Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 2 (Anak kucing boleh bercakap)
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
103

Bacaan






Tengahari itu, Norli berasa amat gembira kerana ibunya memasak lauk kegemarannya iaitu ayam percik. Mereka bertiga menjamu selera diselang-seli dengan bualan.

“Norli, dah bagi makan kat kucing?” tanya Encik Samsul sebaik sahaja selesai menjamu selera.

“Anak kucing dah besar. Biarlah dia makan sendiri,” balas Norli. Norli tidak suka dengan kehadiran anak kucing ke rumahnya. Baru-baru ini ada seekor anak kucing yang cedera badannya tidur di tempat parking kereta ayahnya. Kerana kasihankan keadaan anak kucing itu, akhirnya kedua-dua ibu bapanya bersetuju untuk memelihara anak kucing tersebut. Berlainan pula dengan Norli yang merasakan sedikit jengkel dengan hal itu.

Norli tidak suka ibu bapanya memberikan perhatian lebih kepada anak kucing. Norli mahu ibu dan ayanhnya hanya menyayanginya seorang.

“Norli, kenapa cakap macam tu? Kan kita dah janji nak jaga anak kucing tu sama-sama. Dia pun macam manusia jugak, nak makan jugak,” pesan Puan Liza mengingatkan Norli.

“Tapi anak kucing tu dah sembuh,” balas Norli namun suaranya diperlahankan. Puan Liza dan Encik Samsul memahami maksud kata-kata Norli.

“Kita jaga dulu kucing tu. Norli tak kasihan ke tengok anak kucing tu tak ada mak? Bukan ibu tak cuba cari tuan kucing ni, tapi tak jumpa. Takkan kita nak biarkan anak kucing tu terbiar macam tu?" tanya Puan Liza lagi.

Puan Liza dan Encik Samsul sedar bahawa Norli masih kecil dan memerlukan nasihat yang berguna agar apabila Norli dewasa kelak dapat menjadi seorang yang bertanggungjawab dan penyayang walaupun pada seekor binatang.

“Mungkin kita akan bawa sekali anak kucing ni bila kita pindah nanti,” sambung Encik Samsul.

Norli diam. Norli tahu mengenai mereka terpaksa berpindah dalam masa terdekat. Ayahnya sudah memberitahu tentang hal itu. Norli juga tahu ibu dan ayahnya amat menyayangi rumah yang didiami sekarang. Tetapi atas urusan kerja, ayahnya terpaksa berpindah.

Norli tunduk. Norli sedar kesalahannya. Norli tahu ibu dan ayahnya akan membela anak kucing itu dengan lebih lama. Masakan pula mereka mahu meninggalkan anak kucing itu keseorangan di sini tanpa ibunya? Nanti siapa yang mahu memberi makan kepada anak kucing itu? Tambahan pula mereka mulai berasa sayang kepada anak kucing itu, tetapi lain pula dengan Norli. Kadangkala Norli merasa rimas kerana anak kucing itu suka mengekorinya. Tetapi semenjak anak kucing itu tinggal di rumah Norli, Norli sering bermimpi sesuatu yang pelik, Cuma Norli tidak berani untuk memberitahu hal itu kepada kedua ibu bapanya. Norli tahu jika dia memberitahu hal itu, ibu bapanya tidak mempercayainya. Oleh sebab itu lah Norli lebih suka mendiamkan diri. Bagi Norli apa yang dimimpinya itu hanyalah mainan tidur.


********

Petang itu, Norli bercadang untuk keluar ke taman permainan. Sebelum itu Norli meminta izin kepada kedua ibu bapanya untuk keluar sebentar. Norli juga memberitahu kedua ibu bapanya untuk membawa anak kucing bersamanya. Pada awalnya kedua ibu bapa Norli pelik dengan sikap Norli tetapi mereka tetap mengizinkan.

Norli mengayuh basikalnya dengan laju manakala anak kucing diletakkan di dalam bakul basikal. Norli snegaja mengayuh laju sambil melanggar batu-batu yang berada di hadapannya dengan harapan agar anak kucing itu akan jatuh terpelanting tetapi jangkaan Norli meleset kerana anak kucing itu tetap kelihatan tenang.

Norli memberhentkan basikalnya berdekatan dengan bangku kosong. Norli turun dari basikal dan duduk di situ. Norli berfikir sesuatu. Perlahan-lahan Norli mengambil anak kucing dan meletakkannya di bangku tersebut. Kemudian Norli meninggalkan anak kucing di situ. Norli berharap anak kucing itu akan dijumpai dan di bela oleh orang lain.

Norli kembali semula ke arah basikal. Tiba-tiba Norli terdengar sesuatu.

“Norli, kenapa kamu mahu tinggalkan saya di sini?”

Norli terkejut. Norli mencari-cari suara yang menyebut namanya tadi. Norli memandang anak kucing. Norli lihat anak kucing itu memandang ke arahnya dengan wajah sedih. Norli perasan ada air mata di mata anak kucing. Norli menggigil. Mustahil. Mustahil anak kucing yang bercakap. Norli seolah-olah teringat sesuatu. Ya, Norli pernah bermimpi sebelum ini bahawa anak kucing ini boleh bercakap.

Rupa-rupanya apa yang Norli mimpi selama ini telah menjadi kenyataan. Ini bermaksud selama ini dia tinggal bersama-sama dengan anak kucing ajaib. Sudah lama Norli terfikirkan hal ini. Sejak pertama kali Norli terjumpa dengan anak kucing ini, Norli sudah dapat mengagak bahawa anak kucing ini bukanlah anak kucing biasa. Dari pertama kali Norli ternampak anak mata kucing yang boleh bertukar warna. Tapi pada ketika itu ibunya tidak mempercayainya. Kali ini keajaiban lain pula yang terjadi dan ia benar-benar terjadi. Norli tidak tahu samada mahu memberitahu hal ini kepada ibu dan ayahnya atau tidak kerana mustahil mereka mahu mempercayainya.

“Norli, janganlah tinggalkan saya,”

Kali ini Norli dapat melihat dengan jelas anak kucing itu boleh berkata-kata. Mulut anak kucing itu bergerak-gerak seperti manusia. Norli terkejut dan seolah-olah tidak percaya. Norli cuba melihat sekeliling, mana tahu jika suara anak kucing ini turut di dengari oleh kanak-kanak lain. Tapi hairan, mereka tetap bermain seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang ganjil terjadi. Jika begitu, ini bermakna bahawa hanya Norli yang mendengar anak kucing ini berkata-kata. Mustahil, ini mustahil. Tanpa menunggu dengan lebih lama, Norli segera mencapai basikal dan mengayuh laju-laju. Norli mahu segera tiba ke rumah.

“Ibu, ayah!” jerit Norli sebaik sahaja tiba ke rumah. Encik Samsul dan Puan Liza terkejut mendengar jeritan Norli. Mereka segera menghampiri Norli.

“Kenapa Norli?” tanya Encik Samsul hairan melihat Norli yang dalam keadaan tercungap-cungap. Seolah-olah baru selepas menghabiskan larian 100 meter.

“Anak kucing!” jawab Norli. Puan Liza dan Encik Samsul berpandangan sesama sendiri. Apa yang ingin disampaikan oleh Norli sebenarnya?



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku