi mengusap belakang Aisyah untuk menenangkan Aisyah.

“Jangan bertindak terburu-buru, nanti engkau yang menyesal sendiri. Peluang bekerja di syarikat yang gah seperti Wawasan bukan selalu datang. Engkau sendiri kata kau seronok bekerja di sana. Tentang Hasnul tu kau jangan risau, lambat-laun pasti dia akan jemu juga kalau kau tak layan. Pasal rakan sekerja kau tu biarkan sahaja, tak lama lagi basilah cerita kau tu.” nasihat Sarah meredakan gundah di hati Aisyah.

“Engkau pasti?” soal Aisyah dalam sendu.

“In sha Allah. Sudah jangan fikirkan lagi hal Hasnul dan mulut kawan-kawan kau tu. Bila jemu mereka berhenti sendiri.” Aisyah terdiam memikirkan kebenaran kata-kata Sarah.

“Aku rindu pada Matsengkek.” tiba-tiba Aisyah berkata memecah kebisuan di antara mereka. “Sudah sebulan dia menyepi…” sambung Aisyah lagi air mata yang disekanya tadi tumpah lagi.

“Engkau sayang dia…” Sarah cuba menyelami hati Aisyah.

“Entah, aku sendiri tidak tau. Yang aku tahu selama sebulan ini aku kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup aku. Aku terlalu rindu padanya.” bisik Aisyah.

“Aku rasa tanpa kau sedari kau dah jatuh cinta dengan Matsengkek.” telah Sarah.

“Bolehkah aku jatuh cinta dengan hanya melalui e-mel?” tanya Aisyah meminta kepastian Sarah. “Aku keliru Sarah. Aku takut.”

“Entah, aku pun tak pasti. Tapi jika ada orang boleh jatuh cinta hanya dengan mendengar suara melalui telefon dan corong radio tidak mustahil hal ini terjadi pada engkau. Aku rasa engkau terlalu takut untuk menerima realiti, itu pasal engkau tolak ajakan Mat untuk berjumpa. Di dalam minda engkau itu, engkau telah potretkan bagaimana rupa Mat. Engkau takut kecewa jika Mat tidak seperti yang engkau impikan selama ini… betul tak?” Sarah menggunakan ilmu kaunseling yang dipelajarinya untuk menolong anak-anak muridnya bagi membantu Aisyah pula untuk menerima kenyataan.

“Mungkin betul kata engkau, aku terlalu taksub dengan alam siber sehingga takut untuk menerima realiti. Kesian Mat, kesian jugak kat aku ni… kan” kata Aisyah sambil ketawa kecil. Matanya bersinar seperti orang yang baru tersedar dari mimpi yang panjang.

Sarah tersenyum, dia gembira melihat Aisyah sudah boleh ketawa begitu.

“Jom makan, aku rasa lapar la pula…” Aisyah berkata sambil menarik tangan Sarah supaya bangun. Seleranya tiba-tiba datang.

Sarah dengan senang hati bangun mengekori Aisyah ke meja makan.

“Alah, tengok dah kembang nasi aku ni… ini semua engkau punya pasal.” rungut Aisyah memandang nasi di pinggannya.

“Eh! aku pula, yang engkau tiba-tiba banjir tu kenapa? Buat gabra aku je tau.” usik Sarah.

“Eh… tomyam ni rasa macam Restoran Jambul punya je. Cis! engkau tipu aku ye. Tak patutlah engkau ni…” kata Aisyah sebaik sahaja dihirupnya sup tomyam tersebut.

“Hoi... kawan, mana ada barang nak masak kat dapur. Engkau tak perasan ke dah seminggu dapur tu tak berasap. Duduk terperuk lagi dalam bilik tu.” Sarah mula bersyarah. Tetapi apabila Sarah melihat Aisyah sedang makan dengan lahapnya tidak jadi Sarah hendak bersyarah panjang. Hati Sarah gembira melihat Aisyah sudah kembali ceria.

Usai makan dan mengemas dapur mereka kembali ke ruang tamu. Sarah mengambil alat kawalan jauh televisyen dan mula menukar-nukar siaran mencari cerita yang menarik untuk ditonton.

“Ada orang datang merisik aku.” kata Aisyah perlahan. Sungguh pun berkulit sawo matang, wajahnya merona merah apabila malu.

“Ha! Apa kata kau tadi… merisik? Siapa? Bila?” terkejut Sarah mendengar ucapan Aisyah. Terus Sarah menutup televisyen bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada cerita Aisyah.

“Bulan lepas, masa kita balik kampung hari tu.” terang Aisyah. Kali ini dia tidak mahu lagi memendam rasa dan berselindung dari Sarah.

“Sampai hati kau rahsiakan semua ni dari aku. Kita dah berkawan lama, sekampung, duduk pula serumah benda penting macam ni pun kau tak bagi tau aku. Sampai hati kau buat aku macam ni…” Sarah mula berjauh hati dengan sikap Aisyah.

“Sarah, engkau janganlah merajuk… engkau sajalah satu-satunya sahabat aku dunia akhirat. Aku janji lepas ini semua perkara yang berlaku ke atas diri aku akan aku khabarkan kepada engkau. Aku malu sebenarnya nak bagi tahu engkau.” kata Aisyah memujuk kawannya itu.

“Malu ke suka ni...?” dalam rajuknya sempat lagi Sarah mengusik Aisyah.

“Malulah... hari tu baru je kau kata, lepas ni aku dah tak boleh menolak lagi kalau ada yang masuk meminang. Betul kata kau, aku dah tak ada alasan lagi untuk menolak.”

“Siapa? Aku kenal ke?” tanya Sarah.

“Khairul anak Pakcik Kamal kawan abah. Aku pun tak kenal. Aku cakap kat abah aku biar kami berkawan dulu, baru aku bagi jawapan.” kata Aisyah.

“Kerja kat mana, kat kampung ke?”

“Tak, dia mengajar di Seremban. Eh! Mungkin engkau kenal kut, dia ajar elektronik macam kau juga.” kata Aisyah agak teruja kerana teringatkan kerja sahabatnya itu.

“Entah, mungkin kut. Aku ada kawan yang mengajar kat situ. Kami baru kursus sama-sama minggu lepas. Engkau nak aku tanya-tanyakan pasal mamat ni? Siapa nama dia tadi?” tanya Sarah ingin membantu.

“Eh! Kejap, telefon aku berbunyi. Aku kena jawab… mesti dia yang telefon.” kata Aisyah seraya bangun dan berjalan pantas menuju ke biliknya.

“Dia? Mamat mana pula yang Aisyah maksudkan ni?” Sarah tertanya sendirian sambil melihat aksi Aisyah yang menjawab telefon dengan manjanya melalui pintu biliknya yang terbuka luas.

Setelah hampir lima belas minit bergayut, Aisyah keluar sambil berkata, “Sorrylah, aku kena jawab panggilan tadi.”

“Kenapa pula? Siapa tu?” tanya Sarah mengusik.

“Er… Alah… lelaki yang masuk meminang aku, yang aku cerita tadi tu la.”

“Siapa? Ooo... Cikgu tu?” tanya Sarah cuba mengingat dan meneka siapa yang dimaksudkan oleh Aisyah.

Aisyah mengangguk. “Aku malas nak bersoal jawab dengan mak aku nanti kalau aku tak jawab panggilan telefon dia. Ada sekali tu aku tak jawab sebab tertidur, esoknya mak aku telefon marahkan aku. Letihlah aku nak melayan anak mak macam ni, sikit-sikit mengadu kat mak dia. Itu baru tak angkat telefon, kalau dah kahwin nanti tak taulah aku.” rungut Aisyah.

“Habis tu apa kau nak jawab kat mak abah kau nanti?”

“Itu yang aku tambah tension, tiap-tiap minggu mak aku tanya apa jawapan aku. Aku sebenarnya tak berapa suka, tapi sebab mak aku terpaksa layan. Orangnya kasar, tak romantik langsung. Suka cakap besar pula tu. Paling tak berkenan dok ikut cakap mak, anak manja mak... tak boleh tahan aku.”

“Eleh, tadi sembang bukan main lama lagi.”

“Kalau aku tak layan, dia report kat mak dia, mak dia report pula kat mak aku. Mak aku akan marah aku, jadi nak tak nak aku kena layan juga.”

“Bila kau kena bagi jawapan?”

“Kami diberi tempoh tiga bulan untuk berkawan.”

“Maksudnya…”

“Ya, suka atau tidak aku kena terima. No choice.”

“Kesiannya kau…engkau dah slow talk dengan mak dan abah engkau?”

“Dah… boleh tolak dengan syarat aku ada pilihan lain. Mana aku nak cari boyfriend bidan terjun?”

Sarah tidak dapat menahan ketawa mendengar kata-kata Aisyah.

“Aku serius ni. Engkau ada idea bernas tak?”

“Pakcik Hasnul tu ada.”

“Gila engkau, mahu pengsan mak aku tengok bakal menantu hampir sebaya dengan dia. Lepas tu, sure pakcik tu seronok gila. Isk tak sanggup aku, itu menempah maut namanya.”

“Ha…aku tau, aku tau…Mat.”

“Mat mana?” soal Aisyah yang masih kabur.

“Mat mana lagi, Matsengkek kawan alam siber engkau.” cadang Sarah.

“Dah jangan nak merepek. Member dah lah merajuk panjang dengan aku. Jumpa pun tak pernah, tup-tup ajak jumpa mak abah aku. Itu idea tak masuk akal. Sudahlah aku masuk tidur dulu. Esok aku ada date dengan Khairul.” kata Aisyah berjalan masuk ke bilik dan terus menutup pintu biliknya meninggalkan Sarah yang terpinga-pinga mendengar kata-kata akhirnya itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku