Kau Yang Ku Tunggu
Bab 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
778

Bacaan






Sesekali Aisyah bermain dengan cincin belah rotan yang tersarung dijari manisnya. Aisyah seakan tidak percaya, tidak sampai dua bulan lagi dia akan bergelar seorang isteri. Semuanya seakan mimpi. Walaupun hatinya belum menyayangi Khairul tapi Aisyah berdoa agar tuhan membukakan hatinya untuk menerima Khairul seadanya. Aisyah akui, tiada manusia yang sempurna. Sikap Khairul yang suka bercakap besar dan meninggi diri itu amat menjengkelkan. Setiap kali selepas mereka berjumpa Aisyah pasti makan hati, tidak pernah langsung Khairul bercakap lembut dengannya. Asyik beraku engkau sahaja dengan Aisyah. Mungkin Khairul akan berubah selepas kahwin nanti, Aisyah memujuk hatinya.

Matanya tertancap kepada jambangan bunga di mejanya. Hari ini mawar jingga pula diterimanya. Aisyah sudah tidak ambil endah lagi dengan kata-kata dari rakan-rakan pejabatnya. Bila ada yang bertanya dari siapa, tanpa berdolak-dalih Aisyah menjawab tunang. “Wah, bestnya…romantiknya...” tak pasal-pasal Khairul mendapat pujian. Aisyah tersenyum sendiri, mamat yang tak romantik tu nak bagi bunga kat aku… huh jangan haraplah. Nasib baik dah puas dapat bunga… jika tidak alamat kempunanlah nak dapat bunga bila bersuamikan Khairul kelak.

Aisyah bangun dengan penuh semangatnya turun ke lobi. Sebentar lagi ada lawatan ke tapak projek Padang Golf Sutera (PGS). Apabila dimaklumkan bahawa proses pengambilan tanah bagi projek PGS di Seremban telah selesai dan pembinaan akan bermula tidak lama lagi, Aisyah amat gembira dan teruja. PGS bakal membuatkannya sibuk dengan kerja. Sekurang-kurangnya dapatlah Aisyah melupakan masalahnya seketika.

Tempoh masa tiga bulan untuk menyiapkan rekabentuk sivil dan struktur bagi projek tersebut akan dimanafaatkan oleh Aisyah sepenuhnya untuk belajar dan bekerja. Tambahan pula dapat bekerjasama dengan Nora untuk laksanakan projek ini. Aisyah banyak belajar dengan Nora semasa ditugaskan membantu Nora melaksanakan Projek Taman Nur. Nora seorang yang ceria dan tidak lokek ilmu. Amirul pula akan mengetuai pasukan projek ini. Entah mengapa Aisyah rasa teruja untuk berkerja dengan Amirul. Mesyuarat taklimat PGS sebulan yang lepas merupakan kali pertama dan terakhir Aisyah melihat Amirul. Entah ke mana Amirul menghilang Aisyah tidak pasti. Hendak bertanya pada Yati atau Nora segan pula rasanya. Mereka pula tidak pernah bercerita tentang Amirul.

Setelah sekian lama menghilang, tiba-tiba Amirul muncul kembali. Kelibat lelaki itu sering Aisyah lihat keluar masuk ke biliknya yang terletak di hujung aras itu namun tidak pernah pun Amirul menegur Aisyah. Mengerling ke arah Aisyah pun tidak. Namun Aisyah tidak terasa hati kerana menyangka Amirul tidak perasan akan dirinya. Ternanti-nanti juga Aisyah andai Amirul melalui kawasan meja kerjanya tetapi hampa kerana Amirul sering melalui laluan berhampiran dinding di sebelah sana. Aisyah sendiri tidak mengerti mengapa hatinya begitu tertarik dengan lelaki itu.

Kelihatan Yati dan Nora sudah berada di lobi Wawasan Konsultan. Aisyah terus menghampiri mereka yang sedang rancak berbual. Mereka akan sama-sama menunggu Amirul yang akan mengetuai kumpulan mereka ke tapak. Hati Aisyah rasa berdebar-debar untuk berhadapan dengan lelaki itu.

Sementara menanti Amirul, Yati dan Nora tidak berhenti-henti mengusik Aisyah dek kerana bunga-bunga yang diterimanya. Riuh keadaan di lobi itu dengan derai tawa mereka. Aisyah hanya mampu tersenyum mendengar usikan mereka. Andainya mereka berdua tahu apa yang tersirat di hati Aisyah pasti mereka akan berhenti mengusiknya.

“Amboi, seronoknya ketawa sampai tak nampak saya datang.” sapa Amirul melihat keceriaan mereka. Matanya dilarikan dari memandang Aisyah walaupun hatinya penuh dengan kerinduan. Layangan senyuman dari Aisyah tidak dibalas.

“Kami sedang bercerita pasal tunang Aisyah yang romantik.” terang Yati yang masih belum boleh menghentikan ketawanya sambil menunding jari ke arah Aisyah.

“Betul tu.” sokong Nora. “Susah nak cari lelaki romantik macam tunang Aisyah ni. Kaya pula tu. Suami aku nak hantar bunga setahun sekali pada aku pun susah tau.” sambung Nora.

Air muka Amirul terus berubah daripada ceria kepada tegang, matanya menjeling tajam ke arah Aisyah.

“Jom kita pergi sekarang, nanti lambat pula sampai.” kata Amirul dengan nada suara yang serius. Amirul terus melangkah keluar tanpa memandang ke arah mereka lagi. Hatinya sakit mendengar pujian melambung Nora dan Yati berkenaan tunang Aisyah. Perasaan cemburu yang menerpa tidak dapat dibendung lagi.

Yati dan Nora terpinga-pinga mendengar nada suara Amirul yang tiba-tiba berubah dingin. Ketiga-tiga mereka saling berpandangan. Tanpa berkata apa-apa mereka mempercepatkan langkah mengekori Amirul yang sudah membuka pintu kereta Proton Preve kepunyaannya yang di parkir berhadapan pintu masuk Wisma Wawasan.

Tanpa berlengah ketiga-tiga mereka segera membuka pintu dan masuk ke kereta tersebut. Aisyah dan Nora duduk di belakang manakala, Yati duduk di sebelah Amirul. Sebaik sahaja pintu ditutup, Amirul terus memulakan pemanduan. Mukanya serius.

Yati yang duduk di hadapan berpaling memandang Nora, Nora mengangkat kening sambil mulutnya mengungkapkan perkataan “Kenapa?” tanpa suara kepada Yati. Yati menggelengkan kepala sambil mengangkat bahu. Aisyah yang berada di belakang tempat duduk Yati hanya memerhatikan perlakuan kedua-dua rakannya itu. Masing-masing tidak berani untuk bersuara.

“Err…sapa lagi yang pergi lawatan ni Amirul.” Yati bersuara memecah kesunyian setelah kenderaan yang mereka naiki melepasi Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Grand Saga sambil memandang Amirul.

Amirul yang sedang melayan perasaan, berpaling memandang Yati di sebelahnya dan menjeling melihat cermin pandang belakang keretanya. Baru Amirul tersedar bahawa dia ada membawa penumpang. Macam mana aku boleh terlupa kewujudan mereka dalam kereta aku ini. Ini semua engkau punya pasallah Aisyah. Kenapalah engkau masuk Wawasan bila kau sudah jadi milik orang? Aku telah lama tunggu kau. Amirul mengeluh perlahan.

“Hei, Amirul engkau dengar tak soalan aku tadi?” Yati meninggikan suaranya apabila tiada respon dari Amirul.

“Hah, apa Yati tanya tadi? Tak berapa dengarlah.” kata Amirul.

Sekali lagi Yati berpaling memandang Nora… apa yang mereka komunikasikan secara memek muka dan gerak tubuh itu pun Aisyah tak dapat membaca. Hanya mereka berdua sahaja yang tahu.

“Aku tanya tadi, siapa lagi yang akan hadir lawatan ni.” soal Yati sekali lagi.

“Selain Encik Mahmud wakil klien, semua konsultan yang terlibat akan turut hadir.” jawab Amirul dengan tenang.

“Kita nak jumpa kat mana ni?” kali ini Nora pula bertanya.

“Lobi pejabat Dato’ Malek.” ringkas Amirul menjawab

“Jauh ke dari site tu?”

“Tau ke jalan nak ke sana?”

Kedua-dua Yati dan Nora bertanya serentak.

Aisyah yang sedari tadi menjadi pemerhati dan pendengar setia, ketawa melihat gelagat Yati dan Nora.

Bibir Amirul turut menguntum senyum, lalu berkata “Jangan risau ini kampung aku, mestilah tau. Kalau sesat, Encik Waze ada.” Amirul menunjukkan telefon bimbitnya yang mengandungi peranti Waze yang ada peta jalan dan kini popular digunakan oleh pemandu sebagai penunjuk arah.

“Eh! Engkau orang Negeri Sembilan rupanya. Aku yang dah lama kenal engkau pun tak tahu. Itulah engkau suka sangat berahsia.” tegur Yati.

“Betul tu.” sokong Nora. Kampung engkau kat mana? Entah-entah engkau sekampung dengan Dato’ Hamdan.” soal Nora pula.

“Patutlah engkau boleh rapat dengan Dato’, rupanya sebab senegeri. Engkau ada bau-bau bacang dengan Dato’ ke?” Yati serkap jarang.

Nora pernah menyatakan kepada Aisyah bahawa Amirul jarang bercerita kisah peribadi di pejabat. Amirul merupakan salah seorang orang kepercayaan Dato’ Hamdan. Staf Wawasan mengelar Amirul protege Dato’ Hamdan.

“Alamak, aku dah terlepas cakap, dah kantoi... macam mana ni? Banyak pula soalan dari mereka berdua ni.” Amirul sudah mengelabah untuk mencari akal untuk tidak membocorkan rahsia dirinya.

“Err... hari tu dengar cerita bapak Dato’ Hamdan masuk hospital betul ke?” soal Amirul bagi mengelak menjawab pertanyaan Yati dan Nora.

“Ha'ah, betul tu. Dato’ ada cakap pada aku semasa aku jumpa dia minta tandatangan surat. Nasib baik aku cepat. Dato’ dah bersiap-siap hendak keluar. Nak pergi hospital kata dia.” cerita Yati bersungguh-sungguh.

“Sakit apa?” Amirul pura-pura berminat.

“Aku lupa nak tanya Dato’. Tapi setiausaha dia kata, bapa Dato’ jatuh.” kata Yati.

“Hei, Dato’ kan rapat dengan engkau takkan dia tak cerita.” usik Nora.

“Mana ada rapat, isk... korang ni pandai sungguh buat cerita. Aku kalau jumpa Dato’ semuanya pasal hal kerja, mana aku pernah cerita hal peribadi.” Amirul menafikan usikan Nora.

“Aku pun baru tahu hal bapa Dato’ dari Samad. Aku kan cuti tanpa gaji sebulan hari tu. Baru je dua minggu aku naik kerja balik.” kata Amirul bagi menguatkan hujahnya.

“Betul juga kata engkau tu. Eh! engkau pergi mana cuti lama sangat? Cuti kahwin ke? Takkan kahwin tak jemput kami. Engkau buat kenduri senyap-senyap je.” Yati pula mengiat Amirul.

Aisyah menutup mulut menahan ketawa, tambahan pula melihat Amirul yang tersipu-sipu malu diusik Yati.

“Ha’ah, engkau pergi honeymoonya? Kesian Lia, kalau dia tahu gerenti frust gila.” Nora berseloroh.

“Hei, sudah, sudah, jangan buat cerita mengarut pasal aku lagi.” tegur Amirul yang sudah tidak betah mendengar usikan Nora dan Yati.

“Aku terpaksa cuti jaga atuk aku sakit. Nasib baik Dato’ luluskan cuti aku tu.” terang Amirul.

“Cakaplah awal-awal. Sudahlah engkau cuti mengejut. Kami di pejabat pun buat macam-macam spekulasi.” kata Yati.

“Mengumpatlah tu.” tuduh Amirul. Berderai ketawa Nora dan Yati mendengar tuduhan Amirul.

“Ni aku nak tanya tadi sebut pasal Lia kan, apa pula kena mengena Lia dengan aku ni?” tanya Amirul sambil melihat cermin pandang belakang. Tanpa sengaja mata mereka bertaut. Segera Aisyah melarikan matanya.

“Bukan engkau dengan Lia tu...ehem... ehem... ke?” tanya Yati sambil kedua-dua jari telunjuknya dilaga-lagakan.

“Isk, bila masa pula ni... pandai betul korang buat cerita. Aku mana ada apa-apa dengan Lia. Girlfriend pun tak ada lagi.” Amirul menidakkan kata-kata Yati.

“La... kat pejabat tu Lia dok canang pada semua orang engkau boyfriend dia, betul kan Aisyah?” Yati berpaling memandang Aisyah agar mengiakan kata-katanya.

Aisyah serba salah hendak menjawab. Dia cuma mampu menganggukkan kepala. Hendak menjeling melihat Amirul pun Aisyah tidak berani.

“Betul tu.” Nora menyokong. “Bukan selalu ke engkau keluar dengan Lia?” tanya Nora tidak percaya.

“Eh, mana ada. Tiap kali aku dan Samad nak keluar makan, dia yang nak ikut. Lagi pun mana pernah kami keluar berdua.” terang Amirul sambil mencuri pandang ke arah Aisyah melalui cermin. Di dalam hatinya berdoa agar Aisyah tidak beranggapan buruk terhadapnya.

“Hmm... maksudnya selama ini Lia syok sendirilah, mentang-mentanglah meja reception tu di depan dia ingat dia boleh tipu kita yang duduk kat dalam pejabat. Isk... tak patut betul la minah gedik tu. Sudahlah dia menjaja cerita buruk pasal Aisyah sebab cemburu tengok Aisyah selalu dapat bunga. Pasal engkau pun dia reka cerita.” bebel Nora yang tidak puas hati dengan perangai Lia.

“Kita kena auta dek Lia selama ini rupanya.” kata Yati.

“Aisyah.” panggil Nora.

“Apa dia?” tanya Aisyah memandang Nora.

“Maksudnya kau ada peluang lagi nak tackle Amirul ni.” usik Nora. Aisyah menggeleng tidak percaya mendengar usikan Nora.

“Nora.” bisik Aisyah geram sambil mencubit peha Nora.

“Hoi Nora, Aisyah tu tunang orang. Kalau nak mengusik pun biarlah bertempat.” tegur Yati mengingatkan Nora.

“Opps... aku terlupa. Sorry guys. Tapi aku sukalah tengok kau orang berdua. Macam secocok.”

Aisyah menjeling geram ke arah Nora yang masih meneruskan usikannya. Muka Aisyah merah padam menahan malu. Amirul mencuri pandang ke arah Aisyah gembira mendengar usikan Nora. Dalam hati Amirul berdoa, agar usikan Nora menjadi kenyataan.

Selepas perbualan tersebut, moodAmirul semakin elok, entah kenapa moodnya berubah tadi Aisyah masih tertanya-tanya. Namun begitu masih tersembunyi kesedihan di mata Amirul. Sesekali Amirul menyampuk perbualan Yati dan Nora yang tidak henti-henti bercerita dari satu topik ke topik yang lain. Banyak benar idea mereka berdua. Sekarang mereka sedang bercerita pasal anak pula. Aisyah lebih banyak mendengar dan ketawa mendengar celoteh mereka berdua.

“Semua dah sarapan ke? Kalau belum kita boleh singgah makan dulu.” tiba-tiba Amirul mencelah perbualan Yati dan Nora.

“Kat areani ada satu kedai roti canai, best… cicah pula dengan kari daging. Site tu pun tak jauh dah dari sini.” tambahnya lagi.

“Ala... kenapa tak cakap awal-awal, aku dah makan kat pantri tadi.” kata Nora.

“Lain kali lah kita singgah, perut aku ni kenyang lagi.” tambah Yati.

“Aisyah, macam mana?” tanya Amirul sambil memandangnya melaui cermin.

“Err...dah juga. Sarapan kat rumah tadi.” jawab Aisyah perlahan. Entah mengapa dia amat malu untuk bertatapan mata dengan Amirul, seperti ada satu perasaan halus yang menyelinap masuk ke jiwanya tiap kali mata mereka bertaut. Setiap kali perasaan itu datang Aisyah akan mengingatkan dirinya bahawa dia adalah tunangan orang dan kurang dari dua bulan lagi dia akan diijabkabulkan. Kenapa tiada perasaan sebegini bila bersama Khairul.... Ya Allah kuatkanlah imanku...

“Okey, kita dah sampai pun. Sebenarnya you alltak perlu ikut pun hari ini, tetapi Dato’ suruh juga bawa supaya boleh berkenalan dengan konsultan yang terlibat. Senang nak berbincang bila dah projek dah mula. Betul juga kata Dato'. Lagi pun nanti bila survey plan kita terima, kita semua boleh bayangkan macam mana keadaan tapak. Ini pertama kali Wawasan Konsultan terlibat dengan projek padang golf. Dato’ Malek pula kawan baik Dato’. Projek ini nanti bakal jadi pet project Dato', jadi kita semua kena bersedia. Nanti bila dah terima survey plan kita boleh turun sekali lagi.” kata Amirul sebelum mematikan enjin dan membuka pintu kereta untuk turun.

Mereka menunggu ketibaan semua konsultan yang akan menyertai lawatan itu di lobi pejabat Dato' Malek. Sempat juga Aisyah berkenalan dan bertukar kad perniagaan dengan arkitek dan beberapa orang lain daripada konsultan-konsultan yang terlibat. Setelah mendengar taklimat ringkas berkenaan tapak projek, mereka berkonvoi menuju ke tapak projek. Terdapat beberapa jalan untuk ke tapak projek, mereka menggunakan jalan masuk yang berdekatan dengan jalan utama kerana di situlah bakal dibina pejabat tapak.

Usai lawatan tapak, semua konsultan membawa haluan masing-masing. Amirul mengajak mereka singgah makan tengahari di bandar Seremban memandangkan waktu sudah melewati jam dua petang. Perut masing-masing sudah pun memainkan lagu keroncong. Mereka berempat berbual-bual kosong sementara menunggu kedatangan makanan yang dipesan.

Aisyah yang duduk menghadap pintu masuk restoran tergerak hati memandang keluar restoran, digosok matanya beberapa kali, Aisyah bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Terbeliak mata Aisyah melihat Khairul sedang melintas jalan ke arah restoran itu. Yang membuatkan Aisyah terkejut adalah perempuan yang berjalan bergandingan dengan Khairul. Mereka kelihatan sangat mesra, tangan kiri Khairul dipaut oleh perempuan itu manakala tangan kanan Khairul mendukung seorang kanak-kanak lelaki. Perlakuan mesra mereka seperti sebuah keluarga. Janganlah Khairul masuk ke restoran ini. Doa Aisyah di dalam hati.

“Apa yang kau tengok Aisyah? Asyik sangat tu... sampai ternganga mulut.” usik Nora yang duduk di hadapan Aisyah seraya memalingkan muka memandang ke luar. Semua yang berada di meja tersebut termasuk Amirul turut memandang ke luar restoran.

“Err... tak ada apa, saja tengok orang yang lalu lalang kat luar tu... macam-macam gelagat.” Aisyah berkata menutup persoalan Nora.

“Apa lagi, jom kita makan.” Aisyah berpura-pura ceria apabila makanan yang dipesan kebetulan tiba.

Perut Aisyah yang tadinya lapar, terasa sebu. Hilang selera Aisyah untuk makan. Namun begitu Aisyah cuba menelan juga makanan di hadapannya untuk menggelakkan soalan-soalan dari teman-teman sepejabatnya itu. Aksi mesra Khairul dan wanita tadi masih bermain di minda Aisyah. Pelbagai persoalan turut menerjah fikiran Aisyah. Jika tiada rakan-rakannya ketika itu sudah pasti Aisyah ekori Khairul.

Dalam diam Amirul memerhatikan Aisyah. Walaupun luarannya Aisyah kelihatan ceria tetapi deria Amirul dapat mengesan seperti ada pergolakan di jiwa Aisyah. Bagaimana Amirul boleh melupakan Aisyah jika setiap tarikan nafasnya seiring dengan nama Aisyah. Berada di hadapan Aisyah, menatap wajah mulus gadis itu membuatkan perasaan Amirul makin bergejolak.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku