Kau Yang Ku Tunggu
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
307

Bacaan






Aisyah memandang jam meja di sebelahnya, novel di tangan diletakkan di atas meja di sisi katil. Aisyah mengeliat malas.

“Sudah pukul sepuluh pagi. Malasnya aku nak bangun.” desis hatinya. Kalau diikutkan hati, Aisyah ingin bermalas-malasan di atas katil lagi. Temujanji pertama bersama Khairul berada jauh dari mindanya.

“Malasnya aku nak bersiap. Tapi kalau tak pergi nanti pedih pula telinga mendengar leteran mak. Sabar sajalah.” bebel Aisyah membuka almari mencari baju yang sesuai untuk dipakai.

“Yang ini bolehlah, tak payah gosok.” Aisyah menarik blaus kain kapas berbunga kuning dan sehelai skirt labuh hitam.

Sesi luahan rasa bersama Sarah semalam telah membuatkan Aisyah lebih tenang. Terasa ringan sedikit beban yang ditanggung oleh Aisyah apabila dapat berkongsi masalah bersama sahabatnya itu.

Setelah hampir sebulan berhubung dengan Khairul melalui telefon, Aisyah kini pasrah. Kehadiran Khairul dalam hidupnya akan cuba diterima dengan hati terbuka. Kenapalah Khairul tidak pernah cuba untuk memikat hati aku. Perkataan yang keluar dari bibir Khairul amat menjengkelkan hati. Khairul seolah-olah sengaja hendak menyakiti hati aku. Aku jadi keliru. Nak kata tak suka, hampir setiap malam Khairul telefon aku. Nak kata suka, setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Khairul menyakitkan hati aku. Khairul terpaksa juga ke?

“Cantiknya engkau.” tegur Sarah apabila melihat Aisyah keluar bilik memakai tudung polos berwarna kuning, blaus yang ditaburi bunga-bunga kecil berwarna kuning dan skirt labuh hitam.

“Betul ke kau nak keluar dengan cikgu tu?” tegur Sarah lagi.

Aisyah mengangguk.

“Janji nak jumpa kat mana?” tanya Sarah yang kerisauan melihat tingkahlaku kawannya itu.

“Engkau macam mak aku. Mak aku pun tak soal aku macam kau tau tak.”

“Aku risaukan kaulah. Kalau jadi apa-apa kat engkau nanti, aku pun kena juga tau.”

“Aku nak pergi Aeon Wangsa Maju. Kami janji nak jumpa di MPH.” Aisyah menjawab. Sarah mengangguk. Hati Sarah mula tenang apabila mengetahui lokasi pertemuan Aisyah.

“Kau nak ikut?” ajak Aisyah.

“Isk… tak naklah aku. Kacau daun orang nak berdating.” sempat lagi Sarah mengusik.

“Kau jangan risau. Kalau dia buat tak senonoh, aku call engkau minta bantuan.” kata Aisyah ketawa.

“Engkau ni, sempat lagi bergurau macam tu.” tegur Sarah kurang senang dengan sikap ambil ringan rakannya itu.

“Engkau jangan risaulah. Kami jumpa di shopping complex, orang ramai.” pujuk Aisyah menghilangkan kerisauan Sarah.

“Betul juga tu.”

“Semalaman aku berfikir, aku dah berjanji untuk memberi peluang kepada perhubungan kami. Bukan kerana mak dan abah aku tetapi kerana diri aku sendiri. Benar kata engkau aku perlu berpijak di bumi nyata.” kata Aisyah sambil tersenyum menyakinkan Sarah.

“Hmm… baguslah kalau macam tu, aku doakan engkau bahagia. Jaga diri baik-baik.” pesan Sarah sambil melambaikan tangan ke arah Aisyah yang sedang membuka pintu kereta.

Aisyah sengaja tiba awal sedikit dari masa yang dijanjikan dengan Khairul di Aeon Wangsa Maju. Aisyah tidak terus masuk ke dalam MPH. Aisyah ingin memerhati gelagat Khairul dari jauh dahulu. Lama Aisyah mundar-mandir di hadapan kedai buku itu namun kelibat Khairul tidak kelihatan. Kerana kebosanan, akhirnya Aisyah mula memasuki satu persatu kedai yang berada di sekitar MPH.

Hampir Aisyah tidak perasan Khairul memasuki MPH kerana asyik membelek barangan di salah sebuah kedai di situ. Aisyah segera menghampiri kedai buku tersebut, dari cermin luar MPH Aisyah dapat melihat mata Khairul melilau melihat sekeliling dan kemudiannya memandang jam di tangan. Aisyah turut melihat jam di tangannya, “Hmm… tidak menepati janji. Lewat dekat satu jam. Patutlah kaki aku dah rasa lenguh semacam. Memang betul-betul menguji kesabaran aku mamat ni. Kalaulah bukan kerana mak dan abah dah lama aku blah dari sini.”

Kelihatan Khairul menuju ke rak buku self improvement, lama Khairul memerhati buku di rak tersebut lalu menarik keluar sebuah buku yang menarik perhatiannya. Helaian mukasurat buku itu diselak-selak, sesekali Khairul berhenti untuk membaca. Mungkin ada isi kandungan yang menarik perhatiannya.

Aisyah akhirnya melangkah masuk ke dalam MPH lalu menuju ke arah rak yang berada di belakang Khairul, sebuah buku diambil secara rawak lalu Aisyah menegur Khairul, “Assalamualaikum. Dah lama tunggu?” mata Aisyah cuba mencuri pandang tajuk buku yang dipegang oleh Khairul.

Khairul yang mendengar tegurannya itu, pantas berpaling ke arahnya lalu menjawab, “Waalaikumsalam. Aisyah?”

Aisyah mengangguk. Dengan wajah serius, mata Khairul memandang Aisyah dari atas ke bawah.

“Huh, tengok orang macam nak makan, meluat pula aku.” detik hati Aisyah.

Khairul lantas memandang jam di tangannya.

“Tadi saya dah sampai awal, tiba-tiba sakit perut pula. Tengok awak pun tak sampai, saya pergi tandas dulu.” Rasakan... aku tahu mesti mamat ni sembur aku sebab aku lambat tadi. Sekarang kita tengok apa alasan yang kau nak bagi kat aku.

“Err... Jom pergi makan dulu, aku laparlah.” Khairul mengajak. Satu senyuman yang Aisyah pasti tidak ikhlas tersungging di bibir Khairul.

“Okey.” Aisyah bersetuju sambil menaikkan kedua-dua bahunya.

“Lepas itu kita pergi supermarket. Aku nak beli barang dapur. Landlord aku pantang nampak aku keluar mesti bagi senarai panjang suruh aku beli. Serba salah aku. Tengok ni, panjangkan?” kata Khairul sambil menunjukkan sehelai kertas putih yang sarat dengan tulisan kepada Aisyah. Supermarket? Shoppingbarang dapur? Aku tak salah dengar rasanya tadi. Orang dah kahwin je dating beli barang dapur.

“Err... Boleh.” kata Aisyah beberapa ketika kemudian setelah hilang terkejutnya dengan ajakan Khairul untuk ke supermarket.

“Beli barang dapur, gila ke apa lelaki ini? Biar betul. Tak pernah dibuat orang first time dating pergi beli barang dapur. Sengaja nak uji aku ke? Nak buat macam mana, layan sajalah.” getus di dalam hati Aisyah sambil memandang buku di tangan lelaki itu.

“Tunggu apa lagi? Jom.” ajak Khairul mematikan lamunan Aisyah. Khairul meletakkan kembali buku di rak. Sempat Aisyah menjeling tajuk buku tersebut, Parenting For Dummies.

“Belum kahwin dah sibuk baca buku nak jadi bapa? Banyak lagi buku lain yang menarik, kenapa buku itu yang dibaca? Argh... suka hati dialah nak baca apa yang aku sibuk sangat ni kenapa?” desis hati Aisyah.

Sebaik sahaja kereta Aisyah berhenti di hadapan rumah, Sarah sudah berada di pintu pagar. Tidak perlu Aisyah bersusah payah turun untuk membuka pagar. Aisyah ketawa kecil melihat Sarah. “Hai… ini mesti kes tak sabar nak dengar perkembangan aku dengan Khairul. Orang ajak tadi tak nak ikut. Rugi kau tak ikut aku tadi Sarah. Best sangat.” Aisyah bercakap sendirian ketika memakir keretanya di halaman rumah.

Aisyah melemparkan senyuman ke arah Sarah sebaik sahaja dia membuka pintu keretanya. Belum pun sempat Sarah membuka mulut, Aisyah pantas berkata, “Nanti kejap, bagi aku solat dulu, lepas tu aku story mory kat engkau, okey.” Aisyah mengatur langkah masuk ke biliknya sambil ketawa kecil melihat Sarah yang terkebil-kebil memandangnya.

“Lamanya engkau solat. Panjang wirid kau.” perli Sarah sebaik sahaja melihat Aisyah keluar dari bilik.

Aisyah hanya menjawab dengan ketawa sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Sarah. Sengaja Aisyah membiarkan Sarah menunggu lama. Aisyah sempat mandi untuk menyejukan badan dan hatinya yang masih berbahang.

“Macam mana dating? Best?” tanya Sarah tidak sabar sambil memandang wajah Aisyah yang duduk disebelahnya.

“Huh...dating kata engkau... the worst date on earthadalah. Entah apa-apa si Khairul tu, buang masa aku saja. Letihnya aku...” ujur Aisyah sambil bersandar di sofa yang telah dimamah usia milik tuan rumah sewa mereka.

“Eh, apa pasal? Selalunya orang balik dating, happy. Engkau ni berkeluh kesah pula.”

“Aku setuju jumpa Khairul sebab hendak kenal dia lebih rapat... tapi hampeh. Sudahlah dia datang lewat. Dekat sejam aku tunggu dia. Kau tau, bersembang pun kami tak sempat.”

“Eh, kau ni buat aku tambah musykil. Apa yang kau dan Khairul buat sampai korang tak sempat nak bersembang?” soal Sarah kehairanan.

“Otak kau dah ke lainlah tu. Ini semua sebab landlord si Khairul tu lah.” rungut Aisyah. Walaupun badannya sudah sejuk tetapi hati Aisyah masih panas setiap kali teringatkan peristiwa keluar bersama Khairul tadi.

“Isk... kau ni, makin tak faham aku. Apa kena mengena landlord si Khairul tu? Dia ada sama ke? Cuba kau cerita dari A sampai Z kat aku supaya aku faham apa sebenarnya yang berlaku.” Dahi Sarah sudah berkerut kerana keliru mendengar ayat-ayat yang keluar dari mulut Aisyah.

“Aku tadi masuk acara mencari barang di supermarket.” Aisyah berkata sinis.

“Eh! Ada ya acara tu. Kenapa kau tak ajak aku? Apa hadiah yang kau dapat?” soal Sarah yang tidak dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata Aisyah.

“Hadiah?” meledak ketawa Aisyah dengan soalan lurus bendul Sarah. Sarah bertambah hairan apabila melihat Aisyah ketawa besar begitu.

“Hadiahnya dapat P.E.N.A.T.” ujur Aisyah sebaik sahaja dia berhenti ketawa. Perkataan penat disebut huruf satu persatu oleh Aisyah

“Cuba engkau cerita apa sebenarnya yang berlaku. Aku tak faham langsung. Apa sebenarnya yang berlaku tadi? Engkau masuk maraton ke sampai penat begini?” tanya Sarah yang tidak puas hati dengan cerita Aisyah.

“Memang maraton pun, maraton beli barang dalam supermarket, habiskan masa pergi cari barang dapur untuk landlord si Khairul tu. Sudahlah kena beratur panjang masa nak membayar, rasa macam nak blah tinggalkan dia sorang-sorang. Orang lain pergi datingmakan-makan, lepas tu tengok wayang, seronok bersantai. Aku ni pergi shopping barang dapur... tak pernah dibuat orang. First date pula tu…” Akhirnya Aisyah menghamburkan perasaannya kepada Sarah.

“Eh! Bagus apa... itu ciri-ciri suami mithali. Nanti dah kahwin tak payahlah kau susah-susah pergi pasaraya shopping. Buat list suruh je si Khairul tu pergi beli.” Terus terdiam Sarah apabila Aisyah sudah memberi jelingan tajam buatnya.

“Err... Sudah habis beli barang, korang buat apa?” soal Sarah perlahan bimbang dimarahi Aisyah kerana kata-kata gurauannya tadi.

“Baliklah, Khairul dah merungut hari dah petang nanti sampai rumah malam. Aku pun dah malas nak melayan dia, aku suruh dia balik. Nasib baiklah kita selalu shopping kat situ, jadi senang sikit nak cari barang. Cerewet gila Khairul tu memilih barang, mengalahkan mak aku. Bukan setakat compare harga, ingredient pun dibeleknya. Bengang aku nak melayannya. Macam beli barang untuk diri sendiri je lagak dia.

Engkau tau, tadi Khairul siap beli susu dengan diapers budak lagi. Mulut aku pula gatal pergi tanya muda lagi ke landlord dia. Diapers kan untuk baby. Engkau tau apa dia jawab, itu untuk cucu landlord dia. Boleh percaya ke engkau rasa? Aku was-was, pandai semacam bab pilih brand diapers. Siap tau mana yang bagus, mana yang tengah offer. Itu tak apa lagi, siap tau brandmana yang baby pakai selalu naik ruam. Macam dah ada experience aku tengok si Khairul tu.”

“Susah juga nak cakap. Mungkin betul kata Khairul tu, yalah sekarang ramai orang hantar anak balik kampung suruh mak bapak jaga. Baik sangat ke si Khairul tu dengan landlord dia sampai sanggup belikan barang dapur untuk mereka?”

“Entah. Aku malas nak tanya lebih-lebih. Si Khairul tu nanti kata aku busy bodypula.”

“Orangnya macam mana, okey ke?” tanya Sarah.

“Rupa ke perangai?”

“Rupalah dulu... aku nak bayangkan macam mana orangnya, sesuai ke tidak dengan engkau ni.”

“Rupa... okeylah ada iras-iras Jamal Abdillah sikit tapi versi rendah dan gempal. Dia... tinggi sikit je dari aku ni. Nasib baik aku pakai sandal hari ini kalau tidak sure dia tenggelam punya. Hmm… lagi apa ye, perangai memang teruk... perasan kacak... perasan bagus... menyombong tak bertempat. Degil, tak nak dengar cakap orang. Asyik kita je kena ikut cakap dia. Sampai cari barang pun nak gaduh dengan aku. Aku kata kat sana dia kata kat situ, tak percaya langsung kata aku. Lepas itu salahkan aku pula. Itu yang jadi penat macam ni.”

“Ada chemistry ke kau orang berdua?” tanya Sarah ingin tahu.

“Apa kau ingat ini drama ke, ada electric shock, currentkeluar dari mata macam dalam cerita Taiwan Fated to Love You tu.” kata Aisyah sambil ketawa. Sarah turut sama ketawa.

“Entah... biasa-biasa saja. Aku rasa macam kawan, tak adalah kekok sangat masa dengan dia. Lagi pun kami mana sembang sangat, asyik ke hulu ke hilir tolak troli cari barang.” Aisyah meneruskan ceritanya.

“Lepas ini macam mana, kau sedia ke terima lamaran cikgu tu?” tanya Sarah lagi.

“Itu yang buat aku stress, keliru sangat. Kau pun tahu, aku bukannya alim sangat tapi bila aku berhadapan dengan situasi begini aku akan buat solat istikharah. Serupa juga masa aku dapat tawaran kerja dari Wawasan Konsultan. Nak terima atau pun tolak. Selalunya selepas aku solat, aku tidur. Bila aku bangun sahaja aku terasa lapang, hilang segala beban di dada dan di fikiran aku. Tetapi kali ini, aku pelik, bila aku tidur aku mimpi baca e-mel Matsengkek. Memang aku rindukan e-mel Mat tapi takkan sampai termimpi-mimpi. Bukan sekali tetapi setiap kali selepas aku solat istikharah, perkara yang sama juga aku mimpikan. Confuseaku.”

“Mungkin juga, itu yang sampai termimpi-mimpikan Mat. Sebenarnya engkau tak ada hati dengan Khairulkan?” telah Sarah.

“Puas aku pujuk hati aku untuk terima dia, tapi tak boleh. Baru aku nak rasa suka, dia mula cakap perkara yang buat aku bengang. Macam mana aku nak terpikat?” luah Aisyah.

“Habis tu, kau akan tolak lamaran Khairul?”

“Itulah yang susahnya. Perkara ini melibatkan hati abah dan mak aku, kalau hati aku sorang aku tak kisah.”

“Engkau fikirlah yang terbaik untuk diri engkau.” nasihat Sarah.

“Antara Mat yang berada di alam siber dan Khairul di alam realiti. Aku harus berpijak di bumi nyata. Lagi pun aku kena fikirkan orang tua aku.” kata Aisyah kepada Sarah tetapi sebenarnya lebih kepada menyakinkan dirinya sendiri.

“Ini masa depan kau. Walaupun hati orang tua perlu dijaga tapi apa gunanya, jika hati kau merana. Fikir masak-masak sebelum kau buat keputusan Aisyah. Aku faham apa yang kau alami. Diluah mati bapak ditelan mati mak.”

Aisyah hanya mampu mengangguk lemah mendengar nasihat Sarah.

Seminggu selepas keluar dengan Khairul, Aisyah menerima panggilan telefon dari Hajah Rubiah. Setiap minggu Aisyah pasti akan menelefon kedua orangtuanya, baru dua hari lepas dia bercakap dengan Hajah Rubiah. Hairan juga Aisyah apabila mendapat panggilan dari Hajah Rubiah. Aisyah bimbang jika sesuatu berlaku ke atas ke dua orang tuanya.

“Aisyah, kenapa tak cerita dengan mak yang Aisyah dah keluar dengan Khairul?” tanya Hajah Rubiah sebaik sahaja panggilannya disambut oleh Aisyah. Tersenyap seketika Aisyah apabila mendengar suara ceria Hajah Rubiah. Hilang terus perasaan risau Aisyah.

“Err…mana mak tau? Kata kawan, tak kan Aisyah tak boleh keluar dengan dia?” Itulah jawapan Aisyah untuk menutup perasaan malu yang timbul apabila pertemuannya dengan Khairul telah diketahui oleh Hajah Rubiah.

“Makcik Seri yang bagi tau, katanya Khairul dah berkenan benar dengan Aisyah. Seronok benar dapat keluar dengan Aisyah hari tu. Balik dari jumpa Aisyah terus telefon Makcik Seri, Aisyah je yang berahsia sangat dengan mak. Kalau Makcik Seri tak cerita sampai sudah mak tak tahu. Sekarang macam mana, setuju? Makcik Seri dah tak sabar nak buat Aisyah menantu dia. Kami semua tunggu lampu hijau je dari Aisyah.” tanya Hajah Rubiah dengan suara yang penuh pengharapan.

Biar betul, pandai sungguh si Khairul mereka cerita, tak nampak macam seronok pun masa keluar dengan aku. Penipu besar si Khairul ni. Macam ada ciri-ciri orang munafik. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud; Tanda orang-orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Err… apa Mak ni? Aisyah belum habis fikirlah… Kami baru sekali jumpa, belum kenal sangat pun.” Aisyah sudah serba salah.

“Kamu setuju sajalah. Buat apa kawan lama-lama nanti jemu. Tengok mak dengan abah, kami jumpa kali pertama selepas ijab kabul. Alhamdulillah sampai sekarang kami masih bersama. Mak cakap Aisyah setuju ya, tak baik buat orang tertunggu-tunggu.” Hajah Rubiah mengesa Aisyah untuk membuat keputusan.

“Hmm… Aisyah ikut sajalah, mak buat sajalah mana yang baik untuk Aisyah.” Aisyah sudah tidak berdaya untuk menolak permintaan Hajah Rubiah.

“Baguslah kalau macam tu. Makcik Seri kata minggu depan rombongan meminang akan datang, Aisyah balik ya.” suruh Hajah Rubiah.

“Majlis bertunang dan akad nikah kita buat sekali, tiga bulan lepas tu. Sekarang bulan Mei, jadi majlis bulan Ogos atau September.” terang Hajah Rubiah yang masih teruja dengan persetujuan Aisyah.

“Eh… Mak… kata tunggu lampu hijau dari Aisyah, rupanya mak dan makcik Seri dah siap merancang sampai majlis kahwin.” terkejut Aisyah mendengar perancangan Hajah Rubiah.

Hajah Rubiah tergelak sambil berkata, “Makcik Seri tu, hari-hari telefon mak tak sabar menunggu kata putus Aisyah. Itu yang keluar semua perancangan ini.”

“Mak mana sempat, tiga bulan tak kelam kabut ke? Duit nak beli barang segala mana ada. Simpanan Aisyah pun dah habis guna untuk bayar duit pampasan ofis lama. Itu belum duit kenduri lagi.” sahut Aisyah kerisauan.

“Pasal duit kenduri Aisyah jangan risau, mak dan abah dah memang ketepikan siap-siap untuk Aisyah. Barang hantaran pula Makcik Seri akan uruskan semuanya. Nanti Aisyah boleh bincang dengan dia. “

“Betul ke mak?” tanya Aisyah tak percaya.

“Iya, Aisyah Cuma perlu uruskan hal diri Aisyah sahaja. Jangan lupa pergi kursus kahwin, buat saringan HIV dan isi borang kahwin. Treatment pengantin kat spa jangan lupa buat, bagi berseri sikit muka tu bila hari langsung nanti.” pesan Hajah Rubiah lagi

“Suka hati mak lah, Aisyah ikut je.”

“Jangan lupa pula balik minggu ni.” sempat lagi Hajah Rubiah berpesan sebelum memutuskan talian.

Termenung panjang Aisyah sebaik sahaja meletakkan telefon. Ya Allah betulkah keputusan aku ini? Kalau benar Khairul itu jodoh ku, engkau permudahkanlah urusan kami berdua dan bukakanlah hati aku ini untuk menyayangi dirinya.




Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku