Pengembaraan ke dunia Kit
Bab 2 (ii)
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Novelet
Paparan sejak 06 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
154

Bacaan






“Anak kucing boleh bercakap!” jawab Norli dengan bersungguh-sungguh. Puan Liza dan Encik Samsul ketawa. Mereka sangkakan terjadi apa-apa yang buruk terhadap anak kucing.

“Norli, Norli…kenapa cakap macam tu? Norli ni suka sangat bergurau macam tu. Tu la asyik tengok tv je. Sampai anak kucing pun dia kata boleh bercakap,”

“Betul, ibu, ayah! Norli tak bohong!” Norli cuba meyakinkan kedua ibu bapanya. Norli tidak mahu ibu bapanya menganggap dia sekadar mereka-reka cerita.

“Oklah, kalau macam tu kita tanya anak kucing sendiri,” Puan Liza sekadar ingin mengambil hati Norli. Kasihan pula dia melihat Norli bersungguh-sungguh memberitahu mengenai anak kucing yang boleh bercakap.

Norli gelisah. Norli takut untuk memberitahu perkara sebenar bahawa dia baru sahaja meninggalkan anak kucing itu di taman permainan. Norli tahu jika kedua ibu bapanya mengetahui hal ini, mesti Norli dimarahi.

Meow…

Norli terkejut apabila terasa kakinya digesel. Norli cepat-cepat melarikan kakinya. Sekali lagi Norli terkejut apabila melihat anak kucing berjalan di tepinya. Bila pula anak kucing ni datang semula? Cepatnya. Norli dan anak kucing saling berpandangan. ‘Eh, macamana kucing ni boleh ada kat sini?’

Meow…

Norli bertenggek berhadapan dengan anak kucing. Norli cuba bercakap dengan anak kucing, tetapi anak kucing tetap menyahut dengan berbunyi Meow!

Encik Samsul dan Puan Liza menggeleng-geleng melihat kelakuan Norli. Mereka anggap Norli sekadar bergurau. Masakan pula anak kucing boleh bercakap seperti manusia?

“Sudah la tu Norli. Pergi masuk, mandi. Anak kucing tu pun bawak masuk sekali,” arah Encik Samsul sambil masuk semula ke dalam rumah.

“Dah lah fikir lagi. Mulai hari ni, ibu nak Norli keluar bermain dengan kawan-kawan. Jangan asyik dengan tv je,” sambung Puan Liza sambil mengiringi Encik Samsul.

Norli masih lagi tercongok di luar pintu. Norli memerhatikan anak kucing yang masih tidak berganjak di kakinya. Tidak lama kemudian Norli segera masuk ke dalam rumah meninggalkan anak kucing di luar pintu.

“Risau pulak saya tengok Norli tu. Dah lah tak mahu berkawan. Sekarang pula bagitahu yang anak kucing boleh bercakap. Memang kita kena bawa berubat budak tu” Puan Liza mengeluh sambil berbual dengan Encik Samsul.

“Kuat jugak imaginasi Norli tu,” jawab Encik Samsul yang sebenarnya turut risau dengan kelakuan Norli. Kadangkala dia terfikir normal kah Norli?

“Tu yang saya risau tu. Nanti makin teruk susah pulak nanti,” Puan Liza masih juga risau.

“Insya Allah, kat tempat baru nanti berubahlah perangai Norli tu,”

“Harap-harap macam tu lah,” Puan Liza cuba menenangkan dirinya sendiri. Dia berharap kali ini apabila berpindah ke tempat baru, Norli akan berubah menjadi seperti kanak-kanak lain yang peramah dan lincah. Walaubagaimana pun dia tetap berasa risau.

******

Malam itu Norli tidak dapat melelapkan mata. Puas Norli berfikir tentang kejadian yang berlaku di taman permainan petang tadi. Norli fikir adakah suara yang didengar tadi hanyalah igauan semata-mata? Adakah Norli bermimpi?

Norli tahu kedua ibu bapanya tidak mempercayai kata-katanya sekalipun Norli beberapa kali cuba memberitahu hal itu. Norli sebenarnya sudah lama mengagak bahawa anak kucing yang di jumpainya itu bukanlah kucing biasa. Anak kucing itu memang anak kucing ajaib. Tapi sayangnya kedua ibu bapa Norli menganggap Norli bergurau. Norli berasa matanya semakin lama semakin berat. Norli tahu sudah lama dia menghabiskan masa dengan berfikir mengenai hal yang berlaku petang tadi. Perlahan-lahan Norli memejamkan mata sehinggalah Norli terbuai di alam mimpi.

“Norli, tolong saya Norli. Tolong saya,”

Norli mencari-cari dari mana datangnya suara yang memanggil namanya itu. Norli seolah-olah mengenali suara itu tetapi Norli tidak tahu suara siapa.

“Norli, marilah ikut saya. Marilah Norli,”

Norli semakin terpinga-pinga. Tadi suara tadi meminta tolong tetapi kini memintanya untuk mengikutinya pula. Norli menekup telinga rapat-rapat. Norli tidak mahu mendengar suara itu lagi.

“Norli, Norli, Norli…”

Norli terjaga dari tidur. Norli tercungap-cungap. Oh, Norli bermimpi tetapi kenapa mimpi Norli agak pelik? Norli berasa sangat dahaga. Norli ingin ke dapur untuk mengambil air. Sebelum itu Norli sempat melihat ke arah jam yang disangkut ke dinding. Masih awal pagi, jam 2.30 pagi.

Perlahan-lahan Norli turun dari katil. Dengan berpakaian baju tidur, Norli keluar dari biliknya. Seperti biasa, Norli tidak lupa membimbit Barbie kesayangannya. Norli mengintai ke kiri dan kanan berulang kali. Norli lihat lampu ruang tamu telah pun dipadamkan. Norli tahu kedua ibu bapanya sudah tidur. Norli masuk ke ruang dapur dan mengambil gelas plastik yang disangkut kemas di rak pinggan. Norli terperanjat apabila terdengar bunyi cicak yang agak kuat di tengah-tengah kesunyian malam. Nasib baik Norli memegang gelas plastik.

“Jaga kau cicak, nanti aku lastik,” Norli menahan geram dengan kehadiran cicak yang mengejutkannya. Norli pernah beberapa kali melihat kawan sekelasnya melastik cicak menggunakan getah. Adakalanya cicak yang terkena getah tersebut akan jatuh dan menggelupur di lantai. Norli teringin juga untuk melastik cicak tetapi Norli segan dengan kawan-kawan sekelas. Di rumah, Norli pernah juga beberapa kali melastik cicak menggunakan getah tetapi tidak menjadi. Akhirnya getah itu akan terkena tangannya sendiri sehingga Norli menjerit kecil.

Adakalanya Norli akan mengambil batu-batu kecil dan akan melemparkan kepada cicak. Tetapi Norli perasan ayahnya ada membawa balik satu perangkap cicak yang mempunyai gam pelekat. Ayahnya pernah memberitahu bahawa dengan cara ini cicak akan melekat pada pelekat itu. Oleh itu cicak tidak dapat melarikan diri lagi. Norli kagum dengan kepandaian ayahnya. Ayahnya tidak menggunakan kekerasan kepada binatang. Norli juga mahu menjadi seperti ayahnya.

Selesai minum, Norli melangkah perlahan-lahan ke arah satu sudut. Norli tiba-tiba teringin untuk melihat anak kucing yang di letakkan di dalam kotak. Kali ini Norli ingin memastikan bahawa apa yang didengarnya petang tadi adalah perkara yang benar. Norli tidak mahu dianggap menipu dan sengaja mereka-reka cerita. Norli mahu bercakap sendiri dengan anak kucing itu.

Norli duduk bertenggek, betul-betul berdepan dengan kotak yang sederhana besarnya. Di situlah tempat anak kucing tidur. Kedua ibu bapa Norli meletakkan kain lembut sebagai alas kotak supaya anak kucing dapat tidur dengan selesa.

Norli lihat anak kucing tiada di dalam kotak. Norli terkejut. Ke mana pula anak kucing ni pergi? Norli cuba mencari anak kucing tetapi tidak berjumpa. Norli cemas. Ke mana anak kucing menghilang?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku