Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 1
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
404

Bacaan






Loceng sekolah sudah lama berdering. Walaupun begitu masih ada beberapa orang pelajar yang berada di dalam perkarangan sekolah. Ada yang sedang berbual di kantin sekolah. Ada juga yang sedang menunggu bas sekolah di hadapan pagar sekolah.

Norli lebih selesa menunggu kedatangan ayahnya di tempat yang agak tersorok daripada pelajar-pelajar lain. Norli duduk di atas bangku yang diperbuat daripada simen seorang diri. Sambil itu mata Norli memandang ke arah jalan menghala masuk ke sekolah. Norli tidak mahu terlepas pandang kereta ayahnya. Kebiasaannya ayahnya akan terus mengambil Norli di sekolah sebaik sahaja tiba waktu rehat di pejabat tempat ayahnya bekerja. Selesai menghantar Norli, ayahnya akan menuju semula ke pejabatnya. Begitulah rutin sehari-hari.

“Ayah tak sampai lagi Norli?” tanya Ustazah Sofea yang sedari tadi memerhatikan Norli yang sedang duduk keseorangan.

Norli mengangkat kepala memandang Ustazah Sofea yang berdiri di sebelahnya. Bila pulak Ustazah ni datang? Tak perasan la pulak.

“Boleh ustazah duduk?” tanya Ustazah Sofea sambil tersenyum melihat Norli yang masih lagi memandang ke arahnya. Norli mengangguk.

Ustazah Sofea duduk di sebelah Norli. Sebenarnya Ustazah Sofea telah lama mengetahui sikap Norli yang lebih suka menyendiri. Ustazah Sofea begitu ingin untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh Norli. Mengapa Norli bersikap seperti itu? Itu yang amat ingin diketahui oleh Ustazah Sofea mengenai Norli. Lagipun Norli ialah salah seorang anak muridnya. Sebab itulah dia ingin mengambil kesempatan untuk mendekati Norli dan cuba menjadi rakan kepada Norli.

“Ayah biasa lambat datang ambil Norli ke?” tanya Ustazah Sofea,sengaja untuk berbual dengan Norli yang agak pendiam. Norli menggeleng.

Ustazah Sofea mati akal. Tidak tahu lagi apa perkara yang ingin dibualkan dengan Norli. Nampaknya Norli bukan sahaja pendiam dan tidak mahu bergaul dengan pelajar-pelajar sebayanya tetapi juga dengan dirinya. Ustazah Sofea selalu juga memerhatikan kelakuan Norli di dalam kelas ketika dia mengajar. Norli lebih banyak diam dan bersendirian. Tempat duduk Norli juga agak ke belakang.

“Kenapa ustazah tak balik lagi?” tanya Norli liba-tiba, cukup menggembirakan hati Ustazah Sofea. Sekurang-kurangnya Norli sudah mula bersuara.

“Oo, ustazah tunggu Norli balik dulu. Lepas tu baru ustazah balik. Tak mengapa kan,” Ustazah Sofea menunggu jawapan Norli.

Norli mengangguk. “Norli boleh jaga diri. Ustazah kalau nak balik dulu pun tak apa jugak. Nanti menyusahkan ustazah pulak,” jawab Norli jujur. Sebenarnya Norli amat menyayangi Ustazah Sofea tetapi Norli segan untuk berbual mesra.

Eh, tak ada lah,” jawab Ustazah Sofea sambil tangannya menggosok kepala Norli. Norli pandai mengambil hati sebenarnya dan cukup berbudi bahasa, puji Ustazah Sofea dalam hati.

“Itu pun ayah saya dah datang. Saya balik dulu,” Norli mengangkat begnya ke bahu dan bersiap sedia untuk menghampiri kereta ayahnya yang sudah berhenti di hadapannya. Sebelum itu Norli memandang ke arah Ustazah Sofea. Norli menghulurkan tangan dan mengucup tangan Ustazah Sofea. Kemudian Norli terus masuk ke dalam kereta.

“Kenapa ayah lambat hari ni?” tanya Norli kerana kebiasaannya ayahnya akan sampai awal ke sekolah. Encik Samsul tersenyum mendengarkan pertanyaan Norli. Norli memang seperti ini, tidak boleh terlewat sedikit nanti muncung panjang sedepa.

“Tadi ayah singgah kedai sekejap. Beli perangkap tikus,” jawab Encik Samsul jujur.

“Perangkap tikus?” tanya Norli ingin tahu.

“Ye, ibu kamu selalu kata yang ada beberapa ekor tikus merayap di dapur. Sebab tu ayah belikan perangkap tikus ni,” jawab Encik Samsul.

“Menjadi ke guna cara ni ayah?” Norli semakin berminat untuk mengetahui mengenai perangkap tikus. Norli juga terserempak dengan beberapa ekor tikus yang mencelah di ruang dapur. Norli sendiri tidak tahu dari mana tikus-tikus itu datang kerana mereka sudah membuang sampah ke tempat yang sepatutnya. Tapi mungkin juga daripada tong sampah besar yang kedudukannya tidak jauh dari rumah mereka. Mungkin sebab itu, tikus-tikus bebas merayap sehingga masuk ke dalam rumah penduduk.

“Kita cuba dulu. Kalau tak menjadi jugak, kita guna cara lain,” Norli mengangguk mendengar penerangan ayahnya. Nampaknya selepas ini Norli tidak lagi mendengar rungutan ibunya tentang tikus-tikus yang berkeliaran. Norli sebenarnya geli juga dengan kehadiran tikus-tikus yang kotor itu, begitu juga dengan lipas.

**********

Di rumah keluarga Norli

“Ibu, sekarang dah pukul berapa? Pukul lima ke? ” Norli bertanya ibunya. Puan Liza tahu tujuan Norli bertanya. Puan Liza melihat sekilas ke arah jam yang tergantung di dinding ruang tamu.

“Lima minit lagi nak pukul lima,” jawab Puan Liza.

Norli tersenyum. Norli segera menuju ke arah television dan mengambil remote control. Norli menekan butang ON. Norli kembali duduk semula di sofa. Beberapa minit menunggu, akhirnya tertera rancangan kartun di skrin television. Norli melonjak gembira.

Puan Liza menggeleng. Begitulah Norli. Pada waktu petang Norli lebih suka menonton television seorang diri di rumah berbanding bermain dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya.

Puan Liza terdengar keriuhan suara kanak-kanak bermain di luar rumahnya. Kebetulan terdapat sebuah taman permainan tidak jauh dari rumahnya, Setiap petang Puan Liza dapat melihat kanak-kanak bermain riang bersama kawan-kawan yang lain di situ. Tidak seperti Norli yang lebih suka menyendiri.

Puan Liza memandang ke arah Norli. Nampaknya Norli gembira dengan kehidupannya. Sesekali terdengar Norli mengekek ketawa apabila melihat sesuatu yang lucu di dalam kartun kegemarannya. Selain rancangan kartun, Puan Liza juga menyedari bahawa Norli begitu menggemari rancangan Animal Planet. Norli sukakan binatang Cuma Norli tidak begitu pandai untuk melayan binatang. Mungkin Norli hanya gemar untuk mengetahui kehidupan dan habitat binatang. Puan Liza tidak menghalang minat Norli kerana dia tahu sekurang-kurangnya Norli dapat mempelajari ilmu yang baru mengenai binatang. Tetapi apa yang merisaukannya ialah sikap Norli yang tidak mahu bergaul dengan teman sebaya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku